Inovasi Penuai Kenaf

Oleh Norizan Muslim

FOKUS pada keluaran ini mengetengahkan ciptaan jentera penuai batang kenaf yang dihasilkan oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia. Jentera ini dinamakan Jentera Penuai Batang Kenaf Empat Baris dicipta oleh Profesor Ir. Dr. Desa Ahmad, bersama-sama kumpulan penyelidik untuk memudahkan kerja memotong batang kenaf. Sebelum ciptaan jentera tersebut, pengusaha kenaf menggunakan jentera import yang banyak menimbulkan pelbagai masalah, terutama kos dan penyelenggaraan yang tinggi.

Keistimewaan dan teknologi jentera kenaf ciptaan anak tempatan ditulis oleh Wartawan Dewan Kosmik, Siti Hadijah Umor. Dalam ruangan Sains dan Al-Quran, Dr. Mohd. Arip Kasmo membongkarkan maklumat tentang cap jari manusia tidak sama yang telah dinyatakan dalam al-Quran. Al-Quran menyatakan tentang hujung jari manusia tidak serupa. Bagaimanakah al-Quran mengetahui bahawa cap jari manusia tidak sama, sedangkan kitab agama ini diturunkan pada tahun 610 – 623 Masihi?

Bidang Astronomi pula memberikan maklumat kelebihan satu hari pada tahun 2012 yang dinamakan tahun lompat. Ruangan ini menyingkap perkiraan awal kalendar Gregory hari ini yang digunakan oleh kebanyakan negara di dunia. Mengikut kalendar ini, satu tahun mengandungi 365 hari bagi tahun biasa dan 366

hari bagi tahun lompat. Takwim ini berdasarkan pergerakan Bumi mengelilingi Matahari.

Dalam ruangan Genetik Manusia, Dr. Badrul Hisham Yahaya mengupas kehebatan sel tunjang dalam perubatan yang sering dipromosikan dalam media. Apakah kehebatan dan kemampuan sel ini dalam mengubati pelbagai penyakit akan dikupas dalam beberapa siri keluaran akan datang. Penulis juga menerangkan bagaimana sel tunjang dikawal atur di dalam tubuh manusia untuk menjadi sel yang khusus seperti sel jantung, sel paru-paru, sel mata, dan sel hati. Sesungguhnya ruangan ini amat menarik untuk diikuti kerana mendedahkan antara harapan, realiti dan fantasi kepada pesakit yang menghidapi penyakit kronik.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Nota Editor

Lebih Kreatif dan Inovatif

Oleh Norizan Muslim

SELAMAT menyambut tahun baharu 2012 kepada pembaca setia Dewan Kosmik yang sentiasa memberikan penghargaan, pandangan, dan komen kepada majalah ini, demi mempertingkatkan persembahan dan maklumat terkini dalam dunia sains dan teknologi. Maklum balas melalui surat dan e-mel pembaca sentiasa menjadi perhatian siding editor untuk menilai keberkesanan setiap wadah ilmu sains dan teknologi yang disiarkan dalam majalah ini.

Kebanyakan pandangan dan komen pembaca yang diterima memberikan kata-kata perangsang dan penghargaan agar majalah ini menjadi wadah ilmiah popular dalam kalangan semua generasi. Keberkesanan ilmu yang dihidangkan dalam majalah ini turut terbukti melalui pengakuan pelajar sendiri yang berjaya mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan.

Majalah ini turut dijadikan sumber rujukan oleh guru dan pelajar sains menengah dalam memahami dunia sains dengan lebih mudah. Selain itu, Dewan Kosmik diakui banyak menyelongkarkan rahsia dunia sains sama ada berteraskan agama ataupun perubatan pelbagai penyakit. Setiap cadangan dan komen pembaca akan diberikan perhatian oleh siding editor bagi memantapkan keunggulan majalah sains dan teknologi ini. Sidang editor Dewan Kosmik turut menghargai sumbangan penulis yang sanggup berkongsi ilmu sains dengan pembaca melalui penulisan dalam bahasa kebangsaan. Minat penulis yang terdiri daripada pensyarah, penyelidik, saintis, pendidik dan profesional terbukti melalui sambutan yang amat menggalakkan dalam beberapa bengkel dan kursus penulisan sains yang diadakan bersama-sama dengan Editor Dewan Kosmik, seperti Bengkel Penulisan Sains UKM dan Kursus Penulisan Rencana FRIM yang diadakan pada tahun lepas.

