PENJAGAAN ALAM USAHA SAMA KOMUNITI

Bagi membuka mata dan minda masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa pepejal, Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan buku bertajuk Pengurusan Sisa Pepejal di Malaysia: Pendekatan Komuniti. Menerusi buku ini, pelbagai manfaat dapat diperoleh untuk menangani isu pencemaran alam yang berpunca daripada pembuangan sisa pepejal. Usaha untuk menyeru komuniti melibatkan diri dalam pengurusan sisa pepejal mendatangkan banyak kebaikan kepada kehidupan manusia dan alam sekitar.

Pencemaran sisa pepejal merujuk kesan sejumlah buangan sisa pepejal menerusi pelbagai aktiviti. Antaranya termasuklah daripada aktiviti penjana sumber di kawasan perumahan, perniagaan, institusi dan industri. Pelibatan komuniti ialah komponen penting dalam pengurusan sisa pepejal yang lebih berkesan. Dalam konteks ini, komuniti tempatan bertanggungjawab untuk menguruskan sisa pepejal yang dihasilkan daripada aktiviti harian. Hal ini menunjukkan bahawa komuniti ialah aspek utama dalam kejayaan sistem pengurusan sisa pepejal.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Buku

MARI ATASI ASMA

Penyakit asma ialah penyakit yang dapat dirawat dengan mudahnya, jika rawatan yang segera diberikan. Rawatan asma memerlukan kerjasama yang erat antara pesakit dengan doktor. Bagi membolehkan masyarakat tahu akan cara mengatasi asma, buku Gaya Hidup Sihat Mengatasi Asma diterbitkan.

Pemantauan yang berterusan oleh doktor sangat penting untuk mencapai kawalan asma yang baik. Penghidap juga perlu mempunyai pengetahuan yang berkaitan dengan penyakit asma untuk membantu penghidap menilai dan membezakan kawalan tahap kawalan asma yang berbeza-beza. Asma yang tidak terkawal menyebabkan kualiti hidup yang rendah dan meningkatkan risiko kematian.

Asma dikenali sebagai semput atau lelah. Pada hakikatnya, asma sejenis penyakit kronik yang berkaitan dengan sistem pernafasan manusia. Salur pernafasan ialah satu daripada organ tubuh penting yang berfungsi untuk membawa udara masuk dan keluar daripada paru-paru.

Apabila serangan asma berlaku, nafas menjadi sesak dan penghidapnya berasa kurang selesa pada bahagian dada. Kematian yang disebabkan oleh asma berlaku tanpa mengira umur, sama ada kanak-kanak atau orang dewasa. Hal ini menggambarkan bahawa asma tidak sepatutnya dipandang ringan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Buku

KAEDAH PENGURUSAN UBAT YANG TEPAT

Secara biasanya, ubat diambil untuk keredaan, pencegahan atau penyembuhan penyakit tertentu. Ubat bermanfaat jika diambil dengan cara yang betul, seperti yang dipreskripsikan oleh doktor atau didispensi oleh ahli farmasi. Namun begitu, ubat dapat menyebabkan pelbagai masalah sehingga menjejaskan matlamat terapi ubat.

Lantaran itu, buku Mengurus Terapi Ubat Anda nukilan Azmi Sarriff diterbitkan. Menerusi buku ini, bahan bacaan, terutamanya dari aspek pengurusan terapi ubat yang jarang-jarang ditemukan dalam pasaran, boleh didapati dengan mudahnya oleh pengguna. Buku ini penting bagi pengguna yang memerlukan maklumat yang berkaitan dengan kaedah pengurusan ubat yang tepat.

Sebelum ubat diambil, kesan ubat terhadap tubuh pesakit perlu diketahui oleh pesakit. Antara kesan ubat termasuklah kesan terapeutik, kesan sampingan, kesan mudarat ubat, kesan alahan dan kesan idiosinkrasi Pengurusanatau paradoksikal. Selain itu, aspek yang perlu diambil berat oleh pesakit ialah kefahaman terhadap proses terapi ubat. Hal ini penting supaya ubat yang betul dan dos yang tepat dalam pelaksanaan terapi ubat diterima.

Di samping itu, masalah terapi ubat perlu difahami oleh pesakit. Masalah terapi ubat ialah masalah pesakit yang berkaitan dengan pengambilan dan penggunaan ubat. Masalah berlaku apabila ubat, sama ada yang dipreskripsi, didispensi atau diperoleh secara bebas, diambil atau digunakan. Oleh hal yang demikian, penentuan indikasi ubat perlu diutamakan supaya ubat yang diambil berkesan, selamat dan mudah digunakan.

