Pengesanan DNA Haram

SAMPEL makanan diletakkan di atas Cip NanoDNA  untuk mengesan kehadiran bahan haram dalam produk makanan tersebut. Cip nano tersebut yang direka bentuk bagi Kit Boleh Alih terus mengesan bahan tersebut melalui pengesanan pada asid deoksiribonukleik (DNA) spesies sumber dalam produk makanan yang kemudiannya menghasilkan isyarat elektronik untuk dibaca oleh pembaca diaelektrik di dalam cip nano tersebut.
Fokus bulan ini menampilkan produk pengesan bahan haram dalam produk makanan dan kegunaan harian yang kini mendapat perhatian umat Islam. Pelbagai jenis pengesan makanan halal telah dicipta oleh saintis tempatan, terutama untuk mengesan kehadiran yang haram, iaitu unsur babi.
Kaedah pengesanan yang lebih tepat dan murah menggunakan pengesan DNA. Pengesan DNA menggunakan penggabungan lapisan asid nukleik dengan pemindah arus elektrokimia untuk menghasilkan biopenderia yang lebih ringkas, tepat dan murah untuk menganalisis sampel. Pengesan tersebut pula dapat mengesan sampel pepejal dan cecair.
Pengesan DNA ini menarik perhatian Profesor Dr. Uda Hashim untuk diaplikasikan dengan teknologi nano dalam produk ciptaannya, iaitu Kit Boleh Alih Cip NanoDNA Pengesanan Produk Halal. Produk tersebut dicipta oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai Profesor Uda Hashim, Pengarah Institut Kejuruteraan Elektronik Nano (INNE), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menambahkan inovasi dalam penciptaan alat pengesan unsur haram, seperti babi dan binatang lain. Kit pengesanan produk halal ini dapat mengesan sebarang unsur haram yang terdapat dalam apa-apa produk sama ada makanan, kosmetik, ubat, atau pakaian.
Biasanya, dalam beberapa serbuan oleh Jabatan Agama Islam ke premis yang menjual makanan, seorang pegawainya membawa alat pengesan produk halal sebesar pembakar roti untuk mengesan kandungan makanan yang diragui sumbernya. Sebaliknya, ciptaan baharu Kit Pengesanan Halal daripada INNE yang menggunakan teknologi nano memudahkan pengambilan sampel bahan untuk dianalisis. Harga kit tersebut pula lebih murah berbanding dengan alat konvensional yang sedia ada di pasaran.
- Norizan Muslim

____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2012.

Posted in: Nota Editor