Kearifan Tempatan Pemangkin Industri Pembinaan Negara

Kearifan Tempatan Pemangkin Industri Pembinaan Negara

Oleh Mohd Syukri Anwar

Dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), sektor pembinaan antara perkara yang ditumpukan dalam tempoh lima tahun akan datang. Sektor ini mendapat perhatian penting kerana mempunyai pertalian yang rapat dengan perkembangan ekonomi dan sosial negara. Oleh sebab itu, pemerkasaan sektor ini supaya menjadi sebuah sektor yang cekap dan mampan perlu menjadi agenda utama yang perlu dibincangkan.

Bagi memastikan sektor ini berjaya, Pelan Transformasi Industri Pembinaan (PTIP) dilancarkan. Pelan ini didukung oleh berapa agensi. Antaranya termasuklah Agensi Pusat, Kementerian dan Agensi Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili industri pembinaan. Menerusi PTIP, transformasi untuk menjadikan  industri pembinaan sebagai sektor yang menyumbang secara positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara disasarkan.

Dalam pelaksanaan PTIP, empat langkah strategik ditetapkan. Setelah keempat-empat langkah ini dilaksanakan, barulah sektor pembinaan menjadi produktif, mampan, selamat, berkualiti, profesional dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Perkembangan sektor pembinaan yang dipertanggungjawabkan di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bukan sekadar berkadar positif dengan populasi penduduk yang memerlukan rumah sebagai satu daripada keperluan asas yang perlu dipenuhi, malah sektor ini menjadi satu daripada indeks penentu dalam kelestarian alam.

Mungkin, PTIP kelihatan sukar dilaksanakan tanpa persediaan yang mencukupi dan tanpa melibatkan penyelidikan. Penyelidikan yang dimaksudkan pula bukan sekadar penyelidikan biasa tetapi penyelidikan yang mampu mengurangkan bahan pencemar alam di samping penerapan teknologi terkini. Jika penyelidikan hanya baru ingin dimulakan, matlamat ini mungkin menemukan kegagalan.

Namun begitu, badan yang bertanggungjawab dalam sektor pembinaan tidak perlu bimbang kerana banyak penyelidikan yang telah dilakukan dalam merealisasikan teknologi hijau dan bangunan hijau yang dilihat dapat membantu memenuhi hasrat dalam RMK11 ini. Dalam artikel ini diterangkan beberapa teknologi berkaitan pembinaan yang telah dilakukan oleh penyelidik tempatan.

Dengan kombinasi semua penyelidikan yang akan diterangkan ini, kempat-empat teras strategik PTIP dapat dicapai. Teras pertama adalah untuk meningkatkan nilai tambah pekerja dengan menggunakan kaedah moden dan teknologi terkini.  Teras kedua adalah untuk mengurangkan pembaziran dan kesan terhadap alam sekitar dan meningkatkan jangka hayat bangunan, infrastrukur dan sekitaran semula jadi. Teras ketiga adalah untuk meningkatkan keupayaan dalam pasaran eksport yang berpotensi tinggi. Teras keempat adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan pekerja.

Penyelidikan pertama, iaitu menghasilkan bumbung hijau yang mesra alam bagi mencapai teras kedua dan ketiga PTIP. Penyelidikan ini telah dilakukan oleh Profesor Madya Ir. Dr. Lariyah dengan kerjasama Pusat Tropika Lembap Kuala Lumpur (HTCKL). Beliau menekankan alternatif bagi konsep bumbung yang mampu menepati Indeks Bangunan Hijau (GBI). GBI ialah sistem yang komprehensif bagi penilaian reka bentuk dan prestasi bangunan yang mesra alam. Dalam indeks ini, pengurangan impak urbanisasi disasarkan.

Menurut Penyelidik daripada Pusat Teknologi Mampan dan Alam Sekitar (CSTEN) ini dalam artikel Bumbung Hijau Mengurangkan Haba, penyelesaian terhadap pemanasan pulau haba bandar dan kesan rumah hijau difokuskan menerusi bumbung hijau yang diperkenalkan. Menerusi bumbung hijau, lapisan vegetatif ditanam di atas bumbung. Kepelbagaian lapisan ini membentuk taman di atas bumbung. Dengan adanya taman ini, penghuni rumah dilindungi daripada kepanasan udara.

Dalam hal ini, proses evapotranspirasi berlaku pada tumbuhan yang diletakkan di atas bumbung ini. Hal ini menyebabkan suhu permukaan bumbung dan udara di kelilingnya dikurangkan. Pada musim panas, suhu permukaan bumbung hijau lebih sejuk daripada suhu udara. Sebaliknya, suhu permukaan bumbung konvensional lebih panas setinggi 90 °F (50 °C).

Bagi memastikan bumbung hijau ini berjaya diimplementasikan tanpa masalah, lapan lapisan digunakan. Lapisan ini melibatkan medium sokongan bagi pertumbuhan vegetasi di atas bumbung. Lapan lapisan ini ialah komposisi dek struktur, lapisan pemisah, lapisan kalis air, lapisan pelembap, lapisan saliran, lapisan penapis, lapisan medium pertumbuhan dan vegetasi. Semua lapisan ini dibina di atas bumbung supaya konsep bumbung hijau dipenuhi.

Yang paling penting, konsep bumbung hijau ini bersesuaian dengan cuaca di Malaysia. Oleh sebab itu, syarikat pembinaan dapat mengimplementasikan penyelidikan ini dalam projek perumahan bangunan yang dirancang bagi mengurangkan kepanasan dari bahagian atas bumbung, di samping memperkenalkan konsep rumah sejuk. Syarikat pembinaan juga boleh mengeksport pelan bumbung hijau untuk dibeli oleh negara luar.

Penyelidikan kedua, iaitu mengintegrasikan antara bangunan dengan landskap tanaman bagi mencapai teras kedua PTIP. Hal ini lebih dilihat sebagai sokongan terhadap sektor pembinaan. Hal ini dikatakan demikian kerana landskap tidak terlibat secara langsung dengan sektor pembinaan. Walau bagaimanapun, landskap penting supaya hasil pembinaan yang diperoleh dapat mengurangkan kesan pemanasan yang terhasil daripada sumber di kelilingnya.

