Jintan Bukan Sekadar Rempah Masakan

Oleh NURRAIHANA HAMZAH dan NORFARIZAN HANOON NOOR AZMI

MASYARAKAT di Malaysia, terutamanya kaum Melayu terkenal dengan penggunaan pelbagai rempah ratus dalam masakan mereka. Antara rempah ratus yang sering digunakan ialah jintan. Terdapat empat jenis yang biasa digunakan, iaitu jintan, jintan hitam, jintan putih dan jintan manis.

Jintan penambah perisa makanan dan mampu mengatasi masalah mulut berbau.

Jintan atau nama saintifiknya Carum carvi L. merupakan sejenis pokok herba yang tumbuh liar di tanah tinggi. Pokok ini merupakan tumbuhan asli di Eropah dan Asia. Biji jintan secara tradisionalnya digunakan untuk merawat demam panas, masalah pembuangan air besar, kembung angin, sakit kepala, diuretik, sawan dan selesema. Bijinya dikunyah untuk mengubati nafas berbau busuk. Minyak daripada biji ini pula digunakan sebagai tonik perut bagi mengeluarkan angin daripada perut dan usus. Jintan juga dapat merawat perut kembung.

Menurut kajian Nicola, Pietro, Francesco, dan Felice (2005) menerusi “Antibacterial Activity of Cuminum cyminum L. and Carum carvi L. Essential Oils” menunjukkan minyak pati biji jintan terdiri daripada komponen utama, seperti karvon, linonena, germakrena D dan trans-dihidrokarvon. Mereka turut menjalankan kajian antibakteria terhadap minyak pati ini dan hasil kajian menunjukkan bahawa minyak pati ini menunjukkan aktiviti yang tinggi terhadap genera Clavibacter, Curtobacterium, Rhodococcus, Erwinia, Xanthomonas, Ralstonia, dan Agrobacterium yang merupakan pembawa penyakit pokok atau tanaman cendawan di seluruh dunia. Hal ini menunjukkan bahawa minyak pati ini berpotensi mengawal bakteria penyakit.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.