Organ Bionik

Oleh ISHAK ISMAIL
PENEMUAN terawal teknologi penggantian bahagian tubuh manusia secara tiruan pada tahun 300 Sebelum Masihi, iaitu pembuatan kaki tiruan daripada plat besi berteraskan kayu. Sehinggalah pada abad 20-an, teknologi penggantian tubuh manusia yang rosak dengan organ tiruan tidak begitu berkembang. Pada masa itu, doktor secara umumnya menggunakan pasak kayu yang dipasang pada kaki manusia untuk menggantikan kaki yang patah, penyangkut besi bagi menggantikan tangan yang putus, serta gading gajah yang dibentuk dan ditempatkan di dalam mulut bagi menggantikan gigi yang rosak.
Dewasa ini, penyelidikan dan pembaharuan tentang pembuatan bahagian tubuh manusia secara buatan digolongkan dalam disiplin sains kejuruteraan bioperubatan. Istilah lain bagi bidang sains yang masih baharu ini ialah bionik, nama yang dipopularkan oleh rancangan televisyen, seperti “Six Million Dollar Man” dan “Bionic Woman”.
Kesemua alat penggantian tubuh manusia pada zaman dahulu dibina secara kasar dan dilihat jauh berbeza jika dibandingkan dengan alat prostetik atau prostesis pada zaman sekarang. Peningkatan reka bentuk prostesis bagi menggantikan bahagian tubuh manusia yang tidak lagi berfungsi merupakan satu cabang terawal kejuruteraan bioperubatan.
Satu kekurangan yang sering dihadapi penyelidik bidang bionik adalah untuk mendapatkan bahan yang serasi secara biologi dengan tubuh manusia. Bagi menggantikan bahagian tubuh manusia yang tidak berfungsi, bahan yang hendak digunakan seharusnya diterima baik oleh sistem pertahanan tubuh.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.