JERAMI PADI TINGKATKAN HASIL TANAMAN

OLEH ZAINAB HAMZAH DAN AINATUL ALIA

PENINGKATAN aktiviti pertanian bagi menyokong perkembangan populasi manusia menyebabkan bertambahnya penghasilan sisa pertanian. Pengeluaran tahunan global sisa pertanian dianggarkan melebihi 500 juta tan. Kini biojisim daripada sisa pertanian dalam bentuk biochar berpotensi digunakan sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui untuk biokemampanan.

Biochar berpotensi sebagai pinda tanah yang berharga untuk meningkatkan produktiviti tanaman dan dihasilkan daripada pelbagai bahan mentah organik dengan keadaan pirolisis yang berlainan. Oleh sebab itu, penulis berserta ahli kumpulan penyelidikannya telah melakukan kajian menggunakan biochar daripada tiga bahan buangan pertanian, iaitu buah tandan kosong kelapa sawit, jerami padi dan hampas tebu.

Kajian yang mendapat sokongan kewangan menerusi Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) – projek Keselamatan Makanan (9012-00004) daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini menggunakan pendekatan beranalisis untuk mengkaji kesuburan tanah, dan pertumbuhan tanaman.

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2013.

Posted in: Fokus, Utama

Gincu Bebas Plumbum

Oleh SITI HAMIDAH MOHD. SETAPAR LEE NIAN YIAN, DAN WONG LEE PENG

GINCU merupakan salah satu bahan kosmetik yang paling popular dan digunakan secara meluas oleh wanita daripada segenap lapisan masyarakat. Selain dapat melembapkan bibir, gincu juga mampu menutup ketidaksempurnaan pada bibir, menambahkan keyakinan diri dan menjadi daya tarikan kepada si pemakai. Sejarah menunjukkan bahawa gincu digunakan oleh wanita sejak zaman berzaman. Penggunaan gincu bermula sejak zaman Greek purba dan zaman Mesir kuno.

Gincu moden yang digunakan kini mula dihasilkan dari awal era ke-19 apabila pewarna yang dicampurkan dengan lilin dan minyak menghasilkan campuran yang kelihatan cantik dan semula jadi apabila dipakai. Disebabkan oleh fungsinya yang berkesan, gincu menjadi terkenal dalam kalangan wanita di seluruh dunia.

Gincu mengandungi pelbagai jenis lilin, minyak, emolien, pengemulsi, pengawet, agen pengikat, dan pewarna. Campuran lilin yang mempunyai sifat yang berbeza daripada pelbagai jenis minyak yang dicampurkan akan membentuk asas putih yang menghasilkan struktur gincu.

Asas gincu menentukan sifat fizikal gincu, seperti takat lebur, kestabilan, kelarutan, dan kekuatan gincu. Manakala, minyak pula memberikan rasa licin dan perasaan berkrim apabila dipakaikan pada bibir. Selain itu, minyak juga meningkatkan kualiti kebolehgunaan dan memberikan kesan berkilat pada gincu.

Pewarna yang digunakan dalam pembuatan gincu merupakan komposisi yang paling penting dan menjadi faktor pelaris utama gincu. Pada awal era ke-19, gincu diperbuat dengan menggunakan pewarna karmain, iaitu sejenis pewarna merah di Amerika Syarikat.

Karmain sejenis serangga asal di Mexico dan Amerika Tengah. Pewarna yang diekstrak daripada serangga ini sangat mahal dan tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan wanita. Oleh sebab itu, muncul syarikat kosmetik yang menghasilkan pewarna merah sintetik untuk digunakan dalam penghasilan gincu

Kini, pewarna sintetik makanan, dadah dan kosmetik (FD&C), pewarna dadah dan kosmetik (D&C) dan pewarna yang tidak larut dalam air (lakes) merupakan pewarna merah yang sering digunakan dalam pembuatan gincu. Menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA), pewarna sintetik FD&C disahkan boleh digunakan dalam makanan, ubat-ubatan dan kosmetik, manakala pewarna D&C pula disahkan selamat digunakan dalam ubat-ubatan dan kosmetik.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2013.

Posted in: Fokus, Utama

MENJEJAKI PARASIT DALAM DARAH

Oleh AINUL HANIS MD. ANAR

WABAK malaria merupakan penyakit berjangkit yang berleluasa sejak era 40-an, dan juga telah lama menular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Setakat ini, masih tiada vaksin yang berkesan untuk mencegah penyakit ini, ubat penghalang mesti diambil secara berterusan bagi menghalang risiko jangkitan. Secara umumnya, jangkitan malaria biasa dirawat dengan penggunaan ubat antimalaria, seperti kuinin atau hasilan artemisinin. Malaria ialah penyakit  yang disebabkan oleh sejenis parasit protozoa daripada genus Plasmodium dan nyamuk betina genus Anopheles (nyamuk tiruk) pula memainkan peranan sebagai vektor penyebar dalam kalangan manusia.

