PATRIOT MELAYU DALAM ARMyPat

Oleh: Mudiana Mokhsin@Misron

Dalam era teknologi yang makin berkembang, generasi yang dilahirkan pada tahun 2000 dan ke atas yang tergolong dalam Gen Z di Malaysia makin kurang berminat untuk mengetahui perjuangan patriot Melayu. Hal ini disebabkan oleh medium penyampaian kandungan yang konvensional dan bersifat tidak interaktif. Kebanyakan sekolah menggunakan buku teks, video atau simulasi di dalam kelas untuk memberikan gambaran tentang perjuangan patriot Melayu.

Berdasarkan senario ini, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik merangkap Felo Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu, Universiti Teknologi MARA, bersama-sama dengan pelajar seliaannya mengambil inisiatif untuk membangunkan aplikasi yang dikenali sebagai ARMyPat (dahulunya ARMyF) untuk membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Aplikasi berasaskan platform mudah alih Android ini dibangunkan supaya golongan muda berminat untuk mempelajari perjuangan patriot Melayu dengan menggantikan maklumat berbentuk teks atau imej statik ke dalam kaedah pembelajaran yang lebih interaktif.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: INOVASI

TITABOS BANTU PILIH BUKU

Oleh: Aznilinda Zainuddin dan Munirah Onn

Titabos atau lebih dikenali sebagai alat pemilih buku berasaskan jadual waktu ialah produk yang boleh digunakan oleh pelajar sekolah untuk membantu memilih buku dengan cara merujuk jadual waktu. Produk ini menggunakan kod berwarna dan alat pengesan warna.

Konsep warna digunakan kerana mudah dibezakan dan dapat menarik minat kanak-kanak untuk mengemas buku sendiri. Hal ini dapat menjadikan kanak-kanak lebih bertanggungjawab dan mampu berdikari.

Dengan penggunaan Titabos, kanak-kanak yang berusia seawal umur tujuh tahun dapat menyusun dan mengemas buku sendiri dalam tempoh kurang daripada 10 saat. Titabos ini berfungsi dengan memastikan buku teks disusun berdasarkan kedudukan lampu diod pemancar cahaya (LED) yang ditetapkan. Dalam inovasi ini, rak buku dilabelkan untuk memudahkan pengguna.

Manfaat Produk
1. Mempercepat proses pemilihan buku berdasarkan jadual waktu.
2. Meringankan beban pengguna, terutamanya pelajar sekolah rendah.
3. Menggunakan tenaga elektrik yang sangat rendah, iaitu 5 V sahaja.
4. Tidak menggunakan ruang yang besar dan boleh dipasang pada rak buku yang sedia ada.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: INOVASI

IPOH IN 360 TOP DESTINATION

Oleh: Mudiana Mokhsin@Misron

Ledakan teknologi telefon pintar mencetuskan fenomena kewujudan aplikasi mudah alih yang sangat pantas berkembang. Apa-apa sahaja aplikasi keperluan pengguna yang dahulunya berasakan web, kini beralih dalam bentuk yang lebih mesra pengguna yang dapat dimuat turun daripada aplikasi prapasang Google Play Store atau Apple App Store dengan sangat mudah.

Berdasarkan senario ini, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA merangkap Felo Inovasi dan Pengantarabangsaan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK, UiTM), Puan Mudiana Mokhsin bersama-sama dengan pelajar di bawah seliaannya membangunkan satu aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai Ipoh in 360 Top Destination.

Pembangunan aplikasi ini suatu inisiatif untuk mempromosikan negeri Perak bagi program Tahun Melawat Perak 2017. Yang uniknya, aplikasi ini menyediakan perkhidmatan kepada pelancong dengan memaparkan tempat menarik di sekitar Ipoh dengan menggunakan teknologi Geofencing.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Julai 2018.

Posted in: INOVASI