LOHONG HITAM SUMBER TENAGA

Prinsip keabadian tenaga sebagai aturan ilmu fizik menyatakanbahawa jumlah tenaga tidak bertambah, walaupun tenagadapat berubah daripada suatu jenis kepada jenis yang lain.Sebagai contohnya, tenaga ada dalam pelbagai bentuk dan dapatdilihat sebagai perubahan pada ketinggian atau kelajuan.
Tenaga dapat menjadi bentuk gelombang elektromagnet yang bergerak, atau sebagai jenis getaran
atom yang menghasilkan haba. Apabila brek kereta ditekan, tenaga kinetik kereta tidak musnah, sebaliknya bertukar bentuk menjadi tenaga haba dan bunyi.
Berdasarkan pelbagai jenis manifestasi, tenaga dapat berubah-ubah, tetapi jumlah seluruh tenaga sentiasa abadi. Hal ini bermakna tenaga tidak dapat dicipta atau dimusnahkan.
Banyak pencipta yang optimis untuk menghasilkan mesin tenaga yang dapat menjadikan idea penciptaan tenaga baharu suatu kenyataan. Ada ahli sains yang menekankan bahawa idea penciptaan mesin gerakan abadi, iaitu sejenis mesin yang pada teorinya dapat bergerak secara nalar tanpa menerima bekalan tenaga dari luar adalah mustahil. Hal ini dikatakan demikian kerana tenaga dari luar melanggar asas hukum fizik keabadian tenaga. Yang menjadi persoalan ialah kebenaran tenaga dapat dicipta daripada sesuatu yang kosong atau tiada.

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

GIGIT KUKU GANGGUAN PSIKOLOGI

Setiap manusia ada tabiat yang tersendiri sejak kecil lagi.Antara tabiat ini termasuklah menggigit jari. Secara lazimnya, tabiat ini dilakukan secara berulang-ulang tanpadisedari. Secara biasanya pula yang dikatakan sebagai tabiatmenggigit kuku ini termasuklah menggigit kulit luar kuku, tisulembut di keliling kuku dan menggigit kuku.
Tabiat menggigit kuku juga dikenali sebagai onikofagia atau onikopagi. Tabiat ini tabiat yang buruk dan memudaratkan kesihatan. Dari sudut psikologi kelakuan ini menjadi kebiasaan bagi orang yang ingin melegakan ketegangan diri. Orang yang menggigit kuku selalunya melakukan perbuatan ini apabila berasa gembira, bosan, bimbang, cemas, tertekan atau menjadi kebiasaan sejak kecil. Kelakuan ini juga turut dikaitkan dengan gen atau keturunan.
Berdasarkan kajian psikologi, tabiat menggigit kuku biasanya dibahagikan kepada beberapa kategori usia. Kategori pertama usia antara tiga hingga enam tahun (23 %). Kategori kedua usia antara tujuh hingga 10 tahun (33 %). Kategori ketiga, iaitu remaja (45 %). Kategori keempat, iaitu orang dewasa muda (19 % hingga 29 %). Kategori kelima, orang dewasa tua (59 %). Tabiat ini paling kerap berlaku selepas akil baligh dan berkurang setelah dewasa.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

ALKOHOL PEROSAK HATI

Arak yang beralkohol dapat menyebabkan kerosakan pada badan, sama ada pada fizikal
atau fikiran. Antara kerosakan fizikal yang boleh berlaku termasuklah kerosakan hati,
iaitu hati berlemak, hepatitis dan sirosis. Kerosakan ini boleh berlaku pada masa dan orang yang sama.

Masalah ini tidak mungkin dialami, jika arak tidak minum. Bagi semua jenis
penyakit hati yang disebabkan oleh alkohol, rawatan utamanya adalah dengan berhenti
minum arak sepenuhnya.

Apabila arak diminum, alkohol terserap ke dalam aliran darah daripada perut dan usus. Semua darah daripada perut dan usus terlebih dahulu melalui hati sebelum beredar ke seluruh badan. Oleh sebab itu, kepekatan tertinggi alkohol ada di dalam darah yang
mengalir ke hati. Sel hati mengandungi enzim atau bahan kimia yang terlibat dalam
pemprosesan alkohol. Alkohol ini dipecahkan dalam bentuk bahan kimia yang lain, seterusnya terurai dalam bentuk air dan karbon dioksida. Bahan ini tersalur keluar melalui air kencing dan daripada paru-paru. Oleh sebab itu, dalam tempoh sejam, alkohol diminum dalam jumlah yang banyak, dalam masa yang singkat, kepekatan alkohol di dalam aliran darah meningkat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

MISTERI LOHONG HITAM

Penerangan fenomena lohong hitam dari segi sains bermula pada tahun 1915 apabila teori kerelatifan umum diterbitkan oleh Albert Einstein. Teori ini diterbitkan bagi menggantikan hukum Newton yang hanya mengaitkan lohong hitam sebagai kawasan yang mempunyai medan graviti yang kuat. Guli yang melayang berhampiran dengan lohong hitam pula ditarik oleh kuasa graviti yang dahsyat untuk masuk ke dalam lohong hitam.