Menurut Alamah Misni, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Seni Bina Landskap, Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA, dalam artikel Tumbuhan Landskap Menjimatkan Tenaga, jumlah permukaan bangunan yang terdedah pada pemanasan cahaya matahari dapat dikurangkan menerusi  perancangan landskap yang teliti.

Selain itu, sinar radiasi matahari dapat dielakkan daripada memasuki ruang di dalam rumah. Landskap ini pula merangkumi gabungan antara pokok teduhan, pokok renek, penutup bumi dengan rumput di sekitar rumah. Dengan gabungan ini, suhu panas dapat dikurangkan dan kesan penyejukan daripada proses penyejatan dapat dirasai.

Di samping itu, banyak orang tidak tahu bahawa iklim bandar dan penggunaan tenaga daripada penyaman udara di dalam bangunan dipengaruhi secara langsung oleh naungan yang dibentuk oleh tumbuhan. Dengan naungan ini, suhu dapat dikurangkan kerana cahaya matahari dihalang daripada mengenai bangunan dan tiupan angin dapat diarah pada bangunan.

Malah, interaksi haba antara bangunan dengan sekitarnya dapat diubah suai oleh tumbuhan. Namun begitu, hasil yang dinyatakan ini berbeza-berbeza keberkesanannya, iaitu bergantung pada spesies dan kepadatan pokok, saiz dan bentuknya serta lokasi bayang teduhan yang membentuk dan bergerak berdasarkan masa.

Sebenarnya, ada tiga perkara yang berlaku menerusi naungan tumbuhan. Pertama, sinaran matahari dihalang daripada masuk ke ruang di dalam rumah. Kedua, permukaan bangunan terhindar daripada panas, sekali gus mengurangkan jumlah haba yang mengalir ke ruang di dalam bangunan. Ketiga, teduhan pokok yang melitupi permukaan tanah di sekitar bangunan mengekalkan suhu tanah supaya sentiasa sejuk, seterusnya dapat bertindak sebagai tempat penyimpanan haba bagi sekitaran taman rumah. Yang paling penting dalam pelaksanaan strategi tumbuhan landskap ini ialah lokasi tumbuhan ini. Hanya lokasi yang strategik membolehkan kawasan teduhan yang berkesan diperoleh.

Hal ini dapat diterangkan dengan lebih mudah dengan mengambil contoh rumah yang dibina pada zaman dahulu. Jika dilihat pada seni bina rumah dahulu, elemen pengaliran udara dan pencahayaan sangat dititikberatkan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah apabila banyak tingkap dan pintu menghiasi rumah orang dahulu. Penyusunan papan untuk dinding, susunan lantai rumah, kelarai pada tingkap dan bahagian atas tingkap juga mempunyai ruang yang membenarkan pengaliran udara. Kedudukan rumah ini pula bertepatan dengan aliran angin dan sumber kemasukan cahaya bagi mengelakkan cahaya yang terlalu panas atau rumah yang terlalu gelap.

Dengan penyelidikan ini, syarikat pembinaan boleh menghasilkan rumah dan bangunan yang dilengkapi landskap yang terbukti dapat mengurangkan kebergantungan terhadap penyaman udara. Hal ini satu nilai tambah bagi setiap projek perumahan yang dibina kerana jika dikira secara hitung panjang, kos bekalan tenaga untuk penyaman udara pasti lebih tinggi daripada penggunaan landskap.

Penyelidikan ketiga, iaitu memfokuskan pembaikpulihan konkrit bagi mencapai teras pertama, kedua dan ketiga PTIP. Diketahui bahawa bahan paling asas dalam setiap binaan ialah konkrit. Tanpa konkrit, bangunan tidak kukuh dan tidak mampu menampung beban yang besar. Malah, binaan mudah runtuh apabila berlaku gegaran kecil. Dengan pembaikpulihan konkrit, konkrit dapat ditambahbaikkan dan diperelok strukturnya supaya menjadi lebih kuat dan tahan dalam menghadapi masalah selain mencepatkan tempoh masa pembinaan.

Menurut Mohd. Zaid Yusof, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan, dalam artikel Polimer Membaik Pulih Konkrit, konkrit yang berasaskan polimer lebih cepat mengeras dan mempunyai daya ikatan yang baik dengan konkrit asal serta mempunyai sifat mekanikal dan ketahanan yang baik, seperti lelasan, kakisan serta rintangan yang lebih tinggi terhadap asid, sulfat dan klorida. Oleh sebab itu, kelebihan ini menyebabkan bahan ini menjadi pilihan dalam kerja baik pulih konkrit. Lebih-lebih lagi, jika kerja baik pulih itu berada pada peringkat bahan.

Penggunaan konkrit berasaskan polimer sebenarnya mendapat sambutan yang meluas, Di Jepun konkrit berasaskan polimer dikenali sebagai konkrit plastik. Dari segi penghasilan, konkrit berasaskan polimer dapat dihasilkan menerusi tiga cara, iaitu  secara langsung, secara tidak langsung dan secara bebas simen-air.

Konkrit yang dihasilkan secara langsung dikenali sebagai konkrit terubahsuai polimer (PMC). Konkrit jenis ini digunakan secara meluas dalam pembaikan konkrit. Syarikat pembinaan boleh menggunakan teknologi ini untuk membaiki bangunan dan jambatan yang baharu dan lama. Konkrit yang digunakan ini terdiri daripada lateks sintetik, seperti SBR, emulsi vinil asetatetilena (VAE), metil metakrilik (MMA), PVA dan PDVC. Antara jambatan yang pernah dibaiki menggunakan bahan ini termasuklah jambatan Bascule (1958), jambatan Clarks Summit (1979), jambatan Columbia River (1982) dan jambatan Marquham Street (1983). Di Malaysia, penggunaan konkrit terubahsuai polimer juga tidak terkecuali apabila digunakan bagi pembaikpulihan jambatan Pulau Pinang.

