RIBUT PETIR PENCETUS HUJAN BATU

Oleh: Mohd. Syukri Anwar

Pada 3 Jun 2016, hujan batu berlaku di Bukit Jalil. Setahun berikutnya, iaitu pada 21 Oktober 2017 pula, hujan batu berlaku di Kuala Krai. Yang terkini, hujan batu berlaku di Bukit Serdang dan berhampiran dengan Seri Kembangan pada 1 Ogos 2018. Pengulangan kejadian ini pada setiap tahun menunjukkan bahawa hujan batu bukan fenomena luar biasa di Malaysia.

Walau bagaimanapun, bagi sesetengah rakyat Malaysia, hujan batu ialah peristiwa yang pelik jika berlaku di Malaysia. Pada pandangan sesetengah orang ini, hujan batu sepatutnya hanya berlaku di negara luar, seperti China, Eropah tengah, selatan Australia, selatan dan barat Jerman, utara dan timur Perancis serta Amerika Utara.

Yang sebenarnya, jika mekanisme penghasilan hujan batu diketahui, tempat yang mungkin berlakunya hujan batu dapat dijangkakan. Walau bagaimanapun, jangkaan ini memerlukan seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuklah geografi dan meteorologi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik September 2018.

ARUS SIMBAR PEMBUNUH SENYAP

Oleh: Marlini Mukhtar

Arus simbar mungkin kedengaran asing bagi sesetengah orang, tetapi bukanlah perkara baharu. Secara umumnya, masyarakat sering mempercayai bahawa keadaan lemas di laut berlaku disebabkan oleh pantai yang berpuaka atau gangguan makhluk halus. Yang sebenarnya, keadaan lemas ini berlaku disebabkan oleh kewujudan arus simbar, iaitu arus yang membunuh secara senyap. Arus simbar juga dikenali sebagai arus tempur dan arus pecah.

Arus simbar ialah arus atau saluran air yang terbentuk di pesisiran pantai yang bergerak menjauhi pantai dalam bentuk garis lurus. Kadar aliran ini biasanya 0.5 meter per saat (1 kaki per saat – 2 kaki per saat). Kelajuan ini dapat berubah sepantas 2.5 meter per saat (8 kaki per saat), iaitu lebih pantas berbanding dengan perenang Olimpik atau perenang yang mahir.

Apabila garis puncak ombak tiba selari dengan garisan pantai, ada dua kemungkinan arus dominan yang terbentuk di pantai. Yang pertamanya, jika tiada penghalang di zon luncur, arus yang terbentuk ialah aliran balik biasa. Namun begitu, jika ada banyak penghalang bukit pasir dan celah di zon luncur, aliran arus simbar yang menuju ke laut mungkin berlaku.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: Uncategorized

PERLOMBONGAN DASAR LAUT INDUSTRI BERIMPAK TINGGI

Oleh: Nor Azida Ishak

Dasar laut mempunyai simpanan emas yang melimpah-ruah. Menurut perangkaan pada tahun 2013, kandungan emas yang tersimpan di lantai lautan terlalu banyak. Dianggarkan bahawa, dengan jumlah ini, setiap 7.4 bilion manusia boleh menerima 4 kg emas setiap seorang. Berdasarkan pasaran semasa, jumlah emas ini mencecah harga RM4200 trilion.

Di samping itu, ada juga pelbagai jenis bahan berharga lain, seperti logam mangan (logam rapuh berwarna kelabu keputihan), tembaga dan logam nadir bumi yang berharga, seperti perak, serta kuprum yang berkualiti tinggi. Bahan berharga ini digunakan untuk menghidupkan peralatan elektronik, seperti telefon pintar dan komputer.

