Peralihan ke Zaman Ekologi

Oleh SHAHARUDIN IDRUS

KESEMPATAN menghadiri seminar yang bertemakan “Peralihan kepada Kelestarian” di Auckland, New Zealand, baru-baru ini membuka pemikiran penulis untuk memahami Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilakukan oleh kerajaan dengan lebih mendalam.
Transformasi tersebut seharusnya tidak tertumpu pada transformasi fizikal semata-mata, malahan lebih jauh lagi, termasuklah transformasi pemikiran, nilai, dan budaya untuk melonjakkan negara menjadi negara berpendapatan tinggi.
Antara isu yang dibincangkan dalam persidangan tersebut termasuklah keadaan masyarakat industri sekarang yang terbentuk sejak ratusan tahun yang lalu, kini berhadapan dengan pelbagai masalah masyarakat, alam sekitar dan ekonomi. Permasalahan lebih menonjol dalam kalangan ketiga-tiga tunjang utama aspek kelestarian, iaitu kelunturan ekologi yang berkaitan dengan kejadian serta isu pemanasan global, perubahan cuaca yang tidak menentu, pencemaran sisa pepejal dan sebagainya.
Sehubungan dengan hal itu, dicadangkan agar model pembangunan ekonomi masyarakat industri kini beralih bentuknya kepada model pembangunan ekonomi zaman ekologi untuk membina ketamadunan bangsa yang lebih tinggi.
Zaman ekologi dicirikan dengan masyarakatnya yang lebih mementingkan penjagaan alam sekitar dan pada masa yang sama memiliki sumber ekonomi yang baik, berterusan, dinamik, serta masyarakatnya menghala ke arah yang lebih lestari.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2012.
Posted in: Pemikiran Sains