URINALISIS DIAGNOSIS PENYAKIT

Ujian urinalisis dalam makmal perubatan melibatkan ujianfizikal, kimia dan mikroskopik yang dilakukan pada sampelurin. Ujian yang melibatkan analisis pada sampel urin ialah ujiansaringan, ujian pengesanan dadah dan ujian kehamilan.
Ujian pemeriksaan penuh mikroskopi urin (UFEME) ialah ujian yang dilakukan pada pesakit dalam dan pesakit luar untuk menyaring penyakit yang mungkin berlaku disebabkan oleh gangguan pada sistem salur kencing.
Sebarang perubahan pada fisiologi badan yang disebabkan oleh serangan penyakit mungkin menyebabkan perubahan komponen yang ada dalam urin. Sebagai contohnya, kandungan glukosa tinggi dalam urin pesakit diabetes melitus. Urin pertengahan diperlukan dalam ujian ini, iaitu ketika pengumpulan urin pertengahan. Pesakit harus mengabaikan urin pada bahagian awal dan bahagian akhir ketika pengumpulan urin. Hal ini mengurangkan risiko sampel dicemari oleh bakteria yang mungkin hadir di sekitar uretra (tubul yang membawa urin keluar daripada badan).
Sampel urin ini harus dianalisis dalam tempoh dua jam setelah dikumpulkan. Jika tidak dilakukan serta merta, urin perlu disejukkan pada suhu 4 oC.
Bahan pengawet digunakan bagi mengelakkan perubahan metabolik pada analit dalam sampel urin dan membantutkan perkembangan bakteria. Antara bahan yang digunakan termasuklah asid borik dan formaldehid.
Berdasarkan NCCLS pada dokumen GP16-A3, dicadangkan bahawa sampel disimpan pada suhu sejuk berbanding dengan penggunaan bahan kimia sebagai pengawet bagi mengelakkan bahan ini bertindak balas dengan sel yang hadir dalam sampel urin.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Perubatan

Rawatan Pesakit Angin Ahmar

Oleh M. Mahadi Abdul Jamil dan Safyzan Salim

Menurut Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM), angin ahmar ialah punca kematian ketiga terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung dan kanser. Tabiat pemakanan yang tidak sihat adalah antara punca serangan angin ahmar, selain faktor umur dan tabiat merokok.

Selama bertahun-tahun, rawatan tradisional adalah antara rawatan yang amat digemari oleh pesakit angin ahmar. Hal ini dikatakan demikian kerana rawatan ini mudah, murah dan tidak leceh berbanding dengan rawatan di hospital. Rawatan tradisional yang dimaksudkan ialah urutan dan pengamalan makanan herba.

Walau bagaimanapun, wujud persoalan tentang keberkesanan, perekodan dan kesan sampingan rawatan tradisional ini. Oleh sebab itu, model yang berkonsepkan teknologi yang sesuai bagi membantu pesakit angin ahmar menjalani proses rehabilitasi dibangunkan. Penyelidikan ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Mahadi Abdul Jamil dan pelajar penyelidikannya, Safyzan Salim dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Matlamat utama projek ini adalah untuk menghasilkan alat yang murah, mudah dipakai dan interaktif. Menerusi kajian ini, alat bantuan rehabilitasi bagi pesakit angin ahmar dihasilkan. Alat ini digunakan pada pesakit yang mengalami masalah pada tangan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 5 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan, Perubatan
Comments Off

Neurosis Derita dalam Diam

Oleh Rehanah Mohd. Zain

Neurosis atau psikoneurosis merupakan ketidakseimbangan mental yang menyebabkan stres tetapi tidak mempengaruhi pemikiran rasional. Konsep neurosis yang berhubung dengan bidang psikoanalisis merupakan aliran pemikiran dalam psikologi. Neurosis juga bermaksud gangguan jiwa pada tahap ringan. Oleh sebab itu, penderita neurosis masih mampu menyesuaikan diri dan melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Di Malaysia, pendedahan tentang penyakit ini masih kurang. Maka, penyakit ini dianggap amat berbahaya dan pelik. Namun begitu, di Eropah, pendedahan tentang penyakit ini menyebabkan cara untuk bertindak ketika berhadapan dengan pesakit neurosis lebih difahami dan diketahui. Neurosis terbahagi kepada beberapa jenis. Antaranya termasuklah neurosis cemas, histeria, fobia dan neurosis obsesif-kompulsif.

