Adaptasi dalam Menghadapi Perubahan Iklim

Oleh Abdul Rahman Mahmud

Sejak meletusnya revolusi industri, keghairahan manusia untuk mengeksploitasi hasil alam semakin terserlah. Misalnya, kegiatan perlombongan bijih timah, arang batu, gas asli dan minyak petroleum dilakukan secara besar-besaran. Penggunaan tenaga yang meningkat secara eksponen sejak berlakunya ledakan aktiviti perindustrian menyebabkan ruang atmosfera diisi dengan ribuan tan gas rumah kaca.

Sejak tahun 1850 – 2005, kenaikan purata suhu dunia dilaporkan meningkat sebanyak 0.76°C. Walaupun peningkatan ini kecil, setiap kenaikan suhu dunia akan menimbulkan pelbagai implikasi terhadap kehidupan manusia.

Dalam hal ini, Profesor James Hansen, pengkaji perubahan iklim telah menukilkan kebimbangannya terhadap implikasi perubahan iklim dalam bukunya, The Storm of My Grand Children. Beliau menegaskan bahawa hari-hari mendatang dalam mendepani kesan perubahan iklim bagaikan meniti bukit curam yang amat licin dan berliku.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

Posted in: Penyelidikan

Peranti Penjejak Haiwan Hilang

Oleh Al Ghazali Sulaiman

Memelihara haiwan kesayangan telah menjadi satu gaya hidup bagi manusia pada zaman moden. Antara haiwan yang menjadi pilihan hati termasuklah kucing, anjing, burung dan arnab. Tidak kurang pula yang lebih “berani” memelihara haiwan eksotik seperti ular, sugar glider atau iguana.

Bagi semua pemilik, kehilangan haiwan peliharaan umpama satu mimpi ngeri dalam hidup mahu dielakkan. Kini, masalah yang sama tidak akan mengganggu lagi tidur mereka. Satu inovasi terkini telah wujud di pasaran untuk mengurangkan risiko kehilangan haiwan kesayangan tanpa berita.

Teknologi Sistem Penentududukan Global (GPS) boleh dimanfaatkan oleh pemilik haiwan untuk menjejak haiwan kesayangan mereka yang hilang dengan mudah dan cepat. Haiwan yang dipakaikan dengan kolar penjejak GPS akan dikesan oleh sistem satelit. Maklumat kemudian akan disalurkan melalui talian internet, telefon bimbit atau peranti khusus.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

Posted in: Uncategorized

Kamus untuk Pelajar Kejuruteraan Mekanikal

Judul buku: Kamus Kejuruteraan Mekanik
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM20.00
Tahun Terbit: 2011
Pengulas: Siti Hadijah Umor

Kamus ini diterbitkan bagi meningkatkan kefahaman pengguna dalam bidang sains gunaan, amnya dan bidang kejuruteraan, khususnya. Penerbitan Kamus Kejuruteraan Mekanik menjadi bukti bahawa bahasa Melayu mampu mengungkapkan pelbagai bidang ilmu, terutamanya sains dan teknologi dalam era globalisasi kini setanding dengan bahasa lain.

Kamus ini amat berguna kepada pelajar dan masyarakat umum yang memerlukannya sebagai sumber rujukan untuk mendapatkan penjelasan tentang pelbagai istilah dalam bidang kejuruteraan mekanik. Pemilihan istilah yang dimasukkan memenuhi kehendak pengguna sasaran kerana diolah berdasarkan keperluan pelajar institusi pengajian tinggi, pengajar, pengamal dalam bidang kejuruteraan serta pengguna lain yang terlibat dalam bidang ini.

Pelbagai istilah yang berkaitan disusun dengan baik oleh tiga orang pakar yang berkaliber dalam bidang ini. Individu tersebut ialah Profesor Ir. Dr. Yusoff Ali, Profesor Madya Yahaya Ismail dan Mohd. Zubil Bahak. Kamus ini mengandungi 478 istilah berserta huraiannya. Oleh sebab kamus ini merupakan siri kamus istilah terbitan MABBIM, entri kamus ini ditulis dalam bahasa Melayu berserta padanannya dalam bahasa Inggeris, bahasa Brunei Darussalam dan bahasa Indonesia. Padanan ditulis selepas entri bahasa Melayu dalam tanda kurung dengan menggunakan huruf condong. Hal ini memudahkan pengguna turut memahami istilah yang digunakan oleh negara-negara tersebut, terutamanya bagi pelajar asing. Contohnya:

aci boleh lentur (Ig. flexible shaft; Br. Aci luwes; Id. Poros fleksibel).
sambungan semesta (Ig. universal joint; Br. Sambungan semesta; Id. Sambungan universal).
tarikan tanpa gear (Ig. gearless traction; Br. Tarikan tanpa gear; Id. Traksi tanpa roda gigi).

