Berenga Merawat Luka

Oleh SHAIFUZAIN AB RAHMAN
AKHIR-akhir ini, penggunaan berenga lalat untuk rawatan luka semakin mendapat perhatian yang meluas dalam dunia perubatan. Penggunaan kaedah tersebut terutamanya untuk rawatan luka kronik, seperti luka pada kaki pesakit kencing manis semakin diterima ramai.
Penggunaan berenga dalam rawatan luka wujud sejak beribu-ribu tahun lalu. Bukti bahan arkeologi menunjukkan bahawa orang Maya menggunakan kaedah rawatan luka dengan menggunakan berenga.
Kajian antropologi pula menyatakan bahawa orang Maya merendamkan kain kasa ke dalam darah lembu sebelum meletakkannya pada luka untuk menarik perhatian lalat supaya bertelur, kemudiannya menjadi berenga yang memakan tisu mati pada luka.
Dalam al-Quran menyebut tentang penggunaan berenga dalam rawatan luka dan kudis, seperti yang terdapat dalam kisah Nabi Ayub a.s. Dalam filem “The Gladiator” pula terdapat adegan Russel Crowe yang membawa watak utama, membiarkan berenga merawat luka pada bahunya.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Wabak Semut Kayap

Oleh HEO CHONG CHIN

SUDAH beberapa kali wabak semut kayap melanda negara ini. Adakah semut kayap sejenis semut? Adakah semut ini berbahaya? Sehingga hari ini, wabak semut kayap

masih berlaku tanpa disedari dan jarang-jarang dilaporkan. Oleh sebab semut kayap boleh “melecurkan” permukaan kulit pesakit, maka “semut” ini dianggap penting dari segi perubatan.

Di Malaysia, kes pertama pada tahun 1919. Kemudian, profesor daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula melaporkan wabak semut kayap dalam kalangan 12 orang pelajar perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian, Kelantan, pada tahun 1993. Selepas itu, wabak terbesar berlaku di Pulau Pinang, yang menyebabkan sebanyak 2000 penduduk diinfestasi semut kayap pada September 2002, dan kes ini menarik perhatian media serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Wabak seterusnya dilaporkan pada tahun 2008 dan berlaku di sebuah sekolah rendah di Terengganu yang melibatkan 36 murid sekolah. Sehingga kini, ahli kaji serangga (ahli entomologi) masih berhadapan dengan kes infestasi semut kayap dalam kalangan penduduk, terutama penduduk yang tinggal berdekatan dengan sawah padi dan ladang kelapa sawit.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012