Ikan Pelaga ke Pasaran Global

Oleh MOHAMAD ZAINI SULEIMAN

PENANGKAPAN ikan dari habitat semula jadi, seperti ikan pelaga, sepat, seluang, barb dan loach sememangnya sudah lama wujud di negara ini. Aktiviti ini dilakukan oleh segelintir masyarakat orang asli dan penduduk tempatan. Ikan ini dibeli oleh peraih dengan harga yang murah untuk dikumpulkan dan digredkan berdasarkan saiz, kualiti dan jenis.

Apabila peluang pasaran eksport dan permintaan yang semakin meningkat dan terbuka luas, pengusaha ikan hiasan lebih suka membiak sendiri ikan hiasan di dalam kurungan. Bermula dengan jenis yang biasa, iaitu ikan emas, gourami dan sepat, mereka membiakkannya di dalam tangki dan membesarkan di dalam kolam tanah.
Walaupun beberapa jenis ikan hiasan eksotik dihasilkan secara komersial, iaitu membiakkannya di dalam kurungan, jenis ikan liar tempatan, seperti loach (sejenis belut kecil), ikan pelaga, seluang (Rasbora sp) dan barb yang bernilai tinggi masih belum dapat dibiakkan secara komersial. Kebanyakan jenis ikan ini masih ditangkap terus dari perairan dan habitat semula jadi.
Ikan yang sangat unik dalam famili Belontidae, kebanyakannya hanya boleh ditemui di Nusantara, seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand. Berdasarkan maklumat yang dilaporkan dalam Fishbase (2012), di Malaysia sahaja terdapat sebanyak 25 spesies ikan pelaga liar, iaitu 12 spesies terdapat di Semenanjung, lima spesies di Sarawak dan empat spesies di Sabah.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Fokus Khas