Oleh sebab itu, banyak syarikat yang berminat untuk menggali dan mengaut logam yang berharga ini. Secara teorinya, perlombongan dapat dilakukan menerusi proses perlombongan bawah laut. Nautilus Minerals menjadi syarikat pertama di dunia yang menjadi pelopor bagi teknologi ini. Syarikat ini berjaya memperoleh Permit Pajakan Melombong dan Alam Sekitar untuk meneroka lantai laut di Papua New Guinea secara komersial. Secara spesifiknya, penerokaan ini adalah untuk mencari emas, zink, perak dan kuprum.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: Fokus, Uncategorized

Sindrom Bangunan Sakit

Oleh: Mohammad Rais Shahril

Sindrom bangunan sakit (SBS) ialah keadaan penghuni sesebuah bangunan yang mengalami masalah kesihatan atau tidak selesa ketika berada di dalam bangunan. SBS terjadi apabila kualiti udara dalaman, rendah.

Contoh masalah kesihatan yang dialami oleh penghuni yang terdedah pada SBS ialah kesukaran bernafas, pening kepala, selesema, pedih mata dan sakit tekak. Selain itu, golongan yang berisiko tinggi untuk mengalami SBS ialah kanak-kanak dan warga emas. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan ini banyak menghabiskan waktu di dalam rumah atau bangunan.

SBS diperkenalkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) pada tahun 1982 kerana ada banyak kes yang berkaitan dengan bangunan sakit. SBS biasanya berlaku disebabkan oleh kekurangan atau kesilapan reka bentuk sistem, pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Genus Ridleyandra di Semenanjung Malaysia

Oleh: Siti Munirah Mat Yunoh

Ridleyandra satu daripada genus yang ada dalam keluarga Gesneriaceae. Kata “Ridley” bersempena dengan nama Henry Nicholas Ridley (tahun 1855 – tahun 1956), iaitu bagi menghormati beliau sebagai seorang ahli botani Inggeris terkenal yang bekerja di Singapura, Semenanjung Malaysia dan kawasan sekitarnya.

Kata “-andra” pula berasal daripada bahasa Greek ανδρος, iaitu andros yang bermaksud lelaki. Nama ini merujuk bahagian androesium yang berkaitan dengan kedudukan asal tumbuhan sebelum ini, iaitu dalam kumpulan Didissandra.

Ada 31 spesies tumbuhan dalam keluarga Ridleyandra yang bertaburan dari Thailand, Semenanjung Malaysia dan Borneo. Di Semenanjung Malaysia, 24 spesies diiktiraf. Sebanyak 23 daripadanya endemik di Semenanjung Malaysia. Satu spesies juga direkodkan di Thailand.

Ridleyandra ialah tumbuhan endemik, iaitu khusus di kawasan tertentu. Habitat tumbuhan Ridleyandra ialah hutan tropika yang masih berkeadaan baik. Tumbuhan jenis ini dapat ditemukan di hutan dipterokarpa bawah, hutan dipterokarpa tinggi dan hutan gunung. Kebanyakannya menyukai tempat yang redup dan sedikit basah. Sebagai contohnya, berdekatan dengan sumber air, seperti sungai atau mata air.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

DAUN BETIK RAWAT KANSER

Oleh: Kahairul Adli Nikman

Pokok betik tidak asing bagi masyarakat di Malaysia. Pokok ini tumbuh daripada biji benih yang mudah bercambah apabila jatuh atau ditabur ke tanah. Pokok betik menghasilkan buah yang manis apabila masak ranum. Buah yang masak berwarna kuning kemerah-merahan atau jingga, manakala buah yang masih muda berwarna hijau. Buah betik bukan sahaja diminati oleh orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak. Hal ini disebabkan oleh teksturnya yang lembut dan mudah dikunyah, serta rasanya yang manis.
Nama saintifik betik ialah Carica Papaya Linn, dan berasal daripada keluarga Caricaceae. Betik dikenali sebagai papaya dalam bahasa Inggeris dan papita dalam bahasa Hindustan. Pokoknya tumbuh tegak dengan batangnya yang tidak berdahan. Batang ini dipenuhi oleh pelepah yang ditumbuhi oleh daun pada bahagian hujungnya. Batang pokok ini mengeluarkan getah berwarna putih jika dilukakan, begitu juga apabila pelepah daunnya dipatahnya.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2018.