Yang menariknya, dalam buku setebal 193 halaman ini, turut dibicarakan status halal ubat. Persoalan yang berkaitan dengan status halal ubat menjadi perhatian masyarakat, terutamanya bagi orang Islam. Berdasarkan maklumat yang dimuatkan oleh penulis dalam buku ini, usaha membantu industri farmaseutikal tempatan dan antarabangsa dilakukan dari segi pengeluaran ubat halal.

Selain keterangan yang jelas dan padat, jadual dan gambar disediakan bagi memudahkan kefahaman pembaca. Menerusi gambar ini, contoh dan jenis ubat yang sepatutnya diketahui oleh pengguna dapat dilihat. Oleh sebab itu, sebagai pengguna yang bijak dan berilmu, buku ini perlu dimiliki supaya ketepatan terapi ubat yang dijalani oleh pesakit dipastikan. Di samping itu, tidak dinafikan bahawa buku ini dapat dijadikan rujukan oleh pelajar dan pengamal perubatan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Buku

KEISTIMEWAAN MATAHARI

Kebanyakan bintang mempunyai saiz yang hampir sama dengan Matahari. Namun begitu, ada sesetengah bintang, saiznya lebih besar dan cahayanya lebih cerah berbanding dengan Matahari. Oleh sebab kedudukan bintang sangat jauh di ruang angkasa, bintang hanya dilihat oleh manusia seperti satu titik cahaya, walaupun dilihat melalui teleskop terbesar di dunia.

Kebanyakan orang tidak tahu bahawa satu daripada berjuta-juta bintang yang bertaburan di ruang angkasa ialah Matahari. Matahari ialah bintang yang paling dekat dengan Bumi. Oleh sebab itu, saiz Matahari dilihat oleh manusia lebih besar berbanding dengan bintang lain, walaupun Matahari dikelaskan dalam kumpulan bintang yang kerdil oleh pakar astronomi. Dengan ini juga, cahaya dan kepanasan Matahari dapat dirasai oleh manusia di Bumi.

Sebagai bintang yang paling hampir dengan Bumi, Matahari ada keistimewaannya yang tersendiri.

KeistimewaanKeistimewaannya diterangkan secara terperinci oleh Mahamarowi Omar dalam buku terbitan Dewan Bahasa dan Putaka yang berjudul Matahari Bintang Istimewa. Bukan sahaja maklumat yang bermanfaat tentang Matahari didedahkan kepada pembaca, ilustrasi, gambar sebenar Matahari dan bintang lain yang bertaburan di Bimasakti turut dimuatkan dalam buku ini. Hal ini menyebabkan buku ini lebih menarik untuk dibaca.

Di samping memberikan cahaya, peranan lain Matahari dalam perkembangan tamadun manusia dihuraikan oleh penulis dalam buku ini. Antaranya termasuklah sebagai objek penyembahan pada zaman pemerintahan Firaun dan tamadun Sumerian.

Keunikan Matahari yang berupaya menerangi Bumi menyebabkan manusia berfikir sekali gus melahirkan cendekiawan, terutamanya dalam bidang astronomi. Antara cendekiawan yang mula-mula menyatakan bahawa Matahari sebuah batu merah yang menyala termasuklah Anaxagoras, ahli astronomi Greek. Selain itu, banyak lagi penemuan dan kajian yang dilakukan oleh tokoh astronomi yang terkenal dimuatkan dalam buku ini.

Berdasarkan fakta dan kajian yang lengkap tentang Matahari, buku ini dapat dijadikan sebagai rujukan oleh pelajar, pengkaji astronomi dan peminat astronomi, khususnya yang berkaitan dengan Matahari. Tidak rugi jika buku ini dimiliki oleh sesiapa sahaja yang ingin merasai serta menghayati kebesaran dan kehebatan ciptaan Allah SWT. Hal ini dikatakan demikian kerana menerusi buku ini, peranan Matahari kepada manusia di Bumi dapat difikirkan dan dipelajari.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Buku

Ujian Saringan Penyakit

Judul Buku : Saringan Kesihatan Pengesanan Awal Penyakit
Pengarang : Razana Zakaria, Rahimah Zakaria dan Zahiruddin Othman
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga : RM18.00
Tahun Terbit : 2011
Pengulas : Suria Janib

KITA pernah melihat pemeriksaan tekanan darah atau pengesanan aras glukosa darah yang dilakukan secara percuma di mana-mana tempat untuk mengesan penyakit tertentu di samping mempromosi sesuatu produk kesihatan. Pengesanan penyakit yang dilakukan secara rambang ini kurang teratur, tidak lengkap, tidak mengikut keperluan serta kekerapan ujian yang disarankan dan hanya melibatkan satu atau dua ujian.

