DURIAN BELANDA ANTIPARASIT

Oleh: Chee Beng Jin

Durian belanda atau Annona muricata sejenis pokok renek bersaiz kecil yang dapat membesar sehingga mencapai ketinggian 10 m. Batang pokok durian belanda agak unik kerana bercabang pada bahagian pangkal. Bentuk daunnya bujur panjang dan tersusun secara berselang-seli. Permukaan atas daunnya berkilat dan berwarna hijau tua, manakala warna permukaan bawahnya hijau muda dan pudar.

Durian belanda ialah tumbuhan tidak bermusim dan dapat membiak menerusi biji benih atau keratan batang. Bunga durian belanda jenis tunggal dan terbentuk pada batang, dahan atau hujung ranting. Bunganya berwarna hijau kekuningan yang mempunyai tiga sepal yang berbentuk segi tiga dengan enam kelopak bunga.

Buah durian belanda berbentuk bujur runcing dan sedikit melengkok. Buah ini terbentuk daripada cantuman buah kecil. Warna buahnya hijau tua dan mempunyai duri pendek yang lembut. Isinya berserat, lembut dan berjus, serta ada biji yang berwarna hitam dan berkilat.

Fakta Menarik:

1. Buah durian belanda mengandungi kandungan serat dapat dimakan yang agak tinggi, iaitu 67%, dan kaya dengan sumber vitamin B (0.07 mg/100 g pulpa) dan vitamin C (20 mg/100 g pulpa).

2. Berdasarkan kajian sains makanan dan nutrisi, buah ini mempunyai banyak bahan mineral utama, seperti kalium, kalsium, natrium, kuprum, magnesium dan ferum, di dalam buahnya. Oleh sebab itu, pengambilan buah ini dapat membekalkan zat ini kepada badan manusia.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik September 2018.

Posted in: Herba

PEPIJAT PENYEDAP RASA

Oleh: Chee Beng Jin

Pepijat atau Elettariopsis curtisii ialah tumbuhan herba tahunan yang berasal daripada keluarga halia. Pepijat mempunyai rizom yang berbentuk tirus dan panjang. Rizomnya diliputi oleh selaput yang longgar dan tumbuh menjalar hampir di permukaan atas tanah.

Daun pepijat berbentuk lanseolat yang melebar pada bahagian tengah dan menyempit pada tangkai daunnya. Saiz rumpun ini biasanya boleh mencapai 1 m tinggi. Dalam satu rumpunnya ada antara dua helai hingga lima helai daun. Selain itu, rumpun ini menghasilkan bunga tunggal yang panjang dan runcing dari bawah permukaan tanah. Bunganya berwarna putih kekuningan. Pepijat sering ditemukan tumbuh dengan baiknya di kawasan pinggiran hutan tanah pamah yang lembap dan mempunyai teduhan.

Herba ini mempunyai banyak kegunaan. Pepijat ialah sayur penyedap rasa dan digunakan dalam masakan tradisi masyarakat Melayu. Herba ini juga dapat membekalkan khasiat kepada ibu selepas bersalin. Dalam hal ini, daun pepijat digunakan sebagai pembalut tungku untuk didemah pada bahagian perut. Pepijat juga sebahagian daripada ramuan yang disediakan sebagai mandian ketika berpantang. Selain itu, daunnya juga melegakan masalah pening kepala atau mabuk. Bahagian akarnya bersama-sama dengan akar tumbuhan lain dijadikan sebagai ramuan dalam amalan penjagaan kesihatan dalaman.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Julai 2018.

Posted in: Herba

BAWANG HUTAN ANTIBAKTERIA

Oleh: Fouziah Alet

Bawang ialah bahan yang sangat sinonim dalam ramuan masakan di Malaysia. Bawang merah, bawang putih dan bawang besar adalah antara bawang yang sering digunakan dalam masakan. Selain digunakan dalam masakan, bawang ini juga dibuktikan mempunyai nilai dalam aktiviti biologinya.

Ada juga bawang yang jarang-jarang ditemukan, seperti bawang hutan. Walaupun tidak dikenali dengan meluasnya di Malaysia, bawang hutan atau Eleutherine palmifolia sangat dikenali di Indonesia, terutamanya di Kepulauan Kalimantan. Nama lain bagi bawang hutan ialah bawang dayak, bawang mekah, bawang hantu, bawang arab, bawang kapal dan bawang berlian.

