PEMULIHARAAN HUTAN DI UTP

Berdasarkan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (1998), kekurangan data berkenaan kepelbagaian biologi menyebabkan sumber biologi negara tidak dapat digunakan dengan berkesannya. Kemusnahan habitat secara berterusan disebabkan oleh kegiatan manusia menyebabkan maklumat biodiversiti tidak dapat dikumpulkan kerana tidak sempat dikaji.

Setelah menyedari kepentingan inventori biodiversiti, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam aspek tertentu. Aspek ini menggalakkan pengurusan hutan secara lestari dan penggunaan sumber hutan secara optimum. Hal ini dilakukan menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan. Aktiviti penyelidikan yang dilakukan oleh penyelidik FRIM bertujuan untuk mengumpulkan maklumat flora yang diperlukan dalam penentuan kawasan yang penting bagi perlindungan flora di UTP.

Terletak di Seri Iskandar, sebagai bandar baharu di bahagian Perak Tengah UTP dikelilingi oleh pelbagai aktiviti pembangunan yang pesat. Antara pembangunan yang dilakukan termasuklah membina kawasan perumahan dan lot kedai, serta mengubah guna tanah beberapa kawasan hutan di sekitar Seri Iskandar untuk pembangunan setempat. UTP yang kini masih dalam fasa pembangunan juga memerlukan kawasan untuk mendirikan infrastrukturnya.

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: DARIPADA FRIM

JAMBATAN MUDAH ALIH MUDAHKAN URUSAN PERHUTANAN

Kayu balak antara ekstrak utama daripada sumber hutan. Permintaan terhadap kayu balak dan hasil perkayuan meningkat dari semasa ke semasa. Dalam masa yang sama keluasan kawasan hutan bagi membekalkan kayu balak tidak bertambah.

Bagi memenuhi permintaan industri perkayuan, sumber hutan perlu berada dalam keadaan yang baik dan diuruskan oleh sistem pengurusan hutan yang bersistematik. Hal ini bertujuan untuk mengekalkan kualiti sumber hutan. Dengan amalan sistem pengurusan hutan yang bersistematik, sumber hutan dapat diuruskan dengan baiknya dan pembekalan hasil kayu secara berkekalan dapat dipenuhi.

Pengurusan hutan yang baik dapat menjaga sumber hutan, begitu juga seluruh ekosistem hutan yang merangkumi flora dan fauna. Jalan hutan dan jambatan juga antara komponen penting dalam pengurusan hutan di Malaysia.

Di Malaysia, aktiviti penuaian hutan biasanya dilakukan jauh di dalam hutan yang jalan masuk ialah satu daripada masalah yang dihadapi oleh pengurus hutan ketika proses pembalakan dan pengeluaran balak daripada hutan. Ketika operasi pembalakan, jalan hutan dan jambatan dijaga oleh kontraktor pembalakan bagi melancarkan perjalanan proses pengeluaran kayu balak.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: DARIPADA FRIM

FLORA BUKIT BATU KAPUR ISTIMEWA DAN DIANCAM

Bukit batu kapur ialah landskap semula jadi yang unik dan mempunyai nilai estetika yang tersendiri dari aspek
komposisi flora, fauna, geologi, fosil, nilai keagamaan, budaya dan arkeologi. Semenanjung Malaysia mempunyai jajaran besar bukit batu kapur di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan, manakala Pahang dan Selangor mempunyai bukit batu kapur yang bertaburan dan membentuk bukit kecil batu kapur.

Taburan bukit batu kapur berdasarkan negeri di Semenanjung Malaysia ialah jajaran bukit batu kapur barat, tengah dan timur. Jajaran bukit batu kapur barat bermula dari Bukit Chuping, Perlis, hingga Bukit Kodiang, Kedah, dan dari Lenggong hingga Gua Tempurung, Perak, seterusnya hingga Bukit Batu Caves, Selangor. Jajaran bukit batu kapur tengah pula bermula dari Gunung Reng hingga Gua Musang, Kelantan, hingga Gua Bama dan Kota Gelanggi, Pahang. Jajaran bukit batu kapur timur bermula dari Gua Bewah, Terengganu, hingga Gua Merapoh, Pahang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: DARIPADA FRIM

