Gincu Bebas Plumbum

Oleh SITI HAMIDAH MOHD. SETAPAR LEE NIAN YIAN, DAN WONG LEE PENG

GINCU merupakan salah satu bahan kosmetik yang paling popular dan digunakan secara meluas oleh wanita daripada segenap lapisan masyarakat. Selain dapat melembapkan bibir, gincu juga mampu menutup ketidaksempurnaan pada bibir, menambahkan keyakinan diri dan menjadi daya tarikan kepada si pemakai. Sejarah menunjukkan bahawa gincu digunakan oleh wanita sejak zaman berzaman. Penggunaan gincu bermula sejak zaman Greek purba dan zaman Mesir kuno.

Gincu moden yang digunakan kini mula dihasilkan dari awal era ke-19 apabila pewarna yang dicampurkan dengan lilin dan minyak menghasilkan campuran yang kelihatan cantik dan semula jadi apabila dipakai. Disebabkan oleh fungsinya yang berkesan, gincu menjadi terkenal dalam kalangan wanita di seluruh dunia.

Gincu mengandungi pelbagai jenis lilin, minyak, emolien, pengemulsi, pengawet, agen pengikat, dan pewarna. Campuran lilin yang mempunyai sifat yang berbeza daripada pelbagai jenis minyak yang dicampurkan akan membentuk asas putih yang menghasilkan struktur gincu.

Asas gincu menentukan sifat fizikal gincu, seperti takat lebur, kestabilan, kelarutan, dan kekuatan gincu. Manakala, minyak pula memberikan rasa licin dan perasaan berkrim apabila dipakaikan pada bibir. Selain itu, minyak juga meningkatkan kualiti kebolehgunaan dan memberikan kesan berkilat pada gincu.

Pewarna yang digunakan dalam pembuatan gincu merupakan komposisi yang paling penting dan menjadi faktor pelaris utama gincu. Pada awal era ke-19, gincu diperbuat dengan menggunakan pewarna karmain, iaitu sejenis pewarna merah di Amerika Syarikat.

Karmain sejenis serangga asal di Mexico dan Amerika Tengah. Pewarna yang diekstrak daripada serangga ini sangat mahal dan tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan wanita. Oleh sebab itu, muncul syarikat kosmetik yang menghasilkan pewarna merah sintetik untuk digunakan dalam penghasilan gincu

Kini, pewarna sintetik makanan, dadah dan kosmetik (FD&C), pewarna dadah dan kosmetik (D&C) dan pewarna yang tidak larut dalam air (lakes) merupakan pewarna merah yang sering digunakan dalam pembuatan gincu. Menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA), pewarna sintetik FD&C disahkan boleh digunakan dalam makanan, ubat-ubatan dan kosmetik, manakala pewarna D&C pula disahkan selamat digunakan dalam ubat-ubatan dan kosmetik.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2013.

Posted in: Fokus, Utama