Isu Endapan Asid Masih Relevan?

Oleh S. Mariam Sumari

Ungkapan endapan asid, pengasidan atmosfera dan hujan asid adalah antara ungkapan yang berkaitan dengan isu alam sekitar, khususnya pencemaran udara. Di rantau Asia Timur (Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam) ungkapan ini biasanya terhad di seminar atau persidangan yang dihadiri oleh sekumpulan kecil penyelidik.

Hal ini bukan isu panas seperti pemanasan global atau pemusnahan ozon yang mampu menarik perhatian penyelidik, orang kebanyakan dan pemerintah negara. Hal ini dikatakan demikian kerana kesannya terhadap manusia tidak mendadak atau ketara, seperti masalah jerebu yang biasa berlaku di Malaysia dan Singapura akibat pembakaran hutan di Sumatera.

Oleh sebab itu, fenomena ini tidak dianggap kritikal, seterusnya diabaikan oleh kebanyakan pihak berkuasa yang mempunyai mandat bagi menjadikan isu ini antara agenda negara yang perlu diberi perhatian.

Dengan pembangunan industri yang kian pesat di negara tertentu, seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand, pengajaran daripada apa-apa yang berlaku pada negara yang tamadun industrinya berlaku lebih awal, seperti England dan Eropah perlu diambil pengajaran.

Hal ini bermula daripada Revolusi Industri di England dan Eropah sekitar abad ke-17 berikutan penemuan banyak arang batu dari perut bumi. Setelah itu, industri bertumbuh dengan amat pesat disertai dengan bahan pencemar yang dilepaskan ke udara tanpa kawalan hingga sampai ke kemuncaknya sekitar abad ke-18.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Alam Sekitar, Fokus, Utama

Hujan Membawa Kotoran

Oleh Mohd Syukri Anwar

“Jangan bermain hujan, nanti demam.” Perkataan ini sering diucapkan oleh ibu bapa apabila anaknya bermain hujan. Hujan dianggap sebagai satu unsur yang berbahaya dan perlu dielakkan. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa menganggap bahawa sesiapa sahaja yang dibasahi hujan akan demam. Seolah-olah di dalam air hujan ada bahan yang mampu menyebabkan demam.

Sebenarnya, air hujan adalah antara air yang suci dan mampu menyucikan sesuatu benda. Air ini pernah menjadi keperluan utama suatu ketika dahulu kerana digunakan untuk membasuh dan menyiram sesuatu. Di kawasan tertentu di luar bandar, air hujan masih digunakan untuk keperluan harian.

Air hujan merupakan satu kejadian yang unik. Air ini terapung di udara dalam bentuk awan dan turun semula sebagai air hujan. Dalam perjalanan turun, air ini membawa bersama-sama unsur yang ada di udara. Unsur inilah yang menentukan, sama ada air hujan berbahaya atau tidak.

Di udara, ada pelbagai unsur. Antaranya termasuklah karbon dioksida (CO2), sulfur dioksida (SOx), nitrogen oksida (NOx), hidrokarbon, arsenik, kadmium, plumbum, merkuri, nikel, zink dan logam toksik. Sulfur dioksida (SOx) dan nitrogen oksida (NOx) pula terhasil daripada proses pembakaran bahan api fosil. Apabila air hujan bergabung dengan unsur ini, hujan asid terhasil.

Hujan asid inilah yang berbahaya kepada kesihatan manusia, tumbuhan dan bangunan. Hujan asid yang terhasil ini dikenali sebagai hujan asid lembap atau mendapan basah. Satu lagi jenis hujan asid ialah hujan asid kering atau mendapan kering. Kedua-dua jenis hujan ini mampu menyebabkan kemusnahan daun pokok, ketidaksuburan pokok, pengurangan tangkapan ikan dan hakisan pada infrastruktur dan monumen.

Walau bagaimanapun, apabila semua unsur yang memudaratkan ini tidak ada di udara, sama ada udara memang bebas daripada unsur ini atau semua unsur ini dibawa bersama-sama air hujan, air hujan yang turun selepas itu dikatakan bebas daripada pencemaran. Air hujan kembali menjadi bersih dan tidak berbahaya. Hal inilah yang dikatakan sebagai keunikan ciptaan Allah SWT yang mampu membawa kotoran bagi membersihkan udara.

