PENAMBAHBAIKAN PENGESAN AWAL KEHAMILAN

Terkejut dan gembira. Itulah reaksi awal seorang artis wanita popular tempatan apabila mengetahui dirinya hamil, baru-baru ini. Usia perkahwinan yang baru beberapa minggu tidak menghalang dia daripada  bergelar ibu. Dengan hanya menggunakan alat ujian yang mudah didapati di farmasi, status, wanita, sama ada hamil ataupun tidak, dapat diketahui.

Alat pengesan kehamilan yang popular dalam pasaran menggunakan konsep ujian kehamilan melalui air kencing (UPT). Pengesan ini direka untuk mengesan hormon gonadotrofin korion manusia (hCG). Hormon ini dirembeskan oleh plasenta yang wujud apabila seseorang wanita hamil, seterusnya hormon boleh didapati dalam air kencing.

Secara asasnya, alat UPT mempunyai dua ruang, iaitu kawalan dan ujian. Apabila terdapat jalur pada ruang kawalan, alat ini berada dalam keadaan baik. Sebaliknya jika tidak terdapat jalur pada ruang kawalan, alat ini mungkin rosak.

Dalam masa yang sama, jika terdapat jalur pada ruang ujian, hal ini menunjukkan kehadiran hormon hCG. Dengan kata lain, wanita itu telah hamil. Kadangkala jalur pada ruang ujian ini wujud tetapi tidak jelas. Hal ini menunjukkan kehadiran hormon hCG tetapi tidak banyak. Kadangkala kehadiran hormon hCG yang sangat sedikit tidak mampu memberikan bacaan positif pada alat pengesan.

Bagi mengatasi kekurangan tersebut, seorang penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Uda Hashim telah mencipta sejenis alat pengesan yang mampu memberikan nilai hCG. Nilai ini sangat penting bukan sekadar mengesahkan kehamilan tetapi menunjukkan risiko keguguran yang dapat berlaku kepada wanita hamil.

Menerusi pengesan ultrasensitif ini, kandungan dapat dikesan seawal lapan hari sahaja. Pengesanan awal  penting untuk membolehkan persediaan yang secukupnya dilakukan oleh ibu hamil, seperti penjagaan kesihatan ibu dan bayi.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2013