Singkatan Ig. Br. dan Id. yang masing-masing bermaksud Inggeris, Brunei Darussalam dan Indonesia digunakan dalam entri yang mempunyai istilah yang berlainan. Setiap entri ditulis dengan huruf tebal bagi membezakannya dengan padanan dan takrif entri. Takrifan setiap entri pula ditulis dengan menggunakan huruf biasa. Huruf tebal digunakan untuk istilah yang sinonim pada akhir takrif sesuatu entri. Di samping itu, seperti kamus lain, label “Lihat juga” digunakan sebagai tanda rujuk silang bagi istilah yang mempunyai takrif yang berkait rapat dengan konsep sesuatu istilah yang lain.

Bagi memudahkan pengguna, kamus ini memaparkan gambar rajah yang dapat memberi kefahaman dengan lebih jelas kepada pembaca. Seperti kamus lain, kamus setebal 145 halaman ini disusun mengikut alfabet bermula daripada huruf “A” hingga “W”. Hal ini demikian kerana tidak ada istilah dalam bahasa Melayu yang bermula daripada huruf “X, Y dan Z”.

Untuk memudahkan pengguna, daftar istilah Kamus Kejuruteraan: Mekanik dalam bahasa Inggeris-bahasa Melayu turut dimuatkan dalam halaman yang khusus antara kandungan entri dengan bibliografi. Senarai daftar istilah ini memudahkan pembaca untuk merujuk maksud istilah perkataan bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu yang disusun mengikut alfabet. Makna padanan bahasa Inggeris ini memberi kemudahan kepada pembaca untuk mendapatkan terjemahan maksud sesuatu perkataan dengan lebih cepat, tepat dan betul, di samping boleh merujuk huraian lebih lanjut secara terperinci pada halaman kamus sebelumnya.

Penerbitan kamus ini selaras dengan usaha DBP bagi memantapkan istilah bidang kejuruteraan dalam bawhasa Melayu supaya bahasa ini giat berkembang sebagai bahasa ilmu dalam bidang sains dan teknologi.

___

Ulasan buku ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

Posted in: Buku

“Jiran” Kumpulan Tempatan

Oleh Maia Elektra

Gugusan galaksi terdiri daripada gugusan padat dan renggang. Gugusan renggang turut dikenali sebagai gugusan tidak sekata kerana taburan galaksi dalam gugusan tersebut kelihatan berselerak dan didominasi galaksi bentuk pilin, pilin berpalang dan tidak sekata.

Gugusan padat pula dikenali sebagai gugusan sekata kerana kedudukan galaksi kelihatan tersusun dalam bentuk bulatan dan didominasi galaksi bentuk elips.

Galaksi Bima Sakti yang berada dalam gugusan galaksi tidak sekata dikenali sebagai Kumpulan Tempatan. Istilah tersebut diperkenalkan oleh Edwin Hubble (1889 – 1953) pada tahun 1936. Kumpulan Tempatan memiliki 57 galaksi, dikelilingi lima “jiran”, iaitu Kumpulan Maffei, NGC 5128, M81, Canes Venatici I dan Sculptor.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

Posted in: Sains Angkasa

Kucing Batu Haiwan Karnivor

Oleh Jasmi Abdul

Kucing Batu (Felis bengalensis) salah satu daripada empat spesies kucing liar yang terdapat di negara ini. Tiga spesies yang lain ialah kucing tulap (Felis temmincki), kucing hutan (Felis pleniceps) dan kucing dahan (Felis marmorata). Keempat- empat spesies kucing liar ini digolongkan dalam keluarga Felidae. Taburan kucing batu bermula dari lembah Amur di Rusia, Cina, India, Myanmar, Indocina, Filipina, Sumatera dan kepulauan Borneo.

Kucing batu mempunyai warna bulu yang menarik, iaitu bulunya berwarna perang serta bertompok-tompok dengan warna hitam pada keseluruhan badannya, sementara warna bulu yang hampir sama dengan bulu harimau bintang (Pantera pardus). Corak bulu yang sama ini mungkin orang Inggeris menamakannya Leopard Cat. Bulu pada bahagian dagu dan perutnya pula berwarna putih. Warna bulu kucing batu jantan dan kucing batu betina sama sahaja. Kucing jantan pula mempunyai tubuh saiz badan yang lebih besar jika dibandingkan dengan badan kucing betina. Oleh sebab warna badannya hampir sama dengan harimau bintang, kadangkala ada orang yang menyangka bahawa kucing batu anak harimau bintang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

V-HAJJ Perisian Simulasi Ibadah di Makkah

Oleh Abdul Nasir Zulkifli, Nur Fadziana Mohamed dan Mohd. Fitri Yusoff

Mengerjakan haji merupakan salah satu daripada lima rukun Islam. Setiap orang Islam yang berkemampuan dari segi kewangan serta sihat tubuh badan diwajibkan untuk mengerjakan haji di Makkah. Setiap tahun dianggarkan lebih daripada tiga juta umat Islam berkumpul di Makkah untuk menunaikan haji. Di samping itu, berjuta-juta lagi datang ke Makkah sepanjang tahun untuk melakukan ibadah umrah dan ziarah.