Pakej pemeriksaan kesihatan berkala yang ditawarkan oleh klinik atau hospital menyediakan pemeriksaan kesihatan yang lebih lengkap, melibatkan semua peringkat pencegahan penyakit dan memastikan penyimpanan rekod kesihatan pesakit yang teratur untuk tujuan rujukan pada masa hadapan. Melalui pakej ini, pelanggan dapat menjalani proses pencegahan penyakit secara lengkap dan boleh mendapatkan rekod status kesihatan untuk rujukan pada bila-bila masa berbanding dengan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan secara rambang.

Pemeriksaan kesihatan berkala bertujuan untuk mencegah penyakit dan melibatkan kesemua peringkat pencegahan penyakit, terutamanya mengenal pasti faktor risiko dan ujian saringan (pencegahan penyakit peringkat sekunder), di samping pendidikan kesihatan dan pelalian (pencegahan penyakit peringkat primer), serta pengawalan penyakit yang sudah dihidapi bagi mengehadkan komplikasi dan ketidakupayaan akibat penyakit tersebut (pencegahan penyakit peringkat tertiar).

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Buku

Risiko Kecacatan Bayi

Judul Buku: Ubat dan Kehamilan. Ibu, Jangan Makan Ubat Itu
Pengarang : Aida Hanum Ghulan Rasool dan Abdul   Rahim Wong                                     Abdullah
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga : RM19.00
Tahun Terbit : 2011
Pengulas : Suria Janib
SERING kali masyarakat mendakwa bahawa ubat-ubatan yang selamat digunakan bagi orang dewasa juga selamat untuk ibu hamil. Tanpa disedari mereka bahawa pengambilan ubat memberikan kesan terhadap janin dalam kandungan yang  menyebabkan keguguran, kecacatan janin, dan membawa kemudaratan kepada anak yang lahir dan bakal ibu.
Jangka masa kehamilan yang panjang selama sembilan bulan memungkinkan pelbagai penyakit atau keadaan yang memerlukan pengambilan ubat oleh ibu hamil. Tanpa disedari, ubatan tersebut memberikan risiko yang tinggi kepada bayi dalam kandungan. Antara sejarah kejadian kecacatan yang paling teruk akibat pengambilan ubat yang salah semasa kehamilan termasuklah fokomelia, iaitu sejenis kecacatan yang menyebabkan anggota kaki dan tangan atau antara anggota tubuh bayi menjadi cacat atau kudung.
Begitu juga pengambilan ubat Thalidomide sebagai penenang tidur yang dilaporkan pada tahun 1960-an, menyebabkan beribu-ribu bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan fizikal. Kecacatan lain yang disebabkan oleh pengambilan ubat ialah masalah tulang belakang yang tidak bersambung dengan sempurna, sumbing bibir dan rekahan lelangit, pembentukan gigi yang tidak sempurna, kecacatan rangka muka atau kepala anak atau kecacatan jantung.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2012.
Posted in: Buku

Hindari Seks Sebelum Berkahwin

Judul buku: Gadisku Bacalah …
Pengarang: Azriani Ab. Rahman dan Mohd.
Ismail Ibrahim
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM18.00
Tahun Terbit: 2011
Pengulas: Suria Janib

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia pada tahun 2008 melaporkan bahawa antara 14 hingga 15 juta orang gadis remaja yang berusia antara 15 hingga 19 tahun melahirkan anak setiap tahun di seluruh dunia.

Peningkatan peratusan kelahiran anak luar nikah selari dengan peningkatan kes pembuangan bayi dan kes jangkitan Human Immunodeficiency Virus (HIV) dalam kalangan golongan muda di negara ini. Antara punca utama masalah ini termasuklah ketandusan ilmu pengetahuan berhubung dengan komplikasi hubungan seks dalam kalangan remaja.

