PEMANCAR CERIA MEMPENGARUHI EMOSI

Oleh Ramlan Abdul Wahab
Serotonin sering dianggap pemancar ceria. Walaupun ketepatan gelaran ini mungkin dapat dipertikaikan, serotonin memang sejenis sebatian pemancar saraf (neurotransmiter) yang dihasilkan di dalam otak dan sistem usus penghadaman. Oleh sebab itu, banyak pihak, khususnya penyelidik menganggapnya penyumbang perasaan yang sejahtera dan ceria.
Dari segi kimia, serotonin ialah sebatian 5-Hidroksitriptamina atau 5-HT yang juga dikenali sebagai enteramina, trombositin dan trombotonin. Dari segi biokimia pula, serotonin ialah sebatian yang disintesis daripada sejenis asid amino, iaitu L-triptofan.
Proses sintesis serotonin ini melibatkan dua enzim, iaitu triptofan hidroksilase (TPH) dan asid amino dekarboksilase (DDC). TPH pula wujud dalam dua bentuk, iaitu TPH1 yang ada di dalam beberapa tisu dan TPH2 yang ada banyak di dalam otak. TPH1 berperanan dalam penghasilan serotonin di dalam kelenjar pineal dan sel enterokromafin di dalam dinding sistem usus. TPH2 menghasilkan serotonin di nuklei rafe (gumpalan neuron di dalam batang otak, khususnya di otak tengah) dan di dalam pleksus mienterik (rangkaian saraf di dalam dinding usus).

Serotonin sering dianggap pemancar ceria. Walaupun ketepatan gelaran ini mungkin dapat dipertikaikan, serotonin memang sejenis sebatian pemancar saraf (neurotransmiter) yang dihasilkan di dalam otak dan sistem usus penghadaman. Oleh sebab itu, banyak pihak, khususnya penyelidik menganggapnya penyumbang perasaan yang sejahtera dan ceria.Dari segi kimia, serotonin ialah sebatian 5-Hidroksitriptamina atau 5-HT yang juga dikenali sebagai enteramina, trombositin dan trombotonin. Dari segi biokimia pula, serotonin ialah sebatian yang disintesis daripada sejenis asid amino, iaitu L-triptofan.Proses sintesis serotonin ini melibatkan dua enzim, iaitu triptofan hidroksilase (TPH) dan asid amino dekarboksilase (DDC). TPH pula wujud dalam dua bentuk, iaitu TPH1 yang ada di dalam beberapa tisu dan TPH2 yang ada banyak di dalam otak. TPH1 berperanan dalam penghasilan serotonin di dalam kelenjar pineal dan sel enterokromafin di dalam dinding sistem usus. TPH2 menghasilkan serotonin di nuklei rafe (gumpalan neuron di dalam batang otak, khususnya di otak tengah) dan di dalam pleksus mienterik (rangkaian saraf di dalam dinding usus).

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2015

Serangan Panik dan Kecelaruan Panik

Oleh Mohamad Fareez Shafiq Mohd. Fuad


Serangan panik dapat didefinisikan sebagai serangan ketakutan berepisod yang mengejut hingga mencetuskan reaksi fizikal yang teruk, walaupun tidak ada sebarang keadaan bahaya yang sebenar dan nyata berlaku.

Kebanyakan pesakit serangan panik mungkin mengalami sebanyak sekali atau lebih serangan sepanjang hidupnya. Masalah ini dapat disebabkan oleh tekanan yang dihadapi berakhir. Pesakit yang mengalami serangan panik secara konsisten atau tiba-tiba dan secara berulang-ulang serta pulih dalam jangka masa yang agak panjang dikenali sebagai kecelaruan panik.

Mungkin, ada banyak orang yang tidak tahu dengan mendalam tentang serangan panik. Amnya, panik merupakan satu tindak balas manusia apabila menghadapi ancaman yang menyebabkan manusia berada dalam keadaan takut dan cemas. Namun begitu, serangan panik dapat berlaku, walaupun tiada ancaman di keliling yang menyebabkan seseorang itu berasa bahawa diri mereka berada dalam keadaan bahaya dan tidak selamat.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kebimbangan dan Kemurungan Amerika Syarikat (ADDA), hampir enam juta penduduk AS mengalami serangan panik. Wanita adalah dua kali lebih terdedah pada serangan panik berbanding dengan lelaki. Kebanyakan punca penyakit ini ialah tekanan hidup yang berpanjangan.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Neuron

