Jintan Bukan Sekadar Rempah Masakan

Oleh NURRAIHANA HAMZAH dan NORFARIZAN HANOON NOOR AZMI

MASYARAKAT di Malaysia, terutamanya kaum Melayu terkenal dengan penggunaan pelbagai rempah ratus dalam masakan mereka. Antara rempah ratus yang sering digunakan ialah jintan. Terdapat empat jenis yang biasa digunakan, iaitu jintan, jintan hitam, jintan putih dan jintan manis.

Jintan penambah perisa makanan dan mampu mengatasi masalah mulut berbau.

Jintan atau nama saintifiknya Carum carvi L. merupakan sejenis pokok herba yang tumbuh liar di tanah tinggi. Pokok ini merupakan tumbuhan asli di Eropah dan Asia. Biji jintan secara tradisionalnya digunakan untuk merawat demam panas, masalah pembuangan air besar, kembung angin, sakit kepala, diuretik, sawan dan selesema. Bijinya dikunyah untuk mengubati nafas berbau busuk. Minyak daripada biji ini pula digunakan sebagai tonik perut bagi mengeluarkan angin daripada perut dan usus. Jintan juga dapat merawat perut kembung.

Menurut kajian Nicola, Pietro, Francesco, dan Felice (2005) menerusi “Antibacterial Activity of Cuminum cyminum L. and Carum carvi L. Essential Oils” menunjukkan minyak pati biji jintan terdiri daripada komponen utama, seperti karvon, linonena, germakrena D dan trans-dihidrokarvon. Mereka turut menjalankan kajian antibakteria terhadap minyak pati ini dan hasil kajian menunjukkan bahawa minyak pati ini menunjukkan aktiviti yang tinggi terhadap genera Clavibacter, Curtobacterium, Rhodococcus, Erwinia, Xanthomonas, Ralstonia, dan Agrobacterium yang merupakan pembawa penyakit pokok atau tanaman cendawan di seluruh dunia. Hal ini menunjukkan bahawa minyak pati ini berpotensi mengawal bakteria penyakit.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.

Ekstrak Gamat untuk Penyembuhan Luka

Oleh Farid Che Ghazali

PERUBATAN tradisional dan moden merupakan aspek penting dalam penjagaan kesihatan di Malaysia. Pelbagai ekstrak flora dan fauna tempatan dieksploitasi sebagai rawatan terapeutik dalam perubatan tradisional dan produk kesihatan untuk kehidupan yang lebih baik.

Gamat mempunyai nilai perubatan yang tinggi.

Samudera lautan yang memiliki pelbagai proses biologi antara fenomena alam semula jadi yang menarik dan unik. Dalam hal ini, Malaysia antara negara Asia yang mempunyai biodiversiti tertinggi dunia, dengan pantai yang cantik dan laut membiru yang menyimpan jutaan khazanah laut yang amat berharga.
Antaranya termasuklah spesies Invertebrata yang dikenali sebagai timun laut. Timun laut dikenali sebagai gamat dalam bahasa Melayu, hoi sum (Hokkien), haisen (Mandarin) atau beche-de-mer dalam bahasa Perancis merupakan hidupan marin yang berkait rapat dengan landak laut dan tapak sulaiman.
Jika di Sabah, hidupan ini dikenali  sebagai “bat” atau “balat” dan Sarawak dikenalikan sebagai “brunok”. Invertebrata ini merupakan ikon marin Langkawi dan dieksploitasi dalam perubatan tradisional.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.

Posted in: Fokus, Utama

Marikh Dekati Bumi

Oleh Kassim Bahali
PERNAHKAH anda melihat planet Marikh? Pada bulan ini, peminat astronomi berpeluang melihat planet Marikh yang sedang menghampiri Bumi pada awal Mac 2012. Pada 3 Mac, Marikh mengalami fenomena istiqbal (bertentangan). Istiqbal merupakan kedudukan jasad samawi dalam sistem suria dalam keadaan bertentangan dengan Matahari atau sudut longitud samawi 180 darjah.

Kedudukan Istiqbal dan ijtimak Marikh.

Pada kedudukan ini, Marikh relatif hampir dengan Bumi dan saiznya kelihatan besar sedikit daripada hari-hari yang lain. Fenomena istiqbal Marikh berlaku setiap 26 bulan. Orbit Marikh dan Bumi mempunyai bentuk elips, tetapi orbit Marikh lebih lonjong berbanding dengan Bumi.
Oleh hal yang demikian, jarak di antara kedua-duanya berubah-ubah, ketika ijtimak jaraknya 400 243 853 kilometer, ketika istiqbal perihelion jaraknya 55 763 770 kilometer dan ketika istiqbal apehelion jaraknya 101 388 672 kilometer. Kali ini jarak terhampir di antara kedua-duanya ialah 100 780 000 kilometer dan peristiwa ini berlaku pada 5 Mac selepas dua hari berlaku istiqbal. Jarak ini agak jauh jika dibandingkan dengan jarak paling dekat ketika perihelion.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.

Posted in: Astronomi, Utama

Nilai Perubatan Gamat

GAMAT terkenal sebagai sumber dalam perubatan tradisional. Sebanyak 2500 spesies gamat terdapat di seluruh dunia, dan 37 spesies hidup di perairan negara ini. Tujuh spesies gamat yang dikenal pasti mempunyai nilai perubatan ialah Stichopus variegatus, Stichopus vastus, Stichopus hermanii, Stichopus horrens, Stichopus chloronotus, Isostichopus badionotus dan Thelenota ananas.
Keberkesanan gamat dalam merawat pelbagai penyakit menjadi tarikan kepada pengusaha perubatan tradisional untuk mengkomersialkan produk spesies timun laut ini dengan lebih meluas. Tangkapan gamat oleh nelayan pula semakin agresif kerana nilai perubatan.
Pada tahun 2000, Persidangan Antarabangsa Perdagangan Spesies Terancam (CITES) telah mengkategorikan gamat sebagai spesies terancam dan pupus sekiranya berterusan dieksploitasikan.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Profesor Madya Dr. Farid Che Ghazali daripada Universiti Sains Malaysia mencipta kaedah menternak gamat menggunakan pembiakan secara tiruan atau teknologi penetasan. Kaedah yang dicipta oleh anak tempatan ini merupakan yang pertama di dunia untuk menghasilkan benih gamat dalam persekitaran tukun tiruan yang mirip dengan proses sebenar pembiakan gamat. Penternakan gamat secara tiruan ini dapat meminimumkan tangkapan dan kebergantungan pengambilan gamat dari habitat asalnya.
Profesor Madya Dr. Farid turut mencipta cecair daripada gamat yang berkesan menyembuhkan luka dengan cepat. Ciptaan inovatif beliau yang dinamakan My.StichoGAG diaplikasikan secara titisan topikal pada luka. Agen penyembuhan luka ini mengandungi komponen bioaktif glikosaminoglikans trisulfat serta melalui pengenalpastian proses taksonomi yang berkesan.
Ciptaan inovatif agen penyembuhan luka dan teknologi penetasan gamat oleh Dr. Farid merupakan contoh kejayaan sains dalam menangani masalah kepupusan sebarang spesies yang mempunyai nilai perubatan, di samping memberikan nilai perubatan yang tinggi untuk kesejahteraan manusia.
- Norizan Muslim
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.

Posted in: Nota Editor

Kecubung Beracun

Oleh AZIZAN  HAJI DAUD


KECUBUNG atau lebih dikenali sebagai terung pungar sejenis pokok renek dalam famili Solanaceae yang berasal dari China. Nama saintifiknya, Datura metel merupakan sejenis tumbuhan beracun yang mempunyai nilai perubatan. Pokok kecubung boleh mencapai ketinggian sehingga dua meter.

Batangnya keras berkayu dan cabangnya berumpun. Bunga kecubung berbentuk trompet dengan pelbagai saiz dan warna. Warna bunga kecubung yang biasa ditemui ialah ungu dan putih serta kuning dan jingga. Buah kecubung berwarna hijau dan bertukar coklat apabila tua dan mempunyai duri yang halus di bahagian luarnya, seperti kulit durian.

Apabila masak, lenggai buah ini pecah dan mengeluarkan biji berwarna coklat dan berbentuk seperti buah pinggang. Kedua-dua buah dan biji  kecubung beracun. Setiap buah mengandungi lebih kurang 500 biji. Pokok kecubung ditanam menggunakan biji benih atau keratan batang. Daunnya berselang-seli, berukuran antara 10 – 20 sentimeter panjang dan lebar, serta bahagian tepi daun bergerigi. Pertumbuhannya tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.

Posted in: Botani