INOVASI LAMPU ISYARAT

Tragedi ngeri yang mengorbankan tiga nyawa di Persimpangan Jalan Jitra-Kodiang pada awal tahun ini  sangat memilukan. Pada hari kejadian, lampu isyarat tidak berfungsi dan menyumbang kepada kemalangan tersebut.

Sering kali, pihak yang bertanggungjawab dipersalahkan ekoran kegagalan lampu isyarat. Pihak ini diminta supaya tidak hanya mengharapkan aduan daripada pengguna jalan raya semata-mata sebaliknya digesa supaya menyediakan satu mekanisme pemantauan yang berkesan dalam memastikan kejadian sebegini tidak berulang lagi.

Walau bagaimanapun, tiada langkah yang benar-benar berkesan yang dapat dilihat hingga kini. Mungkin disebabkan jumlah lampu isyarat yang terlampau banyak jika dibandingkan dengan bilangan pekerja yang kurang, masalah ini kekal tanpa penyelesaian.

Lalu muncullah seorang penyelidik, Ir. Siva Kumar Subramaniam dari Universiti Teknikal Melaka (UTEM) yang menampilkan satu produk yang membantu menyelesaikan masalah ini. Lampu isyarat pintar ini dapat berkomunikasi dengan pihak pengurusan hanya dengan menggunakan teknologi khidmat pesanan ringkas (SMS) jika terdapat kerosakan atau apabila bekalan kuasa di lampu isyarat yang terletak di lokasi yang jauh terputus.

Apabila kerosakan lampu isyarat dapat disampaikan terus kepada pihak bertanggungjawab, pihak tersebut dapat memantau dan menguruskan lampu isyarat tersebut secara serta-merta.

Melalui produk ini, pihak yang bertanggungjawab hanya perlu menunggu selama 20 saat untuk menerima SMS. Malah sistem lampu isyarat pintar ini beroperasi penuh secara automatik tanpa bantuan manusia.

Masalah kekangan tenaga manusia bagi pemantauan lampu isyarat juga telah diselesaikan melalui sistem ini kerana sistem ini boleh digunakan di semua lokasi, terutama yang terletak jauh dari pusat kawalan. Sistem ini juga boleh diaplikasikan di semua lokasi sama ada di dalam bandar atau luar bandar dengan syarat lokasi tersebut mempunyai rangkaian sistem global untuk komunikasi mudah alih (GSM).

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2012