KEHILANGAN EKOSISTEM KARANG

Oleh: Amlir Ayat

Dianggarkan bahawa lebih kurang 25% daripada jumlah spesies marin bergantung pada ekosistem terumbu karang. Oleh sebab itu, ekosistem ini dikatakan sebagai hutan hujan tropika marin. Hal ini dikatakan demikian kerana nilai estetikanya yang tidak ternilai dan faedah sosial dan ekonominya yang amat tinggi, terutamanya dari segi aktiviti perikanan dan pelancongan. Keuntungan fiskal bersih tahunan yang dihasilkan oleh ekosistem ini dianggarkan bernilai hampir RM120 bilion.

Kadar kepupusan karang yang makin tinggi ini amat membimbangkan. Hal ini bukan sahaja pada aspek estetikanya, tetapi juga kesan kehilangannya terhadap kesejahteraan sosioekonomi kehidupan manusia, khususnya dalam bidang perikanan dan pelancongan yang berasaskan marin.

Kegiatan manusia, seperti pembangunan di kawasan pantai, penangkapan ikan yang melampaui batas dan pencemaran, menyebabkan kehilangan 10% ekosistem. Kehilangan 15% lagi pula disebabkan oleh pemanasan permukaan lautan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Julai 2018.

Posted in: SAINS MARIN