Setelah syarikat pembinaan menguasai teknologi konkrit jenis ini, syarikat pembinaan boleh menawarkan perkhidmatan ini di luar negara selain melatih tenaga mahir untuk tujuan perkhidmatan kepakaran tenaga mahir.

Penyelidikan keempat, iaitu menghasilkan simen hijau bagi mencapai teras kedua dan keempat PTIP. Syarikat pembinaan pasti mengetahui bahawa penggunaan simen Portland, terutamanya dalam pembinaan bangunan mencemarkan alam sekitar kerana pembebasan gas C02 yang agak tinggi. Malah, simen juga menyebabkan pemanasan global disebabkan oleh penggunaan suhu pembakaran yang tinggi hingga mencecah 1000 darjah Celsius.

Menurut Mohd. Mustafa Al-Bakri, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan, UniMap dalam artikel Simen Hijau, simen hijau dapat dihasilkan dengan mencampurkan abu terbang atau tanah liat tertentu dengan sebatian kimia. Hasil campuran ini dikenali sebagai pelekat atau mortar. Produk yang dihasilkan ini bersifat mesra alam kerana menghasilkan CO2 yang sedikit. Malah, simen hijau ini mampu menguat antara satu hingga tiga hari sahaja berbanding 28 hari bagi simen Portland biasa.

Kesan simen Portland terhadap pekerja juga tidak boleh dipandang mudah. Sebagai aset bagi syarikat pembinaan, tahap kesihatan pekerja sepatutnya tidak boleh dikompromikan. Dengan pendedahan yang berterusan terhadap simen ini, penyakit berkaitan dengan sistem pernafasan boleh dihidapi oleh pekerja. Oleh sebab itu, syarikat pembinaan sangat dituntut untuk beralih daripada penggunaan simen biasa kepada penggunaan simen hijau bagi melestarikan kesihatan pekerja yang masih perlu ditagih khidmatnya bagi setiap projek yang akan datang.

Berdasarkan Akta Keselamatan Pekerja dan Kesihatan Pekerja 1994, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja perlu dilindungi. Bagi melindungi pekerja binaan setiap langkah keselamatan perlu dipatuhi apabila menangani bahan kimia tertentu, seperti simen. Oleh sebab itu, simen hijau ini merupakan alternatif yang sangat baik bagi mengurangkan risiko kesihatan pekerja binaan. Malah, syarikat pembinaan dapat menghasilkan simen hijau untuk tujuan eksport.

Penyelidikan kelima, iaitu menambahbaikkan konkrit dengan mencampurkannya dengan plastik bagi mencapai teras pertama, kedua dan ketiga PTIP. Hal ini dikatakan demikian kerana sisa buangan yang bersumberkan plastik sangat banyak di Malaysia. Sisa ini tidak dapat dilupuskan dan tidak boleh terurai. Pembakarannya pula menyebabkan pembebasan bahan pencemar yang lain. Oleh sebab itu, plastik ini dapat digunakan sebagai bahan campuran dalam penghasilan konkrit.

Menurut Nur Liza Rahim, Pensyarah, Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Perlis, dalam artikel Sisa Plastik Bahan Tambah Konkrit, plastik HDPE digunakan sebagai agregat kasar dalam penghasilan konkrit. Bahan yang digunakan dalam kajian ini ialah simen, pasir, HDPE, agregat dan air.

Dalam kajian beliau, plastik HDPE dipotong untuk mendapatkan saiz yang kecil sebelum dicampurkan di dalam bancuhan konkrit. Dari segi jumlah pula, HDPE digantikan sebanyak 10 peratus, 20 peratus dan 30 peratus dalam agregat kasar. Walau bagaimanapun, jenis simen yang digunakan dalam kajian ini masih tetap sama, iaitu simen Portland.

Setelah itu, konkrit yang terhasil ini diuji ketahanannya. Antara ujian yang dilakukan termasuklah ujian keruntuhan, kekuatan mampatan dan penyerapan air. Dari segi tempoh masa ujian yang dipilih, ujian dilakukan pada tempoh tujuh, 14 dan 28 hari selepas proses pengawetan air. Hasilnya, konkrit yang dicampurkan dengan 10 peratus HDPE mencapai kekuatan konkrit yang ditetapkan, iaitu sebanyak 20 MPa.

Dalam konteks ini, syarikat pembinaan dapat bekerjasama dengan syarikat atau agensi yang bertanggungjawab dalam pengutipan sisa buangan, terutamanya sisa plastik bagi dijadikan bahan campuran di dalam konkrit. Dari segi ekonomi, syarikat pembinaan mendapat beberapa keuntungan. Dengan menggunakan sisa buangan, kos bahan mentah, iaitu simen terutamanya dapat dikurangkan. Hal ini dikatakan demikian kerana simen antara penyumbang kos terbesar dalam pembinaan bangunan.

Di samping itu, dengan penggunaan plastik buangan, syarikat pembinaan dapat memenuhi Piawaian Bangunan Hijau (GBI). Hal ini memungkinkan syarikat ini diiktiraf sebagai antara peneraju bangunan hijau. Oleh sebab itu, dengan pengiktirafan ini, banyak lagi syarikat pembinaan dapat melakukan perkara yang sama. Secara tidak langsung, sasaran sektor pembinaan dalam RMK11 dapat dipenuhi dalam tempoh yang lebih cepat daripada tempoh lima tahun yang disasarkan.

Penyelidikan keenam, iaitu untuk meningkatkan penggunaan bahan yang rintang api dalam bahan binaan bangunan bagi mencapai teras pertama, kedua, ketiga dan keempat PTIP. Hal ini penting kerana berdasarkan perangkaan tentang jumlah kebakaran bangunan yang dikeluarkan oleh Portal Rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 5817 jumlah kes kebakaran dicatatkan pada tahun 2013. Daripada jumlah ini, rumah kediaman mencatatkan jumlah kebakaran tertinggi dengan 3235 kes kebakaran. Antara binaan lain yang mencatatkan kes kebakaran yang tinggi termasuklah kedai (742 kes), kilang (332 kes), stor (236 kes), pejabat (165 kes), dapur (153 kes) dan setinggan (106 kes).

