Bulan April

Artikel April

Posted in: Utama

Khasiat Tinggi Susu Ibu

Judul Buku: Susu Ibu Titisan Mutiara Bonda

Pengarang: Nazirah Johar dan Zaharah Sulaiman

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM18.00

Tahun Terbit: 2011

Pengulas: Suria Janib

SUSU ibu mempunyai nilai yang tinggi kerana mengandungi segala khasiat yang diperlukan oleh bayi. Kandungan nutrien yang lengkap, suhu yang sentiasa sesuai diminum oleh bayi, perubahan komposisi yang mengikut umur bayi, dan tahap  kebersihan yang tinggi menyebabkan susu ibu sebagai sumber makanan yang cukup sempurna.

Buku Susu Ibu Titisan Mutiara Bonda memberikan banyak pendedahan tentang kelebihan susu ibu. Setiap bayi yang diberikan susu ibu tidak memerlukan makanan atau minuman tambahan lain sehingga umurnya enam bulan. Kelebihan susu awal (kolostrum) tidak terdapat dalam mana-mana susu formula. Kandungan antibodinya yang tinggi mampu melindungi bayi daripada jangkitan kuman. Kesempurnaan zat kolostrum juga tidak dapat ditandingi oleh kecanggihan teknologi pemakanan bayi pada masa ini.

Menurut buku ini lagi, setiap bayi yang dilahirkan tidak berupaya melindungi tubuhnya daripada sebarang penyakit. Susu ibu mengandungi beberapa elemen penting untuk melawan jangkitan kuman yang membantu menghindarkan bayi daripada pelbagai jenis penyakit. Antaranya, laktoferin yang bergabung dengan zat besi yang membantu mencegah perebakan bakteria usus, immunoglobulin dan sel darah putih yang bertindak melawan kuman dalam tubuh, protein, vitamin A dan E yang berfungsi untuk melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan penyakit mata, serta limfosit dan marofat yang membantu melawan kuman yang memasuki tubuh bayi.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.

Posted in: Buku

Cahaya itu Sebentar Cuma

Oleh SHAMSUL AMIN

TATKALA merenungi bulan, hati Cahaya digamit tenang, renungan rembulan lebih mahal berbanding dengan ritma sekata teman-teman. Mereka selesa menjadi badut manusia, kononnya menghantar kegembiraan ke atma mereka. Sedangkan hati sendiri tiada terjaga, tenteram meragut wibawa. Di hujung kuala, hati terumbang-ambing dalam gelora bimbang.
Kepada bulan, Cahaya mampu mengadu resah. Jiwa sering merusuh dicucuh gundah. Hidup mereka dilacurkan di tangan manusia terlalu mudah. Dia sendiri sampai saat ini pun hidup mendesah. Perubahan zaman hampir memadamkan salasilah mereka, Pteroptyx Tener daripada riwayat alam ini. Hidup sebagai serangga kecil tidak habis-habis diasak debar.
Manusia mendambakan kelipan indah yang menghiburkan, sedangkan hati mereka sekeruh muara. Malam ini mungkin menjadi indah pada pandangan pengunjung Kampung Kuantan, tetapi tidak semua manusia arif tentang hakikat alam. Kalaulah mereka tahu kelipan ini cuma sementara.
“Mengapa kau tidak seritma dengan teman-teman kita yang lain, Cahaya. Marilah sertai pesta gemilang malam ini wahai dinda!” Kehadiran Bintang begitu mengejutkan Cahaya. Ungkapan “dinda” serasa begitu menjengkelkan, berikat canda oleh Bintang, tetapi Cahaya menganggap itu ungkapan persuasif penuh jantan yang murahan amat!

____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.

Posted in: Cerpen

Apabila Paiche Mengganas!

Oleh UMI AMMAR

HARI ini, hari pendaftaran masuk pelajar baharu. Semua pelajar berkumpul di dewan pendaftaran yang terletak di kolam utama. Keadaan kawasan pendaftaran amat terkawal, tenang dan sejuk. Hari pertama pendaftaran, lazimnya tentulah riuh rendah dan sesak dengan ibu bapa dan keluarga yang turut sibuk menghantar anaknya memasuki universiti. Ibu bapa mana tidak berbangga, anak yang dididiknya dari kecil, telah pun berjaya melanjutkan pengajiannya ke peringkat tinggi.

