EVOLUSI TIDAK PERNAH BERLAKU

Penciptaan makhluk merangkumi ilmu yang berdasarkan faktadan bukti. Bidang sains, seperti astronomi, biologi, fisiologi,anatomi, biokimia, paleontologi, astrofizik dan fizik kuantummendedahkan kebenaran ilmu penciptaan. Berdasarkan lebihdaripada 400 juta fosil yang dikenal pasti sehingga kini, belum adafosil yang menunjukkan bahawa hidupan bermula secara evolusi.
Propaganda hebat masih dilakukan pada hari ini untuk memastikan teori evolusi kekal dipercayai. Namun begitu, amat jelas bahawa hal ini semata-mata berdasarkan penyelewengan fakta saintifik, tafsiran berat sebelah, dan pembohongan dan penipuan yang disandarkan kepada sains. Propaganda ini tidak dapat menyembunyikan kebenaran hakiki, iaitu ilmu penciptaan. Teori evolusi ialah penipuan paling besar
dalam sejarah sains.
Bagi mengesahkan fakta ini, penyelidikan dilakukan. Sebagai hasilnya, berdasarkan penemuan selepas era 1980-an, khususnya, didapati bahawa dakwaan Darwinisme tidak berasas. Walau bagaimanapun, teori evolusi disebarkan dengan meluasnya pada abad ke-19. Dalam hal ini perkembangan penting yang menjadi topik dunia sains ialah penulisan Charles Darwin, Asal Usul Spesies, yang diterbitkan pada tahun 1859.

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Genetik

Sel Stem Penawar Penyakit

Oleh Zilfalil Alwi

Sel stem bukanlah suatu perkara yang asing dalam kehidupan manusia kerana sering dipromosikan menerusi iklan produk kecantikan dan makanan kesihatan. Produk ini digunakan oleh banyak orang dan keberkesanannya diakui. Mungkin, ada antara pengguna yang pernah mendengar tentang teknologi perubatan menggunakan sel stem dalam rawatan penyakit. Namun begitu, kejayaan sel stem dalam rawatan penyakit masih belum dibuktikan.

Tubuh manusia terdiri daripada pelbagai jenis sel. Setiap sel memainkan peranan yang berbeza-beza. Contohnya, sel peparu berfungsi menukarkan gas karbon dioksida kepada gas oksigen. Sel darah pula berfungsi mengangkut oksigen dan makanan kepada sel lain, seperti sel hati dan sel kulit.

Sekumpulan sel yang mempunyai fungsi yang sama pula bergabung untuk membentuk tisu, seterusnya membentuk organ manusia. Tubuh manusia juga memiliki sejenis sel yang sangat istimewa yang dikenali sebagai sel stem. Tidak seperti sel lain, sel stem ini dapat ditemukan hampir di semua organ manusia dan tidak terkumpul di suatu tempat sahaja. Sel stem juga dapat diibaratkan sebagai sel yang masih muda dan kekal dalam keadaan asal, hinggalah diperlukan bagi tujuan penggantian sel yang tua atau rosak.

Amnya, sel stem memiliki tiga ciri penting. Pertama, sel stem dapat membahagi bagi menghasilkan lebih banyak sel stem menerusi proses pembelahan sel. Kedua, sel stem tidak mempunyai fungsi yang spesifik. Ketiga, sel stem dapat kekal sebagai sel stem atau berkembang menjadi sel spesifik (sel dewasa) yang lain, seperti sel hati dan sel otak.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 5 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Genetik

Genetik Mengkaji Keturunan Manusia

Oleh Padillah Yahya, Azian Harun dan Zilfalil Alwi.

Kajian keturunan melalui analisis genetik bukanlah suatu yang baharu dalam bidang sains di Barat. Hal ini bermula lebih daripada satu dekad yang lalu. Kajian ini didukung oleh perasaan ingin tahu yang amat tinggi berkenaan sejarah keturunan keluarga dan asal usul keturunan manusia dari sudut geografi dan antropologi.