Menurut Roshazita Che Amat, Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Perlis dalam artikel Panel Pemisah Ruang Tahan Api, panel pemisah ruang biasanya digunakan dalam bangunan untuk menggantikan bata, logam, kaca dan dinding konkrit.

Pemisah ruang ialah dinding yang digunakan untuk mengasingkan bilik atau ruang dan bahagian dalam sebuah bangunan. Dalam kajian beliau, pemisah ruang yang mempunyai rintangan terhadap api yang tinggi dihasilkan menggunakan abu biojisim daripada tandan kelapa sawit kosong yang telah diproses.

Berdasarkan kajian, panel pemisah yang dihasilkan daripada abu biojisim ini retak dalam masa 20 minit setelah dibakar berbanding dengan panel komersial yang retak hanya dalam masa dua minit sebelum terbakar sepenuhnya. Hasil ini sungguh mengagumkan kerana ada perbezaan tempoh masa yang sangat berbeza antara bahan kajian dengan bahan konvensional. Oleh sebab itu, panel pemisah yang dibuat daripada abu biojisim yang dihasilkan daripada sisa tandan buah kelapa sawit terbukti tahan lebih lama dalam kebakaran.

Dapatan kajian ini menunjukkan syarikat pembinaan boleh mengimplementasikan teknologi ini dalam projek pembinaan mereka. Dengan statistik kebakaran yang cukup membimbangkan, diharap agar penggunaan teknologi panel pemisah ruang tahan api ini dapat mengurangkan statistik itu. Syarikat juga tidak perlu bimbang dari segi kos kerana bahan yang digunakan ialah sisa buangan kelapa sawit yang boleh dibeli pada harga murah. Malah, produk yang dihasilkan ini boleh dijual untuk pasaran eksport.

Penyelidikan ketujuh, iaitu menghasilkan konkrit tanpa simen bagi mencapai teras kedua, ketiga dan keempat PTIP. Hal ini seperti suatu perkara yang sangat mustahil. Namun begitu, seiring dengan pencapaian penyelidikan pada masa ini, hal ini dapat dijadikan kenyataan.

Menurut Muhd. Fadhil Nuruddin, Profesor Konkrit, Universiti Teknologi PETRONAS dan Naib Presiden Persatuan Geopolimer Malaysia (MyGeopolymer), dalam artikel Konkrit Tanpa Simen, bahan yang sekuat konkrit, tetapi tidak mengandungi simen  memang boleh dihasilkan. Bahan ini dikenali sebagai konkrit geopolimer.

Apabila teknologi konkrit tanpa simen ini berjaya, penggunaan konkrit geopolimer bagi menggantikan penggunaan konkrit simen Portland membantu pengurangan tapak karbon hingga 40 peratus pada tahun 2020. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap satu tan bagi penghasilan simen Portland mampu mengeluarkan hingga satu tan karbon dioksida ke atmosfera. Jumlah ini pastinya sangat membimbangkan dan mencemarkan alam dalam tempoh yang singkat.

Sebagai syarikat pembinaan yang prihatin terhadap isu alam sekitar, alternatif bagi simen sangat dinanti-nantikan. Oleh sebab itu, inilah masanya semua syarikat pembinaan untuk beralih kepada penggunaan teknologi konkrit tanpa simen bagi mengurangkan kos pembinaan yang pastinya dapat merendahkan harga rumah yang menjangkau antara setengah juta hingga sejuta ringgit pada masa ini. Di samping itu, syarikat pembinaan juga boleh menjadi pelopor bagi pembinaan bangunan tanpa simen. Hal ini membolehkan nilai syarikat ini di luar negara meningkat.

Penyelidikan kelapan, iaitu menggunakan tingkap pintar bagi setiap bangunan bagi mencapai teras pertama, kedua dan ketiga PTIP. Tingkap merupakan elemen asas yang perlu ada dalam bangunan. Tingkap berfungsi sebagai pengalir udara untuk ventilasi yang bersih dan selesa serta sebagai medium bagi kemasukan cahaya matahari. Selain itu, tingkap juga membolehkan penghuninya melihat pemandangan di luar bangunan yang didiami. Malah, jika berlaku kebakaran, tingkap juga sering digunakan sebagai tempat bagi mengalirkan asap dan mengeluarkan mangsa kebakaran.

Menurut Chew Ker Yin, dalam artikel Tingkap Pintar Menyamankan Rumah, tingkap pintar dapat meminimumkan keperluan penyaman udara, pemanasan dan pencahayaan buatan. Hal ini dikatakan demikian kerana suhu di dalam bangunan bergantung pada cahaya matahari yang memasuki tingkap. Oleh sebab itu, penggunaan tenaga elektrik dapat dikurangkan.

Dalam aplikasi tingkap pintar, kadar kemasukan cahaya dikawal oleh kesan elektrokromik. Kesan elektrokromik ialah kesan nanokristal yang berupaya menukarkan warna secara terbalik apabila voltan elektrik dikenakan. Dalam sistem ini, biasanya ion litium (sejenis ion yang mudah menghilangkan elektron) dimasukkan di dalam bahan bukan organik. Seterusnya, transformasi ketelusan lapisan elektrokromik dalam sistem elektrokromik dapat dilakukan.

Syarikat pembinaan perlu mengambil kesempatan terhadap teknologi ini kerana teknologi ini belum meluas penggunaannya. Dengan kata lain, teknologi ini antara yang terkini selain mengurangkan bahan pencemar yang dapat memasuki rumah. Setelah teknologi ini dikuasai, syarikat pembinaan boleh menjadi pengeksport terbesar bagi tingkap pintar.