Secara umumnya, hanya terdapat lima spesies parasit Plasmodium yang mampu menjangkiti manusia, iaitu Plasmodium falciparum, Plasmodium vivax, Plasmodium malariae, Plasmodium ovale dan Plasmodium knowlesi. Kumpulan patogenik manusia ini dirujuk sebagai parasit malaria. Selain manusia, parasit Plasmodium juga menjangkiti haiwan seperti monyet, burung dan reptilia. Memandangkan kepentingan kelima-lima spesies Plasmodium ini dalam penularan penyakit malaria kepada manusia, Profesor Madya Dr. Chua Kek Heng telah mencipta kit pengesan Plasmodium yang dinamakan PlasmoNex™ bagi mengenal pasti kelima-lima spesies parasit tersebut. Beliau yang merupakan pensyarah di Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, menjelaskan bahawa malaria merupakan salah satu. penyakit berjangkit yang amat biasa dan membawa impak yang besar terhadap kesihatan umum sedunia. Penyakit ini tersebar luas di kawasan tropika dan subtropika, termasuk Sub- Sahara Afrika,Asia, dan sebahagian dari Amerika. Menurut laporan malaria sedunia, terdapat sekitar 300 – 500 juta orang diserang penyakit ini, dan malaria juga membunuh kira-kira satu hingga dua juta manusia pada setiap tahun terutamanya golongan kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Sub- Sahara Afrika.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November  2012.

Posted in: Fokus, Utama

PADI SINARAN GAMA

Oleh ABDUL RAHIM HARUN dan ABDULLAH MD ZAIN

MUTASI didefinisikan sebagai perubahan yang berlaku dalam unsur warisan atau genetik yang menyebabkan berlaku perubahan sifat luaran (morfologi atau fenotip) suatu organisma. Mutasi berlaku secara semula jadi atau aruhan menggunakan agen mutasi.

Agen mutasi terbahagi kepada dua, iaitu kimia dan fizikal. Contoh agen mutasi kimia ialah etil metil sulfonat (EMS) dan agen mutasi fizikal ialah sinaran mengion, seperti sinaran gama, beta, dan neutron. Sinaran gama diperoleh daripada sumber radioaktif, seperti kobalt 60 dan sesium 137.

Terdapat dua jenis sinaran yang mengaruh mutasi dalam tumbuhan, iaitu sinaran akut dan kronik. Sinaran akut didefinisikan sebagai sinaran yang diberikan dalam jumlah dos yang tinggi dalam masa yang singkat. Sinaran kronik pula ialah sinaran yang diberikan dalam jumlah dos yang rendah dalam masa yang lama (hari, minggu, bulan, dan tahun). Sinaran akut diperoleh daripada alat yang dikenali sebagai Sel Gama. Sinaran kronik pula diperoleh daripada kemudahan sinaran yang terdapat di nuklear, iaitu rumah tanaman Gama.

Proses mutasi aruhan dapat dilakukan melalui pendedahan organ tumbuhan, seperti benih atau entiti biologi kepada sinaran mengion. Sinaran gama mempunyai tenaga disebabkan oleh perlakuan zarah yang dikenali sebagai foton yang menembusi tisu sel sehingga kepada unsur warisan, iaitu kromosom dalam sel nuklear menyebabkan berlaku perubahan secara fizikal.

Perubahan (aberasi) kromosom berlaku dalam pelbagai bentuk, iaitu retakan, buang, translokasi, dan sebagainya. Perubahan juga berlaku pada gen atau jujukan asid deoksiribonukleik (DNA) yang menyebabkan perubahan informasi dalam penghasilan protein yang membentuk sifat luaran suatu organisma atau tumbuhan. Sebagai contoh, suatu tanaman yang dahulunya rentan pada penyakit yang ditentukan oleh gen dominan, apabila berlaku mutasi dalam gen atau jujukan DNA kepada gen resesif, bertukar kepada rintang penyakit

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Oktober  2012.

