Ciptaan Antivirus

PADA beberapa dekad yang lalu, kebanyakan jangkitan bakteria dirawat menggunakan antibiotik, iaitu penisilin. Penisilin ditemui Alexander Fleming pada tahun 1929. Penisilin dianggap sebagai ubat yang menakjubkan kerana mampu membunuh bakteria.

Namun begitu, tidak semua bakteria dapat dihapuskan dengan penisilin kerana ada bakteria yang terselamat. Misalnya, bakteia yang menyebabkan penyakit influenza, selesema, dan demam denggi berdarah tidak dimusnahkan oleh ubat penisilin. Bakteria tersebut kebal kerana mengeluarkan enzim B-laktamase yang mampu memusnahkan struktur penisilin. Maka, saintis perlu mereka penisilin lain seakan-akan antibiotik, yang struturnya tidak dapat dimusnahkan oleh enzim B-laktamase.

Sebenarnya, bakteria sentiasa berevolusi untuk mengeluarkan pertahanan baharu agar rintang terhadap antibiotik yang dicipta oleh manusia. Seterusnya, kajian antivirus sentiasa berkembang untuk mencipta antibiotik baharu yang dapat mengawal jangkitan kepada manusia atau haiwan.   – NORIZAN MUSLIM

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Nota Editor

Komputer Menjejaskan Kesihatan?

Judul Buku: Penyakit Bawaan Komputer: Petua dan Panduan Pencegahan

Pengarang: Sharifah Mastura Syed Mohamad

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM18.00

Tahun Terbit: 2011

Pengulas: Suria Janib

KOMPUTER juga mengalami penyakit yang disebabkan oleh virus dan cecacing komputer. Dalam komputer, terdapat penyakit e-mel, seperti spam dan penyakit komputer yang lain, seperti kerosakan cakera keras dan papan kekunci. Penyakit komputer sememangnya menyusahkan pengguna komputer. Penyakit komputer boleh dibaiki dan komputer yang rosak teruk boleh diganti dengan yang lain.

Namun, benarkah komputer boleh membawa penyakit kepada manusia? Buku Penyakit Bawaan Komputer: Petua dan Panduan Pencegahan memberikan penerangan yang jelas dan menarik berhubung dengan perkara ini. Menurut pengarang buku ini, pelbagai jenis penyakit boleh menjangkiti manusia disebabkan oleh penggunaan komputer dengan cara yang tidak betul. Walaupun penyakit bawaan komputer ini tidak membawa maut, mereka yang terkena penyakit bawaan komputer, keadaan ini akan menyusahkan dan kualiti hidupnya merosot.

Risiko penyakit bawaan komputer hanya menjangkiti pengguna yang dinamai sebagai “kaku komputer”. Pengguna yang duduk di hadapan komputer dalam tempoh masa yang lama berisiko tinggi mendapat penyakit bawaan komputer.

Penyakit yang biasa dikaitkan dengan penggunaan komputer yang tidak betul termasuklah gangguan mata dan penglihatan, gangguan pendengaran, sakit kepala, bahu, belakang badan, pinggang, bahagian punggung, lutut dan sakit kaki. Penggunaan komputer yang tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit psikososial, seperti kemurungan, gangguan emosi dan ketagihan komputer.

Buku ini turut mendedahkan beberapa kes terhadap pengguna yang ketagihan komputer dalam melayari laman sosial dan leka bermain dalam internet. Keadaan ini boleh menyebabkan gangguan mental, fizikal, dan menyebabkan otak kurang daya berfikir. Sekiranya pekerja, keadaan ini mengurangkan produktiviti kerana mengganggu tugas harian.

Buku ini turut menekankan subtopik ergonomi komputer, iaitu kajian mengenai antara muka manusia dengan mesin yang menekankan tentang keselesaan pengguna semasa menggunakan komputer. Dalam jangka masa yang panjang, penggunaan komputer yang tidak selesa memberikan kesan yang buruk terhadap kesihatan pengguna.

Perkara utama tentang keselesaan tempat kerja ialah kebolehsuaian peralatan dan perkakasan kerja untuk disesuaikan dengan dimensi badan yang berlainan, pilihan gaya kerja individu, dan keperluan untuk mengubah kedudukan bagi mengelak kepenatan.

Beberapa panduan diberikan oleh pengarang apabila seseorang itu menggunakan komputer dengan postur badan yang betul. Misalnya, menentukan kedudukan yang sesuai di kerusi ketika menghadap komputer, kedudukan meja, komputer, peletakan dokumen, penaipan, dan cara penggunaan komputer riba serta komputer buku nota, semuanya diterangkan dalam buku ini secara terperinci.

Panduan penggunaan komputer riba dan komputer buku nota dengan cara yang betul juga dimuatkan dalam buku ini untuk menghindari pengguna daripada mengalami keadaan ketidakselesaan. Pengguna juga diingatkan supaya tidak meletakkan komputer riba di atas paha bagi mengelakkan bateri cepat kehilangan kuasa dan haba yang dihasilkan oleh komputer ini boleh menyebabkan kemandulan kepada kaum lelaki.

Bagi pengguna komputer yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat seperti pengatur cara, jurutera perisian, atau pereka digital perlu mengamalkan senaman yang sesuai bagi mengelakkan diri daripada masalah kesihatan. Produktiviti kerja tidak sepatutnya terganggu dengan mengamalkan cara kerja yang betul, di samping melakukan senaman ringan semasa bekerja. Beberapa panduan melakukan senaman ringkas bagi pengguna komputer turut dimuatkan dalam buku ini untuk mengurangkan ketegangan.

Pengguna sekarang tidak boleh lari daripada menggunakan komputer, tetapi mereka perlu tahu cara terbaik menggunakannya supaya dapat memberikan manfaat kepada kehidupan dan kesihatan sepanjang hayat.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Buku

Transformasi TMK

Oleh NURFADHLINA MOHD SHAREF

GLOBALISASI, liberalisasi, dan pendigitalan merupakan tiga faktor utama yang merevolusikan perkembangan landskap sosioekonomi dunia dan memberikan impak sosial kepada komuniti di seluruh dunia. Era baru pendigitalan merubah banyak negara untuk mengamalkan ekonomi  pengetahuan (k-ekonomi) secara intensif. Senario yang sama dialami Malaysia, daripada ekonomi berasaskan pertanian dan perlombongan kepada pembuatan dan kini menuju era k-ekonomi.

Hal ini dapat dicapai dengan sokongan dasar kerajaan, asas ekonomi yang kukuh dan kedudukan yang strategik. Kerajaan Malaysia sentiasa proaktif memajukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam bidang strategi utama, program dan pelan negara.

TMK menjadi mangkin kemajuan ekonomi negara dan diaplikasikan dalam bentuk pengautomasian kerja secara berkomputer dalam pelbagai sektor industri. Menyedari potensi TMK sebagai penyumbang transformasi ekonomi Malaysia, Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC)  membentuk pelan tindakan strategik nasional bagi TMK1. Menerusi pelan ini, tiga bidang fokus teknologi dikenal pasti sebagai teknologi utama yang menjadi mangkin perkembangan Malaysia dan kemajuan teknologi selaras dengan Wawasan 2020, iaitu rangkaian pengesan tanpa wayar, ramalan analitis dan internet 3-Dimensi. Lima bidang yang berimpak tinggi juga dikenal pasti, iaitu pertanian pintar, sistem logistik, perkhidmatan kewangan, halal dan sektor pembuatan.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Sains Komputer

Penghapus Virus Haiwan

Oleh SURIA JANIB


DARI jauh mesin emparan berkapasiti besar (large capacity centrifuge) tersebut kelihatan seperti mesin basuh baju. Di dalam mesin emparan inilah bakteria daripada jenis E. coli BL21 (DE3) yang diubahsuai terapung di dalam air dipusingkan dan dipadatkan untuk menghasilkan pelet. Dalam tempoh 30 minit, air keruh yang mengandungi bakteria ini terpisah kepada dua fasa air jernih dengan satu endapan di bahagian bawah. Air yang jernih ini tidak digunakan kerana tidak lagi mengandungi bakteria. Sebaliknya, bakteria yang dipadatkan (pelet) ini dibawa ke makmal utama untuk melalui proses pelipatan protein dan ujian makmal secara berperingkat-peringkat.

Pelbagai kajian dilakukan bagi mencari penawar haiwan yang dijangkiti virus. Tambahan pula semua haiwan sama ada yang dipelihara atau yang diternak akan terdedah  kepada jangkitan virus. Ubatan ini sudah diuji terhadap enam jenis virus secara in vitro dan tiga jenis virus secara klinikal, iaitu Feline Immunodeficiency Virus (FIV), Feline Calici Virus daripada kucing dan Canine Parvo Virus (CPV2) daripada anjing. Sehingga kini belum ada pengambilan ubatan oral antivirus dalam bentuk cecair yang agak selamat.

