TELUR TIRUAN MEMUDARATKAN KESIHATAN

Jumlah kes makanan tiruan makin meningkat di seluruh dunia sejak belakangan ini. Pada waktu sebelum ini, duniadikejutkan dengan kewujudan melamin dalam susu formula bayi. Kehadiran melamin ini menyebabkan kematian enam bayi pada tahun 2008 dan dijangka menyebabkan sebanyak 300 ribu bayi menghidap penyakit kronik pada masa akan datang.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Organisasi Makanan Sedunia, nilai penipuan makanan ini menyumbang antara US$30 hingga US40 bilion kepada sektor pengeluaran makanan pada setiap tahun. Hal ini bermakna pengeluar makanan tiruan yang tidak beretika menerima keuntungan daripada pengguna dalam jumlah yang sangat besar pada setiap tahun.

Di balik kehilangan wang bagi makanan yang tidak berkualiti, pengguna berhadapan dengan masalah yang lebih besar, iaitu berisiko menghidap pelbagai penyakit berbahaya disebabkan oleh pengambilan makanan tiruan.

Sebagai contohnya, pengguna dikejutkan dengan berita penemuan telur tiruan yang dilaporkan di laman sosial. Secara teorinya, telur ialah makanan yang sangat kaya dengan nutrien. Sebiji telur dapat membekalkan sebanyak enam gram protein yang menjadi komponen penting bagi tumbesaran.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fitokimia

Gajah Beranak Merawat Kanser Payudara

Oleh NOOR ZARINA ABD WAHAB

GONIOTHALAMUS  tumbuhan daripada genus Annonaceae yang kedua terbesar di Asia. Tumbuhan ini digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional masyarakat tempatan sejak turun temurun.
Di Malaysia, tumbuhan Goniothalamus tumbuh subur di bahagian utara negeri Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Antara spesies tumbuhan ini termasuklah Goniothalamus amuyon, G. andersonii, G. arvensis, G. borneensis, G. cardiopetalus, G. cheliensis, G. donnaiensis, G. gardneri, G. giganteus, G. griffithii, G. howii, G. leiocarpus, G. malayanus, G. macrophyllus, G. marcanii, G. montanus, G. scortechinii, G. sesquipedalis, G. tapis, G. thwaitesii, G. umbrosus, G. uvaroides dan G. velutinus.
Kajian etnobotani dan genetik membuktikan bahawa populasi spesies tumbuhan G. umbrosus yang terdapat di Kelantan mungkin berasal dari sekitar Sungai Golok, kemudiannya tersebar ke Pahang. Spesies G. umbrosus tidak terdapat di Sarawak. Namun begitu, G. tapis dijumpai di Sumatera, bahagian timur Semenanjung dan bahagian selatan Sarawak.
Tumbuhan Goniothalamus dikenali sebagai selayak hitam, selada, melada dan gajah beranak oleh masyarakat tempatan. G. umbrosus pula dikenali sebagai kenerak. Dalam perubatan tradisional, tumbuhan ini digunakan untuk menjarakkan kelahiran. Contohnya, daun G. macrophyllus yang dikenali sebagai selada, selayak atau penawar hitam digunakan untuk melegakan demam, manakala air rebusan akarnya untuk rawatan meroyan dan keguguran janin.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Fitokimia

Ujian Kanser Paru-paru

Oleh Che Wan Aminud-din Hashim

APABILA seseorang mempunyai gejala yang memungkinkan mereka menghidap kanser paru-paru, segera ke hospital atau klinik untuk mendapatkan nasihat doktor. Tambahan pula, jika pesakit berisiko tinggi berdasarkan faktor usia dan tabiat merokok. Yang penting, kanser dapat dikesan awal. Hal ini demikian kerana kemungkinan penyakit dapat dirawat dan pesakit sembuh sepenuhnya, lebih tinggi.

Ujian yang biasanya dilakukan untuk mengesan kanser termasuklah ujian darah dan ujian imbasan. Ujian imbasan termasuklah sinar-X dan imbasan CT (tomografi komputer). Untuk memastikan jenis ketumbuhan pula, tisu atau sel yang berasal daripada ketumbuhan kanser perlu diuji di makmal.

Bukan semua ujian perlu dilakukan ke atas seseorang pesakit. Doktor akan menasihatkan pesakit mengenai ujian yang perlu dilakukan dan yang perlu didahulukan. Pesakit boleh mendapatkan semua maklumat mengenai ujian yang akan dilakukan termasuklah tatacara ujian dan risiko yang mungkin ada.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Fitokimia

Kunyit sebagai Antikanser

Oleh Norfarizan Hanoon Noor Azmi dan Nurraihana Hamzah

KUNYIT merupakan rizom daripada pokok Curcuma longa L. Pokok ini ditemui di belukar dan semak samun. Kunyit berasal dari Asia Tenggara dan Asia Selatan, tetapi kini ditanam untuk tujuan komersial di India, China, Indonesia dan Indochina.

Kunyit digunakan dalam perubatan tradisional, pewarna makanan dan upacara keagamaan dan pemujaan sejak tahun 600 Sebelum Masihi.

Dalam perubatan Melayu, kunyit digunakan untuk merawat darah tinggi, demam kuning, cirit-birit, meningkatkan selera makan, ubat sakit perut dan sembelit. Kajian saintifik membuktikan kunyit mempunyai sifat antibarah, antiradang dan dapat melindungi kesan biologi lain dalam manusia. Kesan ini disebabkan oleh sebatian kunyit, iaitu kurkumin yang telah dikaji secara meluas terhadap kesan antiradang, antioksidan, penyembuh luka dan antibarah.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Fitokimia

Bahan Aktif dalam Tumbuhan Herba

Oleh NUR AZIAH HANAPI

TUMBUHAN herba mengandungi pelbagai jenis bahan aktif yang bertanggungjawab terhadap kesan terapeutik. Antara bahan aktif tersebut termasuklah alkaloid, flavonoid, saponin, minyak volatil, tanin dan steroid. Selain itu, tumbuhan herba mempunyai pelbagai jenis vitamin dan mineral.

Sungguhpun demikian, bukan semua bahan aktif ini bertindak untuk mengubati penyakit. Ada tumbuhan yang mempunyai kandungan toksik tinggi sehingga boleh menyebabkan kematian jika diambil tanpa kawalan dan berlebihan. Sesetengah bahan aktif ini bertindak sendiri untuk memberikan kesan terapeutik. Sebilangan yang lain pula memerlukan bahan aktif lain untuk membentuk kombinasi bagi menghasilkan kesan terapeutik. Kesan terapeutik merupakan kesan daripada penggunaan ubat, iaitu kelegaan serta penyembuhan penyakit.

Alkaloid merupakan sebatian kimia organan yang terdiri daripada nitrogen  serta tidak mempunyai bau dan rasa. Pelbagai jenis alkaloid didapati dalam tumbuhan herba dan kebanyakannya merupakan racun yang sangat kuat kepada manusia dan haiwan. Masyarakat dahulu mengaplikasikan penggunaan alkaloid sebagai racun untuk membunuh binatang ataupun musuh.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

__

Posted in: Fitokimia, Utama