Di Malaysia, Lembaga Tabung Haji atau lebih dikenali sebagai Tabung Haji adalah organisasi yang diamanahkan untuk mengendalikan urusan berkaitan haji. Tabung Haji menyediakan kursus yang komprehensif bagi jemaah haji meliputi Kursus Haji Bersiri, Intensif dan Haji Perdana. Kursus ini biasanya mengambil masa 18 minggu. Kursus ini menerangkan tentang keperluan, kaedah dan langkah yang jemaah perlu ikuti dan melaksanakan semasa menunaikan haji.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

Posted in: Fokus, Utama

Sains Sistem B++

Oleh Rabiatul Adawiah Zainal Abidin

Maria masih tekun di hadapan skrin komputer biarpun jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Jari-jemarinya laju menekan papan kekunci komputer. Sepatutnya sejam yang lepas dia sudah berada di rumah bersama-sama suami dan anak. Namun kekangan kerja membantutkan hasratnya ingin pulang awal setelah mendapat arahan daripada Kapten Zarif ketika 15 minit sebelum waktu kerja berakhir.

“Macam mana sekali pun awak perlu memperbaiki sistem kawalan kita yang hampir berjaya ditembusi pihak musuh. Kalau awak gagal bermakna musuh berjaya mengetahui segala rahsia syarikat kita,” arah Kapten Zarif dengan suara yang tegas. Dia baru saja mendapat tanda amaran daripada robot keselamatan bahawa sistem mereka hampir dicerobohi pihak musuh. Namun hasrat jahat pihak musuh gagal kerana masih ada peringkat sistem kawalan yang menggunakan bahasa komputer kuno.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

Posted in: Cerpen, Utama

Vitamin B17 Penawar Kanser

Oleh Fazlina Mustaffa Dan Nadia Izyan Mohd Ali

Sebanyak 67 792 kes baharu kanser telah dikesan dalam kalangan penduduk Semenanjung Malaysia dari tahun 2003 hingga 2005. Antara jumlah tersebut, 43.7 peratus merupakan lelaki dan 56.3 peratus adalah wanita. Statistik kajian ini dilaporkan dalam Laporan Ketiga Pendaftaran Kanser Nasional (2008). Peningkatan kes kanser ini disebabkan oleh faktor genetik, persekitaran, pemakanan dan gaya hidup.

Sehingga kini, penyelidik dari seluruh dunia masih menjalankan penyelidikan untuk mencari penawar kanser. Baru-baru ini, hangat diperkatakan bahawa vitamin B17 berpotensi sebagai alternatif untuk merawat kanser. Namun keistimewaan vitamin B17 masih menjadi tanda tanya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

Posted in: Kesihatan, Utama

Kejadian Manusia

Oleh Mohd. Arip Kasmo

Al-Quran menyatakan tentang proses kejadian manusia di dalam rahim ibu, agar manusia tahu asal usul kejadian diri mereka sendiri. Maklumat kejadian ini seterusnya akan mewujudkan keinsafan bahawa manusia adalah hamba Allah SWT yang wajib menyembah Allah SWT sahaja, dan mematuhi segala larangan dan suruhan- Nya. Banyak ayat al-Quran yang menjelaskan tentang kejadian manusia di dalam rahim ibu, bahkan surah pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW menyatakan tentang kejadian manusia, iaitu:

● Bacalah dengan nama Tuhan kamu.

● Mencipta manusia daripada alaq.

Antara ayat lain yang menyatakan tentang asal-usul kejadian manusia termasuklah dalam surah al-Qiayamah ayat 37 yang bermaksud, “Bukankah dia daripada nutfa, daripada air mani yang dipancarkan.”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

Posted in: Sains Al-Quran, Utama

Permukaan Bulan

Oleh Kassim Bahali

Purata jarak Bumi dengan Bulan ialah 384 000 kilometer sahaja. Bukanlah mustahil bagi manusia untuk menempuh jarak ini. Hal ini terbukti dengan enam pendaratan manusia di permukaan Bulan yang bermula semenjak tahun 1969 hingga 1972. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 12 orang angkasawan telah mendarat di Bulan.

Sembilan angkasawan masih hidup sehingga kini. Pendaratan pertama pada 20 Julai 1969 oleh Apollo 9 dengan Armstrong, manusia pertama menjejakkan kaki di Bulan. Pendaratan terakhir pula pada 11 Disember 1972 oleh Apollo 17 dengan Eugene Cernan, angkasawan terakhir berada di permukaan Bulan. Selepas tarikh tersebut, tidak ada pendaratan manusia di Bulan sehingga kini. Lokasi pendaratan Apollo boleh dilihat dengan jelas dari Bumi dengan menggunakan teleskop.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November 2011.

Posted in: Astronomi