Kaki Sukar Dibengkokkan

Oleh SURIA JANIB

Shamran menghadapi masalah urat besar putus di bahagian lutut.

KETIKA mengalami kecederaan meniskus di sendi lutut kanan pada November 2010, dia tidak ambil peduli. Dia tercedera ketika bermain bola akibat rempuhan yang kuat daripada pemain lawan. Tiba-tiba terdengar bunyi “pop” seperti bunyi letupan, diikuti rasa sakit yang teramat sangat sehingga menyebabkan lututnya membengkak selama dua minggu. Selepas dibuat sinar-X pada bahagian yang sakit, doktor masih gagal mengesan punca kesakitannya.

Lama dia membiarkan sakitnya berlalu kerana menganggap hanya terseliuh biasa dan masih mampu bertahan tetapi sempat menjalani fisioterapi. Bagi mengelakkan kecederaannya berulang, dia cuba mengelak daripada melakukan aktiviti lasak.
Namun begitu, Shamran Sarahan, pengarang akhbar mingguan terkemuka negara ini tidak pernah duduk diam daripada menceburi aktiviti lasak. Mungkin disebabkan kerja hariannya yang berat, dia cuba mengurangkan tekanannya dengan melayan hobinya menerusi kegiatan sukan luar, seperti mendaki gunung dan menyelam.
Itu pun dia menyedari kecederaan meniskus yang dialaminya bertambah serius ketika mendaki gunung di Indonesia. Didapati ligamen krusiat posterior (PCL), iaitu urat besar yang bersambung dengan otot di bahagian belakang lututnya terputus. “Saya terpaksa bertahan dengan mengambil ubat tahan sakit sehingga sekembalinya di Kuala Lumpur. Sebaik-baik sahaja sampai di Kuala Lumpur, saya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk membuat imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI). Menurut laporan doktor saya perlu melakukan pembedahan yang besar untuk membuang urat PCL yang rosak itu,” jelasnya sambil menunjukkan bahagian lututnya yang sudah dibuat pembedahan.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Selagi Berdaya, Utama

Hantar Maklum Balas Anda