Posted in: Fokus, Utama

Sensor Optik Tanah Runtuh

Oleh MOHD. KAMIL ABD RAHMAN
KEJADIAN tanah runtuh sering mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda. Keruntuhan tanah sering dikaitkan dengan kecerunan bukit yang berbahaya dan kerap berlaku semasa hujan turun dengan lebat pada jangka masa yang lama. Struktur bukit, komposisi tanah, penutupan permukaan tanah serta sudut kecuraman cerun bukit turut menjadi faktor penentu paras risiko keruntuhan tanah bukit.
Contohnya, kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Hidayah, Madrasah al-Takwa, Jalan FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, berhampiran Kajang, pada pukul 2.30 petang, 21 Mei 2011. Kecerunan bukit yang curam, sama ada secara semula jadi atau hasil perbuatan manusia terdedah pada risiko tanah runtuh.
Agensi kerajaan dan bukan kerajaan melaksanakan inisiatif untuk membuat kajian dengan memasang sistem pengesan gerakan tanah di cerun bukit di kebanyakan kawasan berisiko tinggi di seluruh negara. Pelbagai sistem dan sensor diguna pakai di cerun bukit dan antara sistem termaju termasuklah sistem sensor optik. Sistem ini mempunyai kelebihan dari segi pencerapan dan pengumpulan data selain bersaiz kecil, bebas gangguan gelombang radio elektromagnet, sangat ringan, tiada berlaku hakisan dan mempunyai jangka hayat yang tinggi.  Sistem sensor gerakan tanah di cerun bukit, lazimnya berfungsi mengesan tanda awal pergerakan kecil di cerun dan seterusnya memproses maklumat untuk mengeluarkan amaran awal kepada pengguna.

KEJADIAN tanah runtuh sering mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda. Keruntuhan tanah sering dikaitkan dengan kecerunan bukit yang berbahaya dan kerap berlaku semasa hujan turun dengan lebat pada jangka masa yang lama. Struktur bukit, komposisi tanah, penutupan permukaan tanah serta sudut kecuraman cerun bukit turut menjadi faktor penentu paras risiko keruntuhan tanah bukit. Contohnya, kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Hidayah, Madrasah al-Takwa, Jalan FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, berhampiran Kajang, pada pukul 2.30 petang, 21 Mei 2011. Kecerunan bukit yang curam, sama ada secara semula jadi atau hasil perbuatan manusia terdedah pada risiko tanah runtuh. Agensi kerajaan dan bukan kerajaan melaksanakan inisiatif untuk membuat kajian dengan memasang sistem pengesan gerakan tanah di cerun bukit di kebanyakan kawasan berisiko tinggi di seluruh negara. Pelbagai sistem dan sensor diguna pakai di cerun bukit dan antara sistem termaju termasuklah sistem sensor optik. Sistem ini mempunyai kelebihan dari segi pencerapan dan pengumpulan data selain bersaiz kecil, bebas gangguan gelombang radio elektromagnet, sangat ringan, tiada berlaku hakisan dan mempunyai jangka hayat yang tinggi.  Sistem sensor gerakan tanah di cerun bukit, lazimnya berfungsi mengesan tanda awal pergerakan kecil di cerun dan seterusnya memproses maklumat untuk mengeluarkan amaran awal kepada pengguna.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Fokus, Utama

Inovasi Perlindungan Sinaran Imbasan CT

Oleh METDAHIE BUJANG dan SITI FARIZWANA MOHD. RIDZWAN

PENGGUNAAN mesin radiografi dalam bidang perubatan di Amerika Syarikat bermula pada tahun 1974.Kemajuan teknologi komputer yang pesat mempengaruhi perkembangan dalam pembangunan mesin ini kepada yang lebih tinggi keupayaannya, iaitu membentuk gambar tiga dimensi, menyebabkan mesin ini tidak sesuai dikenali sebagai CAT.
Sebutan seperti “CT Scan” atau Imbasan CT, radiografi biasa, fluoroskopi dan angiografi semuanya melibatkan penggunaan sinar-X. Oleh sebab CT merupakan radas sinaran yang paling canggih dalam pengimejan perubatan, secara tidak langsung mempengaruhi orang awam mahupun pengendali menggunakan sebutan “Scan” untuk mesin ini.
Kecanggihan CT menyebabkan penggunaannya semakin meluas meliputi setiap cabang bidang perubatan, seperti neurologi, ortopedik, pediatrik atau kanak-kanak, onkologi, urologi, oftalmologi, surgeri, dan endokrinologi.
Walaupun gambar CT sangat cantik dan membantu berbanding dengan radiografi biasa, pemeriksaan CT hanya dilaksanakan selepas pemeriksaan radiografi biasa dibuat terlebih dahulu. Kebiasaannya sesuatu masalah pesakit dapat digambarkan oleh radiografi biasa walaupun dos sinaran yang digunakan ratusan kali lebih rendah berbanding dengan CT.