Oleh sebab itu, setelah proses penghasilan hujan asid diketahui, semua pihak perlu mengurangkan pembebasan unsur pencemar ini. Isu ini perlu dianggap penting sebagaimana isu alam sekitar yang lain, seperti jerebu, tanah runtuh, banjir dan kesan rumah hijau.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 1 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Penyaman Udara Semula Jadi

Oleh Mohd Syukri Anwar

“Wah, seronoknya balik ke kampung! Udara di sini nyaman. Walaupun tiada penyaman udara di dalam rumah, masih rasa selesa.” Itulah ungkapan yang dituturkan oleh seorang cucu kepada datuknya ketika pulang ke kampung untuk berhari raya.

Mungkin hal ini bukan sahaja dirasai oleh cucu itu, tetapi turut dirasai oleh orang lain yang tinggal di bandar. Sebab itulah permintaan terhadap penyaman udara makin meningkat pada setiap tahun. Pada waktu dahulu, mungkin sebuah rumah memerlukan seunit penyaman udara. Namun begitu, pada waktu ini, setiap bilik memerlukan penyaman udara.

Di kampung, penyaman udara tidak perlu dibeli. Apatah lagi, ditukar selang beberapa tahun akibat rosak. Penyaman udara di kampung juga tidak menggunakan tenaga elektrik yang pastinya meningkatkan jumlah penggunaan tenaga elektrik. Uniknya, penyaman udara ini terletak di luar rumah. Yang lebih menarik, bilangannya bukan satu, tetapi banyak, iaitu di keliling rumah. Penyaman udara yang dimaksudkan ini ialah pokok yang menjadi teduhan bagi sesebuah rumah.

Kini, penyaman udara semula jadi ini makin sukar didapati. Proses perbandaran sedikit sebanyak mengorbankannya. Biasanya, apabila suatu kawasan dibangunkan bagi membina bangunan, sama ada rumah, kedai atau pejabat, kawasan itu dibersihkan daripada sebarang unsur yang dapat mengganggu kelancaran projek itu. Antara unsur yang menjadi penghalang termasuklah pokok.

Pokok memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Menerusinya, bekalan oksigen yang menjadi nadi kehidupan manusia diperoleh. Bukan itu sahaja, pokok juga berfungsi sebagai penebat haba yang menghalang haba daripada masuk ke dalam rumah.

Teorinya mudah. Ibarat seorang yang berjalan pada waktu tengah hari, kemudian berteduh di bawah sebatang pokok yang rimbun. Bukan sahaja terlindung daripada terik cahaya matahari, malah angin daripada pergerakan daun pokok membantu menyejukkan badan.

Menerusi Dasar Landskap Negara yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai taman terindah, usaha tanaman pokok landskap giat dilakukan. Usaha ini diharap bukan sahaja mencantikkan pemandangan dengan pokok yang teratur, tetapi dapat membantu mengembalikan fungsi penyaman udara semula jadi, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap penyaman udara moden yang menggunakan tenaga elektrik.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 10 2014

Atasi Kesan Perbandaran

Oleh Mohd Syukri Anwar

Jika dibandingkan jumlah bangunan dan kenderaan pada era 1960-an dengan waktu ini, terlalu banyak perbezaannya. Dari sudut kemajuan, perkara ini suatu yang harus dibanggakan. Namun begitu, dari sudut kesihatan masyarakat, banyak kesan buruk yang makin hari makin bertambah dan sukar dielakkan.

Hal ini disebabkan oleh sekitaran yang ada ini tidak dapat diubah semudah menyusun semula lego permainan, jika tidak menepati kehendak pemainnya. Maka, hiduplah masyarakat dalam suatu bekas tertutup yang menyebabkan mereka tidak dapat keluar daripadanya.

Perancangan perbandaran yang strategik perlu mengambil kira faktor yang mendirikan ekosistem ini. Tiada satu unsur yang dapat dikecualikan melainkan semua hak unsur ini ditunaikan sebelum tanah dikorek, bukit ditarah, hutan ditebang, haiwan dibunuh dan bangunan didirikan. Semua unsur ini saling berkaitan rapat antara satu dengan lain menerusi hubungan mangsa – pemangsa, persaingan, simbiosis, mutualisme dan parasitisme.