Posted in: Uncategorized

BIOMEMS REHAB PANTAU PESAKIT STROK

Masalah utama yang dihadapi oleh pesakit strok ialah ketiadaan motivasi untuk meneruskan proses pemulihan menerusi senaman fisioterapi kerana pesakit tidak dapat mengetahui, sama ada proses pemulihan setelah sekian lama melakukan terapi, berlaku atau tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana tiada data yang dapat dilihat oleh pesakit, sama ada dalam bentuk kualiti atau kuantiti.
Kuantiti merujuk bentuk nombor digit yang dapat menterjemahkan peratusan peningkatan fungsi atau aktiviti tubuh badan pesakit setelah melalui proses terapi. Sebagai contohnya, fungsi kekuatan bahagian tangan dan kaki yang diserang oleh angin ahmar dapat diukur dengan menggunakan ilmu kejuruteraan
dalam bidang kejuruteraan elektronik perubatan.
Walaupun strok dapat menyebabkan kematian, pesakit dapat menambah baik keupayaan dan kesihatan tubuh badan menerusi proses pemulihan secara berterusan. Pemulihan ialah satu daripada fasa yang paling penting dan berkesan untuk membina kekuatan, keupayaan dan keyakinan untuk gaya hidup yang lebih baik dalam kalangan pesakit strok.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

KANDUNGAN DEWAN KOSMIK, OGOS 2017

KANDUNGAN

GERHANA MAKIN KERAP?

Pada tahun 2015, gerhana berlaku sebanyak empat kali. Kemudian pada tahun 2016, gerhana berlaku sebanyak lima kali dan pada tahun 2017, gerhana berlaku sebanyak empat kali. Fenomena gerhana yang berlaku di seluruh dunia dapat dilihat di Malaysia. Pada tahun 2015, Malaysia hanya mengalami gerhana sekali sahaja, iaitu gerhana Bulan penuh pada 4 April 2015. Kemudian pada tahun 2016, Malaysia mengalami gerhana sebanyak tiga kali. Peristiwa gerhana Matahari separa berlaku pada 9 Mac 2016 dan gerhana Bulan penumbra berlaku pada 23 Mac 2016 dan 16 September 2016.

Pada tahun 2017, Malaysia mengalami gerhana sebanyak dua kali, iaitu gerhana Bulan penumbra pada 11 Februari 2017 dan gerhana separa Bulan pada 7 Ogos 2017. Ada yang menyatakan bahawa gerhana ini kerap berlaku. Maka, bagi menjawab persoalan ini, proses kejadian gerhana
Kemudian pada tahun 2016, gerhana berlaku sebanyak lima kali dan pada tahun 2017, gerhana berlaku sebanyak empat kali. dan kekerapan kejadian gerhana perlu diketahui.

Posted in: Uncategorized

PERABOT DARIPADA POKOK PALMA

Oleh Khairul Masseat dan Abdul Hamid Saleh

Industri perabot makin mendapat perhatian di Malaysia. Permintaan terhadap bahan mentahnya pula makin meningkat. Oleh sebab itu, sumber bahan mentahnya perlu dipelbagaikan bagi menampung bekalan yang diperlukan dalam industri pembuatan perabot. Namun begitu, tiada sesiapa menyangka batang pokok spesies palma dapat dijadikan perabot.

Berdasarkan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan oleh beberapa pegawai penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), perabot daripada spesies palma yang berasaskan kayu padu dan venir berjaya dihasilkan menerusi beberapa kaedah inovasi.

Spesies palma yang digunakan ialah kelapa sawit dan kelapa. Oleh sebab ada lebih kurang 5.08 juta hektar tanaman kelapa sawit di Malaysia pada tahun 2012, dianggarkan sebanyak 13.6 juta tan batang kelapa sawit dapat digunakan bagi pelbagai kegunaan termasuklah pembuatan perabot.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2015

Posted in: Uncategorized