Penyelidikan kesembilan, iaitu membina bangunan yang tahan gempa bagi mencapai teras pertama dan ketiga PTIP. Menurut Hady Efendy dalam artikel Bangunan Tahan Gempa, binaan yang simetri memiliki struktur yang lebih kuat untuk menahan gempa bumi. Selain itu, unsur struktur bangunan, seperti tiang rumah dan dinding perlu ringan. Hal ini tidak sukar kerana dinding dapat direka menjadi ringan kerana dinding berfungsi  sebagai penutup. Teknologi ini ditekankan kerana dinding yang berat mampu mencederakan penghuni rumah, jika gempa berlaku.

Secara konvensional, simen Portland memiliki isi padu yang besar. Hal ini menyebabkan struktur binaan menjadi lebih berat. Oleh hal yang demikian, polimer dicadangkan sebagai bahan alternatif dalam campuran konkrit. Dalam hal ini, konkrit polimer dihasilkan untuk meningkatkan ketahanannya terhadap bahan kimia tertentu.

Dari segi proses, penambahan polimer pada campuran konkrit dapat  dilakukan setelah konkrit kering, Hal bertujuan menutup liang dan retak kecil pada konkrit yang disebabkan oleh proses pengeringan. Setelah melalui proses ini, konkrit menjadi kedap air dan tahap pengawetannya meningkat.

Setelah kejadian gempa yang berlaku di Sabah, syarikat pembinaan perlu menggunakan teknologi ini dalam pembinaan bangunan. Hal ini penting bagi menghilangkan ketakutan pengguna, terutamanya di tempat yang berisiko mengalami gempa bumi.

Penyelidikan kesepuluh, iaitu menggunakan getah bagi mengurangkan impak gempa bumi bagi mencapai teras pertama, kedua dan ketiga PTIP. Dalam hal ini, pemencil sismik dan gegaran galas getah redaman tinggi (HDRB) dibangunkan untuk melindungi struktur binaan daripada kerosakan akibat gempa bumi. Menerusi inovasi ini, isi kandungan di dalam struktur turut dilindungi.

Oleh hal yang demikian, teknologi ini adalah sangat berguna untuk bangunan yang kritikal, seperti hospital, pusat kelengkapan ketenteraan dan pusat kecemasan yang perlu terus berfungsi selepas kejadian gempa bumi yang teruk berlaku.

Syarikat pembinaan boleh bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia untuk menggunakan teknologi ini kerana teknologi ini telah pun digunakan secara meluas di negara maju dan digunakan dalam pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang. Dalam jambatan kedua ini, sebanyak 2000 galas getah digunakan. Yang lebih menarik lagi, galas ini dihasilkan oleh rakyat tempatan.

Akhir sekali, model yang dapat dijadikan ikutan ialah masjid Cyberjaya. Masjid ini menggunakan sistem solar, sistem penuaian air hujan, sistem takungan air bawah tanah, sistem penyiraman tanaman menggunakan air lebihan wuduk, sistem lampu berasakan intensiti cahaya dan menggunakan bahan kitar semula.

Dengan huraian ini, inilah masanya untuk semua pihak bersatu padu dan menggembleng tenaga bagi menjayakan RMK11, terutamanya dalam sektor pembinaan. Inovasi dan penciptaan yang benar-benar hebat yang sebahagiannya telah pun ada diperlukan untuk menjayakannya. Penyelidik tidak perlu menanti syarikat atau pelabur yang berminat untuk melabur dalam penyelidikan ini kerana telah ada satu tanggungjawab yang lebih peting untuk menyumbang kepakaran yang dimiliki, iaitu kearifan tempatan. Mudah-mudahan kearifan tempatan ini menjadi pemangkin terhadap pembangunan sektor pembinaan negara.

Posted in: Fokus, Utama

Teknologi Membaca Minda

Oleh Nor Azida Ishak

Teknologi membaca minda tidak lagi terhad dalam kisah fiksyen sains atau fantasi. Sebaliknya, teknologi ini makin hampir direalisasikan. Menerusi sains, imej di dalam otak manusia dapat dicipta semula menggunakan teknik pengimbas yang popular dalam bidang perubatan.

Proses membaca minda ini melibatkan fungsi pengimejan resonans magnetik (MRI) dan pengimejan resonans magnetik kefungsian (fMRI), sejenis alat pengimbas yang sering diaplikasikan bagi pendiagnosisan tumor dan anomali otak.

Terkini, fMRI dan model simulasi pengkomputeran digunakan oleh ahli sains bagi mencipta semula imej dinamik yang dilihat oleh manusia secara visual. Hal ini bermakna apa-apa yang dilihat dan difikirkan oleh manusia dapat dinyahkodkan dengan bantuan sains dan teknologi.

MRI merupakan alat diagnostik yang digunakan bagi menangkap imej organ di dalam tubuh. Antaranya termasuklah otak, sumsum tulang belakang, saraf, dada, perut, pembuluh darah dan jantung. Alat ini kerap dipilih oleh doktor kerana medan magnet dan gelombang frekuensi radio yang digunakan tidak memudaratkan pesakit. Malah MRI didapati sesuai digunakan bagi pesakit yang menderitai penyakit pada tahap kronik, seperti kanser. Hal ini dikatakan demikian kerana sebarang pembedahan atau pendedahan terhadap radiasi sinar-X tidak diperlukan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Merealisasikan Teknologi Telepati

Oleh Mohd Syukri Anwar

Dahulu, ahli psikologi merupakan pakar yang mampu mengetahui perkara yang sedang difikirkan dalam minda seseorang. Pakar ini menggunakan kemahiran yang dimilikinya untuk menganalisis, seterusnya menetapkan satu set kesimpulan tentang diri dan fikiran orang itu.

Kemahiran ini perlu dipelajari dan memerlukan tempoh yang lama untuk menguasainya. Malah, mungkin kesimpulan yang diberi tidak setepat gambaran yang ada dalam minda orang itu. Namun begitu, seiring dengan perkembangan masa, seorang ahli psikologi itu mampu memilih hipotesis yang paling tepat, seterusnya bergelar pakar psikologi.