Ada banyak faktor yang menyebabkan neurosis. Antaranya termasuklah ketakutan dan perasaan cemas yang sering berlaku disebabkan oleh kesusahan dan kegagalan yang berterusan serta tekanan terhadap pelbagai masalah emosi.

Malah, masalah ini yang tidak dapat diselesaikan, kecenderungan harga diri yang terhalang serta dorongan seksual yang tidak mendapat kepuasan dan hambar dapat menyebabkan banyak konflik batin berlaku. Neurosis yang dideritai oleh pesakit bukan sekadar berpunca daripada perasaan cemas tetapi turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 5 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Perubatan, Utama

Darah Tinggi Paru-paru

Oleh CHE WAN AMINUD-DIN HASHIM

DARAH tinggi bermaksud tekanan darah yang melebihi bacaan normal, iaitu berlaku tekanan darah yang dipamkan keluar dari ventrikel kiri ke seluruh badan. Penyakit yang dikenali sebagai darah tinggi pulmonari merujuk kepada tekanan darah tinggi yang berlaku pada sistem pengaliran darah di dalam paru-paru.
Bagi memahami keadaan ini, kita perlu mengetahui mengenai sistem pengaliran darah di jantung dan paru-paru. Jantung terletak di dalam sangkar toraks, di belakang tulang dada atau tulang sternum, serta diapit oleh dua paru-paru di sebelah kiri dan kanan. Jantung terdiri daripada empat ruang, dua atrium di atas dan dua ventrikel di bawah.
Dinding otot yang tebal (septum) membahagikan atrium dan ventrikel kanan daripada atrium dan ventrikel kiri. Septum memisahkan darah beroksigen tinggi dan beroksigen rendah daripada bercampur. Injap antara atrium dengan ventrikel hanya membenarkan aliran darah secara satu hala dari atrium ke ventrikel.

DARAH tinggi bermaksud tekanan darah yang melebihi bacaan normal, iaitu berlaku tekanan darah yang dipamkan keluar dari ventrikel kiri ke seluruh badan. Penyakit yang dikenali sebagai darah tinggi pulmonari merujuk kepada tekanan darah tinggi yang berlaku pada sistem pengaliran darah di dalam paru-paru. Bagi memahami keadaan ini, kita perlu mengetahui mengenai sistem pengaliran darah di jantung dan paru-paru. Jantung terletak di dalam sangkar toraks, di belakang tulang dada atau tulang sternum, serta diapit oleh dua paru-paru di sebelah kiri dan kanan. Jantung terdiri daripada empat ruang, dua atrium di atas dan dua ventrikel di bawah.Dinding otot yang tebal (septum) membahagikan atrium dan ventrikel kanan daripada atrium dan ventrikel kiri. Septum memisahkan darah beroksigen tinggi dan beroksigen rendah daripada bercampur. Injap antara atrium dengan ventrikel hanya membenarkan aliran darah secara satu hala dari atrium ke ventrikel.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2012.

Posted in: Perubatan

Sesak Nafas Akibat Merokok

Oleh CHE WAN AMIDUDDI-IN

UDARA akan masuk ke paru-paru sewaktu kita menghela nafas, mula-mula melalui hidung, diikuti laring, trakea dan terus ke bahagian kiri atau kanan paru-paru melalui bronkus. Semakin jauh dari trakea, bronkus semakin mengecil tetapi tetap bertugas mengalirkan udara ke tisu paru-paru bagi tujuan membekalkan gas oksigen dan mengeluarkan gas karbon dioksida

Dalam keadaan biasa kita tidak sedar pun bahawa kita sebenarnya sedang bernafas. Segalanya bagaikan berlaku secara otomatik ataupun telah diatur. Akan tetapi apabila kadar pernafasan kita meningkat, kita akan mula merasai perubahan ini. Biasanya peningkatan kadar pernafasan yang mendadak ini akan menyebabkan kita berasa kurang selesa pada bahagian dada. Istilah perubatan bagi keadaan ini ialah dyspnoea atau sesak nafas.

Sesak nafas atau kesukaran bernafas mungkin disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit berkaitan sistem pernafasan dan juga jantung manusia. Walau bagaimanapun artikel ini hanya akan membincangkan sesak nafas akibat tabiat merokok.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Perubatan