Pembebas Gas Toksik

Oleh ZARIF MOHAMED SOFIAN

PENGHASILAN pelbagai bentuk peralatan memasak khasnya periuk dan kuali yang tak melekat memudahkan urusan memasak. Penggunaan kuali tak melekat juga dapat menggalakkan penghasilan masakan yang rendah lemak apabila jumlah isi padu minyak masak yang diperlukan lebih sedikit berbanding dengan masakan yang dihasilkan di dalam periuk mahupun kuali yang melekat. Namun di sebalik manfaat penggunaan peralatan memasak tak melekat, saintis tampil dengan kebimbangan terhadap kesan bahan kimia yang dikenali sebagai asid perflorooktanoik (PFOA). PFOA salah satu bahan asas yang diperlukan dalam penghasilan peralatan memasak tak melekat.

PFOA yang dikenali sebagai C-8 merupakan bahan kimia yang berfungsi dalam menghasilkan ikatan antara salutan tak melekat dengan permukaan kuali. Menurut Agensi Pemuliharaan Alam Sekitar (EPA) yang berpusat di Amerika Syarikat, PFOA mempunyai potensi untuk disenaraikan sebagai salah satu b a h a n kimia yang bersifat karsinogenik, iaitu bahan kimia yang mampu menyebabkan kanser menjelang tahun 2015. Pada tahun 2006, EPA telah mengarahkan lapan syarikat pengeluar peralatan memasak tak melekat untuk menghapuskan penggunaan PFOA dalam penghasilan keluaran syarikat.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Penyelidikan

Proses Turasan Air

Oleh RIDHWAN ADAM dan MOHAMAD NASIR MOHAMAD IBRAHIM

AIR menjadi medium utama aktiviti seharian manusia sama ada untuk aktiviti fizikal mahu pun spiritual. Selain memberikan pelbagai faedah dan kebaikan, air mampu menjadi penyebab pelbagai kemudaratan. Seiring dengan perkembangan dunia perindustrian, sumber semula jadi air semakin tercemar. Hal ini menimbulkan pelbagai masalah termasuklah jangkitan penyakit yang menular dan kekurangan sumber air bersih untuk kegunaan harian.

Pelbagai cara dan kaedah telah dilakukan untuk “membersihkan” air termasuklah kaedah turasan, didih, dan sulingan.

Turasan merupakan operasi fizikal atau mekanikal yang dilakukan untuk memisahkan pepejal daripada bendalir (cecair atau gas) dengan meletakkan satu medium yang hanya bendalir boleh melepasinya. Dalam proses turasan, pepejal yang memiliki saiz yang besar akan tersangkut atau tersekat pada penuras, manakala bendalir yang bersaiz lebih kecil akan dapat melepasi penuras dengan mudah.  Bahan yang terturas dikenali sebagai hasil turasan, manakala bahan yang tersekat pada penuras dikenali sebagai baki turasan.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Penyelidikan

Pemulih Penglihatan atau Kosmetik

Oleh AZHANY YAAKUB

SEIRING dengan kemajuan teknologi dan kecanggihan telekomunikasi, kanta lekap juga berevolusi dengan pelbagai tarikan terutama dari segi penampilan. Para pengguna seharusnya bijak mengimbangkan antara keperluan penglihatan, pelengkap gaya dan pada masa yang sama mengelakkan bahaya. Yang perlu anda lakukan adalah mengenali dahulu kanta lekap sebelum mencubanya agar dapat menjaga dan menggayakannya tanpa bahaya.

Kanta lekap mempunyai keupayaan memfokus dan dipakaikan pada struktur luar mata, iaitu kornea. Kanta ini dicipta untuk membantu memulihkan penglihatan yang disebabkan oleh masalah refraktif seperti miopia (rabun jauh), hipermetropia (rabun dekat) dan astigmatisme (rabun astig/silau). Kanta lekap juga boleh digunakan untuk kes mata yang lain seperti kecacatan semenjak lahir yang dikenali sebagai aniridia (ketiadaan iris). Kes kecemasan seperti kebocoran kecil pada kornea (mikrobocoran), atau kes kronik seperti lelasan kornea rekuren yang boleh juga dirawat menggunakan kanta lekap. Kini, kanta lekap menjadi trend dan digayakan untuk tujuan kecantikan kerana didatangkan dalam pelbagai warna.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Sains Perubatan

Penghasil Toksin Shiga

Oleh ROCHMAN NAIM

BEBERAPA strain bakteria Escherichia coli boleh menyebabkan jangkitan penyakit kerana menghasilkan toksin Shiga. Bakteria penghasil toksin ini dinamakan Shiga toxin-producing E. Coli atau STEC. Bakteria ini disebut juga sebagai verocytotoxin atau verotoxin-producing E. coli (VTEC). VTEC menyebabkan kerosakan pada sel Vero yang berasal daripada sel epitel buah pinggang monyet Afrika atau Enterohaemorrhagic E. coli (EHEC) kerana menyebabkan diarea berdarah.