Tidur yang Berlebihan

Oleh MAZIRA MOHAMAD GHAZALI
TIDUR yang lena dan nyenyak pada sebelah malam dapat membantu memperbaharu proses fizikal dan mental, tetapi banyak antara kita yang mengalami masalah tidur. Kebanyakannya memikirkan bahawa kurang tidur merupakan masalah besar. Sebaliknya mereka tidak pernah memikirkan akibat sekiranya tidur berlebihan.
Narkolepsi merupakan masalah neurologi yang menyebabkan tidur berlebihan. Penyakit tersebut mempengaruhi bahagian otak yang mengawal dan mengatur tidur. Penderita narkolepsi gagal untuk mengidentifikasikan dan membezakan waktu tidur dengan waktu untuk tetap terjaga. Penderita dapat tertidur di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Tempoh tidur normal bagi mereka yang sihat selama lima hingga lapan jam bergantung pada usia.
Narkolepsi merupakan masalah mengantuk yang dihadapi seseorang akibat kerosakan saraf di otaknya yang disebabkan oleh kekurangan protein hipoketin. Setiap organ kita memberikan kesan terhadap sesuatu masalah tidur. Dengan menghayati setiap masalah terhadap fenomena tidur, kita boleh mengenal pasti sebarang masalah pada sesuatu organ.
Secara umumnya, bahagian otak yang mengawal tidur ialah hipotalamus. Setiap kali tidur, neuron di otak disusun semula. Dalam keadaan tubuh sedang menyeimbangkan kelemahan pada sesuatu organ, maka penyusunan tersebut memaparkan visual dan boleh dengar mengenai pengalaman yang telah dilalui sepanjang proses penyusunan neuron. Ketika itu, muncullah mimpi dan sesuatu fenomena ketika tidur.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Sains Neuron

Serangan Migrain

Oleh MAZIRA MOHAMAD GHAZALI
MIGRAIN berlaku apabila  seseorang itu mengalami sakit kepala yang berulang-ulang, berbeza tahap kesakitan, kekerapan dan jangka masa serangan. Perkataan “migrain” berasal daripada perkataan Perancis yang bererti sakit kepala sebelah.
Kebiasaannya serangan sakit kepala sebelah menyebabkan sakit di kedua-dua belah. Migrain sejenis sakit kepala yang kronik. Penyakit ini berlaku dalam kalangan kaum wanita daripada lelaki. Wanita lebih banyak terkena migrain berbanding dengan lelaki.
Kadangkala migrain agak sukar dibezakan dengan sakit kepala jenis lain. Sakit kepala akibat gangguan pada sinus atau ketegangan otot leher mempunyai gejala yang hampir sama dengan gejala migrain.
Migrain juga berlaku bersama-sama penyakit lain, contohnya asma dan depresi. Penyakit yang sangat berat, misalnya tumor atau infeksi, turut menimbulkan gejala yang mirip migrain. Namun demikian, kejadian ini sangat jarang-jarang berlaku.

MIGRAIN berlaku apabila  seseorang itu mengalami sakit kepala yang berulang-ulang, berbeza tahap kesakitan, kekerapan dan jangka masa serangan. Perkataan “migrain” berasal daripada perkataan Perancis yang bererti sakit kepala sebelah. Kebiasaannya serangan sakit kepala sebelah menyebabkan sakit di kedua-dua belah. Migrain sejenis sakit kepala yang kronik. Penyakit ini berlaku dalam kalangan kaum wanita daripada lelaki. Wanita lebih banyak terkena migrain berbanding dengan lelaki. Kadangkala migrain agak sukar dibezakan dengan sakit kepala jenis lain. Sakit kepala akibat gangguan pada sinus atau ketegangan otot leher mempunyai gejala yang hampir sama dengan gejala migrain. Migrain juga berlaku bersama-sama penyakit lain, contohnya asma dan depresi. Penyakit yang sangat berat, misalnya tumor atau infeksi, turut menimbulkan gejala yang mirip migrain. Namun demikian, kejadian ini sangat jarang-jarang berlaku.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2012.

Posted in: Sains Neuron

Kekakuan Otot

OLEH MAZIRA MOHAMAD GHAZALI

Kekejangan otot menyebabkan tubuh tidak dapat digerakkan.

TETANUS atau kancing  gigi  merupakan penyakit akut yang menyerang susunan saraf pusat yang disebabkan oleh racun tetanospasmin yang dihasilkan oleh bakteria berspora Clostridium tetani. Perkataan tetanus diambil daripada bahasa Yunani, iaitu tetanos daripada teinein yang bermaksud menegang.

Penyakit ini ditandai dengan kekakuan otot (spasma) tanpa disertai gangguan kesedaran. Clostridium tetani ialah bakteria yang berbentuk batang, ramping, berukuran 2-5 x 0.4-0.5 milimikro yang berbentuk spora selama di luar tubuh manusia, tersebar luas di tanah dan mengeluarkan toksin apabila dalam keadaan baik.  Bakteria ini termasuk dalam golongan gram positif dan hidupnya anaerob serta mengeluarkan toksin yang bersifat neurotoksik. Toksin ini (tetanuspasmin) menyebabkan kekejangan otot dan saraf periferi setempat. Spora daripada Clostridium tetani dapat hidup selama bertahun-tahun dan mampu bertahan dalam suhu yang sangat tinggi.

Kebiasaannya, jangkitan berlaku melalui jangkitan luka dan sering kali melibatkan cedera luka atau tusukan yang dalam. Ketika jangkitan berlaku, kekejangan otot berlaku pada rahang dan di tempat lain pada badan. Jangkitan boleh dielakkan melalui pelalian yang betul dan profilaksis selepas dedahan. Kancing gigi menyerang interaksi antara urat saraf dan otot yang terstimulasi, iaitu jaringan neuromuscular. Penyakit ini tidak menular daripada seseorang kepada seseorang. Penyakit ini terjadi apabila bakteria berubah bentuk vegetatif dalam tubuh manusia. Sebenarnya, bakteria ini menghasilkan tiga toksin, namun tetanuspasmin penyebab utama tetanus.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.

Posted in: Sains Neuron