SARAP HUTAN PENTING

Oleh: Mohd Afzanizam Muda

Ekosistem hutan hujan tropika ialah sistem ekologi yang kompleks yang saling berhubung kait untuk memastikan interaksi dan kemandirian sesuatu komuniti (hidup dan bukan hidup), terus wujud. Produktiviti dalam ekosistem daratan berhubung kait secara langsung dengan kitar nutrien yang menghubungkan tumbuhan dengan tanah.

Dalam ekosistem hutan, secara umumnya, produktiviti primer dinilai berdasarkan penghasilan sarap hutan. Hal ini dikatakan demikian kerana daun kering ialah sumber utama karbon organik tanah dan kitar nutrien tumbuhan. Ahli ekologi mentakrifkan kitar nutrien sebagai penggunaan, perubahan, gerakan dan guna semula nutrien di dalam tanah.

Nutrien pula merujuk elemen yang diperlukan oleh tanah dalam proses biologi organisma. Secara lazimnya, ada tiga kitar nutrien utama, iaitu kitar nitrogen, kitar karbon dan kitar fosforus. Nutrien ini memasuki ekosistem daratan menerusi proses geologi, hidrologi dan biologi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

BUNYI DAPAT DILIHAT?

Oleh: Salina Abdul Samad

Manusia mengesan bunyi dengan menggunakan deria pendengaran. Manusia dapat memahami maksud bunyi yang didengar, sama ada dalam konteks isyarat pertuturan atau bunyi umum, membuat perbandingan antara bunyi, serta menikmati dan menghayati bunyi dalam konteks muzik, nyanyian dan alam semula jadi. Yang menariknya, manusia juga dapat melihat bunyi. Hal ini menyebabkan manusia memahami maksud bunyi, membuat perbandingan antaranya dan menghayatinya.

Bunyi ialah gelombang dan getaran yang bergerak melalui udara. Bunyi didengar apabila getaran tiba di telinga manusia. Sebagai gelombang, bunyi mempunyai amplitud yang berubah-ubah seiring dengan masa. Sebagai gelombang juga, bunyi dicirikan berdasarkan parameter frekuensi, iaitu suatu segmen bunyi yang dapat merangkumi pelbagai frekuensi.

Manusia dapat mendengar gelombang bunyi yang mempunyai frekuensi antara 20 Hz hingga 20 kHz. Julat ini dikenali sebagai julat pendengaran auditori manusia. Haiwan dapat mendengar pada julat yang berbeza-beza. Sebagai contohnya, kucing dapat mendengar bunyi bukan sahaja dalam julat pendengaran auditori manusia, tetapi juga sehingga frekuensi yang lebih tinggi, iaitu lebih kurang 65 kHz.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: Fizik

HUTAN PENYELAMAT DUNIA

Oleh: Norsheilla Mohd. Johan Chuah, Azian Mohti dan Samsudin Musa

Suhu anomali permukaan Bumi dilaporkan meningkat secara purata antara 0.14°C hingga 0.25°C dalam tempoh 10 tahun. Panel antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) menjangkakan peningkatan suhu global permukaan Bumi secara purata adalah lebih kurang antara 1.1°C hingga 6.4°C antara tahun 1990–2100.

Kehadiran gas rumah hijau di atmosfera, terutamanya karbon dioksida (CO2), yang tinggi menjadi punca bagi peningkatan suhu Bumi. Hal ini menyebabkan Bumi panas dan iklim dunia berubah. Berdasarkan statistik, emisi CO2 global tahun 2017 meningkat dua peratus menjadi 36.8 Gt CO2.berbanding dengan tahun 2016.

Peranan hutan untuk menangani perubahan iklim, sangat besar. Sebagai contohnya, hutan membantu menyejukkan Bumi. Hutan juga berupaya menyerap gas CO2 yang ada di atmosfera menerusi aktiviti fotosintesis dan menghasilkan gas oksigen (O2) yang sangat diperlukan oleh manusia. Dapat dikatakan bahawa hutan ialah penyelamat dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana gas CO2 yang diambil oleh hutan dapat ditukarkan kepada simpanan dalam bentuk karbon.

Pokok berperanan untuk menyerap CO2 di atmosfera menerusi proses fotosintesis.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

PENGGUNAAN KOMPUTER HADKAN TEMPOHNYA

Oleh: Mohd. Syukri Anwar

Komputer ialah alat teknologi yang sangat menakjubkan. Kelajuan pemprosesan komputer yang sangat pantas seakan-akan mampu menyaingi dan mengatasi kemampuan otak manusia. Malah, beberapa masalah yang sangat rumit dan tidak mampu diselesaikan oleh manusia dapat diselesaikan oleh otak komputer dalam tempoh beberapa saat sahaja.

