EPAL BA’KELALAN EPAL MALAYSIA

Mungkin, banyak rakyat Malaysia yang tidak menyangkabahawa buah epal boleh ditanam secara komersial diMalaysia. Walau bagaimanapun, di Kampung BudukNur yang terletak di Dataran Tinggi Ba’kelalan di bahagian timurlaut Sarawak, iaitu empat kilometer dari sempadan Malaysia-Kalimantan, hal ini dibuktikan sebaliknya. Di tempat ini, tanamanepal bukan sahaja lambang kerjasama bagi penduduk Buduk Nur,tetapi juga menjadi satu daripada ikon baharu ekopelanconganuntuk Ba’kelalan pada masa ini.
Buduk Nur satu daripada sembilan kampung di Ba’kelalan. Majoriti penduduknya tergolong dalam suku kaum Lun Bawang (orang gunung). Kedudukannya yang tinggi, iaitu tiga ribu meter dari aras laut, menjadikan cuaca di kawasan ini sejuk dan segar pada sepanjang tahun (siang, 25 °C dan malam, 15 °C). Oleh hal yang demikian, kawasan ini sesuai untuk tanaman buah temperat, seperti epal, oren dan avokado.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Botani

Rumpai Ekor Kucing Bersifat Karnivor

Tumbuhan berbeza daripada haiwan berdasarkan beberapa ciri tertentu. Antara ciri ini termasuklah pergerakan, makanan dan deria. Walau bagaimanapun, secara realitinya, wujud banyak pengecualian terhadap sifat ini.

Satu daripada contoh tumbuhan yang tidak menepati ciri pengelasan tumbuhan secara asasnya ialah rumpai ekor kucing. Tumbuhan ini tidak berakar dan mempunyai perangkap sedutan dengan pintu perangkapnya dapat bergerak lebih pantas berbanding dengan kelipan mata manusia.

Rumpai ekor kucing juga bergantung pada haiwan lain sebagai sumber makanannya. Sistem deria tumbuhan ini amat sensitif dalam mengesan mangsanya.Rumpai ekor kucing tergolong dalam genus Utricularia. Genus ini mempunyai 14 spesies yang hidup di kawasan lembap dengan keadaan air yang sedikit berasid

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2015

Posted in: Botani

Khasiat Kacip Fatimah Mitos atau Realiti?

Oleh Nik Hazlina Nik Hussain dan Intan Idiana Hassan

Menurut pengamal perubatan tradisional Melayu, pokok kacip Fatimah ada banyak khasiat. Ada kalanya, khasiat ini terbukti dan begitulah sebaliknya. Malah, sesetengah amalan ini kelihatan tidak praktikal dan diragui. Hal ini disebabkan oleh setiap amalan yang dilakukan tidak dapat dikaitkan dengan teorinya secara terperinci.

Setiap pengamal perubatan memperoleh ilmu berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang diwarisi sejak turun-temurun daripada nenek moyang masing-masing. Ada sesetengah pengamal yang mempelajari ilmu ini daripada orang yang berpengalaman. Hal ini menyebabkan setiap pendapat tidak disandarkan pada bukti yang kukuh.

Oleh sebab itu, kajian saintifik yang terperinci perlu dilakukan supaya keberkesanan, keselamatan dan kualiti produk ini dibuktikan. Malah, hal ini membolehkan setiap produk kacip Fatimah diterima oleh masyarakat. Data kajian yang kukuh, maklumat yang didokumentasikan dan keberkesanan yang dibuktikan dapat dijadikan sandaran bagi produk kacip Fatimah.

Kebanyakan kajian yang dilakukan berfokuskan hanya pada pokok kacip Fatimah jenis varian alata dan varian pumila. Hal ini disebabkan oleh pengamal perubatan tradisional Melayu lebih gemar menggunakan pokok jenis ini berbanding dengan jenis varian lanceolata dalam pengubatan mereka. Menurut pengamal perubatan tradisional Melayu, Labisia pumila varian lanceolata hanya digunakan bagi memulihkan tenaga batin lelaki.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Botani

Kacip Fatimah Pelbagai Khasiat

Oleh Nik Hazlina Nik Hussain dan Intan Idiana Hassan

Menurut pengamal perubatan tradisional, semua bahagian pokok kacip fatimah berkhasiat dan digunakan dalam perubatan tradisional. Akar pokok kacip fatimah dipercayai paling tinggi khasiatnya. Daun kacip fatimah digunakan sebagai air mandian ibu bersalin, sementara batang dan akarnya dijadikan jamu dan ubat periuk.

