Itik Air Semakin Pupus

Oleh Jasmi Abdul

ITIK air atau itik belibis dalam bahasa Inggeris dipanggil Lesser Whistling-Duck (Dendrocygna javanica) atau Wood Duck salah satu daripada dua jenis itik liar yang biasa dijumpai di kawasan tanah bencah atau tanah lembap di negara ini. Itik ini tergolong dalam keluarga Dendrocygnidae.

Spesies lain ialah itik kapas atau Cotton Pygmy Goose (Nettapus coromandelianus) yang bertubuh lebih kecil dan mempunyai bulu berwarna putih seperti kapas. Itik kapas pula tergolong dalam keluarga Anatidae. Keseluruhan bulu itik air berwarna coklat keperangan. Bulu di bahagian atas kepaknya coklat kehitaman dan berbentuk seperti sisik. Tubuhnya bersaiz kecil dengan berat badan tidak melebihi satu kilogram.

Panjang keseluruhan badan itik ini antara 38 hingga 41 sentimeter. Itik air pandai berenang dan menyelam. Terdapat kulit nipis di antara jari kakinya yang bertindak seperti pendayung berenang. Itik air boleh terbang tinggi dan jauh sehingga beberapa kilometer. Itik air biasanya hidup berkawan daripada beberapa ekor hingga beratus-ratus ekor.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Flora dan Fauna

Ujian Kanser Paru-paru

Oleh Che Wan Aminud-din Hashim

APABILA seseorang mempunyai gejala yang memungkinkan mereka menghidap kanser paru-paru, segera ke hospital atau klinik untuk mendapatkan nasihat doktor. Tambahan pula, jika pesakit berisiko tinggi berdasarkan faktor usia dan tabiat merokok. Yang penting, kanser dapat dikesan awal. Hal ini demikian kerana kemungkinan penyakit dapat dirawat dan pesakit sembuh sepenuhnya, lebih tinggi.

Ujian yang biasanya dilakukan untuk mengesan kanser termasuklah ujian darah dan ujian imbasan. Ujian imbasan termasuklah sinar-X dan imbasan CT (tomografi komputer). Untuk memastikan jenis ketumbuhan pula, tisu atau sel yang berasal daripada ketumbuhan kanser perlu diuji di makmal.

Bukan semua ujian perlu dilakukan ke atas seseorang pesakit. Doktor akan menasihatkan pesakit mengenai ujian yang perlu dilakukan dan yang perlu didahulukan. Pesakit boleh mendapatkan semua maklumat mengenai ujian yang akan dilakukan termasuklah tatacara ujian dan risiko yang mungkin ada.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Fitokimia

Bintang Berlari

Oleh Maia Elektra

BINTANG cenderung untuk hidup berpasangan seperti manusia dan haiwan. Sungguhpun demikian, apabila sepasang bintang “bergelut” akibat tarikan graviti antara bintang yang tidak stabil, salah satu akan melepaskan diri daripada tarikan tersebut, lantas bergerak ke ruang angkasa dengan halaju yang amat tinggi. Bintang sedemikian rupa dikenali sebagai bintang berlari atau bintang terlepas.

Sistem berpasangan terdiri daripada dua bintang yang memiliki jarak tetap dan tidak mengorbit antara satu sama lain. Sistem tersebut tidak membentuk bintang berlari kerana daya graviti antara dua bintang adalah stabil. Bintang dalam sistem dedua mengelilingi antara satu sama lain dan dibahagikan kepada empat jenis, iaitu dedua visual, astrometri, spektrometri dan gerhana.

Bagi pasangan bintang sistem dedua, setiap bintang memiliki lingkungan graviti di sekelilingnya, dikenali sebagai cuping Roche. Cuping Roche bergantung pada saiz bintang. Bintang yang lebih besar akan memiliki cuping Roche besar dan sebaliknya.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Sains Angkasa

Masyarakat Narsisisme Facebook

Oleh Saharil Hasrin Sanin

NARSISISME ialah penyakit mental yang bermaksud perasaan cinta akan diri sendiri yang berlebihan. Perkataan tersebut datang daripada seorang watak dalam mitos tragedi Yunani, Narcissus, yang jatuh cinta akan keindahan refleksi wajahnya sendiri di permukaan tasik, lalu terpaku melihat bayang-bayang tersebut sehingga jatuh sakit dan mati. Kajian terbaharu saintis mendapati penyakit narsisisme semakin menular dalam kalangan masyarakat moden akibat penggunaan Facebook.