Ubatan protein yang mampu mencegah pelbagai virus ini atau multi-spektrum selain selamat dimakan, mudah diserap oleh usus, dan ubatan ini mampu bertahan selama 24 jam di dalam perut. Banyak ubatan protein di dunia tidak stabil untuk diambil secara oral disebabkan oleh enzim pencernaan perut yang mampu menguraikan protein. Oleh yang demikian, kaedah suntikan diperkenalkan.

Inilah perkembangan teknologi inovasi perubatan yang berjaya dihasilkan oleh dua orang saintis tempatan, Awang Muhammad Sagaf Abu Bakar dan Ung Eng Huan untuk menghapuskan virus dalam badan haiwan, malah manusia, yang dinamakan RetroMAD1, sejenis peptida antivirus berbentuk cecair, tanpa bau dan rasa. Kejayaan yang amat membanggakan ini melayakkan RetroMAD1 memenangi Anugerah Emas pada BioMalaysia 2011.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Fokus

Nebula di Cygnus

Oleh MAIA ELEKTRA

SETIAP buruj memiliki keistimewaan. Ada buruj yang diceriakan dengan bintang yang bergemerlapan, seperti Orion dan Ursa Major. Ada pula yang dihujani dengan ribuan galaksi, seperti buruj Coma Berenices, Corona Borealis, Ursa Minor dan Virgo. Selain itu, gugusan bintang terbuka turut mewarnai buruj, seperti Carina dan Monoceros.

Buruj Cygnus tidak kurang hebatnya kerana kehadiran pelbagai objek kosmik. Hal ini demikian kerana Cygnus berada pada garis horizontal Bima Sakti. Selain dihiasi dengan bintang menawan, seperti Deneb, Albireo, 31 Cygni dan 61 Cygni, Cygnus turut diserikan dengan eksoplanet, nebula, galaksi, lohong hitam dan gugusan bintang terbuka. Tiga jenis nebula yang menyerikan Cygnus ialah nebula pancaran, bintang siarah nebula, dan nebula yang dihasilkan oleh letupan bintang.

Buruj Cygnus yang turut dikenali sebagai Palang Utara mudah dikenal pasti dari garis lintang 90° utara hingga 28° selatan. Cygnus berada tinggi di langit, pukul 10.00 malam dari Ogos hingga September. Keluasannya 804° persegi, menjadikannya buruj ke-16 paling besar di langit.

Bintang siarah nebula yang pertama ditemui di Cygnus diberi nama Nebula Berkelip-kelip (NGC 6826, Caldwell 15), berjarak 2000 tahun cahaya. Magnitud ketara ialah 8.8 dan berdiameter 0.4 tahun cahaya. Pada tahun 1878,  seorang ahli astronomi Perancis bernama Edouard Stephan (1837 – 1923) menemui sebuah nebula, NGC 7027. Berdasarkan saiznya yang kecil, iaitu 0.1 tahun cahaya, saintis membuat anggaran bahawa usianya baru mencapai 600 tahun. Magnitud ketara ialah 10.0 dan berjarak 3000 tahun cahaya.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Sains Angkasa

Sesak Nafas Akibat Merokok

Oleh CHE WAN AMIDUDDI-IN

UDARA akan masuk ke paru-paru sewaktu kita menghela nafas, mula-mula melalui hidung, diikuti laring, trakea dan terus ke bahagian kiri atau kanan paru-paru melalui bronkus. Semakin jauh dari trakea, bronkus semakin mengecil tetapi tetap bertugas mengalirkan udara ke tisu paru-paru bagi tujuan membekalkan gas oksigen dan mengeluarkan gas karbon dioksida

Dalam keadaan biasa kita tidak sedar pun bahawa kita sebenarnya sedang bernafas. Segalanya bagaikan berlaku secara otomatik ataupun telah diatur. Akan tetapi apabila kadar pernafasan kita meningkat, kita akan mula merasai perubahan ini. Biasanya peningkatan kadar pernafasan yang mendadak ini akan menyebabkan kita berasa kurang selesa pada bahagian dada. Istilah perubatan bagi keadaan ini ialah dyspnoea atau sesak nafas.

Sesak nafas atau kesukaran bernafas mungkin disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit berkaitan sistem pernafasan dan juga jantung manusia. Walau bagaimanapun artikel ini hanya akan membincangkan sesak nafas akibat tabiat merokok.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Perubatan

Transplantasi

Oleh NOR AZIDA ISHAK

MARISA menangis tersedu-sedan tatkala mendengar berita kematian Adik Afiq sebentar tadi. Hati Marisa sebak. Air matanya menitik-nitik laju, namun titisan jernih yang mengalir deras itu tidak dapat memujuk hatinya yang hiba. Benar-benar Marisa tidak sangka sepantas itu Adik Afiq telah meninggalkan mereka semua.

Masih terbayang-bayang di ruang mata Marisa segala aksi lucu Adik Afiq yang gemar berjenaka, dari kecil hinggalah umur Adik Afiq bakal mencecah dua belas tahun. Dalam tempoh itulah Marisa sebagai penjaga Rumah Anak-Anak Yatim Sempurna memberi kasih sayang pada Adik Afiq bagaikan menatang minyak yang penuh. Telinga Marisa masih mampu menangkap setiap tawa Adik Afiq yang riang dan penuh gembira. Kini semua kenangan itu hanyalah tinggal cebisan-cebisan memori. Adik Afiq sudah tidak ada lagi dalam dunia ini. Adik Afiq sudah pergi menghadap Ilahi. Marisa benar-benar terkejut dengan berita ini.

Malam lepas, Adik Afiq mengadu tentang kepalanya yang sakit, seperti dicucuk-cucuk bara panas. Anak mata Adik Afiq merah bagaikan saga dan hidungnya tidak henti-henti mengalirkan darah merah pekat. Tidak tahan melihat Adik Afiq yang menangis dan meraung-raung kesakitan, Marisa cepat-cepat menghantar Adik Afiq ke Hospital Sirna untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sebaik-baik sampai di sana, doktor yang bertugas, Dr. Wana hanya memandang sepintas lalu sebelum mengarahkan Adik Afiq dibawa masuk ke bilik pembedahan. Sepanjang malam Marisa menunggu dengan penuh debaran dan tiba-tiba pagi ini, dia dikejutkan dengan berita kematian Adik Afiq yang mendadak.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik keluaran Mei 2012.

Posted in: Cerpen

Zuhrah Melintasi Matahari Sekali Seumur Hidup

Oleh KASSIM BAHALI

PERNAHKAH anda menyaksikan perbandingan saiz fizikal Bumi dengan Matahari secara langsung dalam keadaan sebenar? Biasanya perbandingan ini dilihat secara grafik atau animasi di buku atau komputer.

Hal ini jarang-jarang berlaku atau mungkin tidak pernah berlaku dalam hidup seseorang. Tahun ini kita berpeluang menyaksikannya. Tanggal 5 Jun, planet Zuhrah akan melintasi  Matahari. Fenomena ini dinamakan transit Zuhrah. Zuhrah planet kedua dalam sistem suria, mengorbit Matahari dalam tempoh 584 hari. Dalam tempoh tersebut Zuhrah berada di antara Matahari dengan Bumi, keadaan ini dinamakan ijtimak dalam.

Transit Zuhrah berlaku apabila planet ini berada tepat di antara Matahari dengan Bumi. Zuhrah beredar dan kembali ke kedudukan yang sama di langit pada tarikh yang hampir sama dalam satu tempoh kitaran. Tempoh satu kitaran ialah lapan tahun. Dalam tempoh tersebut Zuhrah berada di antara Bumi dengan Matahari sebanyak lima kali. Jika dalam tempoh ini transit berlaku pada tahun pertama, pada tahun kelapan  berlaku transit yang berikutnya. Transit tidak berlaku setiap kitaran lapan tahun. Hal ini disebabkan satah orbit Zuhrah tidak selari dengan orbit Bumi, tetapi condong 3.4° berbanding dengan satah orbit Bumi. Jika satah orbit Zuhrah selari dengan satah orbit Bumi, kita berpeluang melihat transit Zuhrah setiap kali ijtimak dalaman.

Transit ini berlaku sekali dalam 46 kali ijtimak dalaman atau 13 atau 14 kali dalam tempoh 1000 tahun. Transit sebelum ini berlaku pada 8 Jun 2004 dan transit yang berikutnya ialah lapan tahun kemudian pada 5 Jun 2012. Transit seterusnya  berlaku pada 105 tahun akan datang pada 11 Disember 2117. Jika anda terlepas peluang melihat fenomena transit kali ini, anda perlu menunggu 105 tahun lagi jika dipanjangkan umur!

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Astronomi

Gymnema dan Peria Penawar Diabetes

Oleh ROHANA BINTI MAT NOR

MALAYSIA antara negara yang kaya dengan pelbagai jenis makanan hasil kepelbagaian budaya dan masyarakatnya yang berbilang kaum. Bertitik tolak daripada ini, terdapat segelintir masyarakat Malaysia yang kurang menjaga pemakanannya dan diburukkan lagi dengan mengamalkan menu tidak sihat, seperti mengambil makanan yang melebihi paras kolesterol, gula dan garam. Akibatnya, pelbagai jenis penyakit dihidapi termasuklah penyakit kencing manis atau diabetes.

Di Malaysia, dianggarkan 17 peratus penduduk mengalami diabetes. Jumlah yang sebenar, mungkin sekali ganda lebih tinggi daripada jumlah yang direkodkan oleh Persatuan Diabetes Malaysia (PDM). Diabetes terjadi apabila badan tidak lagi berupaya mengawal kandungan glukosa di dalam darah yang menyebabkan paras glukosa meningkat. Hal ini terjadi kerana badan seseorang kekurangan Insulin, iaitu hormon yang bertanggungjawab bagi mengawal tahap glukosa di dalam badan. Oleh hal yang demikian, seseorang perlu mendapatkan suntikan insulin hampir setiap hari bagi mengawal paras glukosa.

Namun, terdapat tumbuhan yang terbukti berupaya mengawal paras glukosa dalam darah, iaitu daun pokok gymnema dan buah pokok peria.

Gymnema atau Gymnema sylvestre berasal dari hutan dan padang rumput di selatan India. Dalam bahasa Hindi dikenali sebagai gurmar atau pemusnah gula. Daunnya sudah lama digunakan dalam perubatan tradisional. Kini, daunnya dibuat kajian oleh pakar perubatan India dan perubatan Ayurveda, kemudian diproses menjadi bentuk tablet sebagai alternatif rawatan kencing manis. Apabila daunnya dikunyah akan mencetuskan gangguan keupayaan untuk merasai makanan yang manis.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Herba

Harimau Kumbang Pandai Memanjat

OLEH JASMI ABDUL

HARIMAU kumbang atau Panthera pardus adalah antara satu daripada tiga spesies harimau yang terdapat di negara ini. Dua spesies yang lain, iaitu harimau belang (Panthera tigris) dan harimau dahan (Neofelis nebolusa). Saiz tubuh badan harimau kumbang lebih kecil jika dibandingkan dengan harimau belang. Berat maksimumnya boleh mencapai sehingga 100 kilogram. Harimau belang jantan dewasa boleh mencapai berat sehingga 150 kilogram. Ukuran tapak kakinya lebih kecil daripada harimau belang, iaitu tidak melebihi daripada 7 sentimeter panjang.

Panjang keseluruhan badannya boleh mencapai sehingga 2 meter. Kulit badannya berwarna hitam berkilat. Jika diamati secara dekat, terdapat tompok berbentuk bintang di kulit badannya. Di benua Afrika dan India, harimau kumbang dikenali sebagai harimau bintang atau panther, tetapi di kawasan tropika, kulit badan harimau bintang bertukar warna menjadi hitam kerana cuaca lembap. Harimau kumbang ditemui di kawasan hutan pamah yang diteroka pada ketinggian hampir 1500 meter dari paras laut. Harimau kumbang aktif pada waktu malam, bermula dari senja hingga ke pagi. Biasanya ia mengikut denai haiwan besar yang lain, seperti  denai gajah, tapir atau seladang bagi memudahkannya memburu mangsa.

Harimau kumbang pandai memanjat pokok terutama pokok yang rendang dan condong. Ia menunggu mangsanya dari atas pokok atau berehat di dahan pokok yang condong. Ada kalanya ia menangkap mangsanya dari atas pokok. Mangsanya terdiri daripada rusa, babi hutan, kijang, pelanduk, burung liar dan haiwan reptilia. Mangsa yang dibunuhnya sama ada dimakan di atas tanah atau dimakan di atas dahan pokok tempat ia berehat.

____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik keluaran Mei 2012.

Posted in: Konservasi