Jenis pokok kacip fatimah yang biasa digunakan pula ialah jenis yang bertangkai pendek, iaitu Labisia pumila varian alata dan Labisia pumila varian pumila kerana dikatakan lebih berkhasiat berbanding dengan pokok kacip fatimah yang bertangkai panjang, iaitu Labisia pumila varian lanceolata.

Biasanya, bagi tujuan rawatan, kacip fatimah dicampurkan bersama-sama tumbuhan berkhasiat atau herba lain bagi memberikan kesan yang cepat dan pelbagai. Antaranya termasuklah buah manjakani, daun hempedu bumi dan daun mas cotek (Ficus deltoidea).

Realitinya, resipi bagi campuran ramuan dan sukatan ini berbeza-beza antara pengamal perubatan tradisional berdasarkan pengalaman dan pengetahuan masing-masing. Oleh sebab itu, tidak hairanlah, jika ada pengamal perubatan tradisional mempunyai pelanggan tetap yang setia menggunakan produk ini. Pengguna pula percaya bahawa produk ini dapat menyihatkan badan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 5 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Botani

Sirih Tumbuhan Ajaib

Oleh Khairul Adli Nikman

Sirih atau Piper betle ialah tumbuhan yang banyak ditemukan di Malaysia. Tumbuhan ini termasuk dalam genus Piper yang berasal daripada keluarga Piperaceae. Selain sirih, kaduk (Piper sarmentosum) dan segumbar urat (Piper umbellatum) juga termasuk dalam keluarga yang sama.

Ada hampir 1400 spesies dalam keluarga Piperaceae yang tumbuh melata di kawasan tropika dan subtropika di dunia ini. Pokok sirih tumbuh subur di kawasan tropika atau subtropika disebabkan oleh komposisi kandungan dan kesuburan tanahnya.

Di samping itu, ada pendapat yang menyatakan sirih berasal dari Tanah Melayu (termasuk Indonesia dan negara dalam Kepulauan Melayu). Malah, ada juga yang menyatakan sirih berasal dari India. Perbezaan lokasi tumbuhan ini memberikan variasi terhadap sirih, iaitu dari segi bentuk, rasa dan kandungan sebatian organik yang ada di dalamnya.

Tumbuhan ini bersifat memanjat. Kadangkala, sirih juga dapat menjalar di atas tanah. Tumbuhan yang lebih tinggi di sekitarannya sering dijadikan topang atau junjung. Oleh sebab itu, sirih dapat tumbuh setinggi 15 kaki dengan melilit dan memanjat junjung yang didiaminya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 5 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Botani

Lalang Agen Antipembekuan Darah

Oleh CHEE BENG JIN

Lalang atau nama saintifiknya Imperata cylindrica (L) P. Beauv sejenis rumput yang  tumbuh sehingga mencapai ketinggian 1.5 meter. Daunnya berwarna hijau, panjang, dan lurus dengan urat daun selari serta runcing di hujungnya. Bahagian tepi daunnya agak tajam dan menyebabkan luka jika tidak berhati-hati semasa memegangnya. Bunganya berwarna putih, ringan dan berjambak halus. Lalang mempunyai batang khas yang dipanggil rizom yang bersisik dan tajam, serta tumbuh menjalar di atas tanah.

Lalang dijumpai di sekitar kawasan Asia Tenggara, Afrika, India, Australia serta beriklim tropika, seperti Amerika Utara, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Malah, lalang didapati tumbuh di beberapa kawasan bersuhu sederhana, seperti New Zealand dan Jepun. Lalang hidup subur di kawasan yang menerima taburan hujan yang melebihi 1000 milimeter setahun. Lalang juga hidup di kawasan yang kerap dilanda banjir dan tahan kebakaran. Oleh sebab itu, lalang mudah tersebar luas ke kawasan berpasir, seperti persisiran pantai, padang pasir serta habitat berair, seperti kawasan berpaya dan lembah sungai. Kadar pertumbuhan yang tinggi menyebabkan lalang cepat tersebar ke seluruh kawasan baharu sebagai perintis baharu sehingga mengancam sektor pertanian dan perladangan.