Facebook merupakan laman web jaringan sosial yang paling popular di dunia. Laman dilancarkan pada Februari 2004 bagi pelajar Universiti Harvard di Amerika. Kini laman web tersebut digunakan oleh lebih 800 juta orang penduduk di seluruh dunia.

Statistik mengatakan, Facebook menerima satu trilion lawatan pada setiap bulan, menjadikan jaringan sosial tersebut sebagai laman web yang paling banyak pengunjung dalam sejarah internet (tidak termasuk laman web enjin carian internet, seperti Google dan Yahoo! Search).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Kunyit sebagai Antikanser

Oleh Norfarizan Hanoon Noor Azmi dan Nurraihana Hamzah

KUNYIT merupakan rizom daripada pokok Curcuma longa L. Pokok ini ditemui di belukar dan semak samun. Kunyit berasal dari Asia Tenggara dan Asia Selatan, tetapi kini ditanam untuk tujuan komersial di India, China, Indonesia dan Indochina.

Kunyit digunakan dalam perubatan tradisional, pewarna makanan dan upacara keagamaan dan pemujaan sejak tahun 600 Sebelum Masihi.

Dalam perubatan Melayu, kunyit digunakan untuk merawat darah tinggi, demam kuning, cirit-birit, meningkatkan selera makan, ubat sakit perut dan sembelit. Kajian saintifik membuktikan kunyit mempunyai sifat antibarah, antiradang dan dapat melindungi kesan biologi lain dalam manusia. Kesan ini disebabkan oleh sebatian kunyit, iaitu kurkumin yang telah dikaji secara meluas terhadap kesan antiradang, antioksidan, penyembuh luka dan antibarah.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Fitokimia

Mikroorganisma dalam Perubatan

Oleh Zaidah Abdul Rahman

SEDAR atau tidak, sebenarnya kita dikelilingi berjuta-juta dan pelbagai jenis mikroorganisma. Mikroorganisma sejenis hidupan yang tidak dapat dilihat menggunakan mata kasar. Sejenis alat bantuan khas yang dipanggil mikroskop diperlukan untuk melihat kewujudannya.

Mikroorganisma ini terdapat di persekitaran termasuklah udara, tanah, air dan tidak terkecuali, badan manusia. Namun tidak semua mikroorganisma ini mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sesetengah mikroorganisma ini diperlukan untuk kehidupan seharian seperti memperkukuhkan sistem pertahanan badan, membantu dalam pemprosesan makanan, penghasilan vitamin dan sebagainya.

Dalam bidang perubatan, mikroorganisma dikelaskan kepada beberapa kumpulan. Pengelasan ini berdasarkan struktur, saiz, metabolisme, kaedah pertumbuhan dan yang terkini melalui ciri-ciri genetik yang dimiliki. Mikroorganisma dibahagikan kepada empat kumpulan besar yang terdiri daripada bakteria, virus, kulat dan parasit.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Sains Perubatan

Tahun Lompat

Oleh Kassim Bahali

TA H U N 2012 mempunyai kelebihan satu hari dibandingkan dengan tahun 2011  kerana tahun ini adalah tahun lompat. Takwim yang digunakan pada hari ini dinamakan takwim Gregory. Takwim Gregory sempena nama Pope Gregory XIII (7 Januari 1502 – 10 April 1585), orang yang bertanggungjawab mengubahsuaikan takwim Julian. Beliau mendapati kesilapan dalam takwim Julian dan memperkenalkan pembetulan takwim yang dikenali sebagai takwim Gregory. Takwim ini juga dikenali sebagai takwim Barat atau takwim Kristian. Takwim ini diterima secara perlahan-lahan oleh kebanyakan negara di dunia. Britain menerima pakai takwin ini pada tahun 1752, Sweden 1753, China 1912, Rusia 1918 dan Turki 1926, negara terakhir, selepas kejatuhan empayar Uthmaniah.

Mengikut takwim ini, satu tahun mengandungi 365 hari bagi tahun biasa dan 366 hari bagi tahun lompat. Takwim ini berdasarkan pergerakan Bumi mengelilingi Matahari. Tempoh satu peredaran lengkap Bumi mengelilingi Matahari dinamakan satu tahun suria. Tempoh Bumi mengelilingi Matahari hampir 365.25 hari. Ini bermakna terdapat perbezaan antara satu tahun takwim Gregory dengan satu tahun suria sebanyak 0.25 hari (1/4 hari).

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Astronomi

INOVASI JENTERA PENUAI BATANG KENAF

Oleh Siti Hadijah Umor

KENAF atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus, sejenis tumbuhan bermusim yang berasal daripada keluarga Malvaceace. Bijinya seperti biji rosel dan bunganya mempunyai pelbagai warna mengikut spesies masing-masing. Tumbuhan ini selain mempunyai nilai dalam bidang farmaseutikal dan dijadikan sebagai makanan haiwan, mempunyai pelbagai kegunaan lain dalam produk perindustrian baharu seperti biokomposit, kertas pulpa, material bangunan hijau dan alat ganti automotif.

Penanaman kenaf di Malaysia semakin meluas kerana mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Tanaman kenaf giat dibangunkan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sebagai tanaman komoditi baharu di Malaysia bagi menggantikan tanaman tembakau. Walaupun komoditi ini baharu, pasarannya luas kerana permintaan bagi gentian kenaf semakin meningkat. Oleh sebab itu, keluasan tanaman ditingkatkan daripada 1500 hektar pada tahun 2010 dan sekarang dinaikkan sehingga 3000 hektar. Kebanyakan tumbuhan kenaf ditanam di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis. Kenaf boleh dituai apabila mencapai umur tiga bulan dengan ketinggiannya mencecah sehingan 3.0 – 4.5 meter.

Industri sangat memerlukan serat gentian panjang yang terhasil daripada batang kenaf untuk menghasilkan tekstil dan panel biokomposit. Pelbagai jentera sedia ada yang sudah diubah suai seperti jentera penuai tebu hanya mampu memotong batang kenaf dalam ukuran yang pendek, menghancurkannya, serta tidak mampu memotong batang kenaf pada ukuran yang panjang. Oleh hal yang demikian, sebuah jentera penuai kenaf yang dapat menuai batang kenaf dalam ukuran yang panjang tanpa merosakkan serat gentian amat diperlukan.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Fokus, Utama

Sindrom Ovari Polisistik

Oleh Siti Hadijah Umor

BUKU Inferniti: Permasalahan dengan Sindrom Ovari Polisistik menarik kalangan pembaca yang ingin mengetahui lebih jelas maklumat berkaitan Sindrom Ovari  Polisistik (PCOS). Sejarah penemuan PCOS bermula apabila penyelidik berbangsa

Itali melaporkan wanita muda yang mengalami berat badan berlebihan, tidak mengalami pengovulan, mempunyai ovari yang lebih besar, berwarna putih dan seakan-akan menyerupai telur burung merpati, dan nampak berbeza jika dibandingkan dengan ovari wanita yang normal. Beberapa gejala tersebut memberikan petunjuk kepada PCOS.

Segala fakta dalam buku ini diterangkan secara terperinci dengan menggunakan gaya bahasa yang mudah dan tepat, disertai dengan gambar berkenaan sindrom tersebut. Wanita mempunyai kecenderungan menghidap PCOS. Punca PCOS disebabkan oleh gaya hidup dan pemakanan yang tidak seimbang.

Buku ini menjelaskan latar belakang dan takrifan Sindrom Polisistik Ovari. Ovari polisistik terbentuk apabila terdapat banyak sista yang wujud dalam corak bergugus yang teratur dengan sendiri, malah kelihatan seperti segugus buah anggur. Sista ini merupakan folikel yang gagal untuk membesar dan tidak mengeluarkan ovum atau tidak mengalami pengovulan. Saiznya berukuran sebesar 2 – 8 milimeter (mm) sahaja.

Selain itu, terdapat maklumat tentang gejala serta tanda sindrom ini. Tanda klinikal sindrom ini termasuklah haid tidak teratur, berat badan yang berlebihan (obes) dan ciri hormon androgen berlebihan dalam badan. Sementara itu, penyebab wanita menghidap PCOS ialah faktor genetik atau keturunan, kegagalan pengovulan kerana tekanan perasaan dan diet yang salah, kegagalan badan untuk bertindak balas dengan insulin, dan kerintangan insulin. Diagnosis bagi mengenal pasti PCOS dilakukan menerusi ujian makmal dan imbasan ultrabunyi faraj.

Wanita yang menghidap PCOS akan mengalami masalah kesihatan jangka panjang seperti berisiko lima kali ganda untuk mendapat kanser rahim, tiga kali ganda untuk mendapat kanser ovari, mudah mendapat penyakit diabetes, dan mempunyai masalah sukar untuk hamil. Selain itu, penghidap akan mempunyai masalah yang ada kaitan dengan jantung.

