Telinga Berdengung Sebelum Pesawat Mendarat

Oleh Irfan Mohamad

Apabila kapal terbang mula mendarat, ibu bapa yang mempunyai anak kecil mulai risau. Bayi dan kanak-kanak yang menangis pula disuruh diam oleh penjaga masing-masing. Ada juga antara mereka yang diberi susu dan gula-gula.

Penumpang yang biasa dengan masalah ini pula mulai gusar. Ada penumpang yang tahu cara mengatasinya dan sebaliknya. Ada juga penumpang yang hanya terkesan dengan rasa telinga berdengung. Tidak kurang juga penumpang yang sakit hingga menitiskan air mata. Hal ini merupakan situasi biasa yang dialami oleh penumpang. Namun begitu, keadaan ini jarang-jarang dikongsi secara serius. Hanya penumpang yang merasainya tahu menghargai nikmat pendaratan kapal terbang tanpa gangguan telinga yang serius.

Telinga berdengung atau sakit ketika penerbangan, terutamanya pada fasa pendaratan ada kaitan yang rapat dengan keadaan telinga tengah penumpang. Telinga tengah ini dikaitkan dengan status kesihatan hidung penumpang. Malangnya, tidak banyak orang tahu kaitan antara kedua-dua perkara ini.

Telinga manusia mempunyai tiga bahagian, iaitu telinga luar, telinga tengah dan telinga dalam. Secara spesifiknya, telinga tengah merupakan kaviti sempit di dalam tulang temporal yang mempunyai ruang bagi udara, tiga tulang kecil yang dikenali sebagai osikel (tukul, andas dan rakap), beberapa otot dan ligamen kecil.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hidung Berbau Busuk

Oleh Irfan Mohamad

Istilah nafas berbau sering ditonjolkan dalam iklan ubat gigi, gula-gula getah atau perbualan harian dengan rakan. Banyak orang merujuk istilah nafas berbau ini apabila berhadapan atau melalui situasi yang kurang menyenangkan, iaitu percakapan yang disertai bau busuk.

Biasanya, bau ini datang daripada mulut yang mempunyai masalah gigi atau kebersihan rongga mulut yang tidak dijaga dengan baik. Ada banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini. Antaranya termasuklah kehadiran karies, gigi berlubang, penyakit tonsil dan ketumbuhan di dalam rongga mulut.

Sungguhpun begitu, ada juga situasi bau kurang menyenangkan yang keluar daripada rongga hidung. Bau ini dapat disertai hingus yang pekat dan berwarna atau hanya sekadar melalui hembusan nafas menerusi rongga hidung. Bau ini diapresiasi, walaupun seseorang itu berada dalam keadaan diam, iaitu tidak bercakap.

Walaupun hidung merupakan organ yang dapat mengesan deria bau, hidung tertakluk pada keadaan atau penyakit yang menyebabkan hidung mengeluarkan bau yang busuk. Hidung yang berbau busuk ini sering dikesan oleh pesakit. Namun begitu, ada kalanya, bau ini langsung tidak dikesan hinggalah pesakit datang ke klinik dan ditanya soalan, sama ada mengalami nafas berbau busuk melalui hidung atau tidak.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Batu di dalam Hidung

Oleh IRFAN MOHAMAD
KISAH batu karang di dalam pundi kencing dan buah pinggang ataupun pundi hempedu merupakan penyakit yang tidak asing bagi masyarakat negara ini. Penyakit ini terjadi disebabkan oleh faktor yang berkaitan rapat dengan masalah penghasilan urin (bagi buah pinggang dan pundi kencing), ataupun faktor makanan dan pemakanan bagi batu pundi hempedu.
Masalah ini biasanya dihadapi golongan yang lanjut berusia. Dengan kata lain, refleksi penggunaan sistem tubuh yang telah lama berfungsi dengan baik kini mengalami gangguan. Namun begitu, jarang-jarang berlaku masalah pembentukan batu di bahagian lain struktur badan seseorang, apatah di dalam organ deria, seperti hidung.
Hidung merupakan pintu masuk udara untuk pernafasan, di samping bertindak sebagai penapis sebarang benda asing yang masuk ke dalamnya agar tidak terus menerjah paru-paru. Hal ini amat penting bagi tujuan perlindungan kesihatan sistem pernafasan seseorang. Selain struktur anatomi, fungsi fisiologi dalam hidung menghasilkan rembesan oleh mukosa yang melapisinya.

KISAH batu karang di dalam pundi kencing dan buah pinggang ataupun pundi hempedu merupakan penyakit yang tidak asing bagi masyarakat negara ini. Penyakit ini terjadi disebabkan oleh faktor yang berkaitan rapat dengan masalah penghasilan urin (bagi buah pinggang dan pundi kencing), ataupun faktor makanan dan pemakanan bagi batu pundi hempedu.   Masalah ini biasanya dihadapi golongan yang lanjut berusia. Dengan kata lain, refleksi penggunaan sistem tubuh yang telah lama berfungsi dengan baik kini mengalami gangguan. Namun begitu, jarang-jarang berlaku masalah pembentukan batu di bahagian lain struktur badan seseorang, apatah di dalam organ deria, seperti hidung.Hidung merupakan pintu masuk udara untuk pernafasan, di samping bertindak sebagai penapis sebarang benda asing yang masuk ke dalamnya agar tidak terus menerjah paru-paru. Hal ini amat penting bagi tujuan perlindungan kesihatan sistem pernafasan seseorang. Selain struktur anatomi, fungsi fisiologi dalam hidung menghasilkan rembesan oleh mukosa yang melapisinya.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2012.