BAHAN SAMPINGAN PERTANIAN DALAM PRODUK BAKERI

Serat dietari ialah bahagian tumbuhan yang tahan terhadap penghadaman enzim. Antara bahan ini termasuklah selulosa, polisakarida bukan selulosa, seperti hemiselulosa, bahan pektik, gam dan lignin. Berdasarkan kajian saintifik, disahkan bahawa serat dietari berperanan dalam mengurangkan penyakit kronik, seperti penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes dan sembelit.

Hal ini meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna tentang peranan kesihatan yang disebabkan oleh pengambilan serat dietari, seterusnya menjadikan produk bakeri yang kaya dengan serat makin menjadi pilihan pengguna. Dalam industri bakeri, bahan utama dalam penghasilan biskut, roti dan lain-lain produk ialah gandum. Kini, produk bakeri dalam pasaran menggunakan oat dan bran gandum untuk menghasilkan produk bakeri yang kadar serat dietarinya tinggi.

Oleh sebab harga bahan ini mahal, ada satu trend untuk mencari sumber serat dietari baharu yang dapat digunakan dalam industri bakeri. Menerusi sumber serat baharu, pengguna dapat memilih diet yang lebih sihat. Secara tidak langsung, kajian terhadap penggunaan serat sebagai bahan berfungsi dalam produk bakeri makin banyak.

Secara tradisionalnya, produk bakeri diperkaya dengan serat menerusi penambahan bijirin. Namun begitu, penggunaan sumber lain untuk serat dietari mula digunakan, terutamanya daripada buah dan sayur. Hal ini dikatakan demikian kerana penambahan serat dietari daripada sumber baharu ini dapat memperbaik kualiti nutrien, merendahkan kandungan lemak, meningkatkan kandungan serat larut, meningkatkan kapasiti antioksidan dan meningkatkan kebolehtapaian dan pengekalan air.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Julai 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Pertanian

Serangan Padi Angin

Oleh MOHD. SHAHRIL FIRDAUS AB. RAZAK

SEJAK dahulu, dua kaedah penanaman padi dilaksanakan di Malaysia. Kaedah pertama dikenali sebagai kaedah pemindahan. Kaedah tradisional ini amat popular pada awal tahun 1970-an. Kaedah ini memerlukan biji benih disemai terlebih dahulu sebelum ditanam ke petak sawah dan  mampu mengawal pertumbuhan rumpai di petak sawah.
Namun begitu, keperluan tenaga buruh petani yang banyak, di samping kos penyelenggaraan yang tinggi membawa transformasi baharu terhadap kaedah penanaman padi.
Rentetan itu, kaedah tabur terus mula dijalankan. Walaupun kaedah ini memudahkan kerja harian petani, pertumbuhan rumpai tanpa kawalan menjadi masalah utama. Hal ini demikian kerana penanaman padi secara tabur terus menyediakan keadaan aerob pada rumpai semasa peringkat permulaan pertumbuhan tanaman padi.
Pada peringkat tersebut, sawah tidak dibanjiri air dan menggalakkan pertumbuhan rumpai. Pertumbuhan rumpai yang semakin meningkat menyebabkan kualiti dan kuantiti hasil penanaman padi terjejas. Antara rumpai yang menyerang tanaman padi ialah padi angin.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Sains Pertanian