Perencat Pembiakan Cacing

Oleh CHEE BENG JIN

Ekstrak metanol daun ketapang didapati mampu merencatkan pertumbuhan bakteria E-coli.

KETAPANG dikelaskan sebagai pokok bersaiz besar atau sederhana yang mempunyai ketinggian sehingga mencecah 35 meter. Dahan pokok mudanya bertingkat-tingkat seakan-akan menara “pagoda”. Saiz bunganya amat kecil dan berwarna putih kehijauan. Buahnya berbentuk bujur pipih dengan tepinya bersegi, berwarna hijau ketika muda dan bertukar kuning kemerahan apabila masak.

Nama saintifik pokok ketapang ialah Terminalia catappa L. Nama genusnya, Terminalia, berasal daripada perkataan Latin, “terminalis” yang bermaksud penghujung, iaitu merujuk ciri menarik susunan daunnya yang bertumpu pada hujung setiap dahan muda. Nama tempatan lain ketapang ialah lingkak. Di Filipina, pokok ini dikenali sebagai talisai, dalinsi atau logo. Di Laos, pokok ini dikenali sebagai huu kwang, manakala cham bak barang (Kemboja), khon atau taa-pang (Thailand) dan bang bien (Vietnam).
Pokok ketapang berasal dari kawasan Asia Tenggara dan kini banyak tumbuh di kawasan tropika dan subtropika, seperti utara Australia, Pakistan, India, timur dan barat Afrika, Madagascar, serta kawasan tanah pamah di Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Pokok ketapang tumbuh liar secara semula jadi di kawasan berpasir di tepi pantai dan buahnya yang ringan dan berserabut senang disebarkan melalui air laut ke persisiran pantai yang berdekatan. Oleh sebab itu, pokok ketapang juga dikenali sebagai pokok badam laut. Pokok ini turut tumbuh di kawasan daratan yang menerima hujan yang mencukupi, tetapi tidak sesuai tumbuh di kawasan yang bertakung air.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Hutan Tropika

Berakhirnya Feminin Wanita

Oleh NIK HAZLINA NIK HUSSAIN

PUTUS haid atau menopaus berlaku pada waktu pertengahan usia seseorang wanita. Keadaan ini terjadi apabila ovari berhenti menghasilkan telur. Perkataan “menopaus” berasal daripada perkataan Greek, iaitu “meno” yang bererti haid dan “pause” pula bermaksud berhenti. Biasanya, menopaus terjadi secara perlahan-lahan dalam jangka waktu yang panjang. Namun begitu, ada kes yang berlaku secara mendadak.
Istilah lain yang diberikan kepada jangka waktu yang diambil oleh seorang wanita semasa perubahan daripada tahap kesuburan yang tinggi kepada ketidaksuburan ialah klimakterik. Semasa peringkat klimakterik, pengeluaran hormon estrogen daripada ovari semakin berkurangan. Keadaan ini menyebabkan aras hormon wanita tidak stabil. Ketidakstabilan aras hormon inilah yang menyebabkan beberapa perubahan tertentu berlaku dalam diri wanita yang menopaus.
Selain itu, terdapat kes menopaus palsu, iaitu menopaus yang berlaku secara bukan semula jadi. Misalnya, dalam kes pembedahan membuang ovari yang terpaksa dilakukan kerana terdapat ketumbuhan atau kanser, atau disebabkan oleh ubat-ubatan, seperti kesan radioterapi atau kemoterapi. Dalam kes ini, menopaus berlaku secara mendadak atau secara tiba-tiba, dan selalunya gejala klimakterik agak ketara berbanding dengan wanita yang mengalami menopaus secara semula jadi. Walau bagaimanapun, menopaus yang sangat awal boleh berlaku secara spontan, dan penyebabnya selalunya tidak dapat ditemui.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Kesihatan Wanita

Gajah Beranak Merawat Kanser Payudara

Oleh NOOR ZARINA ABD WAHAB

GONIOTHALAMUS  tumbuhan daripada genus Annonaceae yang kedua terbesar di Asia. Tumbuhan ini digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional masyarakat tempatan sejak turun temurun.
Di Malaysia, tumbuhan Goniothalamus tumbuh subur di bahagian utara negeri Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Antara spesies tumbuhan ini termasuklah Goniothalamus amuyon, G. andersonii, G. arvensis, G. borneensis, G. cardiopetalus, G. cheliensis, G. donnaiensis, G. gardneri, G. giganteus, G. griffithii, G. howii, G. leiocarpus, G. malayanus, G. macrophyllus, G. marcanii, G. montanus, G. scortechinii, G. sesquipedalis, G. tapis, G. thwaitesii, G. umbrosus, G. uvaroides dan G. velutinus.
Kajian etnobotani dan genetik membuktikan bahawa populasi spesies tumbuhan G. umbrosus yang terdapat di Kelantan mungkin berasal dari sekitar Sungai Golok, kemudiannya tersebar ke Pahang. Spesies G. umbrosus tidak terdapat di Sarawak. Namun begitu, G. tapis dijumpai di Sumatera, bahagian timur Semenanjung dan bahagian selatan Sarawak.
Tumbuhan Goniothalamus dikenali sebagai selayak hitam, selada, melada dan gajah beranak oleh masyarakat tempatan. G. umbrosus pula dikenali sebagai kenerak. Dalam perubatan tradisional, tumbuhan ini digunakan untuk menjarakkan kelahiran. Contohnya, daun G. macrophyllus yang dikenali sebagai selada, selayak atau penawar hitam digunakan untuk melegakan demam, manakala air rebusan akarnya untuk rawatan meroyan dan keguguran janin.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Fitokimia

Teknologi Meningkatkan Jangka Hayat

Oleh AZIDA ISHAK

WAKE Forest University sebuah pusat kajian pertumbuhan tisu yang paling moden di seluruh dunia. Pengarahnya, Dr. Anthony Atala menyatakan bahawa mereka kini sedang mengusahakan ubat-ubatan yang membolehkan  pertumbuhan cipta sel, tisu dan organ untuk pesakit yang memerlukannya. Di samping itu, kajian tersebut bakal menambahkan jangka hayat manusia dengan cara menggantikan sel, tisu dan organ yang rosak kepada yang baharu.
Sejak beberapa tahun yang lalu, saintis di makmal universiti tersebut menumbuh cipta hampir dua dozen anggota tubuh manusia yang berbeza-beza, iaitu otot, tulang dan injap jantung yang boleh berfungsi. Pada peringkat awal penciptaan anggota pertumbuhan ini, doktor dan saintis membina acuan yang berbentuk serupa dengan rupa bentuk anggota sebenar. Acuan itu kemudiannya dilapisi dengan sel aktif dan hidup sebelum diletakkan di dalam inkubator agar bercambah dan membesar.
Objektif teknologi ini adalah untuk memberikan harapan kepada pesakit yang memerlukan bantuan pendermaan organ, ataupun pesakit yang kehilangan organ kerana serangan kanser. Sebagai contoh, jika seseorang perlu menjalani prosedur pemindahan pundi kencing, doktor boleh menumbuh cipta organ gantian menggunakan sel pesakit dalam masa lapan minggu sahaja. Sehingga kini, kajian yang berpotensi besar ini masih di peringkat percubaan dan sedang diusahakan oleh penyelidik di University of Pittsburgh.
Selain kajian penumbuhan cipta tisu, sel dan organ, peningkatan jangka hayat kehidupan yang lebih mudah ialah terapi oksigen. Kebanyakan pusat perubatan menawarkan terapi oksigen hiperbarik, sejenis alat yang membuatkan sel pada peringkat tunas menjadi lebih sihat agar dapat membaiki tubuh dengan lebih baik.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Sains Perubatan

Angka Berkembar Cerdas di Pangkalan Nager

Oleh NABIHA MOHD. MASHUT

“SAYA menerima panggilan telefon dari ibu pejabat tuan!”
“Apa yang berlaku Sintia?”
“Dr. John V. Atansoff dan Cliffer Brunol telah mereka bentuk dan membina komputer digital elektronik yang pertama.”
“Apa? Komputer?”
“Ya, mesin mereka yang dikenali sebagai Komputer.”
Kod-kod Nager telah dipecahkan. Kini, keselamatan mereka dan Negara  terancam. Segala rahsia kerajaan yang melibatkan hal pentadbiran, perundangan,
dan pertahanan keselamatan bukan  rahsia lagi. Penciptaan Colossus yang direncanakan secara rahsia berhasil meletakkan Nager dalam situasi yang amat membimbangkan.
“Mereka bakal mengetahui kelemahan kita. Bahaya!” Tuan Maliq benar-benar marah dan tidak dapat menahan diri dan emosinya.
Dia sedikit terbawa-bawa perasaannya yang bimbang dan gusar ke dalam mesyuarat tergempar pada petang yang penuh hingar- bingar itu.
Suasana pangkalan Nager cukup bingit dengan suara dari mulut saintis, pakar elektronik, menteri dan lain-lain. Mereka cemas!
Siapa yang melakukannya?
Kekebalan dinding Nager3010 masih lemah. Mereka yang terlibat terlupa bahawa kecanggihan teknologi semakin berkembang sehingga terciptanya Colossus yang membuatkan mereka tidak boleh melelapkan mata kerana takut akan ancaman dari luar.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Cerpen

Hindari Seks Sebelum Berkahwin

Judul buku: Gadisku Bacalah …
Pengarang: Azriani Ab. Rahman dan Mohd.
Ismail Ibrahim
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM18.00
Tahun Terbit: 2011
Pengulas: Suria Janib

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia pada tahun 2008 melaporkan bahawa antara 14 hingga 15 juta orang gadis remaja yang berusia antara 15 hingga 19 tahun melahirkan anak setiap tahun di seluruh dunia.

Peningkatan peratusan kelahiran anak luar nikah selari dengan peningkatan kes pembuangan bayi dan kes jangkitan Human Immunodeficiency Virus (HIV) dalam kalangan golongan muda di negara ini. Antara punca utama masalah ini termasuklah ketandusan ilmu pengetahuan berhubung dengan komplikasi hubungan seks dalam kalangan remaja.

Perubahan fizikal gadis menyebabkan mereka terlalu dihantui untuk menjaga penampilan diri dan sering berasa rendah diri apabila mendapati bentuk badannya kurang cantik berbanding dengan rakan yang lain. Perasaan dihantui terhadap berat badan mendorong gadis mengambil ubat pil kurus tanpa merujuk doktor terlebih dahulu.

Mereka tidak menyedari bahawa ubat pil kurus boleh menyebabkan kerosakan hati, injap jantung dan buah pinggang. Perkembangan fizikal turut mempengaruhi emosi gadis, seperti gembira, putus harapan, sedih, marah dan kecewa. Apabila menghadapi stres, hormon stres, iaitu kortisol, hormon pertumbuhan, norepinefrin dikeluarkan dan masuk ke dalam darah. Pengumpulan hormon stres tersebut memberikan kesan terhadap sel otak sehingga mencetuskan gangguan emosi dan pemikiran.

____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.
Posted in: Buku

Ikan Pelaga ke Pasaran Global

Oleh MOHAMAD ZAINI SULEIMAN

PENANGKAPAN ikan dari habitat semula jadi, seperti ikan pelaga, sepat, seluang, barb dan loach sememangnya sudah lama wujud di negara ini. Aktiviti ini dilakukan oleh segelintir masyarakat orang asli dan penduduk tempatan. Ikan ini dibeli oleh peraih dengan harga yang murah untuk dikumpulkan dan digredkan berdasarkan saiz, kualiti dan jenis.

Apabila peluang pasaran eksport dan permintaan yang semakin meningkat dan terbuka luas, pengusaha ikan hiasan lebih suka membiak sendiri ikan hiasan di dalam kurungan. Bermula dengan jenis yang biasa, iaitu ikan emas, gourami dan sepat, mereka membiakkannya di dalam tangki dan membesarkan di dalam kolam tanah.
Walaupun beberapa jenis ikan hiasan eksotik dihasilkan secara komersial, iaitu membiakkannya di dalam kurungan, jenis ikan liar tempatan, seperti loach (sejenis belut kecil), ikan pelaga, seluang (Rasbora sp) dan barb yang bernilai tinggi masih belum dapat dibiakkan secara komersial. Kebanyakan jenis ikan ini masih ditangkap terus dari perairan dan habitat semula jadi.
Ikan yang sangat unik dalam famili Belontidae, kebanyakannya hanya boleh ditemui di Nusantara, seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand. Berdasarkan maklumat yang dilaporkan dalam Fishbase (2012), di Malaysia sahaja terdapat sebanyak 25 spesies ikan pelaga liar, iaitu 12 spesies terdapat di Semenanjung, lima spesies di Sarawak dan empat spesies di Sabah.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Fokus Khas

Setiap Hari Ototnya Mengecil

Oleh SURIA JANIB


PUAS dia menekan kepala semburan minyak wangi tersebut, tetapi tidak berjaya. Tangannya tiba-tiba tidak berdaya dan terasa berat seolah-olah sedang menatang beras seberat sekilogram. Dia betul-betul pelik.
Pada suatu hari, dia memandu kereta seorang diri. Di situlah hari gelapnya bermula. Dia cuba menekan pedal brek berulang kali, tetapi gagal. Akibatnya, keretanya menggelongsor dan melanggar tiang.
Dia betul-betul panik dan bingung. Selama 30 tahun, dia tidak pernah mengalami keadaan tersebut. Dia cuba menggagahkan diri berjumpa doktor. Ketika  didiagnosis, doktor mengesan bahawa dia menghidap “distrofi otot”, sekali lagi benaknya berputar. Seumur hidupnya, tidak pernah mendengar nama penyakit tersebut.
“Pandangan saya kelam. Saya tidak tahu hendak buat apa-apa. Penyakit ini jarang-jarang ditemui dan sehingga kini tiada lagi penawarnya,” jelas Fazz Fadhilah, anak kelahiran Kuala Lumpur, sambil merenung jauh.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Selagi Berdaya

Pengawal Perosak Tanaman

Oleh  JASMI ABDUL

BURUNG dendang selayang atau black-naped oriole (Oriolus chinensis) antara spesies burung liar yang biasa ditemui di pinggiran hutan, perkampungan dan kawasan pertanian. Dendang selayang termasuk dalam famili Oriolidae.

Burung ini mempunyai warna bulu yang cantik lagi menarik, iaitu warna kuning diraja pada keseluruhan badannya, kecuali di bahagian mata hingga tengkuk dan hujung bulu kepaknya, serta hujung ekornya berwarna hitam.
Bulu berwarna hitam di bahagian matanya seolah-olah burung ini memakai topeng penutup mata. Paruhnya tajam dan berwarna jingga atau merah jambu. Paruhnya tebal di bahagian pangkal dan meruncing di bahagian hujungnya. Matanya berwarna merah dan anak matanya berwarna hitam. Burung jantan dan burung betina mempunyai warna yang sama, kecuali burung betina mempunyai saiz badan yang lebih kecil dan warna bulunya agak pudar. Burung ini sentiasa hidup dan terbang berpasangan.
Burung jantan mengeluarkan bunyi yang nyaring, kuat dan ringkas, “chau-liok, ko-kiou”, dan kadangkala berbunyi, seperti menjerit, “kuek, kuek” berulang-ulang semasa terbang berkejaran antara satu sama lain.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Konservasi

Serangan Padi Angin

Oleh MOHD. SHAHRIL FIRDAUS AB. RAZAK

SEJAK dahulu, dua kaedah penanaman padi dilaksanakan di Malaysia. Kaedah pertama dikenali sebagai kaedah pemindahan. Kaedah tradisional ini amat popular pada awal tahun 1970-an. Kaedah ini memerlukan biji benih disemai terlebih dahulu sebelum ditanam ke petak sawah dan  mampu mengawal pertumbuhan rumpai di petak sawah.
Namun begitu, keperluan tenaga buruh petani yang banyak, di samping kos penyelenggaraan yang tinggi membawa transformasi baharu terhadap kaedah penanaman padi.
Rentetan itu, kaedah tabur terus mula dijalankan. Walaupun kaedah ini memudahkan kerja harian petani, pertumbuhan rumpai tanpa kawalan menjadi masalah utama. Hal ini demikian kerana penanaman padi secara tabur terus menyediakan keadaan aerob pada rumpai semasa peringkat permulaan pertumbuhan tanaman padi.
Pada peringkat tersebut, sawah tidak dibanjiri air dan menggalakkan pertumbuhan rumpai. Pertumbuhan rumpai yang semakin meningkat menyebabkan kualiti dan kuantiti hasil penanaman padi terjejas. Antara rumpai yang menyerang tanaman padi ialah padi angin.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Sains Pertanian