Kabus

Oleh LEE KEOK CHIH

PADA mulanya, langit mendung sebelum angin mula bertiup dan hujan lebat mencurah secara berterusan. Setelah berakhirnya angin kencang dan hujan lebat, kabus pula yang menyelubungi pekan kecil kami. Keadaan itu berlarutan tiga hari tiga malam.
Semuanya berlalu pada waktu pagi hari keempat. Kerana angin menyeret bumbung dan menerbangkan atap yang menutup bumbung, setelah hujan berhenti sekali pun berkabus, E Liang dan Tan Sua masih membuat keputusan untuk pergi ke kedai yang jaraknya lebih kurang lima batu dari rumah mereka. Tujuan mereka adalah untuk membeli kepingan zink sebagai ganti kepingan zink yang terbang digulung oleh angin.
Agak susah bergerak dalam keadaan berkabus. Walau bagaimanapun, jaraknya tidak jauh dan setelah sejam memandu kereta dengan perlahan, akhirnya mereka pun tiba.
Ketika mereka sampai, sudah banyak penduduk pekan yang berkumpul di satu-satunya pusat membeli belah di pekan itu. Ada yang membeli makanan. Ada yang membeli kepingan zink. Ada pula yang membeli kepingan kaca untuk menggantikan kaca jendela yang pecah akibat hujan lebat dan angin kencang.
Sambil beratur memilih barangan atau membuat bayaran, masing-masing menceritakan pengalaman hujan lebat dan angin kencang semalam. Pengalaman mereka serupa sahaja, semuanya mengalami kerugian, seperti bumbung diterbangkan, jendela pecah atau pohon tumbang menindih kereta atau rumah mereka. Sedang mereka asyik bercakap, tiba-tiba bekalan elektrik di dalam pasar raya terputus dan keadaan menjadi gelap-gelita.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Cerpen

Kaki Sukar Dibengkokkan

Oleh SURIA JANIB

Shamran menghadapi masalah urat besar putus di bahagian lutut.

KETIKA mengalami kecederaan meniskus di sendi lutut kanan pada November 2010, dia tidak ambil peduli. Dia tercedera ketika bermain bola akibat rempuhan yang kuat daripada pemain lawan. Tiba-tiba terdengar bunyi “pop” seperti bunyi letupan, diikuti rasa sakit yang teramat sangat sehingga menyebabkan lututnya membengkak selama dua minggu. Selepas dibuat sinar-X pada bahagian yang sakit, doktor masih gagal mengesan punca kesakitannya.

Lama dia membiarkan sakitnya berlalu kerana menganggap hanya terseliuh biasa dan masih mampu bertahan tetapi sempat menjalani fisioterapi. Bagi mengelakkan kecederaannya berulang, dia cuba mengelak daripada melakukan aktiviti lasak.
Namun begitu, Shamran Sarahan, pengarang akhbar mingguan terkemuka negara ini tidak pernah duduk diam daripada menceburi aktiviti lasak. Mungkin disebabkan kerja hariannya yang berat, dia cuba mengurangkan tekanannya dengan melayan hobinya menerusi kegiatan sukan luar, seperti mendaki gunung dan menyelam.
Itu pun dia menyedari kecederaan meniskus yang dialaminya bertambah serius ketika mendaki gunung di Indonesia. Didapati ligamen krusiat posterior (PCL), iaitu urat besar yang bersambung dengan otot di bahagian belakang lututnya terputus. “Saya terpaksa bertahan dengan mengambil ubat tahan sakit sehingga sekembalinya di Kuala Lumpur. Sebaik-baik sahaja sampai di Kuala Lumpur, saya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk membuat imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI). Menurut laporan doktor saya perlu melakukan pembedahan yang besar untuk membuang urat PCL yang rosak itu,” jelasnya sambil menunjukkan bahagian lututnya yang sudah dibuat pembedahan.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Selagi Berdaya, Utama