Penggunaan mesin radiografi dalam bidang perubatan di Amerika Syarikat bermula pada tahun 1974.Kemajuan teknologi komputer yang pesat mempengaruhi perkembangan dalam pembangunan mesin ini kepada yang lebih tinggi keupayaannya, iaitu membentuk gambar tiga dimensi, menyebabkan mesin ini tidak sesuai dikenali sebagai CAT.Sebutan seperti “CT Scan” atau Imbasan CT, radiografi biasa, fluoroskopi dan angiografi semuanya melibatkan penggunaan sinar-X. Oleh sebab CT merupakan radas sinaran yang paling canggih dalam pengimejan perubatan, secara tidak langsung mempengaruhi orang awam mahupun pengendali menggunakan sebutan “Scan” untuk mesin ini.Kecanggihan CT menyebabkan penggunaannya semakin meluas meliputi setiap cabang bidang perubatan, seperti neurologi, ortopedik, pediatrik atau kanak-kanak, onkologi, urologi, oftalmologi, surgeri, dan endokrinologi. Walaupun gambar CT sangat cantik dan membantu berbanding dengan radiografi biasa, pemeriksaan CT hanya dilaksanakan selepas pemeriksaan radiografi biasa dibuat terlebih dahulu. Kebiasaannya sesuatu masalah pesakit dapat digambarkan oleh radiografi biasa walaupun dos sinaran yang digunakan ratusan kali lebih rendah berbanding dengan CT.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2012.

Posted in: Fokus

Penghapus Virus Haiwan

Oleh SURIA JANIB


DARI jauh mesin emparan berkapasiti besar (large capacity centrifuge) tersebut kelihatan seperti mesin basuh baju. Di dalam mesin emparan inilah bakteria daripada jenis E. coli BL21 (DE3) yang diubahsuai terapung di dalam air dipusingkan dan dipadatkan untuk menghasilkan pelet. Dalam tempoh 30 minit, air keruh yang mengandungi bakteria ini terpisah kepada dua fasa air jernih dengan satu endapan di bahagian bawah. Air yang jernih ini tidak digunakan kerana tidak lagi mengandungi bakteria. Sebaliknya, bakteria yang dipadatkan (pelet) ini dibawa ke makmal utama untuk melalui proses pelipatan protein dan ujian makmal secara berperingkat-peringkat.

Pelbagai kajian dilakukan bagi mencari penawar haiwan yang dijangkiti virus. Tambahan pula semua haiwan sama ada yang dipelihara atau yang diternak akan terdedah  kepada jangkitan virus. Ubatan ini sudah diuji terhadap enam jenis virus secara in vitro dan tiga jenis virus secara klinikal, iaitu Feline Immunodeficiency Virus (FIV), Feline Calici Virus daripada kucing dan Canine Parvo Virus (CPV2) daripada anjing. Sehingga kini belum ada pengambilan ubatan oral antivirus dalam bentuk cecair yang agak selamat.

Ubatan protein yang mampu mencegah pelbagai virus ini atau multi-spektrum selain selamat dimakan, mudah diserap oleh usus, dan ubatan ini mampu bertahan selama 24 jam di dalam perut. Banyak ubatan protein di dunia tidak stabil untuk diambil secara oral disebabkan oleh enzim pencernaan perut yang mampu menguraikan protein. Oleh yang demikian, kaedah suntikan diperkenalkan.

Inilah perkembangan teknologi inovasi perubatan yang berjaya dihasilkan oleh dua orang saintis tempatan, Awang Muhammad Sagaf Abu Bakar dan Ung Eng Huan untuk menghapuskan virus dalam badan haiwan, malah manusia, yang dinamakan RetroMAD1, sejenis peptida antivirus berbentuk cecair, tanpa bau dan rasa. Kejayaan yang amat membanggakan ini melayakkan RetroMAD1 memenangi Anugerah Emas pada BioMalaysia 2011.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Fokus

Krim Antipenuaan daripada Bulu Ayam

Oleh ARUN GUPTA

PROSES penuaan yang berlaku terhadap manusia adalah normal dalam kehidupan. Biasanya proses pengedutan, pertambahan jeragat dan garis halus penuaan berlaku pada setiap penambahan usia. Perkara ini sangat merunsingkan, terutama dalam kalangan wanita. Sebaik-baik sahaja sel kulit melalui fasa penuaan, sel kulit kehilangan keanjalan menyebabkan kekenduran dan kedutan pada kulit. Kekurangan sel kulit mengeluarkan minyak turut menyebabkan kulit menjadi kusam, tidak bermaya dan kering.