Perubahan fizikal gadis menyebabkan mereka terlalu dihantui untuk menjaga penampilan diri dan sering berasa rendah diri apabila mendapati bentuk badannya kurang cantik berbanding dengan rakan yang lain. Perasaan dihantui terhadap berat badan mendorong gadis mengambil ubat pil kurus tanpa merujuk doktor terlebih dahulu.

Mereka tidak menyedari bahawa ubat pil kurus boleh menyebabkan kerosakan hati, injap jantung dan buah pinggang. Perkembangan fizikal turut mempengaruhi emosi gadis, seperti gembira, putus harapan, sedih, marah dan kecewa. Apabila menghadapi stres, hormon stres, iaitu kortisol, hormon pertumbuhan, norepinefrin dikeluarkan dan masuk ke dalam darah. Pengumpulan hormon stres tersebut memberikan kesan terhadap sel otak sehingga mencetuskan gangguan emosi dan pemikiran.

____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.
Posted in: Buku

Komputer Menjejaskan Kesihatan?

Judul Buku: Penyakit Bawaan Komputer: Petua dan Panduan Pencegahan

Pengarang: Sharifah Mastura Syed Mohamad

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM18.00

Tahun Terbit: 2011

Pengulas: Suria Janib

KOMPUTER juga mengalami penyakit yang disebabkan oleh virus dan cecacing komputer. Dalam komputer, terdapat penyakit e-mel, seperti spam dan penyakit komputer yang lain, seperti kerosakan cakera keras dan papan kekunci. Penyakit komputer sememangnya menyusahkan pengguna komputer. Penyakit komputer boleh dibaiki dan komputer yang rosak teruk boleh diganti dengan yang lain.

Namun, benarkah komputer boleh membawa penyakit kepada manusia? Buku Penyakit Bawaan Komputer: Petua dan Panduan Pencegahan memberikan penerangan yang jelas dan menarik berhubung dengan perkara ini. Menurut pengarang buku ini, pelbagai jenis penyakit boleh menjangkiti manusia disebabkan oleh penggunaan komputer dengan cara yang tidak betul. Walaupun penyakit bawaan komputer ini tidak membawa maut, mereka yang terkena penyakit bawaan komputer, keadaan ini akan menyusahkan dan kualiti hidupnya merosot.

Risiko penyakit bawaan komputer hanya menjangkiti pengguna yang dinamai sebagai “kaku komputer”. Pengguna yang duduk di hadapan komputer dalam tempoh masa yang lama berisiko tinggi mendapat penyakit bawaan komputer.

Penyakit yang biasa dikaitkan dengan penggunaan komputer yang tidak betul termasuklah gangguan mata dan penglihatan, gangguan pendengaran, sakit kepala, bahu, belakang badan, pinggang, bahagian punggung, lutut dan sakit kaki. Penggunaan komputer yang tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit psikososial, seperti kemurungan, gangguan emosi dan ketagihan komputer.

Buku ini turut mendedahkan beberapa kes terhadap pengguna yang ketagihan komputer dalam melayari laman sosial dan leka bermain dalam internet. Keadaan ini boleh menyebabkan gangguan mental, fizikal, dan menyebabkan otak kurang daya berfikir. Sekiranya pekerja, keadaan ini mengurangkan produktiviti kerana mengganggu tugas harian.

Buku ini turut menekankan subtopik ergonomi komputer, iaitu kajian mengenai antara muka manusia dengan mesin yang menekankan tentang keselesaan pengguna semasa menggunakan komputer. Dalam jangka masa yang panjang, penggunaan komputer yang tidak selesa memberikan kesan yang buruk terhadap kesihatan pengguna.

Perkara utama tentang keselesaan tempat kerja ialah kebolehsuaian peralatan dan perkakasan kerja untuk disesuaikan dengan dimensi badan yang berlainan, pilihan gaya kerja individu, dan keperluan untuk mengubah kedudukan bagi mengelak kepenatan.

Beberapa panduan diberikan oleh pengarang apabila seseorang itu menggunakan komputer dengan postur badan yang betul. Misalnya, menentukan kedudukan yang sesuai di kerusi ketika menghadap komputer, kedudukan meja, komputer, peletakan dokumen, penaipan, dan cara penggunaan komputer riba serta komputer buku nota, semuanya diterangkan dalam buku ini secara terperinci.