BUMI BERGERAK SONGSANG

Kiamat dan kehancuran Bumi ialah isu yang sering didebatkan. Isu ini tidak pernah terhenti hinggalah kiamat benar-benar berlaku. Pelbagai tanda besar dan tanda kecil kiamat cuba dibuktikan menerusi kajian sains dengan bantuan pelbagai peralatan canggih.
Dalam hal ini, ada tanda yang benar-benar dapat dibuktikan dan ada tanda yang sukar dibuktikan kerana melampaui tahap pemikiran dan keupayaan manusia. Namun begitu, ahli sains sentiasa teruja dan tidak pernah berputus asa serta berlumba-lumba untuk menjadi orang pertama yang dapat membuktikan isu ini.
Antara tanda kiamat ini termasuklah Matahari terbit dari barat. Apabila Marikh dilihat terbit dari barat dan tenggelam di timur, masyarakat menganggap bahawa hal yang sama dapat berlaku kepada Matahari. Hal ini mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat kerana menganggap bahawa kiamat hampir berlaku. Walaupun tidak dinafikan bahawa kiamat memang hampir berlaku berlandaskan hadis nabi, maksud hampir ini tidak dapat ditafsirkan dengan tepatnya berdasarkan hitungan masa manusia.
Fenomena Marikh bergerak songsang ini bukanlah tanda bahawa Matahari akan terbit dari barat. Hal ini dikatakan demikian kerana Marikh tidak pernah dan tidak bergerak songsang. Sebaliknya, Marikh mengorbit Matahari pada laluannya ke arah hadapan. Yang sebenarnya, Marikh hanya dilihat bergerak songsang dan bukannya benar-benar bergerak songsang. Hal ini dapat dijelaskan menerusi ilusi optik dan gerakan songsang.
Selain Marikh, planet lain, iaitu Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun juga dilihat bergerak songsang. Musytari dilihat bergerak songsang dalam tempoh 121 hari pada setiap 13.1 bulan. Zuhal dilihat bergerak songsang dalam tempoh 138 hari pada setiap 12.4 bulan. Uranus dilihat bergerak songsang dalam tempoh 151 hari pada setiap 12.15 bulan. Neptun dilihat bergerak songsang dalam tempoh 158 hari pada setiap 12.07 bulan.
Berdasarkan kefahaman terhadap gerakan songsang ini, Bumi juga dikatakan dilihat bergerak songsang dari dahulu lagi. Namun begitu, tiada sesiapa yang pernah melihatnya melainkan seseorang itu perlu berada di Utarid dan Zuhrah untuk melihat Bumi bergerak songsang. Persoalannya, berpeluangkah manusia ke Utarid dan Zuhrah untuk melihat fenomena ini?

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: DARIPADA FRIM

VATICA YEECHONGII SPESIES TERANCAM

Hutan Lipur Sungai Tekala terletak di kawasan Hutan Simpan Sungai Lalang, daerah Kajang, Selangor, iaitu 13 km dari bandar Semenyih dan 43 km dari Kuala Lumpur. Keluasan kawasan ini melebihi dua setengah ekar. Ada tujuh tingkat air terjun yang mengalir dari puncak hingga kawasan rendah di bahagian bawahnya. Hutan Lipur Sungai Tekala diwartakan oleh Kerajaan Selangor sebagai kawasan tadahan air. Hal ini dilakukan supaya sumber air bersih dapat dimanfaatkan oleh rakyat.

Di samping itu, Hutan Lipur Sungai Tekala juga dikenali sebagai Taman Warisan Negeri Selangor. Hutan ini termasuk dalam kumpulan hutan dipterokarpa pamah, iaitu hutan yang wujud pada ketinggian tidak melebihi 300 meter daripada aras laut dan mempunyai bilangan pokok yang padat.

Ada pelbagai spesies tumbuhan di kawasan ini yang terdiri daripada pelbagai keluarga serta menghiasi landskap hutan lipur ini. Antaranya termasuklah spesies kasai, kedondong, medang, kelat, mahang, merbau, ara, gapis, merbau, leban, bayur bukit, penarahan, merawan, meranti, keruing dan resak.

Antara spesies pokok yang ditemukan di kawasan hutan rekreasi ini, ada satu tumbuhan yang unik dan sangat menarik menghiasi landskapnya. Tumbuhan ini ialah Vatica yeechongii, yang berada dalam keluarga Dipterokarpa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: DARIPADA FRIM

PERANAN BIOMAS DALAM PENYIMPANAN KARBON POKOK

Biomas, dari aspek ekologi, bermaksud jisim biologi organisma hidup di sesuatu kawasan atau ekosistem pada masa tertentu. Biomas dapat dirujuk sebagai biomas sesuatu spesies bagi satu atau lebih spesies atau biomas dalam komuniti yang merangkumi mikroorganisma, tumbuhan atau haiwan. Biomas dapat diterjemahkan dalam bentuk purata berat perkawasan atau jumlah berat dalam komuniti.

Pengukuran biomas bergantung pada sebab atau tujuannya. Biasanya, biomas diukur berdasarkan keadaan semula jadi jisim organisma itu, seperti ternakan ikan salmon. Berat ikan salmon dikira berdasarkan jumlah berat basah ikan itu jika dikeluarkan dari kolam ternakannya.

Dalam konteks yang berlainan, biomas ikan salmon dapat diukur berdasarkan berat kering ikan, iaitu setelah dikeringkan, hanya 30 peratus sahaja berat ikan yang dikira. Seperti keperluan lain, hanya bahagian tisu yang dikira. Bahagian gigi, tulang dan cangkerang pula tidak termasuk dalam pengiraan. Dalam sesetengah aplikasi sains, biomas dikira dengan mengambil kira kuantiti karbon sahaja.

Selain bakteria, jumlah biomas hidup adalah lebih kurang 560 bilion tan karbon. Jumlah tahunan produk primer biomas pula melebihi 100 bilion tan karbon setahun. Walau bagaimanapun, jumlah seluruh bakteria mungkin melebihi jumlah tumbuhan dan haiwan. Jumlah bilangan pasangan asas DNA di dunia mungkin sebanyak 5.0 x 1037, dan berat sebanyak 50 bilion tan. Secara perbandingan, jumlah biosfera dianggarkan sebanyak lebih kurang empat trilion tan karbon.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: DARIPADA FRIM