STEC yang sering dikenal pasti ialah E. coli O157:H7 (singkatannya E. coli O157 atau disebut O157). Wabak jangkitan E. Coli biasanya wabak E. coli O157. Selain O157, ada beberapa strain lain yang boleh menyebabkan penyakit, dan strain ini biasa disebut dengan non-O157. Strain non-O157 termasuklah O26, O45, O103, O111, O121, dan O145. Yang terkini, O104:H4 menyebabkan wabak penyakit yang dibawa oleh makanan tercemar yang berlaku di Jerman, pada bulan Mei dan Jun 2011.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Sains Pemakanan

Khasiat Tersembunyi Bunga Tahi Ayam

Oleh CHEE BENG JIN

BUNGA tahi ayam atau nama saintifiknya, Lantana camara L. sejenis tumbuhan renek, berbatang  keras yang berduri halus dan mempunyai banyak cabang. Daunnya berwarna hijau gelap dan berbulu kasar pada kedua-dua belah permukaan. Bunganya kecil dan tumbuh berjambak pada hujung ranting. Bunganya pelbagai warna seperti merah, merah jambu, putih, oren, kuning dan ungu. Buah tumbuhan ini jenis beri, bersaiz kecil dan bulat. Buah muda berwarna hijau dan biru hitam atau ungu apabila matang serta boleh dimakan.

Nama bunga tahi ayam mungkin berasal daripada baunya yang kurang disenangi apabila daun atau bunganya disentuh atau diramas. Pokok ini juga dikenali dengan nama bunga pagar dan jebat harimau.

Lantana camara berasal dari kawasan tropika benua Amerika dan tersebar di kebanyakan kawasan beriklim tropika. Terdapat rekod yang menunjukkan bahawa pokok ini diperkenalkan di rantau Asia Tenggara sejak kurun ke-19 oleh pedagang Sepanyol. Tumbuhan ini biasanya dijumpai tumbuh liar di kawasan terbuka dan kering, terutamanya di tepi jalan dan tanah terbiar. Pokoknya yang tahan kemarau dan selalunya dianggap sebagai rumpai. Ada kalanya, bunga tahi ayam ditanam sebagai pokok hiasan dalam landskap kerana warna bunganya yang cantik.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Sains Pemakanan

Reproduksi dan Pembesaran Teritip

Oleh RUSILAWATI HAJI KAMARUDIN

SEKIRANYA anda menyangka kaedah pemakanan teritip unik, kaedah reproduksi dan pembesaran  haiwan ini juga unik. Keunikan ini berpunca daripada cara hidupnya yang kekal melekat di sesuatu tempat sepanjang hayatnya.

Teritip yang hidup bebas akan melekatkan diri pada substrat dengan menyimen pundi yang terbentuk dari atas sepasang antenanya. Keadaan ini bermakna haiwan tersebut berkedudukan terbalik. Kepalanya di bawah dan kakinya di atas. Bagi kebanyakan spesies teritip, pundi simen dilekatkan di atas membran yang rata atau di atas satu permukaan berkalsium yang rata.

Enam cangkerang yang tersusun membentuk lingkaran adalah sama seperti sarung kulit haiwan krustasea lain. Bagi teritip yang menetap kekal, puncak cangkerang yang berbentuk kon ditutup oleh operkulum yang boleh ditarik ke dalam sarung kulit bagi tujuan membuka “pintu” di puncak teritip.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Uncategorized

Plastik Hijau Mesra Alam

Oleh HANAFI ISMAIL dan SAM SUNG TING

SISA pepejal bandaran (SPB) merupakan masalah yang paling kritikal terhadap persekitaran masa  kini. Sisa pembungkusan merupakan penyumbang utama kepada SPB. Di Amerika Syarikat, sebanyak 243 juta tan SPB telah dihasilkan pada tahun 2009. Sejumlah 12.3 peratus daripada SPB terdiri daripada bahan buangan plastik.

Pada hari ini, kaedah yang paling dominan bagi pembuangan sisa pembungkusan di Amerika Syarikat adalah tapak pelupusan, diikuti kitar semula, pembakaran dan pengomposan. Plastik berasaskan petroleum adalah bahan bukan degradasi yang boleh kekal selama beratus-ratus tahun. Plastik tersebut lengai pada mikroorganisma, ultraungu, haba dan air. Plastik bukan sahaja menyebabkan masalah pelupusan tetapi juga memberikan kesan terhadap hidupan marin.

Banyak kajian menunjukkan bahawa terdapat hidupan laut mati kerana termakan plastik yang terbuang. Oleh itu, plastik hijau dan mesra alam sekitar diperlukan untuk menyelesaikan masalah alam sekitar.

