BAKTERIA PENYEBAB SANTAU

Apabila pesakit tiba-tiba mengalami demam yang tinggi,meracau, batuk, sakit dada, sakit kepala, tiada seleramakan, bisa seluruh badan dan susut berat badan secaratiba-tiba serta puncanya tidak dapat dikenal pasti penyakit inisering dikaitkan dengan santau.
Kini, pendapat manusia tentang punca penyakit yang dikaitkan dengan santau perlu diubah. Hal ini dikatakan
demikian kerana gejala yang tidak spesifik ini berpunca daripada bakteria, Burkholderia pseudomallei. Bakteria ini penyebab penyakit melioidosis yang berlaku di negara beriklim tropika. Penyakit ini endemik di Thailand, Singapura, Malaysia dan Australia.
Di Malaysia, jumlah kes penyakit ini yang dilaporkan rendah, tetapi penyakit ini tidak wajar dipandang ringan. Hal ini dikatakan demikian kerana jumlahnya yang rendah mungkin kerana penyakit ini tidak termasuk dalam senarai penyakit yang wajib dilaporkan. Penyakit ini dilaporkan berlaku di beberapa negeri di Malaysia, seperti Pahang dan Kedah. Selain menyerang manusia, bakteria ini juga mampu menyerang haiwan, seperti biri-biri, kambing. khinzir, kuda, kucing, anjing dan lembu.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Mikrobiologi

ANCAMAN ZIKA DALAM POPULASI TERDEDAH DENGGI

Di Singapura, wabak demam zika merebak dengan pantasnya. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam tempoh lapan hari bermula pada 27 Ogos 2016, wabak zika telah menyerang 242 orang. Peningkatan bilangan kes tercetus daripada tiga kluster baharu dan tiada pertalian antara satu dengan lain. Hal ini menguatkan lagi andaian bahawa wabak zika ini berasal dari tempatan. Beberapa negara lain turut menyatakan kebimbangan terhadap penyebaran virus ini. Seperti negara tropika yang lain, Singapura ialah perumah asli bagi Aedes aegypti, iaitu nyamuk pembawa atau vektor virus zika. Virus zika berpotensi menular secara pantas kerana Singapura ialah negara kecil, bandar dan kebanyakan tempatnya sesak dengan kepadatan penduduk yang tinggi. Thailand juga mengalami peningkatan jangkitan penyakit zika.

Daripada purata hanya lima kes pada setiap tahun antara tahun 2012 hingga tahun 2015, kes ini meningkat menjadi 97 kes pada enam bulan pertama tahun 2016 dan tersebar luas di 10 wilayah. Kes di Thailand kelihatan seperti pengecilan berita kerana berlaku hampir tiga bulan lebih awal berbanding dengan wabak di Singapura. Antara sebab lonjakan bilangan kes ini termasuklah peningkatan kesedaran awam terhadap zika, peningkatan kemampuan sistem diagnosis, pemantauan penyakit yang berkesan oleh pihak kesihatan Thailand dan tiada kes komplikasi, seperti mikrosefali dan sindrom Guillain-Barre (GBS) yang dikaitkan dengan zika yang dilaporkan setakat ini.
Kini, wabak zika berjaya memasuki Malaysia. Kini, wabak zika berjaya memasuki Malaysia. Penyebaran wabak ini bermula apabila rakyat Malaysia yang baru balik dari negara jiran dijangkiti oleh zika. Hal ini membuktikan bahawa penyakit ini berpindah merentasi sempadan berdasarkan gerakan manusia. Bukan itu sahaja, kini, terbukti bahawa kes kedua ialah “zika asal Malaysia” yang dilaporkan di Likas, Sabah pada 2 September 2016.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Mikrobiologi

PENEMUAN VIRUS PENYEMBUH

Dalam kehidupan manusia, sekurang-kurangnya ada lima sebab utama virus ditakuti. Yang pertamanya, hakikat kewujudan virus itu sendiri, sama ada organisma hidup atau tidak. Ada perbezaan pendapat dalam perumusan, sama ada virus ialah organisma hidup atau sekadar struktur organik yang berinteraksi dengan organisma hidup.

Ada anggapan bahawa virus ialah organisma di sisi tepi kehidupan kerana virus organisma hidup. Hal ini disebabkan oleh virus mempunyai gen atau bibit baka dan berevolusi menerusi pemilihan semula jadi dan membiak menerusi penghasilan salinan berganda “diri” mereka menerusi pemasangan kendiri.