Panduan penggunaan komputer riba dan komputer buku nota dengan cara yang betul juga dimuatkan dalam buku ini untuk menghindari pengguna daripada mengalami keadaan ketidakselesaan. Pengguna juga diingatkan supaya tidak meletakkan komputer riba di atas paha bagi mengelakkan bateri cepat kehilangan kuasa dan haba yang dihasilkan oleh komputer ini boleh menyebabkan kemandulan kepada kaum lelaki.

Bagi pengguna komputer yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat seperti pengatur cara, jurutera perisian, atau pereka digital perlu mengamalkan senaman yang sesuai bagi mengelakkan diri daripada masalah kesihatan. Produktiviti kerja tidak sepatutnya terganggu dengan mengamalkan cara kerja yang betul, di samping melakukan senaman ringan semasa bekerja. Beberapa panduan melakukan senaman ringkas bagi pengguna komputer turut dimuatkan dalam buku ini untuk mengurangkan ketegangan.

Pengguna sekarang tidak boleh lari daripada menggunakan komputer, tetapi mereka perlu tahu cara terbaik menggunakannya supaya dapat memberikan manfaat kepada kehidupan dan kesihatan sepanjang hayat.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Buku

Khasiat Tinggi Susu Ibu

Judul Buku: Susu Ibu Titisan Mutiara Bonda

Pengarang: Nazirah Johar dan Zaharah Sulaiman

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM18.00

Tahun Terbit: 2011

Pengulas: Suria Janib

SUSU ibu mempunyai nilai yang tinggi kerana mengandungi segala khasiat yang diperlukan oleh bayi. Kandungan nutrien yang lengkap, suhu yang sentiasa sesuai diminum oleh bayi, perubahan komposisi yang mengikut umur bayi, dan tahap  kebersihan yang tinggi menyebabkan susu ibu sebagai sumber makanan yang cukup sempurna.

Buku Susu Ibu Titisan Mutiara Bonda memberikan banyak pendedahan tentang kelebihan susu ibu. Setiap bayi yang diberikan susu ibu tidak memerlukan makanan atau minuman tambahan lain sehingga umurnya enam bulan. Kelebihan susu awal (kolostrum) tidak terdapat dalam mana-mana susu formula. Kandungan antibodinya yang tinggi mampu melindungi bayi daripada jangkitan kuman. Kesempurnaan zat kolostrum juga tidak dapat ditandingi oleh kecanggihan teknologi pemakanan bayi pada masa ini.

Menurut buku ini lagi, setiap bayi yang dilahirkan tidak berupaya melindungi tubuhnya daripada sebarang penyakit. Susu ibu mengandungi beberapa elemen penting untuk melawan jangkitan kuman yang membantu menghindarkan bayi daripada pelbagai jenis penyakit. Antaranya, laktoferin yang bergabung dengan zat besi yang membantu mencegah perebakan bakteria usus, immunoglobulin dan sel darah putih yang bertindak melawan kuman dalam tubuh, protein, vitamin A dan E yang berfungsi untuk melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan penyakit mata, serta limfosit dan marofat yang membantu melawan kuman yang memasuki tubuh bayi.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.

Posted in: Buku

Rawatan Reproduktif

Judul Buku: Infertiliti Rawatan Melalui Teknik Bantuan Reproduktif

Pengarang: Nik Hazlina Nik Hussain dan Shaiful Bahari Ismail

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM19.00

Tahun Terbit: 2011

Pengulas: Suria Janib

PENGETAHUAN berkenaan dengan organ reproduktif (pembiakan) dan fungsinya harus diketahui sebagai asas untuk memahami masalah yang berkaitan dengan haid, pengovulan, persenyawaan, perubahan semasa kehamilan, dan teknik rawatan infertiliti (kemandulan). Organ reproduktif ialah organ yang bertanggungjawab dalam reproduktif. Tanpa organ ini, manusia tidak dapat menghasilkan anak. Lelaki dan wanita mempunyai ciri yang berlainan dan saling mempunyai hubungan antara satu sama lain, dari aspek fizikal dan reproduktif.

Buku ini turut menerangkan secara terperinci kitaran haid dan perubahan hormon wanita yang berkaitan dengan kesuburan dan peluang untuk kehamilan. Wanita yang bersedia untuk hamil disarankan melakukan diet seimbang, pemeriksaan kesihatan, senaman serta menghindari rokok dan stres.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.

Posted in: Buku