PENCEMARAN SEKTOR PENGANGKUTAN

Kenderaan pengangkutan yang bergerak dengan menggunakan tenaga yang dihasilkan menerusi pembakaran kimia bahan api memerlukan sumber oksigen (O2) sebagai agen untuk membantu proses pembakaran. Pembakaran dalaman ini bergantung pada jenis bahan api yang digunakan, sama ada petrol, diesel atau gas asli (NGV).

Penggunaan bahan api jenis hidrokarbon, seperti petrol, diesel dan NGV ialah sumber bahan api konvensional terpenting di dunia dalam penghasilan tenaga untuk sistem kenderaan. Secara kimianya, pembakaran bahan api dibantu oleh O2 untuk menghasilkan tenaga yang disimpan dalam bentuk kg/liter bahan api.

Daripada jumlah tenaga yang berjaya dihasilkan (bergantung pada kualiti pembakaran) dianggarkan hanya antara 20 % hingga 35 % tenaga digunakan untuk mengerakkan kenderaan. Yang bakinya, iaitu antara 65 % hingga 80 % tenaga hilang disebabkan oleh gerakan teknikal dalam enjin dan sistem sokongan yang lain.

Antara contoh gerakan teknikal dan sistem sokongan termasuklah faktor geseran di antara komponen yang bergerak dan penggunaan aksesori tambahan yang lain, seperti sistem lampu dan radio. Kehilangan haba yang dipindahkan melalui sistem penyejukan juga turut mempengaruhi kehilangan tenaga dalam sistem enjin.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Alam Sekitar

Menangani Perubahan Cuaca Secara Sistematik

Oleh Zaili Mohamad

Satu cabaran besar yang dihadapi oleh semua negara di dunia dalam aspek alam sekitar ialah cara untuk meningkatkan kualiti udara bagi tujuan pernafasan. Pada masa yang sama, cabaran untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau yang menyebabkan perubahan iklim yang dihadapi pada hari ini perlu dihadapi. Bagi menjayakan hasrat ini, kerjasama daripada semua negara yang meliputi kerajaan dan industri diperlukan.

Dalam masa yang sama sektor koperasi mengambil langkah proaktif dan bersungguh-sungguh bagi menangani isu ini secara global. Langkah ini bermula ketika Perhimpunan Agung Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) di Singapura yang menerima satu resolusi yang diserahkan oleh Cooperative Group Ltd dan Co-operative UK Limited.

Berdasarkan resolusi ini, seluruh koperasi dunia diseru untuk bergerak bersama-sama bagi memerangi perubahan cuaca menerusi tiga cara. Pertama, mengukur dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau yang wujud disebabkan oleh aktiviti koperasi. Kedua, menyampaikan, memaklumkan dan mendorong anggota mengamalkan gaya hidup yang rendah karbon. Ketiga, menggunakan pengaruh politik bagi menggalakkan kerajaan memainkan peranan positif ketika rundingan Kyoto.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Alam Sekitar

Perkhidmatan Penyerapan Karbon

Oleh Safinah Saupi

Karbon dioksida merupakan satu daripada gas rumah hijau yang bertanggungjawab menyebabkan perubahan cuaca, selain metana, nitrus oksida dan ozon. Manusia merupakan penyumbang terbesar pelepasan karbon, iaitu sebanyak 30 Gt (gigatan atau bilion tan metrik) setahun. Pada tahun 2014, nilai kepekatan karbon di atmosfera bumi menghampiri 390 ppm. Kepekatannya, 100 ppm lebih besar daripada zaman praindustri. Nilai ini pula meningkat sebanyak dua ppm pada setiap tahun.

Trend ini perlu diterbalikkan bagi mencapai matlamat dunia yang mengehadkan pemanasan global kepada dua darjah Celsius pada abad ke- 21 dan mengurangkan kesan negatif disebabkan oleh purata suhu dunia yang tinggi, seperti kemarau, banjir dan perubahan cuaca yang ekstrem. Pelepasan karbon berpunca daripada aktiviti pembakaran bahan api fosil, penebangan hutan, pertanian dan penggunaan tanah yang melepaskan 3.7 gigatan karbon pada setiap tahun.

Pokok dikatakan sebagai paru-paru bumi kerana menyedut karbon dan menghembuskan oksigen. Hutan menyimpan karbon yang dapat mengurangkan pelepasannya di atmosfera. Hutan mewakili empat bilion hektar atau 31 peratus daripada jumlah tanah bumi dan menyimpan 2/3 karbon.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Alam Sekitar

Isu Endapan Asid Masih Relevan?

Oleh S. Mariam Sumari

Ungkapan endapan asid, pengasidan atmosfera dan hujan asid adalah antara ungkapan yang berkaitan dengan isu alam sekitar, khususnya pencemaran udara. Di rantau Asia Timur (Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam) ungkapan ini biasanya terhad di seminar atau persidangan yang dihadiri oleh sekumpulan kecil penyelidik.

Hal ini bukan isu panas seperti pemanasan global atau pemusnahan ozon yang mampu menarik perhatian penyelidik, orang kebanyakan dan pemerintah negara. Hal ini dikatakan demikian kerana kesannya terhadap manusia tidak mendadak atau ketara, seperti masalah jerebu yang biasa berlaku di Malaysia dan Singapura akibat pembakaran hutan di Sumatera.

Oleh sebab itu, fenomena ini tidak dianggap kritikal, seterusnya diabaikan oleh kebanyakan pihak berkuasa yang mempunyai mandat bagi menjadikan isu ini antara agenda negara yang perlu diberi perhatian.

Dengan pembangunan industri yang kian pesat di negara tertentu, seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand, pengajaran daripada apa-apa yang berlaku pada negara yang tamadun industrinya berlaku lebih awal, seperti England dan Eropah perlu diambil pengajaran.

Hal ini bermula daripada Revolusi Industri di England dan Eropah sekitar abad ke-17 berikutan penemuan banyak arang batu dari perut bumi. Setelah itu, industri bertumbuh dengan amat pesat disertai dengan bahan pencemar yang dilepaskan ke udara tanpa kawalan hingga sampai ke kemuncaknya sekitar abad ke-18.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Alam Sekitar, Fokus, Utama