Antara kesan paling teruk yang dideritai oleh masyarakat pada masa ini termasuklah strok haba atau fenomena pulau haba. Fenomena ini dikaitkan dengan ketumpatan bangunan yang tinggi dan struktur bangunan di bandar yang menyerap sinaran matahari, penggunaan bahan bangunan yang menyerap haba, kekurangan kawasan hijau, dan pengeluaran haba antropogenik.

Gesaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya rakyat berjaga-jaga terhadap tanda awal strok haba menunjukkan bahawa fenomena ini harus dipandang serius oleh masyarakat dan pihak yang bertanggungjawab. Strok haba dapat dikenal pasti apabila bacaan suhu badan melebihi 40.5 darjah Celsius berbanding dengan suhu biasa badan manusia, iaitu 37 darjah Celsius.

Penyelidik tempatan perlu bersikap lebih proaktif dalam menghasilkan produk yang mengurangkan kesan buruk perbandaran ini. Produk ini perlu meliputi bahan binaan bangunan yang menggunakan teknologi hijau, mesra alam dan mengurangkan ketidakselesaan yang dihadapi oleh masyarakat.

Di samping itu, jumlah kategori utama yang mensyaratkan penilaian impak alam sekitar (EIA) perlu ditambah. Hal ini penting supaya setiap aspek yang berkaitan dengan alam sekitar, walaupun kecil dinilai sebelum suatu projek itu diteruskan.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 09 2014

Penawar Kanser di Hospital

Hampir 90 peratus penghidap kanser sembuh apabila kanser dikesan pada peringkat awal, iaitu tahap I dan II, sebelum sel kanser merebak ke bahagian badan yang lain. Namun begitu, kadar kelangsungan hidup penghidap kanser hanya 20 peratus, jika kanser dikesan pada tahap III dan IV.

Hal ini menunjukkan bahawa suatu penyakit itu dapat dirawat, jika pengesanan awal dilakukan. Pengesanan yang berautoriti perlu dilakukan oleh doktor pakar yang bertauliah dan bukannya oleh sesiapa sahaja yang mengaku tahu akan penyakit itu. Apatah lagi, jika dakwaan tentang rawatan penyakit datangnya daripada penjual produk makanan kesihatan.

Ironinya, masyarakat lebih percaya akan kata-kata keramat penjual ubat berbanding dengan kata-kata seorang doktor pakar yang telah belajar selama bertahun-tahun dan menjalani latihan perubatan di hospital. Banyak orang yang lebih rela menjadi bahan uji kaji apabila sanggup mencuba pelbagai produk kesihatan berbanding dengan berjumpa doktor, seterusnya menjalani rawatan yang diiktiraf keberkesanannya. Mereka beranggapan bahawa tidak salah mencuba setiap produk itu dengan harapan bahawa daripada pelbagai produk yang dicuba, mungkin ada produk yang berjaya mengurangkan sakit yang dideritainya.

Malah, sikap suka bertangguh dan berasa bahawa diri masih sihat dan tidak sakit antara faktor utama yang menyebabkan suatu penyakit itu lewat dikesan. Hal ini ditambah dengan tahap penjagaan kesihatan yang masih rendah dalam kalangan masyarakat. Penjagaan kesihatan ini meliputi aspek pengambilan makanan yang sihat dan senaman yang dapat menjaga sistem fungsi tubuh di dalam badan.

Dari satu segi yang lain, mungkin faktor suasana hospital yang sinonim dengan pesakit perlu menunggu dalam tempoh yang lama, keadaan hospital yang tidak menyelesakan dan kekurangan tempat letak kenderaan membantutkan hasrat pesakit untuk menjalani pemeriksaan. Hal ini ditambah dengan pelepasan keluar pejabat oleh majikan yang begitu berkira dengan waktu keluar pejabat.

