____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.
i“KAU harus fikirkan masa depan dunia Zed. Maslahat umat.”“Kerana itu aku tetap dengan keputusanku.”“Kau tak boleh menyamakan mungkar dengan yang makruf! Kau terlalu fanatik dengan dunia robotik kau, Zed!” Lutfi bertegas.Zed Qusyairi. Dia tidak sesekali akan menghentikan projek pembuatan robot manusia itu yang dinamakan “Humanoid”. Industri robotik itu sudah menampakkan gelombang keuntungan, keuntungan buat dirinya barangkali. Malah, projek mega itu mendapat sokongan penuh negara Tirani yang diterajui kerajaan kejam itu, di samping permintaan hebat daripada beberapa industri lain.Manusiawi semakin mati.Robot Humanoid, ciptaan terhebat menjelang abad ke-25. Tiada yang lebih hebat. Tiada yang lebih menarik perhatian. Teknologi elektronik dan nanoteknologi bertambah pesat. Seiring itu, cip pelbagai guna umpama memori otak manusia dicipta dan dihasilkan dalam skala besar. Kilang pembuatan robot Humanoid menjalankan operasi seperti selalu. Mesin automatik dan jentera besar beroperasi tanpa henti.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2012.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.
Oleh NOR AZIDA ISHAK
MARISA menangis tersedu-sedan tatkala mendengar berita kematian Adik Afiq sebentar tadi. Hati Marisa sebak. Air matanya menitik-nitik laju, namun titisan jernih yang mengalir deras itu tidak dapat memujuk hatinya yang hiba. Benar-benar Marisa tidak sangka sepantas itu Adik Afiq telah meninggalkan mereka semua.
Masih terbayang-bayang di ruang mata Marisa segala aksi lucu Adik Afiq yang gemar berjenaka, dari kecil hinggalah umur Adik Afiq bakal mencecah dua belas tahun. Dalam tempoh itulah Marisa sebagai penjaga Rumah Anak-Anak Yatim Sempurna memberi kasih sayang pada Adik Afiq bagaikan menatang minyak yang penuh. Telinga Marisa masih mampu menangkap setiap tawa Adik Afiq yang riang dan penuh gembira. Kini semua kenangan itu hanyalah tinggal cebisan-cebisan memori. Adik Afiq sudah tidak ada lagi dalam dunia ini. Adik Afiq sudah pergi menghadap Ilahi. Marisa benar-benar terkejut dengan berita ini.
Malam lepas, Adik Afiq mengadu tentang kepalanya yang sakit, seperti dicucuk-cucuk bara panas. Anak mata Adik Afiq merah bagaikan saga dan hidungnya tidak henti-henti mengalirkan darah merah pekat. Tidak tahan melihat Adik Afiq yang menangis dan meraung-raung kesakitan, Marisa cepat-cepat menghantar Adik Afiq ke Hospital Sirna untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sebaik-baik sampai di sana, doktor yang bertugas, Dr. Wana hanya memandang sepintas lalu sebelum mengarahkan Adik Afiq dibawa masuk ke bilik pembedahan. Sepanjang malam Marisa menunggu dengan penuh debaran dan tiba-tiba pagi ini, dia dikejutkan dengan berita kematian Adik Afiq yang mendadak.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik keluaran Mei 2012.
Oleh SHAMSUL AMIN
TATKALA merenungi bulan, hati Cahaya digamit tenang, renungan rembulan lebih mahal berbanding dengan ritma sekata teman-teman. Mereka selesa menjadi badut manusia, kononnya menghantar kegembiraan ke atma mereka. Sedangkan hati sendiri tiada terjaga, tenteram meragut wibawa. Di hujung kuala, hati terumbang-ambing dalam gelora bimbang.
Kepada bulan, Cahaya mampu mengadu resah. Jiwa sering merusuh dicucuh gundah. Hidup mereka dilacurkan di tangan manusia terlalu mudah. Dia sendiri sampai saat ini pun hidup mendesah. Perubahan zaman hampir memadamkan salasilah mereka, Pteroptyx Tener daripada riwayat alam ini. Hidup sebagai serangga kecil tidak habis-habis diasak debar.
Manusia mendambakan kelipan indah yang menghiburkan, sedangkan hati mereka sekeruh muara. Malam ini mungkin menjadi indah pada pandangan pengunjung Kampung Kuantan, tetapi tidak semua manusia arif tentang hakikat alam. Kalaulah mereka tahu kelipan ini cuma sementara.
“Mengapa kau tidak seritma dengan teman-teman kita yang lain, Cahaya. Marilah sertai pesta gemilang malam ini wahai dinda!” Kehadiran Bintang begitu mengejutkan Cahaya. Ungkapan “dinda” serasa begitu menjengkelkan, berikat canda oleh Bintang, tetapi Cahaya menganggap itu ungkapan persuasif penuh jantan yang murahan amat!