Bawang hutan ialah tumbuhan daripada keluarga Iridaceae. Tumbuhan ini tumbuh dengan baiknya di kawasan terbuka dengan tanah yang kaya dengan humus dan kawasan yang berkelembapan tinggi. Bawang hutan tumbuh secara berkerumun, berkelompok dengan ukuran ketinggian yang mencapai lebih kurang 50 cm dan mempunyai umbi seperti bawang yang berwarna merah terang dengan permukaan yang licin. Daunnya berwarna hijau, panjang dengan hujung yang meruncing antara 15 cm – 50 cm dan lebar antara 2 cm – 5 cm. Daunnya mempunyai urat daun yang selari dan tepi daun yang licin. Bunganya pula berwarna putih.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Jun 2018.

Posted in: Herba

Kacang-kacang Kawal Aras Glukosa

Oleh: Chee Beng Jin

Pokok kacang-kacang atau Aegiceras corniculatum sejenis tumbuhan yang renek atau bersaiz sederhana, yang dapat mencapai ketinggian lebih kurang 6 m. Pokok ini mempunyai daun berbentuk bujur membulat pada bahagian hujungnya dan tersusun secara berpusar atau berselang. Lapisan daunnya agak tebal, berwarna hijau berkilat pada lapisan atas dan hijau pudar pada lapisan bawah.

Bunganya berwarna putih, berbau harum dan tumbuh dalam bentuk jambak. Setiap jambak bunga terdiri daripada antara 15 – 25 kuntum bunga kecil. Buahnya berbentuk melengkung dengan hujung yang tirus tajam yang dihasilkan dalam jambak, berwarna hijau dan bertukar kepada merah apabila matang.

Kacang-kacang mempunyai taburan geografi yang luas dari India, Sri Lanka, selatan China, rantau Asia Tenggara, Australia dan Kepulauan Solomon. Habitatnya merangkumi kawasan sedikit berpasir di muara sungai, tebing yang berlumpur dan kawasan yang menghala ke daratan hutan pokok bakau.

Nama lain bagi pokok kacang-kacang ialah kachang hantu dan kuku lang laut (Malaysia), kayu sila, duduk agung, tudung laut, gigi gajah atau perpat kecil (Indonesia), batag-batag, bulali, dumanai, kindug-kindug, pipisik atau saging-saging (Filipina) dan kaya (Myanmar).

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018
Posted in: Herba

PERAH RAWAT KAWASAN TERCEMAR

Pokok perah tergolong dalamtumbuhan daun luruh (desidus) keranameluruhkan daunnya pada musimkering. Setelah daunnya luruh, pokokperah menghasilkan pucuk baharu ataudaun muda berwarna merah terang yangmewarnai suasana kehijauan hutanbelantara.Getah putih dihasilkan, jika bahagiankulit atau mana-mana bahagian pokokperah ditoreh atau dipatahkan. Bungaperah berwarna putih kekuning-kuningandan mengeluarkan bau yang kuat.Buahnya berbentuk empat segi bujurmemanjang dan mengandungi tiga biji.Buah yang matang meletup di udara dan menyebarkan biji perah ke serata
kawasan di keliling pokok induk. Biji perah mempunyai cangkerang yang keras, licin dan berkilat yang berwarna perang kemerah-merahan. Cangkerang yang keras ini melindungi isinya yang padat dan berwarna putih.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

LAKI PUKUL BINI MERAWAT PENYAKIT

Sejak belakangan ini, ada banyak kes keganasan atau penderaan rumah tangga, iaitu isteri dipukul oleh suami. Namun begitu, di alam flora Nusantara, nama laki pukul bini merujuk pokok renek berkayu, iaitu Hibiscus mutabilis. Namanya unik kerana mempunyai jalan cerita yang tersendiri. Namun begitu, nama ini ada kaitan dengan kes jenayah domestik kerana dapat diterangkan menerusi fakta saintifik yang menarik.

Pokok laki pukul bini dapat tumbuh mencapai ketinggian lima meter, serta mempunyai banyak cabang dan permukaan yang berbulu halus. Daunnya bertangkai panjang dan helaian daunnya mempunyai antara tiga hingga lima lobus atau cuping yang teratur berbentuk tangan. Kedua-dua permukaan daun berbulu halus dan lebih lebat pada permukaan bawahnya.