Sesiapa pun akan berbangga apabila berpeluang memasuki USA, iaitu Universiti Spesies Arowana yang di bawah naungan CITES, iaitu Convention on International Trade in Endangered Species of Fauna and Flora. Namun begitu, di USA ibu bapa tidak dibenarkan menghantar pelajar, kerana semua urusan penghantaran pelajar diuruskan oleh syarikat yang  berdaftar dengan CITES. Semua peraturan ini dilaksanakan demi menjaga keselamatan spesies Arowana yang sangat sensitif dan terkawal, kerana nilai prestij Arowana yang sangat tinggi dan mulia di mata seluruh masyarakat; dari masyarakat kampung hinggalah ke peringkat antarabangsa.

Pada bahagian bawah abdomen setiap pelajar  disuntik mikrocip penanda kekal bagi mengenali identiti setiap spesies pelajar. Pengurus pendaftaran hanya perlu menggunakan alat pengimbas membaca nombor pendaftaran, sebagai pengenalan individu pelajar, untuk mengetahui asal usul setiap pelajar, dan mengetahui tahap kelulusan  untuk melayakkan mereka melanjutkan pengajian di USA ini.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.

Posted in: Cerpen

Kekakuan Otot

OLEH MAZIRA MOHAMAD GHAZALI

Kekejangan otot menyebabkan tubuh tidak dapat digerakkan.

TETANUS atau kancing  gigi  merupakan penyakit akut yang menyerang susunan saraf pusat yang disebabkan oleh racun tetanospasmin yang dihasilkan oleh bakteria berspora Clostridium tetani. Perkataan tetanus diambil daripada bahasa Yunani, iaitu tetanos daripada teinein yang bermaksud menegang.

Penyakit ini ditandai dengan kekakuan otot (spasma) tanpa disertai gangguan kesedaran. Clostridium tetani ialah bakteria yang berbentuk batang, ramping, berukuran 2-5 x 0.4-0.5 milimikro yang berbentuk spora selama di luar tubuh manusia, tersebar luas di tanah dan mengeluarkan toksin apabila dalam keadaan baik.  Bakteria ini termasuk dalam golongan gram positif dan hidupnya anaerob serta mengeluarkan toksin yang bersifat neurotoksik. Toksin ini (tetanuspasmin) menyebabkan kekejangan otot dan saraf periferi setempat. Spora daripada Clostridium tetani dapat hidup selama bertahun-tahun dan mampu bertahan dalam suhu yang sangat tinggi.

Kebiasaannya, jangkitan berlaku melalui jangkitan luka dan sering kali melibatkan cedera luka atau tusukan yang dalam. Ketika jangkitan berlaku, kekejangan otot berlaku pada rahang dan di tempat lain pada badan. Jangkitan boleh dielakkan melalui pelalian yang betul dan profilaksis selepas dedahan. Kancing gigi menyerang interaksi antara urat saraf dan otot yang terstimulasi, iaitu jaringan neuromuscular. Penyakit ini tidak menular daripada seseorang kepada seseorang. Penyakit ini terjadi apabila bakteria berubah bentuk vegetatif dalam tubuh manusia. Sebenarnya, bakteria ini menghasilkan tiga toksin, namun tetanuspasmin penyebab utama tetanus.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.

Posted in: Sains Neuron

Krim Antipenuaan daripada Bulu Ayam

Oleh ARUN GUPTA

PROSES penuaan yang berlaku terhadap manusia adalah normal dalam kehidupan. Biasanya proses pengedutan, pertambahan jeragat dan garis halus penuaan berlaku pada setiap penambahan usia. Perkara ini sangat merunsingkan, terutama dalam kalangan wanita. Sebaik-baik sahaja sel kulit melalui fasa penuaan, sel kulit kehilangan keanjalan menyebabkan kekenduran dan kedutan pada kulit. Kekurangan sel kulit mengeluarkan minyak turut menyebabkan kulit menjadi kusam, tidak bermaya dan kering.

Tanda penuaan yang muncul awal sebelum usia sangat membimbangkan terutama golongan wanita. Faktor penyumbang gejala ini antaranya termasuklah kulit terlalu terdedah pada pencemaran, kurang amalan gaya hidup sihat, pemakanan yang tidak teratur dan berkhasiat, kurang rehat dan tidur, serta tekanan kerja.

Walau bagaimanapun, golongan wanita tidak perlu khuatir kerana pada masa ini kecanggihan dan perkembangan teknologi mampu mengawal dan merawat masalah ini. Krim antipenuaan antara alternatif yang kian mendapat perhatian ramai sekarang.

Bulu ayam mempunyai keratin yang istimewa kerana mengandungi jujukan asid amino.

Krim antipenuaan ini sebahagian besarnya terdiri daripada produk pelembap penjagaan kulit  yang berasaskan kosmetikseutikal. Produk ini dipasarkan kepada pengguna dengan menjanjikan kulit pengguna kelihatan lebih muda, iaitu dengan cara mengurangkan pembentukan tanda penuaan dan garis halus di muka.

Posted in: Fokus

Selincah Kijang

Oleh JASMI ABDUL

Kijang mempunyai warna bulu yang cantik.

KIJANG (Mutiacus muntjak) atau barking deer merupakan mamalia bersaiz sederhana yang terdapat di hutan negara ini. Kijang berasal daripada keluarga Cervidea  atau rusa. Kijang mempunyai warna bulu yang cantik merah kekuningan dan di bawah perutnya berwarna putih. Ekor kijang pendek dan berwarna putih di bahagian bawahnya. Jika  terkejut, kijang pantas berlari sambil melompat-lompat dengan ekornya terungkit-ungkit  ke atas  sebagai tanda amaran kepada kumpulannya untuk melarikan diri daripada musuh.

Kijang jantan dewasa mempunyai tanduk kecil yang bercabang satu dan kijang betina tidak mempunyai tanduk. Kijang jantan mempunyai gigi taring yang panjang  terjulur keluar dari bahagian rahang atasnya. Taringnya digunakan untuk mencederakan lawannya ketika berlawan. Saiz tubuh kijang jantan lebih besar daripada kijang betina. Kijang jantan dewasa mampu mencapai berat sehingga 40 kilogram.

Populasi kijang ditemui di kawasan tanah tinggi terutama di rentis permatang bukit pada ketinggian kira-kira 1000 meter atau 3000 kaki dari paras laut. Kamera inframerah yang dipasang oleh renjer Perhilitan di banjaran Gunung Bintang Hijau dan Bukit Larut di Perak membuktikan kewujudan spesies ini di kawasan tanah tinggi tersebut.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.

Posted in: Flora dan Fauna

Planet Paling Cantik

Oleh KASSIM BAHALI

Pernahkah anda melihat planet paling cantik di langit malam? Pada bulan ini kita berpeluang melihat planet paling cantik di langit malam, iaitu Planet Zuhal. Zuhal kelihatan cantik kerana mempunyai gegelang di sekeliling planet ini. Zuhal dan gegelangnya dapat dilihat dengan lebih jelas  pada April 2012,  kerana  berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi.

Kedudukan  Zuhal hampir dengan Bumi berlaku pada fenomena yang dinamakan Istiqbal. Zuhal mengalami Istiqbal dengan Bumi pada setiap 378.1 hari. Fenomena Istiqbal ialah kedudukan jasad samawi dalam sistem suria dalam keadaan bertentangan dengan Matahari atau pada sudut longitud samawi 180°. Pada 15 April, Zuhal mengalami Istiqbal yang kelihatan lebih besar dan cerah daripada hari lain pada tahun ini.

Gegelang Zuhal pertama kali ditemui pada tahun 1610 oleh Galileo dengan menggunakan teleskop optik. Gegelang planet ini terdiri daripada zarah yang kebanyakannya ais pepejal yang bersaiz antara 1 cm hingga 5 meter. Zarah ini bergerak mengelilingi planet Zuhal. Daripada cerapan yang dilakukan oleh Voyager 2, (prob tanpa manusia yang dilancarkan dari Bumi ke luar sistem suria) mendapati ketebalan gegelang ini tidak lebih daripada 200 meter.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.

Posted in: Astronomi

Nilai Keratin Bulu Ayam

KERATIN sejenis molekul gentian protein yang berperanan membina perlindungan yang kuat pada tisu hidup. Protein yang sangat kuat ini menjadi komponen penting dalam  rambut, kulit, kuku, tanduk, paruh dan gigi.
Keratin sukar larut kerana mengandungi sisteina disulfida yang mampu membentuk jambatan disulfida yang kuat. Kekuatan tersebut bergantung pada jumlah sisteina disulfida sama ada membentuk sel keras seperti yang terdapat dalam tanduk atau menjadi lembut dan lebih fleksibel seperti yang terdapat dalam rambut dan kulit. Dengan kata lain, keratin merupakan sel mati yang terbentuk pada bahagian tertentu hidupan.
Saintis mula menggunakan sumber keratin daripada bulu ayam untuk menghasilkan pelbagai produk baharu kerana sisa buangan ini paling banyak dibuang setiap tahun dan sukar dilupuskan. Misalnya, sisa bulu ayam bertambah lebih daripada satu bilion kilogram setiap tahun di Amerika Syarikat.
Pelbagai penemuan telah berjaya menukarkan bahan sisa daripada bulu ayam menjadi barangan plastik, produk tekstil, sanitari dan perubatan. Penemuan produk baharu ini amat penting untuk mengurangkan kebergantungan pada produk berasaskan petroleum yang mencemarkan alam.
Pada keluaran ini, Dewan Kosmik menyiarkan penemuan baharu dalam bidang kosmetik dan perubatan daripada bulu ayam. Bulu ayam yang selama ini dibuang sebagai sisa buangan, berpotensi besar menjadi bahan permintaan penting bagi industri kosmetik dan perubatan pada masa akan datang.
Penemuan terbaharu oleh Dr. Arun Gupta, Pensyarah, Universiti Malaysia Pahang, bakal menukarkan persepsi umum terhadap bulu ayam yang selama ini dianggap tidak mempunyai  nilai komersial. Menerusi penemuan baharu tersebut, keratin yang diekstrak daripada bulu ayam boleh dijadikan krim untuk melambatkan proses penuaan serta menghilangkan parut dan kedutan.