Minat dalam bidang ini bertambah dengan kehadiran makmal komersial persendirian yang menyediakan perkhidmatan ujian genetik keturunan. Antaranya termasuklah DNAPrint (Sarasota, Florida), Genebase (Kanada) dan International Biosciences (United Kingdom).

Pendekatan analisis genetik seperti ini membolehkan pengenalpastian saudara-mara biologi dilakukan, terutamanya bagi penduduk Afrika di Amerika yang ingin mengetahui sejarah keluarga asal mereka yang terpisah disebabkan oleh dasar perhambaan sejak beratus-ratus tahun dahulu.

Dalam kalangan penyelidik Barat penggunaan genetik bagi menelusuri asal usul keturunan ialah satu aplikasi sains yang amat menarik dan relevan. Kini, kajian keturunan melalui genetik masih giat dilakukan. Hal ini dikembangkan lagi dengan mengaitkan genetik dengan rupa paras manusia, seperti warna rambut, warna mata, warna kulit, ketinggian dan bentuk muka.

Kemampuan ahli sains mengkaji keturunan manusia ini didorong oleh kehadiran satu bahan di dalam badan manusia yang amat penting. Bahan ini dikenali sebagai asid deoksiribonukleik (DNA).

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fokus, Genetik, Utama

Genetik Membongkar Asal Usul Manusia

Oleh Mohd Syukri Anwar

Dia bukan seorang tukang tilik atau nujum, tetapi apabila ditanya apa-apa sahaja tentang keturunan, pasti dia mampu menjawabnya. Begitu juga, jika dibawa seseorang ke hadapannya untuk dianalisis susur galurnya, dengan mudah dapat diberitahu nama datuk dan neneknya.

Sama ada yang bertanya itu berhidung mancung atau pesek, berambut lurus atau ikal, tinggi atau rendah, cerah atau gelap, semua orang ini dapat diketahui ayah, ibu dan moyangnya. Orang yang dimaksudkan ini ialah Abu Bakar As-Siddiq, pakar rujuk keturunan pada 1400 tahun yang lalu.

Ciri fizikal, iaitu fenotip yang ada pada setiap orang merupakan gambaran bagi ciri genotip yang membina dirinya. Kini, untuk mencari orang yang mampu mengenal pasti keturunan berdasarkan ciri fenotip semata-mata merupakan suatu perkara yang sukar. Hal ini dikatakan demikian kerana populasi manusia terlalu banyak dan berlaku perkahwinan silang yang merentasi bukan sahaja kaum, malah negara dan benua. Keadaan ini berlaku selama beberapa generasi.

Dalam tempoh beratus-ratus tahun ini, keturunan yang terhasil mempunyai variasi fizikal yang sangat banyak. Hal ini menyebabkan pengecaman berdasarkan ciri fizikal sukar dilakukan. Bagi mengatasi masalah ini, manusia mencari pelbagai kaedah untuk mengatasinya. Akhirnya, bidang genetik membantu manusia mengkaji asal usul keturunan menerusi kajian terhadap asid deoksiribonukleik (DNA).

Dengan kecanggihan instrumen dan alat sokongan makmal pula kajian dalam bidang genetik dapat dilakukan dengan lebih pantas dan tepat. Terkini, variasi yang dikenali sebagai polimorfisme nukleotida tunggal (SNP) digunakan bagi mengkaji sejarah keturunan manusia dengan lebih tepat. SNP yang ada pada seseorang dikatakan tidak berubah, walaupun setelah berpuluh-puluh ribu tahun.