Berbekalkan kehebatan dan keupayaan komputer ini, tidak hairanlah apabila komputer digunakan untuk menyelesaikan pelbagai tugasan. Sejak itu, bermulalah era penggunaan komputer secara menyeluruh dalam pelbagai bidang. Pengguna komputer mula memperuntukkan masa yang sangat banyak untuk duduk di hadapan komputer. Tangan pula digunakan untuk menaip dan menggerakkan tetikus.

Akhirnya, urusan kerja menjadi mudah dan cepat. Pengguna tidak perlu lagi berjalan terlalu banyak ke tempat lain untuk menghantar sesuatu maklumat atau menyelesaikan sesuatu tugasan. Oleh sebab itu, banyak masa dan tenaga yang dapat dijimatkan. Secara tidak langsung, produktiviti dan kualiti kerja dapat ditingkatkan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: Daripada Editor

SISA DAPUR KITAR SEMULA

Oleh: Zarina Zakaria dan Mohd. Azlan Mohd. Ishak

Pada setiap hari, manusia menghasilkan sejumlah besar sisa dapur dan sisa makanan. Berdasarkan statistik suku pertama tahun 2017 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dilaporkan bahawa rakyat Malaysia menghasilkan sebanyak 17 800 tan metrik sisa dapur dan sisa makanan pada setiap hari. Daripada jumlah ini, sekurang-kurangnya 5000 tan metrik ialah makanan yang masih tidak terusik.

Secara puratanya, setiap isi rumah menghasilkan lebih kurang 1.1 kg sisa dapur dan sisa makanan pada setiap hari. Longgokan sisa dapur dan sisa makanan ini makin bertambah pada setiap tahun seiring dengan pertambahan penduduk. Sumber sisa dapur dan sisa makanan yang tertinggi ialah pembuangan domestik, diikuti oleh premis makanan. Pembuangan sisa dapur dan sisa makanan ini menghasilkan sekitaran yang busuk, tercemar dan sesuai bagi penularan penyakit. Hal ini seterusnya mewujudkan kehidupan yang tidak sihat.

Kerajaan Malaysia, menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp) memperkenalkan beberapa polisi untuk mengawal keadaan ini. Antaranya termasuklah penyisihan sampah berdasarkan kategori secara mandatori berkuat kuasa pada 1 September 2015.

Jadual 1 Kumpulan makanan dan contoh sisa makanan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: Bioteknologi

SPF PASOH BERTARAF ANTARABANGSA

Oleh: Musalmah Nasardin, Salleh Mat, Yao Tze Leong dan Ahmad Awang

Berada pada koordinat 2.98ºU 102.31ºT, Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Pasoh terletak di daerah Jempol, Negeri Sembilan, lebih kurang 140 km dari Kuala Lumpur. SPF ini terletak di kawasan Hutan Simpan Pasoh yang berkeluasan 13 900 ha.

Hutan Simpan Pasoh menerima purata hujan tahunan yang rendah, iaitu 1842 mm dengan purata suhu 25.4°C. Kawasan ini antara kawasan terkering di Semenanjung Malaysia. Hutan simpan Pasoh ialah hutan hujan tanah pamah, iaitu hutan yang berada pada ketinggian antara 0 meter hingga 600 meter dari aras laut.

Di samping itu, Hutan Simpan Pasoh menjadi habitat bagi ribuan spesies flora dan fauna. Hutan ini juga didominasi oleh keluarga dipterokarpa, iaitu tumbuhan yang mempunyai buah dengan dua sayap. Hutan ini unik kerana dikategorikan sebagai sejenis pulau hutan yang terpisah daripada tulang belakang rangkaian hutan di Semenanjung Malaysia yang bersambung dari Perlis hingga Johor dan dikelilingi oleh ladang kelapa sawit dan getah.

Aktiviti penyelidikan di hutan simpan Pasoh bermula sejak tahun 1964. Pada ketika itu, sekumpulan ahli sains dari Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI), Lembaga Getah Malaysia dan Universiti Malaya melihat potensi besar yang ada pada hutan ini untuk dijadikan sebagai makmal semula jadi bagi penyelidikan ekologi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

AIR KELAPA TUA MEDIUM PENGHASILAN KAPSUL

Oleh: Nur Syafiqah Kamarudin, Norliza Abd. Rahman, Mohd. Sahaid Khalil dan Siti Kartom Kamarudin

Selulosa bakteria (SB) ialah biopolimer yang tidak bertoksik dan sangat sesuai digunakan dalam industri makanan dan perubatan. Selulosa bakteria digunakan sejak berabad-abad dahulu sebagai bahan mentah daripada sumber pokok dan tumbuhan untuk pelbagai kegunaan.

Biopolimer ini dikaji oleh Anselme Payen pada tahun 1839. Beliau mendapati bahawa bahan ini mempunyai kandungan yang sama seperti kanji, tetapi berbeza dari segi struktur dan sifat.

