Cerithidea Obtusa Jana Ekonomi

Oleh: Suhana Mohamed

Cerithidea obtusa atau siput sedut ialah sejenis hidupan daripada keluarga Cerithiidae atau keluarga siput yang menjadi makanan bagi orang Malaysia dan Asia Tenggara sejak zaman dahulu. Jenis siput sedut yang biasa dimakan ialah spesies siput yang hidup semula jadi di kawasan hutan bakau di Asia Pasifik. Jangka hidup siput bergantung pada pasang dan surut air, iaitu air tawar dari daratan dan air masin dari lautan yang bersih dan tidak tercemar.

Saiz siput sedut lebih kurang antara 2 cm hingga 5 cm panjang dengan kerang atau kulit keras berbentuk spiral yang tajam pada bahagian hujungnya. Secara umumnya, siput sedut di Malaysia berwarna coklat berbelang kuning atau berjalur hitam seiring dengan kualiti air dan lumpur di kawasan hutan bakau yang menjadi habitat bagi siput sedut ini. Siput sedut mengandungi isi atau hidupan di dalamnya (yang lembut) dan boleh bergerak dengan menggunakan kakinya pada batang pokok kayu bakau.

Pada bahagian bawah siput sedut ada satu lapisan penutup yang berbentuk bulat yang berfungsi untuk menutup isinya. Apabila siput sedut dimasak, hujungnya dipotong untuk memudahkan isinya disedut untuk dimakan. Antara hidangan yang popular dimasak termasuklah masak lemak cili padi bercampur keladi dan sambal siput sedut.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Posted in: SAINS HAIWAN