Escherichia coli dalam Sayur-sayuran

Oleh ROCHMAN NAIM

ESCHERICHIA coli merupakan kumpulan bakteria yang besar dan mempunyai kepelbagaian sifat atau ciri. Kebanyakan strain E.coli tidak berbahaya, namun sebahagiannya menyebabkan banyak orang jatuh sakit. Beberapa strain daripada bakteria ini menyebabkan penyakit diarea, jangkitan saluran pernafasan (penyakit pernafasan dan pneumonia) dan penyakit lain. Selain itu, beberapa strain bakteria ini digunakan untuk mengesan pencemaran air. Jika air mengandungi bakteria ini bermakna air tersebut telah tercemar.

Pada Mei 2011, strain E. Coli menjangkiti lebih daripada 2400 orang di 13 negara di Eropah, yang menyebabkan 23 orang meninggal dunia, berdasarkan laporan pada tarikh 9 Jun 2011. Kes terbanyak di Jerman dengan 2347 orang dijangkiti. Daripada jumlah tersebut, 642 pesakit mengalami komplikasi Sindrom Uremia Hemolisis (HUS) yang meragut nyawa 22 orang. Kebanyakan kes tersebut

melibatkan orang dewasa. Pada 24 Jun 2011, sebanyak 834 kes HUS (30 pesakit meninggal dunia) dan 2967 kes bukan HUS (16 pesakit meninggal dunia) meningkat di Jerman. Setakat ini, wabak ini adalah kes jangkitan E. coli yang mempunyai komplikasi HUS paling tinggi yang pernah wujud di dunia. Pesakit yang dijangkiti bakteria ini mengalami diarea berdarah. Komplikasi HUS kerana jangkitan E. coli biasanya tidak melibatkan jumlah pesakit yang banyak seperti kes ini. Simptom jangkitan bakteria ini ialah kegagalan buah pinggang akut, anemia kerana sel darah merah rosak dan jumlah platelet yang rendah (trombositopenia).

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Penyelidikan

Pembebas Gas Toksik

Oleh ZARIF MOHAMED SOFIAN

PENGHASILAN pelbagai bentuk peralatan memasak khasnya periuk dan kuali yang tak melekat memudahkan urusan memasak. Penggunaan kuali tak melekat juga dapat menggalakkan penghasilan masakan yang rendah lemak apabila jumlah isi padu minyak masak yang diperlukan lebih sedikit berbanding dengan masakan yang dihasilkan di dalam periuk mahupun kuali yang melekat. Namun di sebalik manfaat penggunaan peralatan memasak tak melekat, saintis tampil dengan kebimbangan terhadap kesan bahan kimia yang dikenali sebagai asid perflorooktanoik (PFOA). PFOA salah satu bahan asas yang diperlukan dalam penghasilan peralatan memasak tak melekat.

PFOA yang dikenali sebagai C-8 merupakan bahan kimia yang berfungsi dalam menghasilkan ikatan antara salutan tak melekat dengan permukaan kuali. Menurut Agensi Pemuliharaan Alam Sekitar (EPA) yang berpusat di Amerika Syarikat, PFOA mempunyai potensi untuk disenaraikan sebagai salah satu b a h a n kimia yang bersifat karsinogenik, iaitu bahan kimia yang mampu menyebabkan kanser menjelang tahun 2015. Pada tahun 2006, EPA telah mengarahkan lapan syarikat pengeluar peralatan memasak tak melekat untuk menghapuskan penggunaan PFOA dalam penghasilan keluaran syarikat.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Penyelidikan

Proses Turasan Air

Oleh RIDHWAN ADAM dan MOHAMAD NASIR MOHAMAD IBRAHIM

AIR menjadi medium utama aktiviti seharian manusia sama ada untuk aktiviti fizikal mahu pun spiritual. Selain memberikan pelbagai faedah dan kebaikan, air mampu menjadi penyebab pelbagai kemudaratan. Seiring dengan perkembangan dunia perindustrian, sumber semula jadi air semakin tercemar. Hal ini menimbulkan pelbagai masalah termasuklah jangkitan penyakit yang menular dan kekurangan sumber air bersih untuk kegunaan harian.

Pelbagai cara dan kaedah telah dilakukan untuk “membersihkan” air termasuklah kaedah turasan, didih, dan sulingan.

Turasan merupakan operasi fizikal atau mekanikal yang dilakukan untuk memisahkan pepejal daripada bendalir (cecair atau gas) dengan meletakkan satu medium yang hanya bendalir boleh melepasinya. Dalam proses turasan, pepejal yang memiliki saiz yang besar akan tersangkut atau tersekat pada penuras, manakala bendalir yang bersaiz lebih kecil akan dapat melepasi penuras dengan mudah.  Bahan yang terturas dikenali sebagai hasil turasan, manakala bahan yang tersekat pada penuras dikenali sebagai baki turasan.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Penyelidikan

Adaptasi dalam Menghadapi Perubahan Iklim

Oleh Abdul Rahman Mahmud

Sejak meletusnya revolusi industri, keghairahan manusia untuk mengeksploitasi hasil alam semakin terserlah. Misalnya, kegiatan perlombongan bijih timah, arang batu, gas asli dan minyak petroleum dilakukan secara besar-besaran. Penggunaan tenaga yang meningkat secara eksponen sejak berlakunya ledakan aktiviti perindustrian menyebabkan ruang atmosfera diisi dengan ribuan tan gas rumah kaca.

Sejak tahun 1850 – 2005, kenaikan purata suhu dunia dilaporkan meningkat sebanyak 0.76°C. Walaupun peningkatan ini kecil, setiap kenaikan suhu dunia akan menimbulkan pelbagai implikasi terhadap kehidupan manusia.

Dalam hal ini, Profesor James Hansen, pengkaji perubahan iklim telah menukilkan kebimbangannya terhadap implikasi perubahan iklim dalam bukunya, The Storm of My Grand Children. Beliau menegaskan bahawa hari-hari mendatang dalam mendepani kesan perubahan iklim bagaikan meniti bukit curam yang amat licin dan berliku.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

Posted in: Penyelidikan