Hakikatnya, setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ubat itu serasi atau sesuai dengan suatu penyakit, penyakit itu dapat sembuh dengan izin Allah SWT. Sabda Rasullulah SAW: “Sesungguhnya Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan diturunkan juga penawar baginya, yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya dan tidak diketahui oleh orang yang memang tidak mengetahuinya.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 08 2014

Nikotin Perosak Tulang Manusia

Empat perpuluhan tujuh juta! Itulah jumlah perokok di Malaysia pada tahun 2012. Kadar ini meningkat daripada 3.1 juta perokok pada tahun 2007. Malah, sebanyak 40 – 50 perokok baharu dicatatkan pada setiap hari. Walau bagaimanapun, kadar ini tidak menunjukkan angka sebenar perokok. Hal ini dikatakan demikian kerana daripada seorang perokok yang dikenal pasti, mungkin ada sembilan lagi perokok yang tidak dikenal pasti atau dilaporkan.

Kesan utama rokok disebabkan oleh kandungan nikotin yang ada di dalam sebatang rokok. Nikotin ini mampu merosakkan tulang manusia dengan cara mengurangkan ketumpatan mineral tulang dan penyerapan kalsium. Bahan ini juga mengganggu proses pembentukan dan pemulihan tulang.

Tulang yang merupakan struktur asas di dalam badan manusia merupakan sejenis tisu hidup. Walaupun kelihatan keras, tulang mengalami penguraian dan pembinaan semula. Secara normalnya, manusia mula kehilangan jisim tulang pada usia 30 tahun. Oleh sebab itu, sebarang unsur luar yang dapat meningkatkan proses penguraian tulang perlu dielakkan.

Selain itu, kerosakan tulang menjejaskan kehidupan yang bakal dilalui. Tulang yang lemah akibat nikotin membantutkan pergerakan kerana setiap pergerakan perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan diri daripada terjatuh atau terlanggar benda keras. Jika hal ini berlaku, tulang dapat retak atau patah. Lebih malang lagi apabila tulang yang patah itu melibatkan tulang belakang yang seterusnya mewujudkan risiko lumpuh. Hal ini pastinya menjadi mimpi ngeri bagi setiap orang.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan MPOWER pula, sebanyak 5.8 juta perokok mati setiap tahun akibat merokok. Malah, jumlah ini dijangka meningkat kepada lapan juta orang menjelang tahun 2030 dan lebih 80 peratus kematian berlaku di negara membangun. Maka, usaha yang berterusan oleh pihak kerajaan menerusi pelbagai program, seperti kempen berhenti merokok perlu disokong oleh setiap golongan masyarakat bagi mengurangkan kehilangan modal insan yang kita sayangi.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 07 2014

Madu Perlu Asli

Kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan makin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini mungkin disebabkan oleh banyak orang yang berpenyakit dan tidak kurang juga yang mati pada usia muda. Banyak faktor yang menjadi penyumbang kepada hal ini. Antaranya termasuklah kesibukan bekerja hingga tiada masa bersenam dan makan makanan segera supaya tidak perlu membazir waktu, jika makan makanan yang berlauk. Selain itu, tekanan kewangan dan kerja turut meningkatkan risiko kepada kesihatan.

Apabila senario ini berlaku, wujud rasa takut dalam diri manusia yang mendorong kepada pencarian produk kesihatan. Antaranya termasuklah madu. Madu sememangnya berkhasiat. Banyak kajian yang dilakukan bagi membuktikan keberkesanan madu dalam merawat masalah kesihatan atau meningkatkan status kesihatan. Malah, dalam al-Quran turut mempunyai satu surah tentang lebah. Lebah sejenis haiwan yang diilhamkan untuk membina sarang di beberapa tempat yang hampir dengan tempat tinggal manusia. Hal ini pasti ada hikmahnya.

Dengan khasiat madu ini, banyak orang yang mengambil peluang untuk mencari dan menjual madu kepada orang awam. Apabila permintaan terlalu banyak hingga menyebabkan bekalan tidak mencukupi, berlakulah penipuan dalam penghasilan madu. Madu dihasilkan secara tidak alamiah atau dengan kata lain tidak dihasilkan oleh lebah.

Oleh sebab itu, pasti khasiat yang sepatutnya diperoleh tidak akan dapat dinikmati. Malah, madu yang tidak asli tidak diketahui tentang kemudaratannya. Hal ini dikatakan demikian kerana ada madu yang tidak asli yang dihasilkan daripada gula. Telah diketahui bahawa gula menyumbang kepada kemudaratan yang besar, jika diambil dalam kuantiti yang banyak.