Saiz bunga laki pukul bini agak besar dengan diameter antara 10 cm hingga 12 cm apabila kembang dengan petal yang berlapis-lapis yang berubah warna daripada putih pada waktu pagi kepada merah tua atau merah jambu pada lewat petang. Buahnya jenis kapsul. Apabila kering, buah ini merekah dan membebaskan biji kecil yang berbulu putih.

Pokok ini dipercayai berasal dari China dengan nama tempatan mu fu rong hua. Kini, pokok ini tersebar menerusi penuaian ke serata kawasan tropika, termasuklah Asia Tenggara. Nama lain bagi pokok ini ialah botan, mati laki mati bini atau bunga waktu besar.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

PANDAN ANTIBAKTERIA

Pandanus amaryllifolius atau pokok pandan sejenis tumbuhan tropika. Pokok ini satu daripada hampir 600 jenis pokok pandan daripada genus Pandanus yang didapati di negara Asia Tenggara. Secara biasanya, daun pandan digunakan dalam masakan, untuk menanak nasi lemak, menyediakan adunan kuih bakar dan sebagai bunga rampai untuk majlis perkahwinan. Daun pandan popular disebabkan oleh aroma yang dihasilkannya.

Aroma wangi daun pandan dihasilkan daripada sebatian kimia yang menghasilkan bau yang unik dan tersendiri. Bau ini dihasilkan apabila sebatian ini meruap dan molekulnya sampai ke sistem olfaktori, iaitu sistem yang membolehkan manusia menghidu. Sebatian ini juga perlu berada dalam kepekatan yang mencukupi untuk membolehkannya dikesan oleh sistem olfaktori.

Sebatian kimia ini ialah 2-asetil-1-pirolin. Sebatian ini memberikan aroma yang membangkitkan selera apabila dimasak. Selain 2-asetil-1-pirolin, ada juga sebatian kimia lain, seperti 3-metil-2-(5H)-furanon, 3-heksanol, 4-metilpentanol, 3 -heksanon dan 2-heksanon.

Oleh sebab daun pandan memiliki rasa yang unik dan kuat serta ada kelebihan dari segi aroma daun ini digunakan dalam pelbagai jenis masakan Asia, terutamanya di Malaysia, Thailand, Filipina, Vietnam, Myanmar dan India. Ada pelbagai cara penggunaan daun pandan dalam masakan. Antaranya termasuklah sebagai pembalut ketika memasak dan menambahkan daun pandan dalam masakan. Bagi mendapatkan warna hijau dalam masakan, pandan dikisar, kemudian diperah untuk menghasilkan cecair.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

AMBUNG-AMBUNG MERAWAT DEMAM

Pokok ambung-ambung atau Scaevola taccada ialah tumbuhan pesisir pantai. Secara lazimnya, pokok ini tumbuh di kawasan yang berpasir. Namun begitu, ada juga pokok ambung-ambung didapati hidup di tempat berbatu. Pokok ini sejenis tumbuhan renek atau pokok kecil yang dapat mencapai ketinggian maksimum, enam meter dan mempunyai banyak cabang dan dahan yang kecil.

Struktur daun pokok ambung-ambung agak berisi, tebal dan disusun secara berselang-seli pada dahannya. Warna daun mudanya hijau muda dan bertukar menjadi kuning apabila matang. Bunganya berwarna putih dan dihasilkan dalam jambak yang pendek pada celah ketiak daun.

Bunga pokok ambung-ambung agak unik kerana mempunyai bahagian tiub bunga yang terbuka pada bahagian atas, seakan-akan struktur bunganya sebelah sahaja. Buahnya berwarna hijau muda apabila muda dan bertukar putih apabila matang. Buah yang masak mempunyai isi yang lembut dan mengandungi biji yang bergabus.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