Kini, minda dapat dibaca dan digambarkan dalam bentuk tayangan video. Hal ini dilakukan menggunakan mesin pengimbas, seperti mesin pengimejan resonans magnetik (MRI). Subjek hanya perlu duduk di dalam mesin ini dalam suatu tempoh tertentu. Biasanya tempoh ini agak lama. Mesin ini pula berfungsi bagi mengimbas objek yang dilihat oleh subjek.

Objek yang dilihat pula perlu disediakan terlebih dahulu. Malah, kedudukan subjek di dalam mesin ini perlu pegun. Sambil itu, suatu bintik hitam perlu direnung oleh subjek. Pada tahap ini, pencapaian dunia sains sekadar mampu membaca minda seseorang menggunakan kaedah yang terhad dan sukar seperti ini.

Walau bagaimanapun, suatu hari nanti, setelah teknologi membaca minda ini dikuasai, mesin yang mampu berhubung dengan otak manusia dapat dicipta. Mesin ini dapat memudahkan diagnosis dan pencarian maklumat penting yang hilang, terutamanya pada pesakit yang hilang ingatan, nyanyuk atau koma.

Selain itu, pesakit yang tidak berupaya bergerak, seperti pesakit yang lumpuh atau kehilangan anggota disebabkan oleh amputasi atau kecacatan kongenital, dan pesakit palsi serebral mampu dibantu menggunakan mesin ini. Bantuan ini berlaku apabila mesin ini membaca minda pesakit dan melakukan tugas yang difikirkannya.

Malah, pada tahap yang lebih tinggi, teknologi ini dapat diintegrasikan dalam minda manusia. Hasilnya, setiap komunikasi yang berlaku antara setiap orang dimudahkan tanpa melibatkan pertemuan dan pergerakan anggota badan, terutamanya mulut dan tangan.

Akhirnya, kemahiran telepati, iaitu komunikasi menggunakan fikiran dalam perhubungan antara dua pihak bukanlah suatu yang sukar dikuasai. Sebaliknya, dengan teknologi, setiap orang boleh memiliki kemahiran ini menggunakan teknologi telepati pada masa hadapan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Comments Off

Neurosis Derita dalam Diam

Oleh Rehanah Mohd. Zain

Neurosis atau psikoneurosis merupakan ketidakseimbangan mental yang menyebabkan stres tetapi tidak mempengaruhi pemikiran rasional. Konsep neurosis yang berhubung dengan bidang psikoanalisis merupakan aliran pemikiran dalam psikologi. Neurosis juga bermaksud gangguan jiwa pada tahap ringan. Oleh sebab itu, penderita neurosis masih mampu menyesuaikan diri dan melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Di Malaysia, pendedahan tentang penyakit ini masih kurang. Maka, penyakit ini dianggap amat berbahaya dan pelik. Namun begitu, di Eropah, pendedahan tentang penyakit ini menyebabkan cara untuk bertindak ketika berhadapan dengan pesakit neurosis lebih difahami dan diketahui. Neurosis terbahagi kepada beberapa jenis. Antaranya termasuklah neurosis cemas, histeria, fobia dan neurosis obsesif-kompulsif.

Ada banyak faktor yang menyebabkan neurosis. Antaranya termasuklah ketakutan dan perasaan cemas yang sering berlaku disebabkan oleh kesusahan dan kegagalan yang berterusan serta tekanan terhadap pelbagai masalah emosi.

Malah, masalah ini yang tidak dapat diselesaikan, kecenderungan harga diri yang terhalang serta dorongan seksual yang tidak mendapat kepuasan dan hambar dapat menyebabkan banyak konflik batin berlaku. Neurosis yang dideritai oleh pesakit bukan sekadar berpunca daripada perasaan cemas tetapi turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 5 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Perubatan, Utama

Emosi Yang Terganggu

Oleh Mohd Syukri Anwar

Dia melihat seakan-akan ada satu kelibat manusia yang sentiasa mengekorinya. Walau ke mana-mana sahaja dia pergi, kelibat itu pasti mengikutinya. Kadangkala, dia tersenyum, ketawa, menangis dan berasa takut secara tiba-tiba tanpa mempedulikan orang yang berada di kelilingnya. Hal ini mewujudkan persepsi negatif terhadap dirinya hinggakan dituduh gila.

Situasi seperti ini sering dilihat oleh masyarakat pada hari ini di tempat tertentu. Malah, mungkin individu ini terdiri daripada orang yang mempunyai hubungan rapat dengan kita, seperti rakan atau saudara-mara. Lalu, wujud persoalan tentang punca yang menyebabkan individu ini berkelakuan sedemikian dan tindakan yang perlu dilakukan bagi mengatasinya.

Biasanya, masyarakat menganggap individu ini ialah orang gila. Walau bagaimanapun, tanggapan ini tidak tepat. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka mungkin hanya mempunyai masalah mental. Walau bagaimanapun, jika tidak dirawat, masalah mental ini dapat menyebabkan penyakit mental. Ada tiga jenis penyakit mental, iaitu neurosis, psikosis dan kecelaruan personaliti.

Neurosis menyebabkan stres tetapi tidak mempengaruhi pemikiran rasional. Ketidakseimbangan mental ini hanyalah gangguan jiwa pada tahap ringan. Oleh sebab itu, pesakit masih dapat menyesuaikan diri dan melakukan rutin harian seperti orang normal yang lain.

Di Malaysia, pendedahan terhadap penyakit neurosis masih kurang. Sebaliknya, di Eropah, pendedahan terhadap penyakit ini sangat meluas. Oleh sebab itu, cara bertindak ketika berhadapan dengan pesakit neurosis lebih difahami dan diketahui.

Walau apa-apa pun, yang paling penting ialah orang yang berada di keliling pesakit ini perlu sentiasa positif dan mengambil tanggungjawab untuk membantunya. Tanpa sokongan daripada masyarakat, pesakit mental akan terus terbiar. Malah, bilangan pesakit ini akan terus meningkat saban tahun.

