AL-QURAN DAN MAKHLUK SAINS

Fenomena kewujudan makhluk asing di alam semesta bukan perkara baharu dalam kehidupan manusia. Pendedahan atau gambaran tentang makhluk asing yang berwarna hijau, kerdil, bermata bulat dan berkepala lonjong sering ditunjukkan oleh Barat.

Perkara yang paling penting ialah makhluk asing ini mempunyai kapal angkasa yang dikenali sebagai piring terbang. Piring terbang diklasifikasikan sebagai objek terbang yang tidak dapat dikenal pasti (UFO).

Di samping itu, ada juga filem yang berkaitan dengan makhluk asing dari Barat, seperti Independence Day, Star Trek, Battle Los Angeles, Edge of Tomorrow, Avatar, Pacific Rim dan Starship Troopers. Berdasarkan filem ini, digambarkan bahawa makhluk asing mempunyai teknologi yang lebih canggih berbanding dengan manusia.

Makhluk asing ini dikatakan mempunyai kebijaksanaan yang sama seperti manusia, iaitu mempunyai akal, emosi dan nafsu. Makhluk asing ini digambarkan mempunyai cita-cita atau impian yang amat sama dengan manusia, seperti penaklukan, peluasan empayar, pencarian bahan mentah dan penerokaan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Al-Quran

TIDUR SIANG: MANFAAT ATAU MUDARAT?

Oleh Mahaini Muhammad

Qailullah, iaitu tidur seketika pada waktu siang merupakan suatu perkara yang tidak asing bagi penganut agama Islam. Qailullah juga bermaksud tidur sebentar antara pukul 12 tengah hari hingga masuk waktu zuhur. Ada juga pendapat yang menyatakan qailullah dapat dilakukan selepas waktu zuhur. Dalam Islam, qailullah bukan tidur tanpa sebarang makna.

Tidur penting supaya seseorang itu dapat bangun untuk beribadat pada waktu malam atau qiamullail dengan mudah. Apa-apa yang menarik ialah ada dapatan kajian yang menunjukkan kualiti satu minit qailullah sama dengan 45 minit tidur pada malam. Oleh sebab itu, tidur qailullah selama 15 minit cukup membolehkan seseorang Muslim bangun solat malam tanpa rasa mengantuk.

Tidur seketika pada waktu siang juga wujud dalam peradaban lain. Dalam masyarakat Barat, hal ini dikenali sebagai nap. Dalam masyarakat Sepanyol, hal ini popular sebagai siesta. Masyarakat Barat tidur seketika pada awal tengah hari, biasanya selepas makan tengah hari. Di sesetengah negara yang cuacanya panas, amalan tidur seketika pada waktu siang merupakan satu kelaziman.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2015

Posted in: Sains Al-Quran

Langit sebagai Bumbung yang Terpelihara

Oleh MOHD. ARIP KASMO

AL-QURAN banyak menjelaskan tentang langit. Langit berasal daripada perkataan Arab, “as-sama” atau “samawat” yang maksud asalnya ialah sesuatu yang di atas dan tinggi. Oleh sebab itu, secara umumnya langit itu apa-apa sahaja yang berada di atas. Lapisan atmosfera bumi dan medan magnet bumi yang  berada di lapisan atas atmosfera juga disebut sebagai langit. Dalam hubungan itu Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya.”
(Surah al-Anbia’ 32)
Dalam ayat ini, langit itu bumbung yang terpelihara dan menurut ahli tafsir, maksud ayat ini ialah menutup bumi di atasnya. Menurut ahli sains, bumi dan atmosfera bumi dilindungi medan magnet bumi. Langit yang berada di keliling bumi, iaitu tujuh lapisan langit dilindungi daripada kemusnahan lapisan medan magnet bumi. Medan magnet bumi ini juga secara langsung melindungi bumi.

____

rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Sains Al-Quran

Madu dalam Lebah Betina

Oleh MOHD. ARIP KASMO

DALAM al-Quran turut menyatakan perihal lebah jantan dan lebah betina yang mempunyai 16 pasangan kromosom. Bilangan kromosom lebah jantan dan lebah betina sama dengan bilangan ayat an-Nahl yang mungkin dianggap kebetulan oleh sesetengah orang.
Firman Allah SWT dalam surah ini:
Dan Tuhanmu memberikan ilham kepada lebah: ‘Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan pokok kayu, dan juga di bangunan yang didirikan oleh manusia.” Surah an-Nahl: 16
Dalam ayat ini, Allah SWT mengilhamkan lebah (an-nahl) untuk membuat sarang di gunung, pokok kayu, dan bangunan yang dibina oleh manusia. Apabila diteliti ayat ini, manusia diseru supaya memerhatikan tingkah laku lebah yang diberikan ilham oleh-Nya yang tertera pada ungkapan takhizi, iaitu ayat perintah kepada lebah betina supaya membuat sarang.
Ayat perintah ini dapat diperhalus maksudnya dalam surah yang sama, iaitu: “Kemudian makanlah daripada segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (daripada berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah SWT) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”
Surah an-Nahl: 69

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Sains Al-Quran

Kejadian Manusia

Oleh Mohd. Arip Kasmo

Al-Quran menyatakan tentang proses kejadian manusia di dalam rahim ibu, agar manusia tahu asal usul kejadian diri mereka sendiri. Maklumat kejadian ini seterusnya akan mewujudkan keinsafan bahawa manusia adalah hamba Allah SWT yang wajib menyembah Allah SWT sahaja, dan mematuhi segala larangan dan suruhan- Nya. Banyak ayat al-Quran yang menjelaskan tentang kejadian manusia di dalam rahim ibu, bahkan surah pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW menyatakan tentang kejadian manusia, iaitu:

● Bacalah dengan nama Tuhan kamu.

● Mencipta manusia daripada alaq.

Antara ayat lain yang menyatakan tentang asal-usul kejadian manusia termasuklah dalam surah al-Qiayamah ayat 37 yang bermaksud, “Bukankah dia daripada nutfa, daripada air mani yang dipancarkan.”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

Posted in: Sains Al-Quran, Utama