Bagi mengatasi masalah ini, kajian tentang madu tiruan perlu dibanyakkan bagi membuktikan kepada masyarakat bahawa madu tiruan sememangnya membahayakan kesihatan. Penjualan madu juga perlu dipantau oleh jabatan berwajib agar tidak ada lagi madu tiruan yang dijual dalam pasaran. Cap pengesahan asli juga perlu dikeluarkan oleh kerajaan supaya masyarakat tidak tertipu dengan produk madu tiruan. Akhirnya barulah khasiat madu asli benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 06 2014

Kuasa Atas Segala Kuasa Teknologi

Manusia suka mencari punca kepada setiap peristiwa yang berlaku sama ada kepada mereka atau alam keliling mereka. Hal ini tidak pelik dan tidak salah kerana inilah yang dikatakan sebagai fitrah. Allah ciptakan manusia antaranya bertujuan mengkaji setiap perkara yang berlaku bagi memudahkan manusia memahami, seterusnya dapat melakukan suatu perkara yang dapat membantu manusia menjalani kehidupan di dunia ini.

Oleh sebab itu, pada hari ini, lahirlah pelbagai bidang ilmu dan alatan teknologi yang tidak pernah terbayang oleh orang dahulu. Namun begitu, perlu diingat bahawa setiap kajian itu mestilah berakhir dengan satu titik pertemuan yang sama, iaitu jalan menuju Allah.

Tidak hairanlah jika dilaporkan bahawa ada pengkaji ulung yang mencapai tahap yang tinggi dalam bidang ilmu akhirnya bertemu dengan “jalan kebenaran”. Mereka akhirnya tunduk dan percaya akan adanya satu kuasa yang lebih hebat daripada teknologi

yang mentadbir alam ini. Oleh sebab itu, jadilah mereka itu orang yang nampak (faham) bahawa setiap yang berlaku itu ada Allah di baliknya.

Anehnya ada segelintir manusia yang tidaklah sehebat atau sepintar cendekiawan dunia, tetapi menafikan atau menjadikan seolah-olah Allah itu tiada peranan dalam fenomena yang berlaku di dunia umumnya dan Malaysia khususnya. Bermula daripada awal tahun ini, iaitu cuaca dingin, cuaca panas, kemarau, ketiadaan air, kebakaran, jerebu, denggi dan terkini kehilangan pesawat MH370.

Pesawat yang dikatakan antara yang terhebat ini sepatutnya telah ditemukan berdasarkan keupayaan teknologi pengesan yang ada. Hampir agak mustahil semua radar tidak dapat mengesan pesawat ini. Malah, pesawat ini dilengkapi dengan alatan yang membolehkan komunikasi dilakukan walaupun wujud sebarang masalah.

Maka tibalah masanya untuk kita kembali kepada empunya segala teknologi. Tinggalkan segala sifat ketaksuban kepada kekuasaan teknologi. Betapa hebat pun kuasa teknologi, ada kuasa lain yang lebih hebat daripada itu, iaitu kuasa atas segala kuasa teknologi.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2014

Cuaca Dingin Fenomena Berulang

Apabila masyarakat dikejutkan dengan penurunan suhu di beberapa kawasan di Malaysia, banyak yang teruja dan ingin tahu akan punca kepada kejadian ini. Tidak kurang juga ada yang cemas dan mengaitkannya dengan tanda akhir zaman yang menandakan alam ini akan berakhir tidak lama lagi.

Begitu juga ada yang menyalahkan pihak tertentu kerana mengaitkan isu ini dengan penebangan hutan yang melampau hingga menyebabkan angin dingin terus sampai ke kawasan perumahan. Yang paling menarik ialah ada individu yang meramalkan bahawa Malaysia akan mengalami musim salji ekoran daripada peristiwa ini.

Hakikatnya, fenomena ini merupakan fenomena berulang yang berlaku pada setiap tahun. Bezanya hanya pada bacaan suhu yang dicatatkan. Malah, sebenarnya pada era 60-an dan 90- an telah berlaku fenomena suhu yang sangat rendah di Malaysia. Namun begitu, fenomena ini tidak mendapat liputan yang meluas sebagaimana yang berlaku pada kali ini.

