Vitamin E Banyak dalam Minyak Sawit

Oleh RAMLAN ABD. WAHAB

VITAMIN E antioksidan yang wujud secara semula jadi dan boleh didapati dalam pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Sehingga kini terdapat dua jenis Vitamin E, iaitu tokoferol dan tokotrienol. Setiap jenis itu pula wujud dalam empat isomer yang berlainan struktur molekulnya, iaitu alfa, beta, gama dan delta. Dalam alam semula jadi, tumbuh-tumbuhan yang berbeza mengandungi setiap isomer dengan kuantiti yang berbeza atau mungkin tidak mengandungi kesemua isomer itu.
Tokoferol (yang lebih dikenali sebagai Vitamin E yang dijual sebagai makanan tambahan kesihatan di pasaran) boleh diperoleh dengan banyak daripada minyak bijirin, seperti minyak soya, kanola dan minyak bunga matahari, manakala tokotrienol banyak terdapat dalam minyak sawit dan minyak sekam padi.
Minyak sawit (yang diperoleh daripada pokok kelapa sawit, Elaeis guineensis) mengandungi lebih kurang 75 peratus alfa, gama dan delta tokotrienol serta hanya 25 peratus alfa-tokoferol. Berbanding dengan yang lain, kuantiti gama-tokotrienol paling banyak dalam minyak sawit.
Sejak lebih daripada 30 tahun yang lalu, banyak kajian dijalankan di seluruh dunia untuk menyelidik kepentingan dan manfaat Vitamin E dalam minyak sawit kepada kesihatan dan keselesaan hidup manusia. Walaupun kebanyakan kajian masih pada peringkat ujian percubaan menggunakan haiwan di makmal, kebanyakan penemuannya adalah positif kepada rumusan bahawa Vitamin E dalam minyak sawit memberikan banyak manfaat kepada kesihatan manusia.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Sains Pemakanan

Kacang Hijau dalam Diet Harian

Oleh FAZLINA MUSTAFFA

SIAPA sangka kacang hijau atau nama saintifiknya, Phaselous aureus yang selama ini digunakan sebagai bahan masakan menjadi bahan utama bagi mengekalkan kesihatan serta mendapatkan kulit yang lembut dan berseri. Kacang hijau ternyata memiliki pelbagai khasiat yang berupaya menyembuhkan penyakit.

Kacang hijau yang berasal daripada famili Leguminoseae mengandungi vitamin A yang dapat mengekalkan kelembapan kulit, sekali gus mencegah kedutan. Vitamin C serta bahan antioksida seperti karotenoid yang terdapat dalam kacang hijau mampu mencerahkan kulit serta memudarkan kesan parut. Antara bahan antioksida yang terdapat dalam kacang hijau termasuklah karotenoid (lutein, betakarotene, violasantin, dan neosantin) serta flavanoid (kuersetin, kaemferol, katekin, epikatekin dan prosianidin).

Menurut kajian Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, kacang hijau mempunyai kandungan bahan antioksida yang tertinggi berbanding dengan kekacang lain. Selain menjaga kecantikan, pengambilan kacang hijau secara berterusan sangat bermanfaat untuk mencegah serangan penyakit jantung. Hal ini demikian kerana aktiviti antioksida yang terdapat dalam kacang hijau dapat mencegah aktiviti radikal bebas yang menjadi punca serangan penyakit jantung. Kajian yang dilakukan ke atas tikus mendapati bahagian testa (lapisan luar kacang hijau) yang mengandungi asid lemak omega-3 menyumbang terhadap kesihatan jantung.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Sains Pemakanan

Penghasil Toksin Shiga

Oleh ROCHMAN NAIM

BEBERAPA strain bakteria Escherichia coli boleh menyebabkan jangkitan penyakit kerana menghasilkan toksin Shiga. Bakteria penghasil toksin ini dinamakan Shiga toxin-producing E. Coli atau STEC. Bakteria ini disebut juga sebagai verocytotoxin atau verotoxin-producing E. coli (VTEC). VTEC menyebabkan kerosakan pada sel Vero yang berasal daripada sel epitel buah pinggang monyet Afrika atau Enterohaemorrhagic E. coli (EHEC) kerana menyebabkan diarea berdarah.

STEC yang sering dikenal pasti ialah E. coli O157:H7 (singkatannya E. coli O157 atau disebut O157). Wabak jangkitan E. Coli biasanya wabak E. coli O157. Selain O157, ada beberapa strain lain yang boleh menyebabkan penyakit, dan strain ini biasa disebut dengan non-O157. Strain non-O157 termasuklah O26, O45, O103, O111, O121, dan O145. Yang terkini, O104:H4 menyebabkan wabak penyakit yang dibawa oleh makanan tercemar yang berlaku di Jerman, pada bulan Mei dan Jun 2011.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Sains Pemakanan

Khasiat Tersembunyi Bunga Tahi Ayam

Oleh CHEE BENG JIN

BUNGA tahi ayam atau nama saintifiknya, Lantana camara L. sejenis tumbuhan renek, berbatang  keras yang berduri halus dan mempunyai banyak cabang. Daunnya berwarna hijau gelap dan berbulu kasar pada kedua-dua belah permukaan. Bunganya kecil dan tumbuh berjambak pada hujung ranting. Bunganya pelbagai warna seperti merah, merah jambu, putih, oren, kuning dan ungu. Buah tumbuhan ini jenis beri, bersaiz kecil dan bulat. Buah muda berwarna hijau dan biru hitam atau ungu apabila matang serta boleh dimakan.

Nama bunga tahi ayam mungkin berasal daripada baunya yang kurang disenangi apabila daun atau bunganya disentuh atau diramas. Pokok ini juga dikenali dengan nama bunga pagar dan jebat harimau.

Lantana camara berasal dari kawasan tropika benua Amerika dan tersebar di kebanyakan kawasan beriklim tropika. Terdapat rekod yang menunjukkan bahawa pokok ini diperkenalkan di rantau Asia Tenggara sejak kurun ke-19 oleh pedagang Sepanyol. Tumbuhan ini biasanya dijumpai tumbuh liar di kawasan terbuka dan kering, terutamanya di tepi jalan dan tanah terbiar. Pokoknya yang tahan kemarau dan selalunya dianggap sebagai rumpai. Ada kalanya, bunga tahi ayam ditanam sebagai pokok hiasan dalam landskap kerana warna bunganya yang cantik.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Sains Pemakanan