Harapan sidang editor Dewan Kosmik pada tahun ini adalah untuk sentiasa mempertingkatkan mutu penulisan sains dengan persembahan yang lebih kreatif dan inovatif. Untuk itu, apa-apa juga maklum balas, baik yang positif mahupun yang negatif, amat dialu-alukan.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Nota Editor

Selamatkan Bumi

Oleh Norizan Muslim

PENGHUJUNG tahun ini muncul lagi dengan pelbagai laporan bencana alam yang meragut puluhan  nyawa warga dunia di serata dunia. Sebenarnya kejadian malapetaka ini seiring dengan laporan  saintis yang memberikan amaran tentang pemanasan global yang semakin meningkat tahun demi tahun. Kesan pemanasan global dibuktikan melalui penemuan terbaharu saintis seperti penghijrahan spesies haiwan darat dan air dari kawasan habitat asal ke kawasan baharu yang lebih sejuk, pencairan bongkah ais di kawasan Antartik, cuaca semakin panas, pulau tenggelam, banjir besar, ribut taufan, tsunami, letupan gunung berapi, kepupusan haiwan liar dan lain-lain.

Setiap warga dunia perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing untuk memulihara alam sekitar. Tiada teknologi yang dapat dicipta untuk menangani pemanasan global. Teknologi dicipta untuk keselesaan manusia semata-mata sehingga mengorbankan pelbagai khazanah alam semula jadi.

Atas kesedaran kesan pemanasan global, pelbagai program diadakan untuk mengurangkan masalah ini. Antara program yang dapat mengekangkan pemanasan bumi sebelum semakin teruk termasuklah konservasi, kitar semula, teknologi hijau, dan lain-lain.

Inisiatif yang diusahakan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan mengadakan program Penanaman Inovatif Bakau di pesisiran pantai Sungai Besar, Selangor, merupakan antara langkah kesedaran dan pendidikan kepada generasi muda agar memulihara alam sekitar.

Program seumpama ini sekurang-kurangnya dapat memberikan pendedahan secara langsung dan penyelidikan sains tentang habitat haiwan, tumbuhan, dan ekosistem kawasan. Demi masa hadapan dan kemandirian alam, Dewan Kosmik sentiasa menitikberatkan pelbagai program ke arah memulihara alam bagi memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda yang akan mewarisi alam sejagat.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Nota Editor

Realiti Maya

Teknologi realiti maya bermula apabila permainan video yang dicetuskan oleh Morton Heilig pada tahun 1962, iaitu Sensorama Simulator, diperkenalkan kepada peminat hiburan. Teknologi ini dicipta untuk merangsang deria individu merasai pengalaman yang sebenarnya. Heilig, ahli sinematograf, menggunakan tiga kamera untuk merakamkan foto yang lebih besar dan lebar pada pandangan mata penonton. Beliau mengkaji penggunaan deria mata, pendengaran, bau, sentuh, dan rasa, jika digabungkan akan membangkitkan sensual kesedaran. Dua perkakasan asas awal dalam teknologi realiti maya, iaitu “Head-Mounted Display” atau HMD, dan “Sensitive Motion Google” dicipta setelah 20 tahun menjalankan penyelidikan.

Kini perkembangan teknologi realiti maya semakin pesat dan maju dengan adanya penyelidikan dan pembangunan secara besar-besaran dilakukan oleh kebanyakan fakulti komputer di universiti. Pelbagai perisian dan peranti baharu dicipta oleh jurutera dan saintis universiti untuk disesuaikan dengan bidang masing-masing, selain untuk kegunaan hiburan. Antara aplikasi realiti maya yang telah digunakan termasuklah dalam bidang pendidikan, ketenteraan, perubatan, kejuruteraan, latihan dan pemulihan.

Misalnya, pakar perubatan di hospital pedalaman akan menggunakan realiti maya untuk pembelajaran pembedahan tanpa perlu menunggu bantuan. Realiti maya dijangkakan akan mengubah pendidikan perubatan dan penjagaan pesakit dengan lebih efisien.

Dalam bidang ibadah pula, realiti maya turut diaplikasi agar memudahkan orang Islam mempelajari pelbagai syarat dan panduan semasa mengerjakan haji, umrah, ziarah, solat dan rukun Islam yang lain. Bakal jemaah haji dan umrah turut dapat mengalami suasana dan masa sebenar mengerjakan haji di Makkah melalui produk V-Hajj yang mengaplikasikan teknologi realiti maya. Modul kursus haji dan umrah pada masa akan datang, lebih cenderung menggunakan teknologi sains ini untuk memberikan pendedahan yang lebih berkesan kepada peserta.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

Posted in: Nota Editor