AMBUNG-AMBUNG MERAWAT DEMAM

Pokok ambung-ambung atau Scaevola taccada ialah tumbuhan pesisir pantai. Secara lazimnya, pokok ini tumbuh di kawasan yang berpasir. Namun begitu, ada juga pokok ambung-ambung didapati hidup di tempat berbatu. Pokok ini sejenis tumbuhan renek atau pokok kecil yang dapat mencapai ketinggian maksimum, enam meter dan mempunyai banyak cabang dan dahan yang kecil.

Struktur daun pokok ambung-ambung agak berisi, tebal dan disusun secara berselang-seli pada dahannya. Warna daun mudanya hijau muda dan bertukar menjadi kuning apabila matang. Bunganya berwarna putih dan dihasilkan dalam jambak yang pendek pada celah ketiak daun.

Bunga pokok ambung-ambung agak unik kerana mempunyai bahagian tiub bunga yang terbuka pada bahagian atas, seakan-akan struktur bunganya sebelah sahaja. Buahnya berwarna hijau muda apabila muda dan bertukar putih apabila matang. Buah yang masak mempunyai isi yang lembut dan mengandungi biji yang bergabus.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

KEDIAMAN HAIWAN LIAR DARATAN

Haiwan liar ialah elemen penting dalam ekosistem, sama ada di daratan atau di kawasan akuatik. Sekitaran atau kediaman semula jadi haiwan liar ialah habitat bagi haiwan liar. Kefahaman terhadap kediaman haiwan liar daratan, seperti spesies haiwan liar yang mendiami kawasan ini dan jenis kediamannya penting untuk memahami fungsi ekosistem, seterusnya menghargai peranan dan kepentingan biodiversiti kepada manusia. Sama seperti manusia, haiwan liar juga mempunyai keperluan tertentu di kawasan kediamannya.

Pemilihan kawasan kediaman oleh haiwan liar bergantung pada beberapa faktor, iaitu sumber makanan dan air, struktur vegetasi, struktur topografi atau komponen fizikal, pasangan, pemangsaan dan persaingan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna

PERANGKAP LALAT VENUS

Kepercayaan tentang pokok pemakan manusia di hutan tebal luput ditelan zaman. Kini, kepercayaan ini hanya wujuddalam cerita fiksyen. Walau bagaimanapun, tumbuhan kecil yang berupaya memerangkap dan menghadamkan haiwan kecil, khususnya serangga, memang wujud. Bahkan, bilangannya menjangkau 600 spesies di muka bumi ini.

Kumpulan tumbuhan ini dikenali sebagai tumbuhan karnivor atau tumbuhan insektivor (pemakan serangga) kerana serangga ialah makanan utamanya. Antara tumbuhan karnivor yang paling dikenali termasuklah Venus Flytrap atau perangkap lalat Venus. Kaedah penangkapan serangganya amat dramatik.

Venus Flytrap ialah tumbuhan kecil subtropika berbentuk roset dengan batang bawah tanah yang pendek. Habitat asal tumbuhan ini di bahagian utara dan selatan Carolina, Amerika Syarikat, khususnya kawasan Green Swamp di utara Carolina. Kawasan ini kekurangan sumber nutrien, khususnya nitrogen. Oleh sebab itu, tumbuhan ini beradaptasi untuk mendapatkan sumber nitrogen alternatif daripada serangga.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna

KUANG CERMIN HIDUP DI TANAH TINGGI

Burung kuang cermin (Polypectron inopinatum) atau Rostchild Peacock Pheasant ialah spesies burung kuang yang ada di Malaysia, tetapi sangat sukar ditemukan. Burung ini spesies kuang yang elusif seperti burung kuang gunung (Renarthia ocellata).

Kuang cermin digolongkan dalam keluarga Phesanidae. Spesies ini hanya ditemukan di altitud yang tinggi, iaitu pada ketinggian lebih kurang 1300 meter dari paras laut. Burung ini dapat ditemukan di permatang Gunung Pine Trees di Bukit Fraser, Pahang pada ketinggian lebih kurang 1300 meter dari paras laut.
Spesies ini juga ditemukan di Cameron Highland, Banjaran Gunung Tahan dan Bukit Larut, Perak. Saiz tubuhnya hampir sama dengan burung merak pongsu (Polypectron malacensis), tetapi ekornya lebih panjang dan tidak mempunyai jambul seperti yang ada pada burung merak pongsu jantan.
Warna bulu kepak kuang cermin coklat keperang-perangan. Warna bulu pada bahagian dada dan perutnya gelap. Ada tompok berwarna biru tua sebesar duit syiling lima sen pada bahagian bulu kepaknya. Ekornya panjang dan berwarna coklat kemerah-merahan. Ada banyak tompok halus berwarna putih pada bahagian atas ekornya.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Konservasi