TEMU PUTIH IMUNOPERANGSANG SEMULA JADI

Temu putih atau Curcuma zedoaria tumbuhan jenis herba yang dapat tumbuh setinggi 1.5 m. Herba ini mempunyai
daun berbentuk lanseolat (bujur) yang terdiri daripada pelepah atau upih daun yang dapat memanjang hingga 60 cm. Helaian daunnya dapat membesar hingga 65 cm panjang dan 20 cm lebar. Daun temu putih mempunyai urat daun selari yang nyata, berwarna hijau dan berwarna ungu pada bahagian tulang daun.
Jambak bunga temu putih yang berwarna menarik, tumbuh secara berasingan dari bawah di antara celah daun. Bahagian rizomnya berisi dan bercabang, berwarna kelabu dan mempunyai isi yang berwarna kuning keputih-putihan atau kuning cerah. Rizomnya mempunyai bau yang kuat dan rasanya sedikit pahit.
Temu putih dikatakan berasal dari bahagian timur laut benua India. Tumbuhan ini tersebar luas di China, Taiwan dan rantau Asia Tenggara. Penanaman temu putih juga tersebar di Eropah. Herba ini didapati sesuai tumbuh liar di kawasan redup dan lembap, sebaliknya tidak sesuai ditanam di kawasan yang airnya bertakung.
Secara lazimnya, herba ini ditemukan di kawasan tanah pamah. Adakalanya, tumbuhan ini dapat tumbuh di kawasan yang berketinggian hingga 1000 m dari aras laut.
Di Malaysia, nama lain bagi temu putih ialah temu kuning, kunyit emas atau kuncur. Herba ini dikenali dengan pelbagai nama tempatan di beberapa negara Asia, seperti kachura, gandamatsi atau sutha (India), é zhú atau péng é zhú
(China), koneng tegal, temu pepet, temu putih, kentjur atau kunir putih (Indonesia), luya-luyahan, barák atau bolon (Filipina), thanuwen (Myanmar) khi min khay (Laos), nga truat (Vietnam), kha-min khun atau kha-min oi (Thailand), foilla atau shoti di (Bangladesh), ach’ul (Korea) dan gajutsu (Jepun).
Di Eropah pula, temu putih dikenali sebagai zadoarwortel (Belanda), zedoaire (Perancis), zitwer (Jerman) zedoaria (Itali), zedoari (Rusia) dan cedoaria (Sepanyol). Nama Inggerisnya pula ialah white turmeric, wild turmeric, zedoary, long zedoary, zedoary root, rootstock dan hidden lily. Mungkin, banyak orang yang tidak tahu bahawa penggunaan temu putih amat luas dan biasanya dijadikan sebagai ramuan yang mempunyai pelbagai khasiat dalam beberapa ilmu perubatan tradisional di serata dunia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

BAHAN LETUP-LETUP ANTIBAKTERIA

Buah markisa (Passiflora edulis) sejenis buah hutan tropika yang mempunyai banyak khasiat. Buah yang dikenali sebagai passion fruit di seluruh dunia ini terbukti mendapat tempat dalam dunia komersial. Kehebatan buah ini dirungkai rahsianya oleh ahli sains dan penyelidik serta diangkat sebagai antara buah yang sangat bernilai.

Selain rasanya yang sedap apabila diminum, buah markisa kaya dengan antioksidan, serat, garam mineral dan vitamin yang penting dalam kehidupan harian. Penanaman secara komersial menjadikan buah ini mudah didapati di negara Barat. Buah yang dihasilkan dapat dijadikan sebagai jus, jem atau jeli selain disajikan sebagai salad buah.

Setiap ahli keluarga Passifloraceae memiliki kehebatan yang setanding antara satu dengan yang lain. Passiflora edulis, Passiflora quadrangularis dan Passiflora ligularis, antara tumbuhan yang ditanam untuk memperoleh buahnya. Passiflora incarnata pula ditanam untuk memperoleh etnobotaninya, iaitu untuk penghasilan sedatif. Namun begitu, dari pelbagai genus dan subgenus keluarga Passifloraceae ini, hanya Passiflora edulis yang memiliki kelebihan dari aspek ekonomi.

Ada satu lagi spesies daripada keluarga buah markisa yang sering dianggap sebagai tumbuhan rumpai yang tidak digemari oleh masyarakat. Passiflora foetida atau pokok letup-letup mudah didapati di hutan belukar Malaysia. Pokok ini sejenis tumbuhan menjalar yang selalu ditemukan di kawasan belukar yang berhampiran dengan kediaman penduduk. Walaupun dikategorikan sebagai tumbuhan menjalar, sulur pautnya dapat digunakan untuk memanjat sesuatu benda.

Passiflora foetida berasal daripada Amerika Selatan. Tumbuhan ini tertumpu di kawasan lembap. Kelembapan kawasan tropika di Australia, Hawaii (dikenali sebagai lani wai atau pohāpohā) dan Fiji (dikenali sebagai loliloli ni kalavo) sesuai untuk pembiakan tumbuhan ini. Pokok letup-letup ini turut banyak ditemukan di India, Jepun dan China (dengan nama yang berbeza-beza).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba