Escherichia coli dalam Sayur-sayuran

Oleh ROCHMAN NAIM

ESCHERICHIA coli merupakan kumpulan bakteria yang besar dan mempunyai kepelbagaian sifat atau ciri. Kebanyakan strain E.coli tidak berbahaya, namun sebahagiannya menyebabkan banyak orang jatuh sakit. Beberapa strain daripada bakteria ini menyebabkan penyakit diarea, jangkitan saluran pernafasan (penyakit pernafasan dan pneumonia) dan penyakit lain. Selain itu, beberapa strain bakteria ini digunakan untuk mengesan pencemaran air. Jika air mengandungi bakteria ini bermakna air tersebut telah tercemar.

Pada Mei 2011, strain E. Coli menjangkiti lebih daripada 2400 orang di 13 negara di Eropah, yang menyebabkan 23 orang meninggal dunia, berdasarkan laporan pada tarikh 9 Jun 2011. Kes terbanyak di Jerman dengan 2347 orang dijangkiti. Daripada jumlah tersebut, 642 pesakit mengalami komplikasi Sindrom Uremia Hemolisis (HUS) yang meragut nyawa 22 orang. Kebanyakan kes tersebut

melibatkan orang dewasa. Pada 24 Jun 2011, sebanyak 834 kes HUS (30 pesakit meninggal dunia) dan 2967 kes bukan HUS (16 pesakit meninggal dunia) meningkat di Jerman. Setakat ini, wabak ini adalah kes jangkitan E. coli yang mempunyai komplikasi HUS paling tinggi yang pernah wujud di dunia. Pesakit yang dijangkiti bakteria ini mengalami diarea berdarah. Komplikasi HUS kerana jangkitan E. coli biasanya tidak melibatkan jumlah pesakit yang banyak seperti kes ini. Simptom jangkitan bakteria ini ialah kegagalan buah pinggang akut, anemia kerana sel darah merah rosak dan jumlah platelet yang rendah (trombositopenia).

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Penyelidikan

Wabak Semut Kayap

Oleh HEO CHONG CHIN

SUDAH beberapa kali wabak semut kayap melanda negara ini. Adakah semut kayap sejenis semut? Adakah semut ini berbahaya? Sehingga hari ini, wabak semut kayap

masih berlaku tanpa disedari dan jarang-jarang dilaporkan. Oleh sebab semut kayap boleh “melecurkan” permukaan kulit pesakit, maka “semut” ini dianggap penting dari segi perubatan.

Di Malaysia, kes pertama pada tahun 1919. Kemudian, profesor daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula melaporkan wabak semut kayap dalam kalangan 12 orang pelajar perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian, Kelantan, pada tahun 1993. Selepas itu, wabak terbesar berlaku di Pulau Pinang, yang menyebabkan sebanyak 2000 penduduk diinfestasi semut kayap pada September 2002, dan kes ini menarik perhatian media serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Wabak seterusnya dilaporkan pada tahun 2008 dan berlaku di sebuah sekolah rendah di Terengganu yang melibatkan 36 murid sekolah. Sehingga kini, ahli kaji serangga (ahli entomologi) masih berhadapan dengan kes infestasi semut kayap dalam kalangan penduduk, terutama penduduk yang tinggal berdekatan dengan sawah padi dan ladang kelapa sawit.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Kacang Hijau dalam Diet Harian

Oleh FAZLINA MUSTAFFA

SIAPA sangka kacang hijau atau nama saintifiknya, Phaselous aureus yang selama ini digunakan sebagai bahan masakan menjadi bahan utama bagi mengekalkan kesihatan serta mendapatkan kulit yang lembut dan berseri. Kacang hijau ternyata memiliki pelbagai khasiat yang berupaya menyembuhkan penyakit.

Kacang hijau yang berasal daripada famili Leguminoseae mengandungi vitamin A yang dapat mengekalkan kelembapan kulit, sekali gus mencegah kedutan. Vitamin C serta bahan antioksida seperti karotenoid yang terdapat dalam kacang hijau mampu mencerahkan kulit serta memudarkan kesan parut. Antara bahan antioksida yang terdapat dalam kacang hijau termasuklah karotenoid (lutein, betakarotene, violasantin, dan neosantin) serta flavanoid (kuersetin, kaemferol, katekin, epikatekin dan prosianidin).

Menurut kajian Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, kacang hijau mempunyai kandungan bahan antioksida yang tertinggi berbanding dengan kekacang lain. Selain menjaga kecantikan, pengambilan kacang hijau secara berterusan sangat bermanfaat untuk mencegah serangan penyakit jantung. Hal ini demikian kerana aktiviti antioksida yang terdapat dalam kacang hijau dapat mencegah aktiviti radikal bebas yang menjadi punca serangan penyakit jantung. Kajian yang dilakukan ke atas tikus mendapati bahagian testa (lapisan luar kacang hijau) yang mengandungi asid lemak omega-3 menyumbang terhadap kesihatan jantung.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Sains Pemakanan

Murai Batu Bersuara Merdu

Oleh JASMI ABDUL

MURAI batu (Copsychus malabaricus) atau White-rumped Shama spesies burung liar yang dijumpai di negara ini. Burung ini tergolong dalam spesies murai kampung atau Magpei Robin. Kedua-dua spesies ini digolongkan dalam famili Turdidae. Spesies burung liar ini cantik dan diminati kebanyakan pemelihara atau penggemar burung. Murai batu mempunyai tiga warna bulu, iaitu hitam, putih dan merah keemasan. Ekornya panjang serta berwarna hitam di bahagian atas, dan putih di bahagian bawah. Bulu tongkengnya putih, manakala ekornya boleh dijengkitkan ke atas dan bawah serta dikembangkan seperti kipas yang cantik. Perlakuan ini dilakukan oleh murai batu jantan untuk menarik perhatian burung betina. Bulu dada murai merah keemasan sementara bahagian perutnya putih. Murai batu betina mempunyai saiz tubuh yang lebih kecil daripada yang jantan, selain warna bulu yang kurang menyerlah jika dibandingkan dengan burung jantan. Panjang keseluruhan badan murai ini mencapai sehingga 30 sentimeter. Bunyi yang unik serta warna bulu yang menarik menyebabkan permintaan ke atas spesies ini amat tinggi.

Burung ini mengeluarkan bunyi yang kuat dan nyaring, tetapi ada kalanya

perlahan seperti berbisik. Ada kalanya burung ini mengeluarkan bunyi yang garau seperti “tap, tap, tap, tap” berulang kali. Bunyi ini dilakukannya terutama semasa terbang mencari makan pada waktu pagi. Jarak penerbangan tidak jauh dan akan hinggap di tempat yang agak gelap dan tersorok. Burung ini boleh berbunyi seakan-akan orang bercakap atau berbisik, iaitu “chow, chow, chow, wit, wit, wit” berulang-ulang. Murai batu juga boleh meniru atau mengajuk bunyi burung liar lain seperti bunyi burung cecawi anting-anting. Penangkap murai batu yang mahir akan mengajuk bunyi burung ini, yang akan dibalas oleh burung tersebut dengan nada bunyi yang hampir sama.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Jarak Buncit Beracun

Oleh AZIZAN HAJI DAUD

TUMBUHAN jarak buncit juga dikenali sebagai jarak bunting. Nama saintifiknya, Jatropha podagrica. Tumbuhan ini dalam famili Euphorbiaceae. Jarak buncit sangat

popular dijadikan tumbuhan hiasan. Penjagaan tumbuhan ini juga mudah.

Jarak buncit sejenis tumbuhan renek yang mempunyai ketinggian 30 – 90 sentimeter (cm). Nama tumbuhan ini mengambil sempena bentuk batangnya yang buncit di pangkal pokok. Batang tumbuhan ini berwarna hijau. Bunganya pula merah dan berbentuk seperti batu karang. Buahnya bujur dan mempunyai empat pangsa dengan garis pusat berukuran 2.5 – 4 cm. Buah muda jarak buncit berwarna hijau, dan perang apabila matang. Buahnya akan pecah dengan sendiri apabila matang serta mengeluarkan 2 – 3 biji berwarna hitam.

Keseluruhan tumbuhan ini beracun, terutama bijinya. Seperti spesies jarak yang lain, kandungan bahan aktif utamanya ialah curcin. Curcin sejenis toksalbumin yang boleh merosakkan sel, terutama sel ginjal apabila berada di dalam darah. Bahan lain ialah jatrofin, asid kurcanoleik, asid krotonoleik dan asid hidrosianik acid. Daunnya mengandungi saponin. Apabila berlaku kes keracunan akibat termakan bahagian pokok jarak buncit, simptom yang ditunjukkan ialah sakit perut dan kesan terbakar pada tekak setelah setengah jam termakan bijinya.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Botani

Gejala Klinikal Kanser Paru-paru

Oleh CHE WAN AMINUD-DIN HASHIM

KAJIAN dan statistik kanser paru-paru menunjukkan bahawa penyakit ini hanya dapat dikesan apabila mencapai tahap yang agak teruk. Hal ini menyebabkan rawatan yang dapat diberikan hanya bercirikan paliatif dan tidak mampu menyembuhkan penyakit. Rawatan seperti pembedahan dapat menyembuhkan penyakit kanser paru-paru, tetapi hanya terhad kepada ketumbuhan yang masih pada peringkat awal.

Terdapat dua sebab utama penyakit kanser paru-paru tidak dapat dikesan pada peringkat permulaan. Yang pertama, faktor anatomi organ paru-paru itu sendiri. Organ paru-paru terletak di dalam sangkar tulang rusuk atau sangkar toraks yang agak besar. Di dalam ruang toraks yang agak luas ini, paru-paru mengembang dan menguncup semasa bernafas. Hal ini bermakna bahawa ketumbuhan kanser di dalam paru-paru perlu mencapai saiz yang agak besar sebelum pesakit mengalami sebarang simptom.

Pada masa yang sama, tisu paru-paru itu sendiri pada asalnya tidak mempunyai sistem saraf tersendiri yang dapat mengesan rasa sakit. Kejadian ini amat penting supaya pesakit tidak berasa sakit setiap kali paru-paru mengembang dan menguncup sewaktu bernafas. Sistem saraf yang wujud hanya dapat mengesan sekiranya terdapat sakit akibat regangan di bahagian tisu luar paru-paru. Rasa sakit hanya akan timbul sekiranya ketumbuhan mencapai saiz yang besar atau merebak ke bahagian selaput luar paru-paru.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Sagitarius A

Oleh MAIA ELEKTRA

ASTRONOMI radio telah ditemui secara kebetulan oleh seorang jurutera elektrik, Karl Guthe Jansky (1905 – 1950) pada Ogos 1931. Beliau yang bertugas di Bell Telephone Laboratory, New Jersey, telah membina sebuah antena untuk menerima gelombang radio pada frekuensi 20.5 Mega Hertz. Setelah merekodkan isyarat dari semua arah serta berpandukan peta astronomi, beliau mendapati kuantiti radiasi paling tinggi diperoleh ketika kedudukan buruj Sagitarius tinggi di langit. Yang malangnya, penemuan Jansky berlaku tatkala Amerika Syarikat sedang dilanda zaman kemelesetan ekonomi yang amat teruk (era Zaman Meleset). Lantaran itu, tidak ada pihak yang sudi untuk mengembangkan astronomi radio.

Pada tahun 1937, Grote Reber (1911 – 2002), seorang jurutera elektrik telah membuat kajian susulan bersabit penemuan Jansky dengan membina teleskop radio di belakang rumahnya di Illinois. Reber turut memperoleh keputusan yang serupa, iaitu gelombang radio amat tinggi ketika buruj Sagitarius berada tinggi di langit. Mereka berdua tidak tahu apakah objek kosmik yang menghasilkan gelombang radio yang amat tinggi itu.

Pada awal tahun 1950-an pula, Martin Ryle (1918 – 1984) dari Universiti Cambridge, mencipta kaedah interferometri dan sintesis apertur yang berupaya untuk memperoleh keputusan yang lebih jitu. Dengan terciptanya kedua-dua teknik tersebut, astronomi radio berjaya dikembangkan dan beberapa kumpulan saintis membuat kajian susulan berhubung penemuan Jansky dan Reber.

Pada 15 Februari 1974, Bruce Balick dan Robert Brown dari Balai Cerap Astronomi Radio Kebangsaan, Virginia, mengesahkan bahawa sumber gelombang radio yang wujud di sempadan buruj Sagitarius dan Scorpius itu sebuah lohong hitam maharaksasa. Lohong itu dinamakan Sagitarius A* dan merupakan titik tengah atau pusat bagi Bima Sakti. Diameter Sagitarius A* dianggarkan tidak melebihi lima tahun cahaya dan dikelilingi gugusan bintang muda berwarna biru. Gugusan yang dikenali sebagai IRS16 dianggarkan mengandungi 2.5 juta bintang. Kehadiran bintang muda yang mewarnai sekitar Sagitarius A* telah mengejutkan saintis. Hal ini demikian kerana bintang muda daripada spektrum O dan B tidak sepatutnya berada di bonjolan nukleus, tetapi di bahagian lengan luaran seperti lengan Perseus. Hingga kini beberapa teori telah dibentangkan berhubung kewujudan IRS16, tetapi saintis belum menemui punca sebenar kewujudan gugusan tersebut.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Astronomi

Bahan Aktif dalam Tumbuhan Herba

Oleh NUR AZIAH HANAPI

TUMBUHAN herba mengandungi pelbagai jenis bahan aktif yang bertanggungjawab terhadap kesan terapeutik. Antara bahan aktif tersebut termasuklah alkaloid, flavonoid, saponin, minyak volatil, tanin dan steroid. Selain itu, tumbuhan herba mempunyai pelbagai jenis vitamin dan mineral.

Sungguhpun demikian, bukan semua bahan aktif ini bertindak untuk mengubati penyakit. Ada tumbuhan yang mempunyai kandungan toksik tinggi sehingga boleh menyebabkan kematian jika diambil tanpa kawalan dan berlebihan. Sesetengah bahan aktif ini bertindak sendiri untuk memberikan kesan terapeutik. Sebilangan yang lain pula memerlukan bahan aktif lain untuk membentuk kombinasi bagi menghasilkan kesan terapeutik. Kesan terapeutik merupakan kesan daripada penggunaan ubat, iaitu kelegaan serta penyembuhan penyakit.

Alkaloid merupakan sebatian kimia organan yang terdiri daripada nitrogen  serta tidak mempunyai bau dan rasa. Pelbagai jenis alkaloid didapati dalam tumbuhan herba dan kebanyakannya merupakan racun yang sangat kuat kepada manusia dan haiwan. Masyarakat dahulu mengaplikasikan penggunaan alkaloid sebagai racun untuk membunuh binatang ataupun musuh.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

__

Posted in: Fitokimia, Utama

KEISTIMEWAAN AROWANA

Oleh SITI HADIJAH UMOR

AROWANA terkenal sebagai ikan unik yang tidak ternilai harganya. Arowana termahal di dunia yang mencecah ribuan ringgit ialah arowana emas Malaysia, semestinya berasal dari negara ini. Kedudukan Malaysia yang mengalami iklim khatulistiwa menjadi lokasi terbaik bagi arowana membiak, sama ada di habitat semula jadi atau di dalam kolam ternakan. Ikan ini tidak boleh membiak di negara beriklim sederhana seperti Jepun, China, Thailand, Hong Kong dan Taiwan.

Walaupun terdapat pelbagai jenis arowana yang wujud di seluruh dunia seperti di Amerika Selatan, Australia dan Afrika, arowana Asia yang ada di negara ini merupakan yang paling cantik, paling berharga dan paling diminati di seluruh dunia. Kepada peminat dan masyarakat umum yang sangat meminati ikan hiasan ini, jangan lepaskan peluang untuk memiliki buku Arowana Ikan Hiasan Bernilai yang kini sudah pun berada di pasaran. Buku setebal 102 halaman hasil nukilan Mohamad Zaini Suleiman ini mengandungi pelbagai maklumat yang bermanfaat tentang riwayat arowana.

Terdapat enam bab dalam kandungan buku ini yang menceritakan tentang perihal arowana. Bab pertama merungkai kisah di sebalik populariti arowana, kejayaan pembiakan arowana, asal usul arowana dan sifat fizikal arowana. Tahukah anda bahawa pada masa dahulu, arowana dikenali sebagai ikan kelisa. Ia juga dikenali sebagai ikan sarung golok di negeri pantai timur Malaysia. Selain dijual, dijadikan hidangan atau dijadikan pekasam oleh nelayan, dahulu ikan ini tidak mempunyai keistimewaan jika dibandingkan dengan ikan air tawar lain seperti lampam sungai, terbul, tembakang dan sebaru. Kelisa yang dahulu hidup di habitat semula jadi di hulu sungai, kini dikenali sebagai arowana dan dipelihara di dalam rumah atau di dalam pejabat kerana sering dikaitkan dengan simbol kemewahan

serta kejayaan dalam kerjaya atau perniagaan seseorang.

Bab kedua menerangkan tentang jenis arowana yang terdapat di seluruh dunia dan yang dibiak di Malaysia. Terdapat tiga genus arowana di seluruh dunia, iaitu genus Scleropages, Osteoglossum dan Heterodontis yang tergolong dalam famili Osteoglossidae. Spesies yang terdapat di Malaysia dan Indonesia ialah Scleropages formosus. Terdapat tiga jenis utama arowana Asia di negara ini, iaitu arowana emas, arowana merah dan arowana hijau. Selain itu, terdapat pelbagai spesies di seluruh dunia yang tercatat dalam buku ini.

Keunikan arowana yang menyebabkannya begitu bernilai dijelaskan secara terperinci oleh penulis dalam bab ketiga. Antara keunikan arowana termasuklah warna sisik, sesungut, kelakuan dan cara pembiakan. Bab keempat pula menceritakan tentang mangsa atau makanan ikan ini yang bersifat pemangsa atau pemakan daging. Ikan arowana yang hidup di habitat semula jadi menjadikan apa- apa sahaja yang ada di dalam air seperti ikan, udang dan serangga termasuklah

reptilia dan mamalia kecil yang termasuk ke dalam air sebagai mangsanya. Sementara itu, ikan yang dipelihara atau diternak di dalam kolam akan diberi makanan seperti cengkerik, belalang, udang, anak ikan, katak, ulat gandum dan pelet.

Bab kelima pula menerangkan tentang punca penyakit dan rawatan yang perlu dilakukan apabila arowana yang dipelihara menghidapi penyakit. Tanda-tanda awal arowana berpenyakit dijelaskan supaya pemelihara dapat mengenal pasti ikan kesayangan mereka seperti warna yang semakin pucat dan tidak bermaya, bahagian hujung sirip yang pecah-pecah dan bergerigi, tidak mahu makan atau morfologi badannya kelihatan tidak normal. Ikan yang berpenyakit perlukan rawatan, namun memerlukan kos dan berisiko tinggi. Oleh sebab itu, penjagaan yang sempurna terutama mutu air perlu diambil kira sebelum ikan ini dijangkiti penyakit. Individu yang ingin memelihara ikan ini, tetapi tidak mengetahui cara penjagaan di dalam akuarium bolehlah mendapatkan penjelasan lanjut yang dihuraikan dengan lengkap dalam buku ini yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ini.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Buku

Si PEMBURU

Oleh KASSIM BAHALI

LANGIT malam yang dicipta oleh Allah SWT dihiasi pelbagai objek samawi seperti Bulan, planet, bintang, buruj, nebula dan galaksi. Objek ini menjadikan langit malam indah ditatap. Keindahan langit malam menjadi lebih bermakna sekiranya mengenali dan memahami objek tersebut. Antara objek yang menghiasi langit ialah buruj.

Buruj merupakan kumpulan bintang yang terletak di kawasan langit. Buruj seolah-olah kelihatan membentuk objek tertentu sama ada manusia ataupun haiwan seperti kala jengking (Scorpio) atau singa (Leo). Terdapat 88 kawasan buruj di langit menurut International Astronomical Union (IAU). Pada masa dahulu, buruj ini menjadi panduan arah bagi pengembara atau pelayar yang meredah lautan yang luas.

Pada bulan ini, antara buruj menarik yang menghiasi langit sepanjang bulan ini ialah Si Pemburu atau dikenali sebagai Belantik atau Orion. Buruj ini digambarkan sebagai simbol kekuatan dan kekuasaan. Dalam Greek purba, buruj ini digambarkan sebagai seorang pemburu yang sedang memanah dengan tiga bintang berderet di tengah buruj ini sebagai tali pinggang si pemburu. China purba pula menamakan

buruj ini sebagai “Raja Bertiga” kerana tiga bintang berderet dalam buruj ini dikelilingi lima bintang lain.

Pada bulan ini, buruj ini sangat mudah dikenali kerana akan berada di tengah langit dengan tiga bintang yang terang dalam kedudukan sebaris di dalam buruj tersebut. Buruj ini dapat dilihat di mana-mana bahagian Bumi kerana terletak di khatulistiwa samawi.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Astronomi