Sains Penumbuhan Semula

Oleh Nor Azida Ishak

Jika ekor cicak putus, anggota yang hilang ini dapat dihasilkan semula daripada tubuhnya yang masih hidup. Cicak berkebolehan menanggalkan ekornya apabila menghadapi bahaya, terutamanya apabila diterkam oleh pemangsa. Proses menanggalkan ekor atau kaudal ini merupakan taktik pertahanan yang biasa dilakukan oleh haiwan dalam kategori cicak.

Ekor cicak yang terputus daripada badannya masih dapat bergerak bagi menarik perhatian pemangsa. Ketika ekor ini bergerak, pemangsa memberikan perhatian terhadap ekor. Hal ini menyebabkan cicak sempat melarikan diri. Kebanyakan cicak menumbuhkan semula ekornya dalam tempoh sembilan bulan.

Bagi sesetengah haiwan, proses penumbuhan semula berlaku dengan menyeluruh hingga seluruh tubuh multiselularnya dapat tumbuh semula, walaupun haiwan ini hanya tinggal sebahagian tisu kecil. Misalnya, tapak sulaiman dapat menumbuhkan semula tangannya yang putus. Seperti cicak, tapak sulaiman menanggalkan tangannya untuk melarikan diri daripada pemangsa.

Tangan yang putus ini berupaya menghasilkan seekor tapak sulaiman yang baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana organ penting bagi tapak sulaiman terletak pada tangannya. Biasanya, proses penumbuhan ini memerlukan tempoh selama setahun. Paling hebat, seekor cacing planaria berupaya menghasilkan tubuh baharu, walaupun hanya memiliki 1/200 jisim tubuhnya yang asal.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Air Penawar atau Racun?

Oleh Benedict Anak Samling

Air sangat penting dalam kehidupan manusia dan mempunyai pelbagai kegunaan harian. Air diklasifikasikan kepada dua jenis, iaitu air keras dan air lembut. Istilah air keras merujuk air yang mengandungi kuantiti kalsium dan kapur yang tinggi, manakala air lembut merujuk air yang mengandungi kuantiti kalsium dan kapur yang rendah.

Air yang tergolong dalam kumpulan air keras tidak baik bagi kesihatan dan mengganggu proses dalam industri yang menggunakan air bagi menjana kuasa. Air keras juga dapat merosakkan peralatan yang digunakan, sama ada untuk memproses atau menyimpan air.

Air digunakan dalam produk minuman dan makanan serta aktiviti membasuh, mencuci dan mandi. Sebanyak 71 peratus permukaan bumi dilitupi oleh air. Walau bagaimanapun, peratus air yang selamat diminum menjadi persoalan penting. Tubuh manusia memerlukan lebih kurang 65 peratus air bagi mengekalkan tahap kesihatan. Jika pengambilan air lebih atau kurang, kesihatan terjejas.

Pada zaman teknologi yang makin pesat, pelbagai teknologi dicipta untuk memudahkan tugas manusia, termasuklah teknologi pemprosesan air. Teknologi pemprosesan air penting bagi menyediakan air yang bersih dan mengandungi mineral tertentu yang diperlukan oleh tubuh manusia.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Kaitan Sains dengan Berkabung

Oleh SAHARIL HASRIN SANIN

SUDAH menjadi kebiasaan orang, apabila kehilangan individu yang tersayang, mereka yang ditinggalkan berasa sedih dan berkabung. Kesedihan tersebut  berganda jika kehilangan berlaku dalam keluarga atau saudara-mara yang terdekat. Menghadapi kenyataan amatlah memeritkan.
Pelbagai perasaan bercampur-baur timbul, seperti sebak, marah, rasa bersalah, terkejut dan rindu. Sains mendapati bahawa perbuatan berkabung meredakan bermacam-macam perasaan yang bergalau dalam benak.
Hasil imbasan menerusi Pengimejan Resonans Magnetik Fungsi (fMRI) terhadap mereka yang berkabung kerana kematian ahli keluarga terdekat, saintis mendapati bahawa rasa kesedihan merangsang bahagian korteks singulat anterior dan korteks orbitofrontal di dalam otak. Aktiviti otak itu kekal sehingga ada individu yang berkabung selama bertahun-tahun. Oleh sebab manusia menghadapi kesedihan dengan pelbagai cara, hasil imbasan fMRI juga berbeza antara individu.
Bagi mereka yang menghadapi kesedihan dengan tenang, aktiviti ini didapati lebih tinggi antara kawasan korteks prefrontal dorsolateral dengan amigdala, iaitu bahagian otak tersebut sedang aktif mengawal kesedihan. Bagi mereka yang terlalu sebak menanggung kesedihan, didapati aktiviti antara korteks prefrontal dorsolateral dengan amigdala amat rendah.