Beberapa faktor dikenal pasti menjadi punca kepada keadaan ini. Antaranya termasuklah penyebaran maklumat yang tidak secanggih dan meluas seperti sekarang. Dahulu, sebarang peristiwa banyak bergantung pada wartawan dan pemberita. Kini, setiap orang bertindak sebagai pemberita menerusi media sosial. Oleh sebab itu, berita tersebar dengan cepat dan meluas.

Walaupun fenomena ini merupakan perkara biasa, namun beberapa persediaan perlu dilakukan. Antaranya termasuklah dari segi pakaian dan penjagaan kesihatan, terutamanya bagi golongan yang berisiko. Risiko demam, sakit kepala dan selesema mungkin meningkat. Hal ini lebih teruk bagi penghidap asma.

Masyarakat tidak sepatutnya terkejut dengan suhu dingin yang dicatatkan di Malaysia kerana mereka sebenarnya telah biasa dengan suhu dingin. Hal ini dikatakan demikian kerana di dalam kereta, di dalam rumah dan di dalam bangunan, hampir semuanya dilengkapi dengan penyaman udara yang dapat menghasilkan keadaan yang dingin.

Dari satu segi, paparan fenomena ini ada baiknya kerana setidak-tidaknya masyarakat maklum bahawa pada tahun hadapan dan tahun berikutnya, fenomena ini berulang semula. Oleh sebab itu, persediaan awal dapat dilakukan bagi menantikan kemunculannya.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2014

Pengguna, Ubat dan Produk Kesihatan

Mari rapat adik, abang, pakcik. Di sini ada produk yang dapat ubati pelbagai penyakit. Minyak ini jika disapu dapat menyembuhkan penyakit luar badan. Ubat ini pula jika dimakan dapat menyembuhkan penyakit dalaman. Jika tidak beli, akan rugilah. Murah sahaja saya jual produk ini. Jika tidak berkesan, saya pulangkan duit tuan-tuan.” Itu antara dialog yang sering pengguna dengar apabila lalu di kawasan pasar yang ada penjual ubat.

Pada waktu dahulu, tarikan kepada produk kesihatan dilakukan di pasar sahaja. Kini pelbagai tarikan dan promosi produk kesihatan dilakukan menerusi media massa, seperti surat khabar, majalah, radio, televisyen dan internet. Dengan berbekalkan beberapa testimonial yang meyakinkan pengguna, pengeluar produk kesihatan muncul di media massa bagi mempromosikan produk mereka.

Pengguna perlu faham bahawa testimonial ialah satu bukti yang dapat direka. Jika testimonial yang diberi tidak direka dan pesakit benar-benar sembuh setelah suatu produk kesihatan dimakan, tidak semestinya kesembuhan itu diperoleh disebabkan oleh produk kesihatan itu sendiri.

Ada pelbagai kemungkinan yang dapat menyebabkan seseorang itu sembuh. Tanpa kajian saintifik yang terperinci bagi mengesahkan bahawa suatu produk kesihatan sememangnya mampu menyembuhkan penyakit, testimonial itu belum dapat dikatakan kuat dan tidak sepatatutnya dipercayai begitu sahaja. Dengan kata lain, produk kesihatan itu mungkin hanya memainkan peranan yang sangat kecil atau langsung tidak mempunyai peranan dalam membantu kesembuhan pengguna.

Contohya ada pengeluar produk kesihatan yang meminta pengguna untuk memakan produk mereka dengan syarat tertentu. Antaranya termasuklah tidak memakan produk mereka bersama- sama makanan tertentu dan mengurangkan pengambilan makanan tertentu. Ada kemungkinan bahawa penyakit itu masih tetap sembuh tanpa produk kesihatan itu apabila pengambilnya hanya memakan dan mengelakkan pengambilan makanan tertentu.

Hakikatnya, pengguna sering keliru antara ubat dengan produk kesihatan. Hal ini berlaku kerana pengeluar produk kesihatan sering mendakwa bahawa produk mereka mampu menyembuhkan pelbagai penyakit tertentu. Malah ada sesetengah produk kesihatan yang didakwa dapat mengubati hingga berpuluh-puluh jenis penyakit. Oleh sebab itu, berfikirlah secara kritis dan mintalah pandangan pakar perubatan sebelum suatu produk kesihatan diambil.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2014