Nama saintifik lalang diambil sempena mengingati jasa ahli farmasi berbangsa Itali, iaitu Ferrante Imperato (1550 – 1631). Beliau bergiat aktif dalam kajian sumber semula jadi dan penulis buku Dell’Historia Naturale. Nama lain bagi lalang ialah alang-alang dan ilalang di Indonesia, kunai di Papua New Guinea, kogon dan gogon (Filipina), kyet-mei (Myanmar), co tranh (Vietnam) dan ya-kha (Thailand). Lalang juga dikenali dengan panggilan cogongrass dan satintail dalam bahasa Inggeris dan di Australia dikenali sebagai blady grass.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik keluaran Mei 2012.

Posted in: Botani

Kecubung Beracun

Oleh AZIZAN  HAJI DAUD


KECUBUNG atau lebih dikenali sebagai terung pungar sejenis pokok renek dalam famili Solanaceae yang berasal dari China. Nama saintifiknya, Datura metel merupakan sejenis tumbuhan beracun yang mempunyai nilai perubatan. Pokok kecubung boleh mencapai ketinggian sehingga dua meter.

Batangnya keras berkayu dan cabangnya berumpun. Bunga kecubung berbentuk trompet dengan pelbagai saiz dan warna. Warna bunga kecubung yang biasa ditemui ialah ungu dan putih serta kuning dan jingga. Buah kecubung berwarna hijau dan bertukar coklat apabila tua dan mempunyai duri yang halus di bahagian luarnya, seperti kulit durian.

Apabila masak, lenggai buah ini pecah dan mengeluarkan biji berwarna coklat dan berbentuk seperti buah pinggang. Kedua-dua buah dan biji  kecubung beracun. Setiap buah mengandungi lebih kurang 500 biji. Pokok kecubung ditanam menggunakan biji benih atau keratan batang. Daunnya berselang-seli, berukuran antara 10 – 20 sentimeter panjang dan lebar, serta bahagian tepi daun bergerigi. Pertumbuhannya tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.

Posted in: Botani

Jarak Buncit Beracun

Oleh AZIZAN HAJI DAUD

TUMBUHAN jarak buncit juga dikenali sebagai jarak bunting. Nama saintifiknya, Jatropha podagrica. Tumbuhan ini dalam famili Euphorbiaceae. Jarak buncit sangat

popular dijadikan tumbuhan hiasan. Penjagaan tumbuhan ini juga mudah.

Jarak buncit sejenis tumbuhan renek yang mempunyai ketinggian 30 – 90 sentimeter (cm). Nama tumbuhan ini mengambil sempena bentuk batangnya yang buncit di pangkal pokok. Batang tumbuhan ini berwarna hijau. Bunganya pula merah dan berbentuk seperti batu karang. Buahnya bujur dan mempunyai empat pangsa dengan garis pusat berukuran 2.5 – 4 cm. Buah muda jarak buncit berwarna hijau, dan perang apabila matang. Buahnya akan pecah dengan sendiri apabila matang serta mengeluarkan 2 – 3 biji berwarna hitam.

Keseluruhan tumbuhan ini beracun, terutama bijinya. Seperti spesies jarak yang lain, kandungan bahan aktif utamanya ialah curcin. Curcin sejenis toksalbumin yang boleh merosakkan sel, terutama sel ginjal apabila berada di dalam darah. Bahan lain ialah jatrofin, asid kurcanoleik, asid krotonoleik dan asid hidrosianik acid. Daunnya mengandungi saponin. Apabila berlaku kes keracunan akibat termakan bahagian pokok jarak buncit, simptom yang ditunjukkan ialah sakit perut dan kesan terbakar pada tekak setelah setengah jam termakan bijinya.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Botani