PADI SINARAN GAMA

Oleh ABDUL RAHIM HARUN dan ABDULLAH MD ZAIN

MUTASI didefinisikan sebagai perubahan yang berlaku dalam unsur warisan atau genetik yang menyebabkan berlaku perubahan sifat luaran (morfologi atau fenotip) suatu organisma. Mutasi berlaku secara semula jadi atau aruhan menggunakan agen mutasi.

Agen mutasi terbahagi kepada dua, iaitu kimia dan fizikal. Contoh agen mutasi kimia ialah etil metil sulfonat (EMS) dan agen mutasi fizikal ialah sinaran mengion, seperti sinaran gama, beta, dan neutron. Sinaran gama diperoleh daripada sumber radioaktif, seperti kobalt 60 dan sesium 137.

Terdapat dua jenis sinaran yang mengaruh mutasi dalam tumbuhan, iaitu sinaran akut dan kronik. Sinaran akut didefinisikan sebagai sinaran yang diberikan dalam jumlah dos yang tinggi dalam masa yang singkat. Sinaran kronik pula ialah sinaran yang diberikan dalam jumlah dos yang rendah dalam masa yang lama (hari, minggu, bulan, dan tahun). Sinaran akut diperoleh daripada alat yang dikenali sebagai Sel Gama. Sinaran kronik pula diperoleh daripada kemudahan sinaran yang terdapat di nuklear, iaitu rumah tanaman Gama.

Proses mutasi aruhan dapat dilakukan melalui pendedahan organ tumbuhan, seperti benih atau entiti biologi kepada sinaran mengion. Sinaran gama mempunyai tenaga disebabkan oleh perlakuan zarah yang dikenali sebagai foton yang menembusi tisu sel sehingga kepada unsur warisan, iaitu kromosom dalam sel nuklear menyebabkan berlaku perubahan secara fizikal.

Perubahan (aberasi) kromosom berlaku dalam pelbagai bentuk, iaitu retakan, buang, translokasi, dan sebagainya. Perubahan juga berlaku pada gen atau jujukan asid deoksiribonukleik (DNA) yang menyebabkan perubahan informasi dalam penghasilan protein yang membentuk sifat luaran suatu organisma atau tumbuhan. Sebagai contoh, suatu tanaman yang dahulunya rentan pada penyakit yang ditentukan oleh gen dominan, apabila berlaku mutasi dalam gen atau jujukan DNA kepada gen resesif, bertukar kepada rintang penyakit

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Oktober  2012.

Posted in: Fokus, Utama