Perencat Pembiakan Cacing

Oleh CHEE BENG JIN

Ekstrak metanol daun ketapang didapati mampu merencatkan pertumbuhan bakteria E-coli.

KETAPANG dikelaskan sebagai pokok bersaiz besar atau sederhana yang mempunyai ketinggian sehingga mencecah 35 meter. Dahan pokok mudanya bertingkat-tingkat seakan-akan menara “pagoda”. Saiz bunganya amat kecil dan berwarna putih kehijauan. Buahnya berbentuk bujur pipih dengan tepinya bersegi, berwarna hijau ketika muda dan bertukar kuning kemerahan apabila masak.

Nama saintifik pokok ketapang ialah Terminalia catappa L. Nama genusnya, Terminalia, berasal daripada perkataan Latin, “terminalis” yang bermaksud penghujung, iaitu merujuk ciri menarik susunan daunnya yang bertumpu pada hujung setiap dahan muda. Nama tempatan lain ketapang ialah lingkak. Di Filipina, pokok ini dikenali sebagai talisai, dalinsi atau logo. Di Laos, pokok ini dikenali sebagai huu kwang, manakala cham bak barang (Kemboja), khon atau taa-pang (Thailand) dan bang bien (Vietnam).
Pokok ketapang berasal dari kawasan Asia Tenggara dan kini banyak tumbuh di kawasan tropika dan subtropika, seperti utara Australia, Pakistan, India, timur dan barat Afrika, Madagascar, serta kawasan tanah pamah di Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Pokok ketapang tumbuh liar secara semula jadi di kawasan berpasir di tepi pantai dan buahnya yang ringan dan berserabut senang disebarkan melalui air laut ke persisiran pantai yang berdekatan. Oleh sebab itu, pokok ketapang juga dikenali sebagai pokok badam laut. Pokok ini turut tumbuh di kawasan daratan yang menerima hujan yang mencukupi, tetapi tidak sesuai tumbuh di kawasan yang bertakung air.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Hutan Tropika