Selain mengalami haid yang tidak teratur, wanita yang menghidap PCOS mempunyai pertumbuhan bulu berlebihan atau hirsutisme. Hal ini demikian kerana aras hormon lelaki yang tinggi yang dirembeskan oleh ovari polisistik menyebabkan pelbagai masalah berkaitan testosteron. Bulu roma yang berlebihan tumbuh pada bahagian muka, puting payudara, perut, paha, lengan dan sebagainya. Selain itu, pesakit menghadapi masalah jerawat yang kronik pada bahagian muka atau belakang badan. Masalah lain seperti obesiti, keguguran rambut, masalah kulit menjadi gelap dan kepala menjadi botak.

Risiko jangka panjang bagi penghidap PCOS ialah Sindrom Metabolisme yang dikenali sebagai Sindrom X atau Sindrom Kerintangan Insulin. Sindrom ini gabungan beberapa keadaan yang menyebabkan pesakit PCOS berisiko menghidap penyakit jantung dan diabetes melitus jenis 2. Definisi, latar belakang, penyebab, kriteria serta rawatan Sindrom Metabolisme juga dijelaskan supaya pembaca lebih memahami sindrom ini. Rawatan yang diperlukan bagi pesakit PCOS diterangkan secara menyeluruh dari peringkat awal hingga akhir. Contohnya, ubat-ubatan yang boleh diambil bagi menyeimbangkan hormon, mengatasi masalah jerawat, menghilangkan bulu roma dan rawatan masalah obesiti.

Buku hasil nukilan dan usaha Profesor Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussain dan Profesor Madya Dr. Shaiful Bahari Ismail ini memang sesuai dibaca oleh wanita yang menghidap PCOS dan berkeinginan untuk hamil. Terdapat pelbagai kaedah rawatan bagi merawat masalah ketidaksuburan yang dihadapi pesakit PCOS seperti pengawalan berat badan dan perubahan gaya hidup, penggerudian ovari serta penggunaan ubatan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Buku

Inovasi Penuai Kenaf

Oleh Norizan Muslim

FOKUS pada keluaran ini mengetengahkan ciptaan jentera penuai batang kenaf yang dihasilkan oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia. Jentera ini dinamakan Jentera Penuai Batang Kenaf Empat Baris dicipta oleh Profesor Ir. Dr. Desa Ahmad, bersama-sama kumpulan penyelidik untuk memudahkan kerja memotong batang kenaf. Sebelum ciptaan jentera tersebut, pengusaha kenaf menggunakan jentera import yang banyak menimbulkan pelbagai masalah, terutama kos dan penyelenggaraan yang tinggi.

Keistimewaan dan teknologi jentera kenaf ciptaan anak tempatan ditulis oleh Wartawan Dewan Kosmik, Siti Hadijah Umor. Dalam ruangan Sains dan Al-Quran, Dr. Mohd. Arip Kasmo membongkarkan maklumat tentang cap jari manusia tidak sama yang telah dinyatakan dalam al-Quran. Al-Quran menyatakan tentang hujung jari manusia tidak serupa. Bagaimanakah al-Quran mengetahui bahawa cap jari manusia tidak sama, sedangkan kitab agama ini diturunkan pada tahun 610 – 623 Masihi?

Bidang Astronomi pula memberikan maklumat kelebihan satu hari pada tahun 2012 yang dinamakan tahun lompat. Ruangan ini menyingkap perkiraan awal kalendar Gregory hari ini yang digunakan oleh kebanyakan negara di dunia. Mengikut kalendar ini, satu tahun mengandungi 365 hari bagi tahun biasa dan 366

hari bagi tahun lompat. Takwim ini berdasarkan pergerakan Bumi mengelilingi Matahari.

Dalam ruangan Genetik Manusia, Dr. Badrul Hisham Yahaya mengupas kehebatan sel tunjang dalam perubatan yang sering dipromosikan dalam media. Apakah kehebatan dan kemampuan sel ini dalam mengubati pelbagai penyakit akan dikupas dalam beberapa siri keluaran akan datang. Penulis juga menerangkan bagaimana sel tunjang dikawal atur di dalam tubuh manusia untuk menjadi sel yang khusus seperti sel jantung, sel paru-paru, sel mata, dan sel hati. Sesungguhnya ruangan ini amat menarik untuk diikuti kerana mendedahkan antara harapan, realiti dan fantasi kepada pesakit yang menghidapi penyakit kronik.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Nota Editor