Dalam teori kerelatifan, diandaikan bahawa pada bahagian pusat lohong hitam, ada keadaan yang dikenali Bintang kerdil putih ialah bintang yang intrinsiknya malap, berjejari kecil dan berketumpatan tinggi. Bintang neutron pula ialah sisa bintang raksasa yang mengakhiri jangka hayatnya dengan kemusnahan letusan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Teknologi Membaca Minda

Oleh Nor Azida Ishak

Teknologi membaca minda tidak lagi terhad dalam kisah fiksyen sains atau fantasi. Sebaliknya, teknologi ini makin hampir direalisasikan. Menerusi sains, imej di dalam otak manusia dapat dicipta semula menggunakan teknik pengimbas yang popular dalam bidang perubatan.

Proses membaca minda ini melibatkan fungsi pengimejan resonans magnetik (MRI) dan pengimejan resonans magnetik kefungsian (fMRI), sejenis alat pengimbas yang sering diaplikasikan bagi pendiagnosisan tumor dan anomali otak.

Terkini, fMRI dan model simulasi pengkomputeran digunakan oleh ahli sains bagi mencipta semula imej dinamik yang dilihat oleh manusia secara visual. Hal ini bermakna apa-apa yang dilihat dan difikirkan oleh manusia dapat dinyahkodkan dengan bantuan sains dan teknologi.

MRI merupakan alat diagnostik yang digunakan bagi menangkap imej organ di dalam tubuh. Antaranya termasuklah otak, sumsum tulang belakang, saraf, dada, perut, pembuluh darah dan jantung. Alat ini kerap dipilih oleh doktor kerana medan magnet dan gelombang frekuensi radio yang digunakan tidak memudaratkan pesakit. Malah MRI didapati sesuai digunakan bagi pesakit yang menderitai penyakit pada tahap kronik, seperti kanser. Hal ini dikatakan demikian kerana sebarang pembedahan atau pendedahan terhadap radiasi sinar-X tidak diperlukan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Comments Off

Fenomena Serigala Jadian Terbongkar?

Oleh Nor Azida Ishak

Berita serigala jadian memang wujud sejak beribu-ribu tahun dahulu. Berdasarkan legenda, serigala jadian menjelma dalam bentuk manusia pada waktu siang. Namun begitu, apabila Bulan mula mengambang, manusia ini bertukar menjadi serigala jadian yang tiada perikemanusiaan. Serigala jadian ini bertukar kepada bentuk manusia apabila Matahari terbit, tanpa mengingati apa-apa yang berlaku pada malam sebelumnya.

Ada beberapa kisah mengerikan tentang manusia yang sanggup membunuh manusia lain selepas bertukar menjadi serigala jadian. Pada tahun 1573, Gilles Garnier, seorang lelaki Perancis, dihukum mati. Dia mendakwa dirinya ialah seekor serigala jadian setelah membunuh dan memakan daging lebih empat orang kanak-kanak yang berusia antara 10 – 12 tahun.

Malah, lebih 50 orang saksi melihat dia mengoyakkan badan seorang kanak-kanak dan memakan dagingnya. Garnier menceritakan bahawa dia memperoleh keupayaan untuk bertukar menjadi serigala jadian selepas bertemu dengan syaitan ketika berburu mencari makanan di dalam hutan pada waktu malam.

Kes yang sama berulang di Perancis sekitar era 1600-an. Jean Grenier, seorang remaja berusia 13 tahun mendakwa bahawa dirinya pernah bertemu dengan syaitan di dalam hutan. Syaitan itu memberikan sejenis kulit serigala yang membolehkan jasadnya bertukar menjadi serigala jadian.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 4 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Sains Penumbuhan Semula

Oleh Nor Azida Ishak

Jika ekor cicak putus, anggota yang hilang ini dapat dihasilkan semula daripada tubuhnya yang masih hidup. Cicak berkebolehan menanggalkan ekornya apabila menghadapi bahaya, terutamanya apabila diterkam oleh pemangsa. Proses menanggalkan ekor atau kaudal ini merupakan taktik pertahanan yang biasa dilakukan oleh haiwan dalam kategori cicak.