Maka, unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan masalah kemurungan yang menjadi punca penyakit mental akan naik ke tangga kedua teratas di seluruh dunia selepas penyakit iskemia pada tahun 2020 bakal menjadi kenyataan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 5 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Comments Off

Fenomena Serigala Jadian Terbongkar?

Oleh Nor Azida Ishak

Berita serigala jadian memang wujud sejak beribu-ribu tahun dahulu. Berdasarkan legenda, serigala jadian menjelma dalam bentuk manusia pada waktu siang. Namun begitu, apabila Bulan mula mengambang, manusia ini bertukar menjadi serigala jadian yang tiada perikemanusiaan. Serigala jadian ini bertukar kepada bentuk manusia apabila Matahari terbit, tanpa mengingati apa-apa yang berlaku pada malam sebelumnya.

Ada beberapa kisah mengerikan tentang manusia yang sanggup membunuh manusia lain selepas bertukar menjadi serigala jadian. Pada tahun 1573, Gilles Garnier, seorang lelaki Perancis, dihukum mati. Dia mendakwa dirinya ialah seekor serigala jadian setelah membunuh dan memakan daging lebih empat orang kanak-kanak yang berusia antara 10 – 12 tahun.

Malah, lebih 50 orang saksi melihat dia mengoyakkan badan seorang kanak-kanak dan memakan dagingnya. Garnier menceritakan bahawa dia memperoleh keupayaan untuk bertukar menjadi serigala jadian selepas bertemu dengan syaitan ketika berburu mencari makanan di dalam hutan pada waktu malam.

Kes yang sama berulang di Perancis sekitar era 1600-an. Jean Grenier, seorang remaja berusia 13 tahun mendakwa bahawa dirinya pernah bertemu dengan syaitan di dalam hutan. Syaitan itu memberikan sejenis kulit serigala yang membolehkan jasadnya bertukar menjadi serigala jadian.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 4 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Manusia Berperangai Haiwan

Oleh Mohd Syukri Anwar

Lagaknya seperti seekor labah-labah. Dia memanjat dinding bangunan tanpa bantuan tali atau alat tertentu. Pantas dan cekap. Setelah tiba di atas bumbung, dia menghalakan tangannya ke arah bangunan lain. Tiba-tiba, tali keluar daripada hujung tangannya. Tali itu terbang dan melekat pada bangunan yang dilihat oleh lelaki itu. Dialah Spiderman, hero dalam filem Spiderman.

Kisah tentang orang yang mempunyai kuasa atau keupayaan luar biasa melampaui keupayaan manusia ini bukanlah suatu perkara yang baru dalam kalangan masyarakat. Banyak cerita tentang manusia seperti ini difilemkan. Antaranya termasuklah Spiderman, Cicakman, Superman dan X-Men.

Dalam semua filem ini, kuasa diperoleh apabila heronya disengat oleh haiwan atau disuntik dengan bahan khas. Setelah itu, hero memiliki ciri seperti haiwan yang menyengatnya. Contohnya, Spiderman mampu memanjat dinding dan menghasilkan tali setelah disengat oleh labah-labah. Cicakman pula mampu memanjat dinding, selain memiliki lidah yang panjang dan bersifat melekat setelah disuntik dengan serum.

Hal ini berlaku disebabkan oleh badan manusia mempunyai unsur yang sangat unik yang dikenali sebagai gen. Gen ini menentukan setiap kelakuan manusia. Apabila gen ini berubah, sama ada disebabkan oleh aruhan luaran atau dalaman, kelakuan yang sepatutnya ditonjolkan juga berubah.

Oleh sebab itu, fakta ini dapat digunakan bagi menerangkan tentang kejadian serigala jadian, iaitu manusia bertukar menjadi serigala. Ahli sains membuktikan bahawa kejadian ini disebabkan oleh hipertrikosis, iaitu sejenis penyakit genetik. Penyakit ini menyebabkan jasad penghidapnya ditumbuhi dengan bulu hingga penampilan luarannya kelihatan seperti serigala.

Malah, ahli sains percaya bahawa manusia yang dikatakan sebagai serigala jadian ini menghidap penyakit likantropi, iaitu sejenis penyakit mental. Penyakit ini menyebabkan penghidapnya menyalak Bulan, merangkak dan merayau-rayau di kawasan perkuburan pada waktu malam serta membunuh dan memakan daging manusia lain.

Penyakit likantropi pula mungkin berlaku disebabkan oleh striknin, iaitu bahan yang dapat menyebabkan delusi hingga orang yang memakannya percaya bahawa dirinya ialah seekor serigala. Oleh sebab itu, tidak mustahillah, jika orang yang melihat pesakit ini menganggap bahawa pesakit ini ialah serigala jadian yang ganas, berbahaya dan dapat mengancam keselamatan manusia.

Walau bagaimanapun, yang penting ialah manusia ini bukan berperangai haiwan dengan kerelaan hatinya. Pesakit ini tidak harus disalahkan, sebaliknya dibawa berjumpa doktor dan dirawat menggunakan kaedah yang sepatutnya. Hal ini penting supaya pesakit ini sedar bahawa dirinya ialah manusia yang sepatutnya berperangai seperti manusia, bukannya berperangai seperti haiwan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 4 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Penggenggam Tangan Tiruan Membantu Pesakit yang Diamputasi

Oleh Muhammad Mahadi Abdul Jamil, Radzi Ambar dan A. Malik Ali

Pada tahun 1871, seorang pengamal perubatan Amerika Syarikat (AS), Dr. Silas Weir Mitchell menyatakan bahawa banyak askar yang diamputasi akibat cedera ketika peperangan sivil Amerika masih mengerang kesakitan, seolah-olah organ yang dipotong masih ada dan menghasilkan kesakitan. Hal ini dimuatkan dalam artikel yang bertajuk Lippincott’s Magazine.

Kini, penyelidikan berkaitan dengan rehabilitasi mengaplikasikan teknologi robotik dalam proses rehabilitasi, iaitu robot rehabilitasi. Penggunaan teknologi ini dapat memberikan maklumat yang lebih tepat berkaitan dengan kemajuan proses rehabilitasi. Malah, proses rehabilitasi dapat ditambah baik berdasarkan maklumat yang diperoleh. Penyelidik juga percaya bahawa keunikan penggunaan robot rehabilitasi dapat meningkatkan motivasi pesakit untuk terus menjalani rawatan rehabilitasi.

Robot rehabilitasi ialah kaedah moden dalam proses rehabilitasi yang makin mendapat perhatian dalam dunia penyelidikan robotik. Robot rehabilitasi berfungsi sebagai alat bantuan dalam proses rehabilitasi bagi membantu pergerakan badan, meningkatkan mutu rawatan dan memberikan maklumat tentang hasil rawatan.

Beberapa tahun belakangan ini, penerapan teknologi robotik dalam terapi cermin ialah satu kaedah rehabilitasi yang mula mendapat perhatian. Walau bagaimanapun, kebanyakannya masih pada peringkat percubaan. Oleh sebab itu, sekumpulan penyelidik daripada Kumpulan Penyelidikan Simulasi dan Pemodelan Kejuruteraan Bioperubatan (BIOMEMS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Mahadi Abdul Jamil serta penyelidik bersama, Radzi Ambar dan Malik Ali membangunkan robot rehabilitasi dengan memperkenalkan sebuah prototaip lengan robotik yang dikenali sebagai penggenggam tangan tiruan (AHG).

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fokus, Utama

Emas yang Tertanam

Oleh Mohd Syukri Anwar

Siapa kata penyelidik di Malaysia tidak bagus dan hanya tahu menghabiskan geran yang diperuntukkan oleh kerajaan serta melakukan kajian yang tiada manfaat dan syok sendiri? Hakikatnya, tidak semua penyelidikan mempunyai produk sebagai hasil akhirnya. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan hasil penyelidikan sekadar menunjukkan penemuan dan meningkat kedalaman fakta sedia ada. Selain itu, penyelidikan menjadikan suatu fakta itu terkini, lebih tepat dan lebih lengkap.

Walau bagaimanapun, hal ini tidak diterima oleh seluruh masyarakat. Mungkin, pada gambaran mereka, hasil penyelidikan mesti ditunjukkan menerusi produk. Malah, ada yang menyangka bahawa duit geran yang diperuntukkan hingga berjuta-juta ringgit pada saban tahun tanpa ada pulangan kepada masyarakat adalah suatu yang sia-sia.

Sebenarnya, banyak penyelidikan yang dilakukan oleh penyelidik Malaysia bermutu tinggi. Malah, banyak produk penyelidikan yang bermanfaat pada masyarakat. Malangnya, produk ini tidak diketahui dan tidak diuar-uarkan dengan meluas oleh media. Oleh sebab itu, hasil penyelidikan seolah-olah tidak sampai dan tidak diketahui oleh masyarakat.

Buktinya, sekumpulan penyelidik daripada Kumpulan Penyelidikan Simulasi dan Pemodelan Kejuruteraan Bioperubatan (BIOMEMS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Mahadi Abdul Jamil serta penyelidik bersama, Radzi Ambar dan Malik Ali membangunkan robot rehabilitasi dengan memperkenalkan sebuah prototaip lengan robotik yang dikenali sebagai penggenggam tangan tiruan (AHG).

Produk ini sekadar satu contoh daripada beribu-ribu produk lain yang masih tersimpan kemas dalam perpustakaan atau jabatan di universiti di seluruh negara. Mungkin disebabkan oleh kesukaran untuk melihatnya kerana dikategorikan sebagai koleksi tanda merah, hasil penyelidikan ini difokuskan pada individu yang berhasrat untuk merujuknya sahaja. Namun begitu, hasil inilah yang dikategorikan sebagai emas terpendam.

Dalam merakyatkan penyelidikan ini, perlu ada usaha yang proaktif daripada semua pihak. Antaranya termasuklah kerajaan, swasta, masyarakat dan media massa. Tanpa usaha daripada gabungan ini, kekallah hasil penyelidikan berharga ini dalam kutub khanah dalam tempoh berpuluh-puluh tahun lagi sebagai emas yang tertanam.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 3 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Genetik Mengkaji Keturunan Manusia

Oleh Padillah Yahya, Azian Harun dan Zilfalil Alwi.

Kajian keturunan melalui analisis genetik bukanlah suatu yang baharu dalam bidang sains di Barat. Hal ini bermula lebih daripada satu dekad yang lalu. Kajian ini didukung oleh perasaan ingin tahu yang amat tinggi berkenaan sejarah keturunan keluarga dan asal usul keturunan manusia dari sudut geografi dan antropologi.

Minat dalam bidang ini bertambah dengan kehadiran makmal komersial persendirian yang menyediakan perkhidmatan ujian genetik keturunan. Antaranya termasuklah DNAPrint (Sarasota, Florida), Genebase (Kanada) dan International Biosciences (United Kingdom).

Pendekatan analisis genetik seperti ini membolehkan pengenalpastian saudara-mara biologi dilakukan, terutamanya bagi penduduk Afrika di Amerika yang ingin mengetahui sejarah keluarga asal mereka yang terpisah disebabkan oleh dasar perhambaan sejak beratus-ratus tahun dahulu.

Dalam kalangan penyelidik Barat penggunaan genetik bagi menelusuri asal usul keturunan ialah satu aplikasi sains yang amat menarik dan relevan. Kini, kajian keturunan melalui genetik masih giat dilakukan. Hal ini dikembangkan lagi dengan mengaitkan genetik dengan rupa paras manusia, seperti warna rambut, warna mata, warna kulit, ketinggian dan bentuk muka.

Kemampuan ahli sains mengkaji keturunan manusia ini didorong oleh kehadiran satu bahan di dalam badan manusia yang amat penting. Bahan ini dikenali sebagai asid deoksiribonukleik (DNA).

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fokus, Genetik, Utama