SUDAH menjadi kebiasaan orang, apabila kehilangan individu yang tersayang, mereka yang ditinggalkan berasa sedih dan berkabung. Kesedihan tersebut  berganda jika kehilangan berlaku dalam keluarga atau saudara-mara yang terdekat. Menghadapi kenyataan amatlah memeritkan. Pelbagai perasaan bercampur-baur timbul, seperti sebak, marah, rasa bersalah, terkejut dan rindu. Sains mendapati bahawa perbuatan berkabung meredakan bermacam-macam perasaan yang bergalau dalam benak.Hasil imbasan menerusi Pengimejan Resonans Magnetik Fungsi (fMRI) terhadap mereka yang berkabung kerana kematian ahli keluarga terdekat, saintis mendapati bahawa rasa kesedihan merangsang bahagian korteks singulat anterior dan korteks orbitofrontal di dalam otak. Aktiviti otak itu kekal sehingga ada individu yang berkabung selama bertahun-tahun. Oleh sebab manusia menghadapi kesedihan dengan pelbagai cara, hasil imbasan fMRI juga berbeza antara individu. Bagi mereka yang menghadapi kesedihan dengan tenang, aktiviti ini didapati lebih tinggi antara kawasan korteks prefrontal dorsolateral dengan amigdala, iaitu bahagian otak tersebut sedang aktif mengawal kesedihan. Bagi mereka yang terlalu sebak menanggung kesedihan, didapati aktiviti antara korteks prefrontal dorsolateral dengan amigdala amat rendah.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Misteri Halusinasi

Oleh  SAHARIL HASRIN SANIN
MUNGKIN anda terdengar suara bisikan pada suatu malam yang gelap, atau terlihat lembaga berbulu yang menakutkan, sekilas melintas di sudut mata. Apabila semuanya hanya bayangan dan mainan perasaan, itulah yang dinamakan halusinasi. Halusinasi merupakan fenomena ketika seseorang itu mengalami sesuatu yang sebenarnya tidak berlaku.
Halusinasi bukan sahaja melibatkan deria dengar dan pandang, fenomena ini merangkumi deria lain. Kadang-kadang lidah, seperti mengecap sesuatu rasa yang pelik walaupun tiada makanan di dalam mulut, kulit seperti diusap oleh sesuatu, tubuh seperti terasa hangat atau dingin, angin seperti bertiup meremangkan bulu roma. Selain itu, satu lagi jenis halusinasi dikenali sebagai halusinasi taktil, iaitu perasaan yang dialami saraf taktil. Contohnya, perasaan seolah-olah ada serangga merayap di bawah kulit ataupun  sesuatu hidupan mencucuk-cucuk organ di dalam badan.
Fantosmia pula berkaitan dengan halusinasi hidung terbau sesuatu yang tidak wujud. Contoh paling lazim halusinasi jenis ini ialah terbau sesuatu yang busuk, seperti daging mereput, bau muntah, kencing, asap, dan kemenyan berlegar-legar atau seumpamanya. Fantosmia selalunya dicetuskan oleh kecederaan pada tisu olfaktori di dalam hidung. Kecederaan tersebut ada kalanya disebabkan oleh trauma atau beberapa penyakit, seperti barah otak atau jangkitan virus. Penggunaan dadah tertentu juga mencetuskan fantosmia.

MUNGKIN anda terdengar suara bisikan pada suatu malam yang gelap, atau terlihat lembaga berbulu yang menakutkan, sekilas melintas di sudut mata. Apabila semuanya hanya bayangan dan mainan perasaan, itulah yang dinamakan halusinasi. Halusinasi merupakan fenomena ketika seseorang itu mengalami sesuatu yang sebenarnya tidak berlaku.Halusinasi bukan sahaja melibatkan deria dengar dan pandang, fenomena ini merangkumi deria lain. Kadang-kadang lidah, seperti mengecap sesuatu rasa yang pelik walaupun tiada makanan di dalam mulut, kulit seperti diusap oleh sesuatu, tubuh seperti terasa hangat atau dingin, angin seperti bertiup meremangkan bulu roma. Selain itu, satu lagi jenis halusinasi dikenali sebagai halusinasi taktil, iaitu perasaan yang dialami saraf taktil. Contohnya, perasaan seolah-olah ada serangga merayap di bawah kulit ataupun  sesuatu hidupan mencucuk-cucuk organ di dalam badan.Fantosmia pula berkaitan dengan halusinasi hidung terbau sesuatu yang tidak wujud. Contoh paling lazim halusinasi jenis ini ialah terbau sesuatu yang busuk, seperti daging mereput, bau muntah, kencing, asap, dan kemenyan berlegar-legar atau seumpamanya. Fantosmia selalunya dicetuskan oleh kecederaan pada tisu olfaktori di dalam hidung. Kecederaan tersebut ada kalanya disebabkan oleh trauma atau beberapa penyakit, seperti barah otak atau jangkitan virus. Penggunaan dadah tertentu juga mencetuskan fantosmia.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2012.

Masyarakat Narsisisme Facebook

Oleh Saharil Hasrin Sanin

NARSISISME ialah penyakit mental yang bermaksud perasaan cinta akan diri sendiri yang berlebihan. Perkataan tersebut datang daripada seorang watak dalam mitos tragedi Yunani, Narcissus, yang jatuh cinta akan keindahan refleksi wajahnya sendiri di permukaan tasik, lalu terpaku melihat bayang-bayang tersebut sehingga jatuh sakit dan mati. Kajian terbaharu saintis mendapati penyakit narsisisme semakin menular dalam kalangan masyarakat moden akibat penggunaan Facebook.

Facebook merupakan laman web jaringan sosial yang paling popular di dunia. Laman dilancarkan pada Februari 2004 bagi pelajar Universiti Harvard di Amerika. Kini laman web tersebut digunakan oleh lebih 800 juta orang penduduk di seluruh dunia.

Statistik mengatakan, Facebook menerima satu trilion lawatan pada setiap bulan, menjadikan jaringan sosial tersebut sebagai laman web yang paling banyak pengunjung dalam sejarah internet (tidak termasuk laman web enjin carian internet, seperti Google dan Yahoo! Search).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012