Ekor cicak yang terputus daripada badannya masih dapat bergerak bagi menarik perhatian pemangsa. Ketika ekor ini bergerak, pemangsa memberikan perhatian terhadap ekor. Hal ini menyebabkan cicak sempat melarikan diri. Kebanyakan cicak menumbuhkan semula ekornya dalam tempoh sembilan bulan.

Bagi sesetengah haiwan, proses penumbuhan semula berlaku dengan menyeluruh hingga seluruh tubuh multiselularnya dapat tumbuh semula, walaupun haiwan ini hanya tinggal sebahagian tisu kecil. Misalnya, tapak sulaiman dapat menumbuhkan semula tangannya yang putus. Seperti cicak, tapak sulaiman menanggalkan tangannya untuk melarikan diri daripada pemangsa.

Tangan yang putus ini berupaya menghasilkan seekor tapak sulaiman yang baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana organ penting bagi tapak sulaiman terletak pada tangannya. Biasanya, proses penumbuhan ini memerlukan tempoh selama setahun. Paling hebat, seekor cacing planaria berupaya menghasilkan tubuh baharu, walaupun hanya memiliki 1/200 jisim tubuhnya yang asal.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Air Penawar atau Racun?

Oleh Benedict Anak Samling

Air sangat penting dalam kehidupan manusia dan mempunyai pelbagai kegunaan harian. Air diklasifikasikan kepada dua jenis, iaitu air keras dan air lembut. Istilah air keras merujuk air yang mengandungi kuantiti kalsium dan kapur yang tinggi, manakala air lembut merujuk air yang mengandungi kuantiti kalsium dan kapur yang rendah.

Air yang tergolong dalam kumpulan air keras tidak baik bagi kesihatan dan mengganggu proses dalam industri yang menggunakan air bagi menjana kuasa. Air keras juga dapat merosakkan peralatan yang digunakan, sama ada untuk memproses atau menyimpan air.

Air digunakan dalam produk minuman dan makanan serta aktiviti membasuh, mencuci dan mandi. Sebanyak 71 peratus permukaan bumi dilitupi oleh air. Walau bagaimanapun, peratus air yang selamat diminum menjadi persoalan penting. Tubuh manusia memerlukan lebih kurang 65 peratus air bagi mengekalkan tahap kesihatan. Jika pengambilan air lebih atau kurang, kesihatan terjejas.

Pada zaman teknologi yang makin pesat, pelbagai teknologi dicipta untuk memudahkan tugas manusia, termasuklah teknologi pemprosesan air. Teknologi pemprosesan air penting bagi menyediakan air yang bersih dan mengandungi mineral tertentu yang diperlukan oleh tubuh manusia.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Kaitan Sains dengan Berkabung

Oleh SAHARIL HASRIN SANIN

SUDAH menjadi kebiasaan orang, apabila kehilangan individu yang tersayang, mereka yang ditinggalkan berasa sedih dan berkabung. Kesedihan tersebut  berganda jika kehilangan berlaku dalam keluarga atau saudara-mara yang terdekat. Menghadapi kenyataan amatlah memeritkan.
Pelbagai perasaan bercampur-baur timbul, seperti sebak, marah, rasa bersalah, terkejut dan rindu. Sains mendapati bahawa perbuatan berkabung meredakan bermacam-macam perasaan yang bergalau dalam benak.
Hasil imbasan menerusi Pengimejan Resonans Magnetik Fungsi (fMRI) terhadap mereka yang berkabung kerana kematian ahli keluarga terdekat, saintis mendapati bahawa rasa kesedihan merangsang bahagian korteks singulat anterior dan korteks orbitofrontal di dalam otak. Aktiviti otak itu kekal sehingga ada individu yang berkabung selama bertahun-tahun. Oleh sebab manusia menghadapi kesedihan dengan pelbagai cara, hasil imbasan fMRI juga berbeza antara individu.
Bagi mereka yang menghadapi kesedihan dengan tenang, aktiviti ini didapati lebih tinggi antara kawasan korteks prefrontal dorsolateral dengan amigdala, iaitu bahagian otak tersebut sedang aktif mengawal kesedihan. Bagi mereka yang terlalu sebak menanggung kesedihan, didapati aktiviti antara korteks prefrontal dorsolateral dengan amigdala amat rendah.