KERATIN sejenis molekul gentian protein yang berperanan membina perlindungan yang kuat pada tisu hidup. Protein yang sangat kuat ini menjadi komponen penting dalam  rambut, kulit, kuku, tanduk, paruh dan gigi.  Keratin sukar larut kerana mengandungi sisteina disulfida yang mampu membentuk jambatan disulfida yang kuat. Kekuatan tersebut bergantung pada jumlah sisteina disulfida sama ada membentuk sel keras seperti yang terdapat dalam tanduk atau menjadi lembut dan lebih fleksibel seperti yang terdapat dalam rambut dan kulit. Dengan kata lain, keratin merupakan sel mati yang terbentuk pada bahagian tertentu hidupan.Saintis mula menggunakan sumber keratin daripada bulu ayam untuk menghasilkan pelbagai produk baharu kerana sisa buangan ini paling banyak dibuang setiap tahun dan sukar dilupuskan. Misalnya, sisa bulu ayam bertambah lebih daripada satu bilion kilogram setiap tahun di Amerika Syarikat.Pelbagai penemuan telah berjaya menukarkan bahan sisa daripada bulu ayam menjadi barangan plastik, produk tekstil, sanitari dan perubatan. Penemuan produk baharu ini amat penting untuk mengurangkan kebergantungan pada produk berasaskan petroleum yang mencemarkan alam.  Pada keluaran ini, Dewan Kosmik menyiarkan penemuan baharu dalam bidang kosmetik dan perubatan daripada bulu ayam. Bulu ayam yang selama ini dibuang sebagai sisa buangan, berpotensi besar menjadi bahan permintaan penting bagi industri kosmetik dan perubatan pada masa akan datang. Penemuan terbaharu oleh Dr. Arun Gupta, Pensyarah, Universiti Malaysia Pahang, bakal menukarkan persepsi umum terhadap bulu ayam yang selama ini dianggap tidak mempunyai  nilai komersial. Menerusi penemuan baharu tersebut, keratin yang diekstrak daripada bulu ayam boleh dijadikan krim untuk melambatkan proses penuaan serta menghilangkan parut dan kedutan. –  Norizan Muslim

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.

Posted in: Nota Editor

Kuang Raya Cantik dan Ligat Menari

Kuang antara burung tercantik di dunia.

Oleh  JASMI ABDUL

Burung kuang raya atau burung kuau (Argusianus argus) merupakan antara spesies burung kuang yang bukan sahaja tercantik di negara ini,  malah di dunia. Kuang raya atau dalam bahasa Inggerisnya, great argus, ditemui di kawasan hutan belantara Asia Tenggara seperti Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja, Malaysia, Brunei Darussalam, Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Burung ini tergolong dalam famili Phesanidae, iaitu burung kuang, ayam hutan dan merak. Kuang raya spesies burung kuang yang bertubuh besar sehingga mencapai hampir dua meter panjang keseluruhannya, iaitu dari hujung paruh hingga ke hujung ekor. Warna bulu kuang jantan sangat cantik dan menarik, iaitu coklat kemerahan dengan tompokan halus bulat berwarna hitam. Terdapat juga tompok  putih halus pada bulu kepak dan ekornya. Dua helai bulu ekor utamanya panjang mencapai sehingga satu meter setengah dan ada yang mencecah tanah.

Burung kuang raya betina bertubuh kecil dan mempunyai warna bulu yang kurang menarik serta berekor pendek. Burung kuang jantan dewasa gemar memperagakan dirinya dengan cara menari-nari di atas tanah yang bersih daripada ranting kayu atau sampah sarap. “Gelanggang tari” ini berbentuk bulatan dengan bergaris pusat kira-kira dua setengah meter.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.


Posted in: Flora dan Fauna