Bagi orang yang tidak mengklasifikasikan virus sebagai organisma hidup pula, prinsip bahawa virus mempunyai gen, tetapi tidak mempunyai struktur sel yang dapat dikatakan sebagai unit asas kehidupan, dipegang. Pada masa yang sama, virus tidak mempunyai metabolisme sendiri. Oleh sebab itu, sel perumah diperlukan untuk kelangsungan hidup.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Mikrobiologi

Toxoplasma gondii Tidak Terhapus

Oleh Noor Zarina Abd. Wahab

Toxoplasma gondii ialah parasit Apicomplexa yang ada di seluruh dunia. Parasit ini dapat menjangkiti vertebrata berdarah panas, termasuklah manusia dan menyebabkan penyakit toksoplasmosis. Ahli keluarga kucing (Felidae) pula berfungsi sebagai takungan utama (reservoir) bagi parasit ini.

Pelbagai spesies burung dan mamalia berfungsi sebagai perumah perantara dalam kitar hidup Toxpoplasma gondii. Kucing memainkan peranan penting dalam penyebaran penyakit toksoplasmosis. Kucing dapat dijangkiti apabila tikus, burung atau haiwan kecil lain yang dijangkiti dimakannya. Trofozoit di dalam daging tercemar dilepaskan di dalam usus kucing dan kitar seksual (pembiakan berjantina) berlaku pada sel epitelium yang melapisi usus kecil.

Setelah itu, parasit ini keluar daripada badan kucing melalui najis yang mengandungi oosista tidak berdaya jangkit (oosista tidak berspora). Parasit ini hanya dapat dilihat menggunakan mikroskop dalam masa antara dua hingga tiga minggu selepas jangkitan. Oosista yang dibebaskan di sekitaran menerusi najis kucing ini mengambil masa antara satu hingga lima hari bagi menjadi oosista berdaya jangkit (oosista berspora).

Oosista ini berukuran antara 9 – 11 μm lebar dan antara 11 – 14 μm panjang dan mengandungi dua sporosista yang setiap satunya mempunyai empat sporozoit. Di dalam tanah lembap, parasit ini kekal berdaya jangkit bagi tempoh lebih daripada satu tahun.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Mikrobiologi

Parasit Membawa Maut

Oleh ZEEHAIDA MOHAMED dan ZAIDAH ABDUL RAHMAN
PARASIT sejenis hidupan yang mendapatkan sumber makanan dan keperluan lain daripada perumahnya. Faktor yang menyebabkan infestasi parasit ialah tahap kebersihan persekitaran tempat tinggal yang rendah, amalan kebersihan diri yang kurang, tahap sosioekonomi rendah dan sistem pembuangan najis yang tidak sempurna.
Tanda klinikal secara umum termasuklah sakit di bahagian perut,
cirit-birit, cirit-birit berdarah dan tumbesaran terbantut (bagi kanak-kanak). Antara komplikasi yang penting termasuklah usus tersumbat, kekurangan zat makanan, kekurangan sel darah merah (anemia), apendisitis dan bengkak hati.
Parasit yang penting dalam bidang perubatan dibahagikan kepada dua kumpulan besar yang terdiri daripada protozoa dan cacing.
Protozoa organisma uniselular yang mempunyai morfologi lengkap dan boleh berfungsi sebagai benda hidup. Saiznya antara dua hingga 100 mikrometer.  Strukturnya terdiri daripada sitoplasma (ektoplasma dan endoplasma) dan nukleoplasma.
Protozoa mempunyai dua fasa yang berbeza, iaitu fasa aktif yang dinamakan trofozoit dan fasa tidak aktif, sista, yang lebih tahan terhadap perubahan persekitaran.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Mikrobiologi

Dalam Telur Ayam Ada Bakteria

Oleh ROCHMAN NAIM

BAKTERIA Salmonella yang sering dilaporkan di seluruh dunia ialah Salmonella serotype Enteritidis (SE). Pada tahun 1980-an, SE muncul sebagai penyebab penting penyakit manusia yang menular di Amerika Syarikat (AS). Bilangan wabak SE meningkat secara mendadak pada masa itu, bermula di negeri Timur Laut dan kemudian tersebar di Barat pada tahun 1990-an. Penyakit SE kini menyerang di kebanyakan rantau negara Asia.
Sejak awal tahun 2000, daging ayam didapati  menjadi  sumber  makanan yang sering dijangkiti SE. Sehingga kini, pelbagai  sumber makanan yang  lain  masih belum dikenal pasti sebagai sumber jangkitan SE, termasuklah susu mentah, daging babi, daging lembu, tunas dan badam mentah. Perjalanan antarabangsa dan hubungan dengan reptilia juga dikaitkan dengan jangkitan SE.
Seseorang yang dijangkiti  bakteria Salmonella sering mengalami demam, kejang perut, dan cirit-birit yang bermula dari 12 hingga 72 jam selepas mengambil makanan atau minuman yang tercemar. Penyakit ini mengambil masa selama empat hingga tujuh hari dan kebanyakan pesakit pulih tanpa rawatan antibiotik. Walau bagaimanapun, cirit-birit semakin teruk sehingga pesakit terpaksa dikejarkan ke hospital.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2012.

Posted in: Mikrobiologi