Antioksidan untuk Minda

ANDA mungkin mengetahui sifat antioksidan yang penting, seperti vitamin C, E dan beta karotena. Yang menariknya, terdapat kumpulan antioksidan lain yang mendapat perhatian sejak akhir-akhir ini. Walaupun nama antioksidan daripada kumpulan ini sukar disebut, faedah kesihatannya amat tinggi.
Kuersetin, kaempferol dan epigalokatesin mungkin tidak biasa didengari di dapur anda, namun bahan tersebut sudah lama berada di sana sebagai ramuan makanan seharian. Bahan tersebut hanya tiga daripada lebih 4000 sebatian yang dikelaskan dalam kumpulan flavonoid. Sebagai pigmen semula jadi tumbuhan, flavonoid merupakan punca sayuran dan buah-buahan menjadi sangat penting bagi menjalankan fungsi normal tubuh manusia.
Antara faedah baik flavonoid termasuklah mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung, asma dan strok. Flavonoid juga mungkin memainkan peranan penting dalam melindungi otak manusia.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Kesihatan

Ujian Saringan Penyakit

Judul Buku : Saringan Kesihatan Pengesanan Awal Penyakit
Pengarang : Razana Zakaria, Rahimah Zakaria dan Zahiruddin Othman
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga : RM18.00
Tahun Terbit : 2011
Pengulas : Suria Janib

KITA pernah melihat pemeriksaan tekanan darah atau pengesanan aras glukosa darah yang dilakukan secara percuma di mana-mana tempat untuk mengesan penyakit tertentu di samping mempromosi sesuatu produk kesihatan. Pengesanan penyakit yang dilakukan secara rambang ini kurang teratur, tidak lengkap, tidak mengikut keperluan serta kekerapan ujian yang disarankan dan hanya melibatkan satu atau dua ujian.

Pakej pemeriksaan kesihatan berkala yang ditawarkan oleh klinik atau hospital menyediakan pemeriksaan kesihatan yang lebih lengkap, melibatkan semua peringkat pencegahan penyakit dan memastikan penyimpanan rekod kesihatan pesakit yang teratur untuk tujuan rujukan pada masa hadapan. Melalui pakej ini, pelanggan dapat menjalani proses pencegahan penyakit secara lengkap dan boleh mendapatkan rekod status kesihatan untuk rujukan pada bila-bila masa berbanding dengan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan secara rambang.

Pemeriksaan kesihatan berkala bertujuan untuk mencegah penyakit dan melibatkan kesemua peringkat pencegahan penyakit, terutamanya mengenal pasti faktor risiko dan ujian saringan (pencegahan penyakit peringkat sekunder), di samping pendidikan kesihatan dan pelalian (pencegahan penyakit peringkat primer), serta pengawalan penyakit yang sudah dihidapi bagi mengehadkan komplikasi dan ketidakupayaan akibat penyakit tersebut (pencegahan penyakit peringkat tertiar).

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Buku

Langit sebagai Bumbung yang Terpelihara

Oleh MOHD. ARIP KASMO

AL-QURAN banyak menjelaskan tentang langit. Langit berasal daripada perkataan Arab, “as-sama” atau “samawat” yang maksud asalnya ialah sesuatu yang di atas dan tinggi. Oleh sebab itu, secara umumnya langit itu apa-apa sahaja yang berada di atas. Lapisan atmosfera bumi dan medan magnet bumi yang  berada di lapisan atas atmosfera juga disebut sebagai langit. Dalam hubungan itu Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya.”
(Surah al-Anbia’ 32)
Dalam ayat ini, langit itu bumbung yang terpelihara dan menurut ahli tafsir, maksud ayat ini ialah menutup bumi di atasnya. Menurut ahli sains, bumi dan atmosfera bumi dilindungi medan magnet bumi. Langit yang berada di keliling bumi, iaitu tujuh lapisan langit dilindungi daripada kemusnahan lapisan medan magnet bumi. Medan magnet bumi ini juga secara langsung melindungi bumi.

____

rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Sains Al-Quran

Berenga Merawat Luka

Oleh SHAIFUZAIN AB RAHMAN
AKHIR-akhir ini, penggunaan berenga lalat untuk rawatan luka semakin mendapat perhatian yang meluas dalam dunia perubatan. Penggunaan kaedah tersebut terutamanya untuk rawatan luka kronik, seperti luka pada kaki pesakit kencing manis semakin diterima ramai.
Penggunaan berenga dalam rawatan luka wujud sejak beribu-ribu tahun lalu. Bukti bahan arkeologi menunjukkan bahawa orang Maya menggunakan kaedah rawatan luka dengan menggunakan berenga.
Kajian antropologi pula menyatakan bahawa orang Maya merendamkan kain kasa ke dalam darah lembu sebelum meletakkannya pada luka untuk menarik perhatian lalat supaya bertelur, kemudiannya menjadi berenga yang memakan tisu mati pada luka.
Dalam al-Quran menyebut tentang penggunaan berenga dalam rawatan luka dan kudis, seperti yang terdapat dalam kisah Nabi Ayub a.s. Dalam filem “The Gladiator” pula terdapat adegan Russel Crowe yang membawa watak utama, membiarkan berenga merawat luka pada bahunya.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Rawatan Bau Lumpur Ikan Air Tawar

Oleh KAHARUDIN MD SALLEH
IKAN ternakan air tawar,  khususnya yang dihasilkan dari kolam tanah, biasanya berbau lumpur dan berasa hanyir apabila dimakan. Bau dan rasa yang kurang menyenangkan ini menjejaskan penggunaan dan seterusnya permintaan ikan tersebut, di samping menghalang usaha selanjutnya untuk mengetengahkan pelbagai produk nilai tambah daripada sumber ini. Keadaan ini berlarutan begitu lama sehingga kebanyakan orang tidak menjamah hidangan atau menu makanan ikan air tawar. Mereka langsung tidak tertarik dengan pelbagai jenis ikan air tawar yang berada di pasaran.
Bau lumpur ikan disebabkan oleh dua bahan organik utama yang dikenal pasti terdapat di dalam tisu ikan, iaitu 2-Methylisoborneol (MIB) dan geosmin (1,10-trans-dimethyl-trans-9-decalol). MIB dan geosmin merupakan metabolit sampingan yang dihasilkan oleh mikroorganisma, terutama daripada kumpulan alga biru hijau (sianofit), seperti Oscillatoria sp. dan  Anabaena sp., kulat (aktinomiset) dan bakteria (Streptomyces tendae).
Agen ini yang terdapat di dalam kolam mampu diserap dengan mudah oleh ikan ke dalam tisunya melalui insang. Kajian yang dijalankan terhadap ikan keli oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat menunjukkan bahawa tisu ikan yang mengandungi lebih daripada 0.7 mg kg-1 ikan, didapati tidak enak untuk dimakan. Walau bagaimanapun, tidak semua bakteria dan alga memberikan kesan negatif terhadap ternakan. Beberapa hidupan seni air, seperti Chlamydomonas peterfii daripada alga biru hijau didapati menghasilkan bau buah-buahan dan bunga pada air.
Antara langkah awal yang disyorkan perlu diambil untuk mengurangkan permasalahan ini termasuklah melalui pengawalan pencambahan beberapa jenis alga tertentu semasa ternakan. Walau bagaimanapun, ikan ternakan yang dihasilkan di dalam kolam tanah perlu dirawat terlebih dahulu untuk menghilangkan bau lumpur sebelum dipasarkan.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Parasit Membawa Maut

Oleh ZEEHAIDA MOHAMED dan ZAIDAH ABDUL RAHMAN
PARASIT sejenis hidupan yang mendapatkan sumber makanan dan keperluan lain daripada perumahnya. Faktor yang menyebabkan infestasi parasit ialah tahap kebersihan persekitaran tempat tinggal yang rendah, amalan kebersihan diri yang kurang, tahap sosioekonomi rendah dan sistem pembuangan najis yang tidak sempurna.
Tanda klinikal secara umum termasuklah sakit di bahagian perut,
cirit-birit, cirit-birit berdarah dan tumbesaran terbantut (bagi kanak-kanak). Antara komplikasi yang penting termasuklah usus tersumbat, kekurangan zat makanan, kekurangan sel darah merah (anemia), apendisitis dan bengkak hati.
Parasit yang penting dalam bidang perubatan dibahagikan kepada dua kumpulan besar yang terdiri daripada protozoa dan cacing.
Protozoa organisma uniselular yang mempunyai morfologi lengkap dan boleh berfungsi sebagai benda hidup. Saiznya antara dua hingga 100 mikrometer.  Strukturnya terdiri daripada sitoplasma (ektoplasma dan endoplasma) dan nukleoplasma.
Protozoa mempunyai dua fasa yang berbeza, iaitu fasa aktif yang dinamakan trofozoit dan fasa tidak aktif, sista, yang lebih tahan terhadap perubahan persekitaran.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Mikrobiologi

Pelindung Pembentukan Ulser

Oleh CHEE BENG JIN
EKOR anjing atau nama saintifiknya, Plantago major L. sejenis herba yang lembut dan berbatang pendek. Tumbuhan ini berumpun dan boleh mencapai ketinggian 30 – 40 sentimeter (cm). Daunnya bulat dan berurat selari. Tangkai daunnya pula panjang dan menjulur keluar dari pangkal pokok.
Bunga pokok ekor anjing halus, kecil dan tersusun pada tangkai yang panjang. Setiap tangkai bunga juga tumbuh keluar dari pangkal pokok. Herba ini dipercayai berasal dari rantau bersuhu sederhana di Eropah dan Asia dan sekarang penyebarannya hampir ke seluruh dunia dan kawasan bertanah tinggi.
Nama tempatan pokok ekor anjing halus mungkin berasal daripada bentuk tangkai bunganya yang agak panjang dan seakan-akan ekor anjing. Nama tempatannya yang lain ialah ekor angin, daun senduk atau daun sejumbuk. Di Indonesia, tumbuhan ini dikenali sebagai daun senduk, otot-ototan, daun urat, ekor angin atau sembung otot. Di Filipina, nama tempatannya “lanting”.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Herba

Organ Bionik

Oleh ISHAK ISMAIL
PENEMUAN terawal teknologi penggantian bahagian tubuh manusia secara tiruan pada tahun 300 Sebelum Masihi, iaitu pembuatan kaki tiruan daripada plat besi berteraskan kayu. Sehinggalah pada abad 20-an, teknologi penggantian tubuh manusia yang rosak dengan organ tiruan tidak begitu berkembang. Pada masa itu, doktor secara umumnya menggunakan pasak kayu yang dipasang pada kaki manusia untuk menggantikan kaki yang patah, penyangkut besi bagi menggantikan tangan yang putus, serta gading gajah yang dibentuk dan ditempatkan di dalam mulut bagi menggantikan gigi yang rosak.
Dewasa ini, penyelidikan dan pembaharuan tentang pembuatan bahagian tubuh manusia secara buatan digolongkan dalam disiplin sains kejuruteraan bioperubatan. Istilah lain bagi bidang sains yang masih baharu ini ialah bionik, nama yang dipopularkan oleh rancangan televisyen, seperti “Six Million Dollar Man” dan “Bionic Woman”.
Kesemua alat penggantian tubuh manusia pada zaman dahulu dibina secara kasar dan dilihat jauh berbeza jika dibandingkan dengan alat prostetik atau prostesis pada zaman sekarang. Peningkatan reka bentuk prostesis bagi menggantikan bahagian tubuh manusia yang tidak lagi berfungsi merupakan satu cabang terawal kejuruteraan bioperubatan.
Satu kekurangan yang sering dihadapi penyelidik bidang bionik adalah untuk mendapatkan bahan yang serasi secara biologi dengan tubuh manusia. Bagi menggantikan bahagian tubuh manusia yang tidak berfungsi, bahan yang hendak digunakan seharusnya diterima baik oleh sistem pertahanan tubuh.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.