SB mempunyai formula molekul (C6H10O5)n yang sama seperti selulosa tumbuhan, tetapi berbeza dari segi ciri kimia dan fizikal. SB lebih baik berbanding dengan selulosa tumbuhan kerana tahap ketulenan, pempolimeran dan indeks penghablurannya, tinggi. Selain itu, SB mempunyai kekuatan tegangan dan kekuatan memegang air yang tinggi berbanding dengan selulosa tumbuhan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: KIMIA

SEKAM PADI SUMBER SILIKA

Oleh: Nadiah Ameram

Tanaman padi banyak diusahakan di Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu dan Perak. Tambahan lagi, dataran Kedah dan dataran Kelantan dikenali sebagai jelapang padi negara. Antara jenis padi yang ditanam di Malaysia termasuklah Padi Mahsuri, Padi Murni, Sri Malaysia, Setanjung, Sekembang, Seberang, Makmur dan MR 84.

Sekam ialah bahagian daripada biji-bijian yang berupa lembaran yang kering, bersisik, dan tidak boleh dimakan, yang melindungi bahagian dalam padi (endospermium dan embrio). Sekam juga dapat ditemukan pada hampir semua bahagian rumput (Poaceae).

Namun begitu, ada juga variasi biji-bijian tanpa sekam, seperti jagung dan gandum, yang ditemukan. Dalam bidang pertanian, sekam digunakan sebagai campuran pakan, alas kandang, dicampur di tanah sebagai kompos, serta dibakar dan arangnya dijadikan sebagai media tanaman. Selain itu, sekam padi juga menjadi pelindung keras yang menutupi beras.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: Bioteknologi

AIR SEJUK RAWAT DEMAM?

Oleh: Mohammad Amir Wan Harun

Demam ialah perkara biasa yang dialami oleh semua orang. Ada orang yang mengalami demam sehingga beberapa kali dalam tempoh setahun. Demam juga menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa dan boleh memberikan kesan yang serius jika dibiarkan begitu sahaja.

Apabila seseorang itu demam, tindakan yang biasa dilakukan adalah dengan memakan ubat demam. Ada juga orang yang mandi untuk mengurangkan suhu badan yang meningkat semasa demam. Walau bagaimanapun, ada polemik dalam kalangan masyarakat, sama ada perlu mandi dengan air panas atau air sejuk.

Berdasarkan teori perubatan moden, penggunaan air sejuk ais, air ais, atau ketul ais ketika demam tidak menurunkan suhu tubuh badan, tetapi meningkatkan lagi suhu badan. Hal ini dikatakan demikian kerana air yang dingin menyebabkan pembuluh darah pada kulit mengecut sehingga rasa panas yang dibawa oleh darah ke kulit terhalang.

Kaedah Rawatan Demam dengan Menggunakan Air Sejuk
1. Mulakan dengan bacaan doa.
2. Menyiram atau merendam badan di dalam air sejuk pada waktu awal pagi secara berperingkat daripada kaki hingga atas kepala.
3. Berhenti seketika daripada menyiram atau keluar sebentar daripada air untuk memberikan ruang kepada tubuh badan untuk meningkatkan suhu.
4. Ulangi siraman atau rendaman tubuh badan di dalam air. Proses ini perlu diulangi tiga kali.
5. Siraman atau rendaman ini hendaklah dilakukan pada waktu awal pagi sebelum matahari terbit.
6. Siraman atau rendaman ini diulangi sekurang-kurangnya tiga hari pada waktu pagi walaupun demam kebah pada hari kedua. Perkara ini penting untuk memastikan demam tidak berulang. Jika masih tidak sembuh, proses ini diteruskan hingga lima, tujuh atau sembilan hari pada waktu pagi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: SAINS ISLAM

RIBUT PETIR PENCETUS HUJAN BATU

Oleh: Mohd. Syukri Anwar

Pada 3 Jun 2016, hujan batu berlaku di Bukit Jalil. Setahun berikutnya, iaitu pada 21 Oktober 2017 pula, hujan batu berlaku di Kuala Krai. Yang terkini, hujan batu berlaku di Bukit Serdang dan berhampiran dengan Seri Kembangan pada 1 Ogos 2018. Pengulangan kejadian ini pada setiap tahun menunjukkan bahawa hujan batu bukan fenomena luar biasa di Malaysia.

Walau bagaimanapun, bagi sesetengah rakyat Malaysia, hujan batu ialah peristiwa yang pelik jika berlaku di Malaysia. Pada pandangan sesetengah orang ini, hujan batu sepatutnya hanya berlaku di negara luar, seperti China, Eropah tengah, selatan Australia, selatan dan barat Jerman, utara dan timur Perancis serta Amerika Utara.

Yang sebenarnya, jika mekanisme penghasilan hujan batu diketahui, tempat yang mungkin berlakunya hujan batu dapat dijangkakan. Walau bagaimanapun, jangkaan ini memerlukan seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuklah geografi dan meteorologi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik September 2018.