Tanda penuaan yang muncul awal sebelum usia sangat membimbangkan terutama golongan wanita. Faktor penyumbang gejala ini antaranya termasuklah kulit terlalu terdedah pada pencemaran, kurang amalan gaya hidup sihat, pemakanan yang tidak teratur dan berkhasiat, kurang rehat dan tidur, serta tekanan kerja.

Walau bagaimanapun, golongan wanita tidak perlu khuatir kerana pada masa ini kecanggihan dan perkembangan teknologi mampu mengawal dan merawat masalah ini. Krim antipenuaan antara alternatif yang kian mendapat perhatian ramai sekarang.

Bulu ayam mempunyai keratin yang istimewa kerana mengandungi jujukan asid amino.

Krim antipenuaan ini sebahagian besarnya terdiri daripada produk pelembap penjagaan kulit  yang berasaskan kosmetikseutikal. Produk ini dipasarkan kepada pengguna dengan menjanjikan kulit pengguna kelihatan lebih muda, iaitu dengan cara mengurangkan pembentukan tanda penuaan dan garis halus di muka.

Posted in: Fokus

Ekstrak Gamat untuk Penyembuhan Luka

Oleh Farid Che Ghazali

PERUBATAN tradisional dan moden merupakan aspek penting dalam penjagaan kesihatan di Malaysia. Pelbagai ekstrak flora dan fauna tempatan dieksploitasi sebagai rawatan terapeutik dalam perubatan tradisional dan produk kesihatan untuk kehidupan yang lebih baik.

Gamat mempunyai nilai perubatan yang tinggi.

Samudera lautan yang memiliki pelbagai proses biologi antara fenomena alam semula jadi yang menarik dan unik. Dalam hal ini, Malaysia antara negara Asia yang mempunyai biodiversiti tertinggi dunia, dengan pantai yang cantik dan laut membiru yang menyimpan jutaan khazanah laut yang amat berharga.
Antaranya termasuklah spesies Invertebrata yang dikenali sebagai timun laut. Timun laut dikenali sebagai gamat dalam bahasa Melayu, hoi sum (Hokkien), haisen (Mandarin) atau beche-de-mer dalam bahasa Perancis merupakan hidupan marin yang berkait rapat dengan landak laut dan tapak sulaiman.
Jika di Sabah, hidupan ini dikenali  sebagai “bat” atau “balat” dan Sarawak dikenalikan sebagai “brunok”. Invertebrata ini merupakan ikon marin Langkawi dan dieksploitasi dalam perubatan tradisional.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.

Posted in: Fokus, Utama

INOVASI JENTERA PENUAI BATANG KENAF

Oleh Siti Hadijah Umor

KENAF atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus, sejenis tumbuhan bermusim yang berasal daripada keluarga Malvaceace. Bijinya seperti biji rosel dan bunganya mempunyai pelbagai warna mengikut spesies masing-masing. Tumbuhan ini selain mempunyai nilai dalam bidang farmaseutikal dan dijadikan sebagai makanan haiwan, mempunyai pelbagai kegunaan lain dalam produk perindustrian baharu seperti biokomposit, kertas pulpa, material bangunan hijau dan alat ganti automotif.

Penanaman kenaf di Malaysia semakin meluas kerana mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Tanaman kenaf giat dibangunkan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sebagai tanaman komoditi baharu di Malaysia bagi menggantikan tanaman tembakau. Walaupun komoditi ini baharu, pasarannya luas kerana permintaan bagi gentian kenaf semakin meningkat. Oleh sebab itu, keluasan tanaman ditingkatkan daripada 1500 hektar pada tahun 2010 dan sekarang dinaikkan sehingga 3000 hektar. Kebanyakan tumbuhan kenaf ditanam di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis. Kenaf boleh dituai apabila mencapai umur tiga bulan dengan ketinggiannya mencecah sehingan 3.0 – 4.5 meter.

Industri sangat memerlukan serat gentian panjang yang terhasil daripada batang kenaf untuk menghasilkan tekstil dan panel biokomposit. Pelbagai jentera sedia ada yang sudah diubah suai seperti jentera penuai tebu hanya mampu memotong batang kenaf dalam ukuran yang pendek, menghancurkannya, serta tidak mampu memotong batang kenaf pada ukuran yang panjang. Oleh hal yang demikian, sebuah jentera penuai kenaf yang dapat menuai batang kenaf dalam ukuran yang panjang tanpa merosakkan serat gentian amat diperlukan.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Fokus, Utama