POKOK RERAMA MERAH RENCATKAN SEL KANSER

Pokok rerama ialah pokok yang unik kerana dedaunnyaberbentuk seakan-akan sayap rama-rama dan pokokini boleh didapati dalam warna hijau, merah dan berurat daunmerah. Pokok rerama ini berasal daripada keluarga Fabeaceae,iaitu keluarga tumbuhan kekacang.
Kini, sebanyak 13 spesies pokok rerama dikenal pasti. Satu daripadanya ialah pokok rerama berdaun merah atau Christia mariposa vespertilionis. Kata mariposa bermaksud rerama dalam bahasa Sepanyol. Pokok ini ialah pokok kecil yang hanya berketinggian antara 60 sentimeter hingga 120 sentimeter dan biasanya berbunga padabulan Julai hingga September pada setiap tahun.
Posted in: Flora dan Fauna

TEMU PUTIH IMUNOPERANGSANG SEMULA JADI

Temu putih atau Curcuma zedoaria tumbuhan jenis herba yang dapat tumbuh setinggi 1.5 m. Herba ini mempunyai
daun berbentuk lanseolat (bujur) yang terdiri daripada pelepah atau upih daun yang dapat memanjang hingga 60 cm. Helaian daunnya dapat membesar hingga 65 cm panjang dan 20 cm lebar. Daun temu putih mempunyai urat daun selari yang nyata, berwarna hijau dan berwarna ungu pada bahagian tulang daun.
Jambak bunga temu putih yang berwarna menarik, tumbuh secara berasingan dari bawah di antara celah daun. Bahagian rizomnya berisi dan bercabang, berwarna kelabu dan mempunyai isi yang berwarna kuning keputih-putihan atau kuning cerah. Rizomnya mempunyai bau yang kuat dan rasanya sedikit pahit.
Temu putih dikatakan berasal dari bahagian timur laut benua India. Tumbuhan ini tersebar luas di China, Taiwan dan rantau Asia Tenggara. Penanaman temu putih juga tersebar di Eropah. Herba ini didapati sesuai tumbuh liar di kawasan redup dan lembap, sebaliknya tidak sesuai ditanam di kawasan yang airnya bertakung.
Secara lazimnya, herba ini ditemukan di kawasan tanah pamah. Adakalanya, tumbuhan ini dapat tumbuh di kawasan yang berketinggian hingga 1000 m dari aras laut.
Di Malaysia, nama lain bagi temu putih ialah temu kuning, kunyit emas atau kuncur. Herba ini dikenali dengan pelbagai nama tempatan di beberapa negara Asia, seperti kachura, gandamatsi atau sutha (India), é zhú atau péng é zhú
(China), koneng tegal, temu pepet, temu putih, kentjur atau kunir putih (Indonesia), luya-luyahan, barák atau bolon (Filipina), thanuwen (Myanmar) khi min khay (Laos), nga truat (Vietnam), kha-min khun atau kha-min oi (Thailand), foilla atau shoti di (Bangladesh), ach’ul (Korea) dan gajutsu (Jepun).
Di Eropah pula, temu putih dikenali sebagai zadoarwortel (Belanda), zedoaire (Perancis), zitwer (Jerman) zedoaria (Itali), zedoari (Rusia) dan cedoaria (Sepanyol). Nama Inggerisnya pula ialah white turmeric, wild turmeric, zedoary, long zedoary, zedoary root, rootstock dan hidden lily. Mungkin, banyak orang yang tidak tahu bahawa penggunaan temu putih amat luas dan biasanya dijadikan sebagai ramuan yang mempunyai pelbagai khasiat dalam beberapa ilmu perubatan tradisional di serata dunia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

KHASIAT POHON BIDARA

Pada zaman dahulu, banyak pokok yang tumbuh secarasemula jadi di keliling kampung sering dijadikan sebagaisumber keperluan dalam kehidupan seharian. Antara pokok initermasuklah pokok kelapa, pokok kantan dan pohon bidara.
Pohon bidara selalu digunakan sebagai bahan untuk memandikan jenazah orang Islam. Pohon bidara mudah ditemukan di sekitar masjid atau surau di kampung. Pokok ini ditanam untuk memudahkan tukang mandi jenazah mendapatkan sumber daun pohon bidara. Pohon bidara sama seperti pokok lain yang ada di Malaysia, iaitu pohon malar hijau yang hidup pada sepanjang tahun dengan ketinggian mencapai 15 meter.
Pokok ini rendang dan mempunyai duri halus pada hujung pangkal daun. Pohon bidara mampu membesar dalam tempoh yang cepat. Di utara Australia, pohon bidara dianggap sebagai tumbuhan perosak kerana mudah tumbuh dan membesar, seterusnya menjadi pesaing kepada pokok asal di Australia.
Pohon bidara digunakan sejak dahulu, terutamanya untuk memandikan jenazah. Secara biasanya, setelah badan jenazah disucikan daripada segala kotoran, jenazah mula dimandikan sebanyak tiga kali. Air mandian pertama menggunakan air daun pohon bidara.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna

HELANG SIKAP SUKA BERSEMBUNYI

Helang sikap (Accipiter trivirgatus) atau Crested Goshawkialah satu daripada spesies helang bertubuh kecil yang mudah ditemukan di kawasan kampung, dusun buah dan pinggirhutan. Spesies ini digolongkan dalam keluarga Accipitridae.
Warna bulu kepak helang sikap ialah coklat kemerah-merahan, manakala bulu pada bahagian perutnya berlorek putih dan berwarna coklat. Bulu pada bahagian kepalanya berwarna kelabu gelap. Panjang keseluruhannya antara 40 sentimeter hingga 46 sentimeter dan beratnya antara 224 gram hingga 450 gram.
Helang sikap mempunyai jambul kecil pada bahagian belakang kepalanya. Matanya berwarna kuning, manakala anak matanya berwarna hitam. Paruhnya tajam dan bahagian hujung paruh atasnya pula membengkok ke bawah. Kukunya yang tajam membolehkannya mencengkam mangsa dengan kuatnya.
Apabila terbang, helang sikap seperti meluncur di udara. Ada kalanya, burung ini terbang dengan meniru atau membuat “mimik” burung tekukur, iaitu mengepak-ngepakkan sayapnya seolah-olah berlabuh di udara ketika terbang dan kemudian meluncur laju ke destinasinya.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Konservasi

DODDER TUMBUHAN PARASIT UNIK

Dodder ialah sekumpulan tumbuhan melilit yang tumbuh dan tersebar luas dari kawasan beriklim tropika hinggakawasan beriklim sederhana. Berbeza daripada kebanyakan tumbuhan, dodder tidak mempunyai akar dan daun yang nyata. Seluruh tumbuhan ini hanya terdiri daripada batang lampai lemah yang dikenali sebagai stolon yang berwarna kuning-kekuningan, dan kelihatan seperti tali atau mi spageti.

Dodder ialah gelaran umum untuk tumbuhan parasit daripada genus Cuscuta, Grammica dan Cassytha. Cuscuta dan Grammica masing-masing ialah dodder kuning yang berasal daripada keluarga bunga seri pagi, Convolvulaceae (dahulu dalam keluarga sendiri, iaitu Cuscutaceae), sementara Cassytha ialah dodder hijau daripada keluarga pokok kayu manis, Lauraceae.

Kini, ahli sains masih belum berjaya mengelaskan tumbuhan dodder disebabkan oleh sifat luarannya yang terlalu ringkas. Struktur bunga ialah satu-satunya ciri yang dijadikan sebagai asas untuk mengelaskan lebih daripada 170 spesies dodder.

Spesies dodder yang ada di Malaysia ialah dodder kuning (Cuscuta campestris) dan dodder hijau (Cassytha filiformis). Secara lazimnya, Cuscuta didapati terhampar di belukar terbuka dengan sulur berjurai-jurai, manakala Cassytha pula didapati terjuntai pada ranting pokok atau merayap di celah semak di kawasan yang berhampiran dengan pantai laut. Antara nama tempatan untuk dodder termasuklah tali puteri, rambut puteri, emas-emasan, cemar batu, cemar hantu, sangga langit, daun tali-tali dan pangkal mati pucuk hidup.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna

KEUNIKAN BUNGA RAFFLESIA

Bunga Rafflesia tidak asing dalam kalangan ahli botani di seluruh dunia. Bunga ini juga dikenali sebagai antara bunga yang paling berharga yang ada di dunia. Bunga Rafflesia ialah tumbuhan berbunga tunggal yang terbesar di dunia dan hanya dapat ditemukan di beberapa tempat di dunia ini.

Bunga Rafflesia diperkenalkan dalam dunia saintifik oleh Sir Stamford Raffles (Gabenor Syarikat India Timur), Lady Sophia Raffles dan Dr. Joseph Arnold (naturalis dan ahli fizik) apabila bunga ini ditemukan pertama kali pada tahun 1818 di Bengkulu, Sumatera, Indonesia.

Bunga yang ditemukan ini dikenali sebagai Rafflesia arnoldii, iaitu bersempena dengan nama penemunya. Tumbuhan ini dikatakan sebagai antara tumbuhan yang paling unik yang ada di dunia. Tumbuhan ini juga hanya dapat ditemukan di kawasan hutan hujan Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand. Hutan hujan tropika ialah kediaman pelbagai jenis tumbuhan menarik untuk dikaji selidik, selain menjadi tatapan pelancong.

Bunga Rafflesia ialah tumbuhan parasit yang hidup menumpang di pokok lain. Hal ini bermakna makanan dan nutrien tumbuhan ini diperoleh daripada perumahnya. Dari segi fizikal, bunga ini tidak mempunyai daun dan klorofil yang biasanya digunakan oleh kebanyakan tumbuhan untuk proses fotosintesis bagi penghasilan makanan. Bunga Rafflesia juga tidak berakar untuk tujuan penyerapan air.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna