PEWARNA MELUNTURKAN WARNA

Pencemaran didefinisikan sebagai percampuran antara bahan pencemar, seperti bahan kimia, yang menyebabkan kesan negatif kepada hidupan. Antaranya termasuklah membahayakan kesihatan manusia, memusnahkan tumbuhan dan mengancam ekosistem sekitar.

Sejak akhir-akhir ini, pencemaran alam sekitar menjadi kemelut yang tidak dapat dipisahkan yang mendepani arus pembangunan dan pemodenan. Hal ini diburukkan lagi dengan pembuangan sisa toksik dan pelbagai jenis pewarna oleh industri berat, kilang dan makmal ke dalam punca air, seperti sungai.

Tindakan rakus pihak yang hanya mementingkan keuntungan ini menyebabkan masalah yang lebih serius kepada alam sekitar dan meningkatkan tahap pencemaran, terutamanya pencemaran air. Pencemaran air berlaku apabila pihak industri tidak menyediakan sistem pelupusan yang terancang dan bersikap tidak bertanggungjawab.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

PROSES PENJERAPAN DALAM RAWATAN AIR

Air mentah perlu menjalani proses pembersihan dan rawatansebelum disalurkan untuk kegunaan domestik. Bagimemastikan air yang dibekalkan bebas daripada zarahpencemar dan selamat diminum, proses rawatan tambahan yangdikenali sebagai penjerapan, dilakukan.
Kepentingan proses penjerapan dapat dilihat dalam pemasangan unit penjerap (penuras) arang (karbon) aktif
di kediaman. Di sesetengah negara maju, proses penjerapan termasuk dalam sistem rawatan air mentah domestik bersepadu. Oleh sebab itu, pemasangan unit berasingan di kediaman tidak diperlukan.
Proses penjerapan ialah proses zarah atau molekul pencemar, seperti toksin, logam berat terlarut dan bahan organik, terperangkap di permukaan atau liang mikro sesuatu pepejal yang dikenali sebagai bahan penjerap. Dengan menggunakan konsep penurasan, air yang mengandungi zarah pencemar dilalukan pada bahan penjerap untuk dirawat. Hasil yang diperoleh ialah air yang bersih dan bebas zat tercemar.
Arang aktif ialah bahan penjerap yang digunakan secara meluas dalam rawatan air. Selain arang aktif, tanah liat juga digunakan dalam proses penjerapan sebagai peluntur warna dan penyahbau dalam industri kimia. Pelbagai usaha dan kajian masih dilakukan untuk menghasilkan bahan penjerap yang murah, mesra alam dan berprestasi tinggi. Selain rawatan air mentah, proses penjerapan juga diamalkan dalam kawalan pencemaran udara serta proses rawatan air sisa domestik dan industri.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

APLIKASI KAEDAH SINTESIS TEMPLAT

Pada waktu ini, Malaysia melonjak ke arah revolusi teknologi nano. Hal ini bermakna pada tahun 2020, penghasilan produk berasaskan teknologi termaju ini dapat diaplikasikan secara meluas dalam pelbagai bidang. Sebenarnya, idea teknologi nano ini diutarakan lebih daripada 50 tahun yang lalu oleh ahli sains dan pemenang hadiah Nobel, iaitu Richard P. Feynman.

Dalam persidangan ahli Persatuan Fizik Amerika pada tahun 1959, Richard P. Feynman menyampaikan syarahan yang bertajuk “There’s Plenty of Room at the Bottom”, (masih banyak ruang yang belum diteroka dalam skala kecil). Dalam syarahan ini, beliau mencadangkan bidang baharu bagi pemanipulasian unit terkecil bagi suatu bahan, iaitu atom. Peristiwa ini menjadi titik permulaan bagi perbincangan saintifik pertama dalam teknologi nano.

Perkataan teknologi nano dapat didefinisikan sebagai kajian dan fabrikasi bahan, alat atau peranti pada saiz nano (halus atau kecil) bagi kegunaan atau manfaat manusia sejagat. Teknologi ini dilihat dapat menjanjikan penerokaan yang cukup berpotensi tinggi. Hal ini termasuklah daripada komputer yang menyaingi kuasa pemprosesan otak manusia, komunikasi dan storan data hinggalah motor molekular, peranti selular dan ubat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.