Hasilnya, kajian penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) terhadap orang Melayu dan orang asli mendapati bahawa etnik Melayu Malaysia terbahagi kepada beberapa subetnik yang meliputi Jawa, Bugis dan Minang. Begitu juga kajian terhadap orang asli Temuan yang menunjukkan corak genetik yang menjurus kepada populasi Cina dan Melayu. Hal ini secara tidak langsung membongkar asal usul keturunan manusia dengan bukti saintifik yang sukar disangkal kebenarannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 2 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Kajian Genetik Bantu Rawatan Penyakit

Oleh Nor Azida Ishak

Setiap organisma mengandungi bertrilion sel di dalam tubuh dan beribu-ribu gen yang diwarisi daripada induknya. Setiap sel ini mengandungi nukleus dan kromosom. Setiap kromosom pula mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA). DNA terdiri daripada segmen gen yang menentukan keunikan fizikal dan ciri seseorang individu.

Gen pula merupakan arahan yang diwarisi tentang suatu ciri, misalnya gen bagi warna anak mata dan jenis rambut. Bukan sahaja warna anak mata seseorang dapat ditentukan, malah gen berperanan bagi menentukan tahap kesihatan manusia. Oleh hal yang demikian, kajian genetik penting bagi mengesan serta memberikan rawatan kepada penyakit yang disebabkan oleh kehadiran gen tertentu.

Bermula pada tahun 1904, seorang ahli biologi bernama Thomas Hunt Morgan dilantik sebagai ketua profesor zoologi di Universiti Columbia. Beliau segera menumpukan kajian genetik terhadap sejenis lalat buah Drosophila melanogaster untuk mencari ciri mutasi spesies itu.

Pada tahun terawal di dalam bilik uji kaji yang dipenuhi dengan balang lalat (dikenali sebagai bilik lalat) itu, hasilnya mengecewakan. Hal ini dikatakan demikian kerana Morgan dan pelajarnya tekun melakukan uji kaji terhadap lebih kurang 60 generasi lalat tanpa menemukan sebarang hasil. Mereka mahu mencari seekor lalat buah dengan ciri unik yang dapat digunakan bagi kajian genetik.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Genetik

Sel Ovum daripada Tisu Ovari

Oleh SITI SYAIRAH MOHD. MUTALIP

KEMANDIRIAN hidup manusia diteruskan menerusi proses pembiakan secara semula jadi. Proses pembiakan manusia pada dasarnya melibatkan hubungan kelamin antara individu lelaki dengan perempuan, iaitu percantuman benih yang juga dikenali sebagai sel gamet daripada kedua-dua individu pasangan ini. Proses percantuman dua sel gamet ini dipanggil persenyawaan. Persenyawaan melibatkan penggabungan dua sel gamet, iaitu sel sperma lelaki dan sel ovum perempuan.
Sel gamet ini dihasilkan melalui satu proses yang spesifik, iaitu proses gametogenesis (istilah bagi penghasilan kedua-dua sel gamet sperma dan ovum). Sepertimana sel sperma manusia terhasil melalui proses spermatogenesis, sel ovum pula terhasil daripada satu proses khusus dikenali sebagai oogenesis yang berlaku di dalam ovari (Rajah 1) seseorang wanita.
Oogenesis lazimnya berlaku secara semula jadi mengikut pola dan kitaran yang tertentu. Namun begitu, dengan pembangunan teknologi yang semakin pesat, kini telah wujud penemuan yang membolehkan sel ovum “dicipta” di dalam makmal bagi tujuan perubatan dan rawatan.
Ovum yang juga kadangkala dikenali sebagai oosit atau sel telur merupakan sel yang terbesar di dalam seseorang individu. Hal ini demikian kerana komposisi sesuatu sel ovum itu yang terdiri daripada bahagian sitoplasma yang besar yang wujud hasil daripada proses pembahagian sel yang tidak sekata semasa oogenesis. Pembahagian sitoplasma yang tidak sama ini adalah untuk memastikan sel ovum ini cukup besar dan mampu untuk berkembang menjadi embrio sekiranya berlaku persenyawaan.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Genetik