Plastik hijau boleh dibahagikan kepada tiga kategori yang berbeza, iaitu plastik terbiodegradasi, plastik terboleh urai dan plastik terboleh kompos. Bagi plastik terbiodegradasi, produk daripada jenis tersebut boleh dipecahkan melalui tindakan mikroorganisma secara semula jadi seperti bakteria, kulat dan lain-lain dalam tempoh masa yang singkat. Produk ini biasanya diperbuat daripada sumber tumbuhan atau haiwan. Contoh bahan terbiodegradasi termasuklah kertas, sisa sayur-sayuran dan beberapa jenis plastik yang dibuat daripada bahan seperti kanji jagung.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Fokus, Utama

Zala 1.0

Oleh HAFIZ MOHD. ROZLAN

DIKHABARKAN bahawa dahulu golongan miskin hanya mampu makan berlaukkan ikan bilis. Susuk  beberapa lelaki berkot putih mencorakkan gambaran yang berlatarbelakangkan sebuah makmal. Mereka kelihatan tergesa-gesa seperti sedang menyiapkan sesuatu yang mustahak, yang tidak boleh dilengah-lengahkan. Di satu sudut makmal yang agak lengang terletak sebuah papan kawalan yang sesak dengan pelbagai punat.

Seorang wanita duduk menghadapinya sambil memasukkan data-data yang berkenaan. Dia dibantu oleh seorang yang lain. Seorang daripada lelaki berkot putih tadi berulang-alik dari sebuah mesin yang terletak di tengah-tengah makmal ke wanita itu beberapa kali. Ada berita yang berpindah tuan, lalu pembantu kepada wanita itu pun sibuk mencatat sesuatu di dalam failnya.

Profesor Harris melangkah masuk ke dalam makmal itu. Ketara penampilannya lain daripada yang lain kerana dia seorang sahaja yang tidak memakai kot putih. Semua yang lain nampaknya terlalu sibuk untuk mengendahkannya. Wanita tadi dihampiri Profesor Harris, pembantunya memberikan ruang sambil menundukkan kepala isyarat hormat.

“Macam mana dengan persiapan kali ini?” tanya Profesor Harris sambil meminta fail dari

tangan pembantu wanita itu.

“Sebanyak 90 peratus siap, Profesor. Dalam lima minit lagi uji kaji boleh dimulakan,” ujar wanita itu sambil menunjukkan sesuatu di dalam fail. Profesor Harris mengangguk perlahan. Dia membetulkan letak kaca matanya sambil mengamati butiran dalam fail itu. Bacaannya terhenti, dia mengurut jambangnya yang putih seperti sedang memikirkan sesuatu.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Cerpen

Sarang Burung Melawan Radikal Bebas

Oleh FAZLINA MUSTAFFA

SARANG burung walit terhasil melalui proses penggunaan air liur burung untuk membuat sarang. Khasiat sarang burung ini diiktiraf sebagai produk penjagaan kesihatan yang terunggul dalam masyarakat Cina.

Burung walit atau nama saintifiknya, Aerodramus fuciphaga berasal daripada famili Apodidae. Burung ini merupakan burung pemakan serangga yang gemar meluncur serta bersifat aerial. Burung ini mempunyai fizikal yang sederhana besar, sayap yang berbentuk sabit serta kaki dan paruh yang sangat kecil.

Fakta yang menarik mengenai burung ini ialah tidak pernah hinggap di pohon. Habitat burung ini ialah gua atau rumah yang cukup lembap dan gelap. Burung ini menggunakan langit-langit untuk menempelkan sarang sebagai tempat untuk beristirahat dan membiak.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Kucing Merah Satu-satunya di Borneo

Oleh MOHD-AZLAN dan J. ARIANTI, A.

KEPULAUAN Borneo terkenal dengan keunikan alam semula jadinya yang tersendiri. Sabah dan  Sarawak bukan sahaja masyhur dengan kepelbagaian etnik dan budaya, malahan menjadi tumpuan dunia melalui kepelbagaian biodiversitinya.

Terdapat lapan spesies kucing liar yang dikenal pasti di seluruh Malaysia dan lima daripadanya boleh didapati di Borneo, iaitu kucing batu (Prionailurus bengalensis), kucing hutan-tasik (Prionailurus planiceps), kucing dahan (Pardofelis marmorata), kucing merah (Catopuma badia) dan harimau dahan borneo (Nefelis diardi). Di Kepulauan Borneo, tidak terdapat spesies kucing liar yang besar seperti harimau dahan atau harimau kumbang (Panthera pardus) dan harimau belang (Panthera tigris). Namun fosil harimau belang pernah ditemui di Gua Niah, Sarawak.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011