SUDAH menjadi kebiasaan orang, apabila kehilangan individu yang tersayang, mereka yang ditinggalkan berasa sedih dan berkabung. Kesedihan tersebut  berganda jika kehilangan berlaku dalam keluarga atau saudara-mara yang terdekat. Menghadapi kenyataan amatlah memeritkan. Pelbagai perasaan bercampur-baur timbul, seperti sebak, marah, rasa bersalah, terkejut dan rindu. Sains mendapati bahawa perbuatan berkabung meredakan bermacam-macam perasaan yang bergalau dalam benak.Hasil imbasan menerusi Pengimejan Resonans Magnetik Fungsi (fMRI) terhadap mereka yang berkabung kerana kematian ahli keluarga terdekat, saintis mendapati bahawa rasa kesedihan merangsang bahagian korteks singulat anterior dan korteks orbitofrontal di dalam otak. Aktiviti otak itu kekal sehingga ada individu yang berkabung selama bertahun-tahun. Oleh sebab manusia menghadapi kesedihan dengan pelbagai cara, hasil imbasan fMRI juga berbeza antara individu. Bagi mereka yang menghadapi kesedihan dengan tenang, aktiviti ini didapati lebih tinggi antara kawasan korteks prefrontal dorsolateral dengan amigdala, iaitu bahagian otak tersebut sedang aktif mengawal kesedihan. Bagi mereka yang terlalu sebak menanggung kesedihan, didapati aktiviti antara korteks prefrontal dorsolateral dengan amigdala amat rendah.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Misteri Halusinasi

Oleh  SAHARIL HASRIN SANIN
MUNGKIN anda terdengar suara bisikan pada suatu malam yang gelap, atau terlihat lembaga berbulu yang menakutkan, sekilas melintas di sudut mata. Apabila semuanya hanya bayangan dan mainan perasaan, itulah yang dinamakan halusinasi. Halusinasi merupakan fenomena ketika seseorang itu mengalami sesuatu yang sebenarnya tidak berlaku.
Halusinasi bukan sahaja melibatkan deria dengar dan pandang, fenomena ini merangkumi deria lain. Kadang-kadang lidah, seperti mengecap sesuatu rasa yang pelik walaupun tiada makanan di dalam mulut, kulit seperti diusap oleh sesuatu, tubuh seperti terasa hangat atau dingin, angin seperti bertiup meremangkan bulu roma. Selain itu, satu lagi jenis halusinasi dikenali sebagai halusinasi taktil, iaitu perasaan yang dialami saraf taktil. Contohnya, perasaan seolah-olah ada serangga merayap di bawah kulit ataupun  sesuatu hidupan mencucuk-cucuk organ di dalam badan.
Fantosmia pula berkaitan dengan halusinasi hidung terbau sesuatu yang tidak wujud. Contoh paling lazim halusinasi jenis ini ialah terbau sesuatu yang busuk, seperti daging mereput, bau muntah, kencing, asap, dan kemenyan berlegar-legar atau seumpamanya. Fantosmia selalunya dicetuskan oleh kecederaan pada tisu olfaktori di dalam hidung. Kecederaan tersebut ada kalanya disebabkan oleh trauma atau beberapa penyakit, seperti barah otak atau jangkitan virus. Penggunaan dadah tertentu juga mencetuskan fantosmia.

MUNGKIN anda terdengar suara bisikan pada suatu malam yang gelap, atau terlihat lembaga berbulu yang menakutkan, sekilas melintas di sudut mata. Apabila semuanya hanya bayangan dan mainan perasaan, itulah yang dinamakan halusinasi. Halusinasi merupakan fenomena ketika seseorang itu mengalami sesuatu yang sebenarnya tidak berlaku.Halusinasi bukan sahaja melibatkan deria dengar dan pandang, fenomena ini merangkumi deria lain. Kadang-kadang lidah, seperti mengecap sesuatu rasa yang pelik walaupun tiada makanan di dalam mulut, kulit seperti diusap oleh sesuatu, tubuh seperti terasa hangat atau dingin, angin seperti bertiup meremangkan bulu roma. Selain itu, satu lagi jenis halusinasi dikenali sebagai halusinasi taktil, iaitu perasaan yang dialami saraf taktil. Contohnya, perasaan seolah-olah ada serangga merayap di bawah kulit ataupun  sesuatu hidupan mencucuk-cucuk organ di dalam badan.Fantosmia pula berkaitan dengan halusinasi hidung terbau sesuatu yang tidak wujud. Contoh paling lazim halusinasi jenis ini ialah terbau sesuatu yang busuk, seperti daging mereput, bau muntah, kencing, asap, dan kemenyan berlegar-legar atau seumpamanya. Fantosmia selalunya dicetuskan oleh kecederaan pada tisu olfaktori di dalam hidung. Kecederaan tersebut ada kalanya disebabkan oleh trauma atau beberapa penyakit, seperti barah otak atau jangkitan virus. Penggunaan dadah tertentu juga mencetuskan fantosmia.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2012.