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.
Oleh UMI AMMAR
HARI ini, hari pendaftaran masuk pelajar baharu. Semua pelajar berkumpul di dewan pendaftaran yang terletak di kolam utama. Keadaan kawasan pendaftaran amat terkawal, tenang dan sejuk. Hari pertama pendaftaran, lazimnya tentulah riuh rendah dan sesak dengan ibu bapa dan keluarga yang turut sibuk menghantar anaknya memasuki universiti. Ibu bapa mana tidak berbangga, anak yang dididiknya dari kecil, telah pun berjaya melanjutkan pengajiannya ke peringkat tinggi.
Sesiapa pun akan berbangga apabila berpeluang memasuki USA, iaitu Universiti Spesies Arowana yang di bawah naungan CITES, iaitu Convention on International Trade in Endangered Species of Fauna and Flora. Namun begitu, di USA ibu bapa tidak dibenarkan menghantar pelajar, kerana semua urusan penghantaran pelajar diuruskan oleh syarikat yang berdaftar dengan CITES. Semua peraturan ini dilaksanakan demi menjaga keselamatan spesies Arowana yang sangat sensitif dan terkawal, kerana nilai prestij Arowana yang sangat tinggi dan mulia di mata seluruh masyarakat; dari masyarakat kampung hinggalah ke peringkat antarabangsa.
Pada bahagian bawah abdomen setiap pelajar disuntik mikrocip penanda kekal bagi mengenali identiti setiap spesies pelajar. Pengurus pendaftaran hanya perlu menggunakan alat pengimbas membaca nombor pendaftaran, sebagai pengenalan individu pelajar, untuk mengetahui asal usul setiap pelajar, dan mengetahui tahap kelulusan untuk melayakkan mereka melanjutkan pengajian di USA ini.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.
Oleh HAFIZ MOHD. ROZLAN
DIKHABARKAN bahawa dahulu golongan miskin hanya mampu makan berlaukkan ikan bilis. Susuk beberapa lelaki berkot putih mencorakkan gambaran yang berlatarbelakangkan sebuah makmal. Mereka kelihatan tergesa-gesa seperti sedang menyiapkan sesuatu yang mustahak, yang tidak boleh dilengah-lengahkan. Di satu sudut makmal yang agak lengang terletak sebuah papan kawalan yang sesak dengan pelbagai punat.
Seorang wanita duduk menghadapinya sambil memasukkan data-data yang berkenaan. Dia dibantu oleh seorang yang lain. Seorang daripada lelaki berkot putih tadi berulang-alik dari sebuah mesin yang terletak di tengah-tengah makmal ke wanita itu beberapa kali. Ada berita yang berpindah tuan, lalu pembantu kepada wanita itu pun sibuk mencatat sesuatu di dalam failnya.
Profesor Harris melangkah masuk ke dalam makmal itu. Ketara penampilannya lain daripada yang lain kerana dia seorang sahaja yang tidak memakai kot putih. Semua yang lain nampaknya terlalu sibuk untuk mengendahkannya. Wanita tadi dihampiri Profesor Harris, pembantunya memberikan ruang sambil menundukkan kepala isyarat hormat.
“Macam mana dengan persiapan kali ini?” tanya Profesor Harris sambil meminta fail dari
tangan pembantu wanita itu.
“Sebanyak 90 peratus siap, Profesor. Dalam lima minit lagi uji kaji boleh dimulakan,” ujar wanita itu sambil menunjukkan sesuatu di dalam fail. Profesor Harris mengangguk perlahan. Dia membetulkan letak kaca matanya sambil mengamati butiran dalam fail itu. Bacaannya terhenti, dia mengurut jambangnya yang putih seperti sedang memikirkan sesuatu.
__
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011
Oleh Rabiatul Adawiah Zainal Abidin
Maria masih tekun di hadapan skrin komputer biarpun jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Jari-jemarinya laju menekan papan kekunci komputer. Sepatutnya sejam yang lepas dia sudah berada di rumah bersama-sama suami dan anak. Namun kekangan kerja membantutkan hasratnya ingin pulang awal setelah mendapat arahan daripada Kapten Zarif ketika 15 minit sebelum waktu kerja berakhir.
“Macam mana sekali pun awak perlu memperbaiki sistem kawalan kita yang hampir berjaya ditembusi pihak musuh. Kalau awak gagal bermakna musuh berjaya mengetahui segala rahsia syarikat kita,” arah Kapten Zarif dengan suara yang tegas. Dia baru saja mendapat tanda amaran daripada robot keselamatan bahawa sistem mereka hampir dicerobohi pihak musuh. Namun hasrat jahat pihak musuh gagal kerana masih ada peringkat sistem kawalan yang menggunakan bahasa komputer kuno.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.